Jumaat, April 02, 2010

Soal Jawab Agama - Hukum mewarna rambut & Akikah

Soalan 1:

Apakah hukum mewarnakan rambut mengunakan pewarna yang dinyatakan halal, walau pun bermacam-macam warna?

Jawapan:

Hukum mewarnakan rambut (sabgh al-sha'r) adalah harus kecuali mewarnakan rambut dengan warna hitam berdasarkan satu hadis riwayat Muslim, no. 2102: Ubahlah warna uban ini akan tetapi elakkanlah daripada warna hitam (menghitamkannya).

Warna hitam hanya diharuskan bagi mereka yang menghadapi penyakit beruban walaupun masih terlalu muda dan untuk muslihat perang. Namun mewarnakan rambut adalah makruh bagi golongan muda yang tidak bermasalah.

Pengecualian dikhaskan kepada para isteri yang berbuat demikian atas permintaan suami atau diizinkan oleh suami.

Hukum ini bertukar menjadi haram jika tiada tujuan tertentu seperti untuk suka-suka atau dengan niat yang bersalahan dengan panduan syarak seperti wanita yang berbuat begitu untuk menunjuk-nunjuk atau berhias-hias (tabarruj) mempamerkan rambut kepada bukan mahram dengan mengabaikan syariat menutup aurat dalam Islam.

Begitu juga jika bahan yang digunakan merosakkan rambut anugerah Allah kerana ia adalah amanah Allah yang 'dipinjamkan' kepada kita.

Apa yang penting bagi orang yang ingin mewarnakan rambut ialah bahan pewarna itu halal dan telap air seperti inai (ini jelas harus dan disebut di dalam hadis) kerana jika tidak telap air, wuduk anda dianggap tidak sah.

Mengikut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), dari segi ramuan pewarna rambut yang berada di pasaran kita terbahagi kepada dua jenis. Kedua-duanya adalah halal dari segi bahan kandungan tetapi satu telap air dan satu lagi tidak, maka perlulah dipastikan terlebih dahulu.

Pewarna rambut yang dipasarkan biasanya akan tertulis pada kotak permanent dye atau semi permanent dye.

Mengikut kajian, jenis yang semi-pamenent dye adalah jenis yang tidak menyerap air dan ia tidak boleh dipakai oleh orang Islam. Begitu juga sebaliknya.

Hakikatnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah mengeluarkan sijil halal untuk produk pewarna rambut kerana ia dikilangkan di luar negara. Secara teknikalnya, Jakim hanya mengeluarkan sijil halal untuk produk yang diproseskan di Malaysia sahaja.

Tiada keharusan ditemui untuk mewarnakan rambut pelbagai warna pada satu kepala (tamyish al-sha'r). Ada ulama menghukumkan haram kerana menyerupai budaya orang kafir.

SOALAN 2:

Adakah ibadah akikah hanya dilakukan semasa kecil atau boleh dilakukan selagi hidup?

JAWAPAN:

Ibadah akikah ini hukumnya sunat muakkad (yang dituntut) bukan wajib seperti yang dipercayai oleh sesetengah orang. Ibu bapa diberi kemudahan untuk melaksanakannya pada bila-bila masa dalam tempoh selepas tujuh hari lahir sehingga baligh.

Jika anak-anak sudah baligh tetapi mereka masih juga tidak mampu tidak mengapa tidak melakukannya kerana tuntutan ke atas wali telah gugur dan sunat bagi diri anak-anak itu sendiri melaksanakan akikah untuk dirinya sendiri seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW kepada diri baginda sendiri setelah diangkat menjadi Rasul (riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Tabrani).

SOALAN 3:

Jika kini kami adik-beradik (tiga orang perempuan) ingin melakukan ibadah akikah, bagaimanakah caranya?

JAWAPAN:

Ia ibadah yang mudah. Oleh kerana kalian bertiga perempuan, setiap seorang perlu menyediakan seekor kambing biri-biri (shah) untuk diakikahkan kerana ia adalah yang paling afdal.

Ia bertepatan dengan pedoman hadis daripada Saidatina Aisyah yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam Mustadraknya, 4/266, no. 7595. Jadi tiga ekor kambing biri-biri diperlukan.

Apa yang lebih penting menentukan niat sembelihan untuk akikah dan untuk siapa: si fulanah binti si fulan.

Ia perlulah disembelih oleh seorang lelaki Islam dengan alat sembelihan yang tajam. Tulang-tulangnya dipotong mengikut sendi dan tidak dihancurkan.

Adalah lebih afdal daging tersebut dimasak masakan yang berasa manis. Kemudian diberi makan kepada orang ramai terutamanya fakir miskin.

Terkini, ibadah ini ada diuruskan oleh syarikat-syarikat tertentu dan boleh diupah secara online seperti di http://www.korbanaqiqah.com.my.

Wallahu A'lam.

- UTUSAN

Rekod kesihatan peribadi elektronik


Perasaan runsing adalah lumrah bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan lebih-lebih lagi jika perlu melancong ke luar negara. Masakan tidak, rekod perubatan sedia ada perlu sentiasa dibawa sebagai persediaan sekiranya perlu menjalani rawatan ketika berada di negara asing.

Semuanya perlu lengkap kerana maklumat itu akan memudahkan sebarang tindakan atau keputusan dalam pemberian rawatan. Bukan sahaja memudahkan pengamal perubatan yang bertugas, maklumat itu juga penting demi keselamatan pesakit yang hendak menerima layanan medikal.

Secara praktikal, rekod sejarah perubatan individu yang selama ini disimpan pihak hospital, sepatutnya disimpan juga oleh setiap orang. Maka, cara yang paling mudah adalah dengan menggunakan kad elektronik yang mengandungi semua maklumat lengkap berkaitan latar kesihatan diri.

Menyedari hakikat tersebut, Malaysia Healthcare (MHC) yang merupakan penyedia pelancongan kesihatan di Malaysia mengambil inisiatif memperkenalkan kad Rekod Kesihatan Elektronik Peribadi (iPHER) bagi memudahkan urusan rekod kesihatan pesakit dengan pihak hospital.

Saiznya sama seperti kad kredit biasa tetapi dilengkapi kemudahan peranti USB. Dalam keadaan yang memerlukan individu itu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan atau rawatan kecemasan, kad yang menyimpan data klinikal tersebut adalah tanda pengenalan awal.

Ketua Pegawai Eksekutif MHC, Suresh Ponnudurai berkata, melalui iPHER, semua rekod perubatan peribadi boleh diperoleh segera apabila mereka menjalani rawatan di hospital di dalam atau di luar negara.

"iPHER bukan seperti kad biasa kerana ia mempunyai ciri-ciri keselamatan yang ketat seperti kata laluan yang hanya boleh diakses pemiliknya dan mempunyai kapasiti memori sebanyak lapan gigabit.

"Pemiliknya boleh menyimpan rekod kesihatannya setiap kali berkunjung ke hospital terus daripada komputer kerana ia mempunyai sambungan USB dan boleh di akses di setiap komputer," katanya.

Justeru katanya, dengan iPHER, pesakit tidak perlu lagi membawa segala rekod perubatan ketika menjalani rawatan di luar negara. Mereka juga bebas berkunjung ke destinasi idaman biarpun dalam keadaan kesihatan kurang baik yang memerlukan rujukan di klinik atau hospital.

Simpanan maklumat

"iPHER mampu merekodkan pelbagai data antaranya rekod imbasan sinar-X, preskripsi perubatan, ujian makmal, imunisasi, imej digital, rekod pergigian, penjagaan mata dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Apabila seseorang pesakit mempunyai rekod kesihatan elektronik, proses pemeriksaan kesihatan di mana-mana hospital menjadi lebih cepat dan efisien," jelas Suresh.

Tambahnya, rekod kesihatan digital berkenaan telah digunakan di Amerika Syarikat sejak tiga tahun lalu selain di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Ia juga bakal dilancarkan di Brazil tidak lama lagi.

Sebagai kemudahan pemahaman, maklumat dalam kad itu diterjemah ke dalam pelbagai versi bahasa seperti Inggeris, Sepanyol, Portugal, Arab, China, Jerman dan Perancis.

Katanya lagi, tidak seperti model lain dalam pasaran, tiada perisian khas diperlukan untuk melihat rekod yang disimpan dan ia boleh digunakan untuk semua sistem operasi Microsoft dan sambungan USB.

"iPHER adalah penyelesaian lengkap yang membolehkan pelancong perubatan membawa rekod perubatannya sendiri dalam format digital untuk mendapatkan rawatan di mana sahaja di seluruh dunia.

"Kemudian, dengan data baru yang diperoleh dari tempat rawatan berkenaan, mereka boleh menyambung rawatan dengan doktor masing-masing selepas pulang ke negara asal," jelasnya.

Tambah beliau, selain faedah tersebut, elemen asas bagi produk iPHER adalah sebagai satu langkah ke arah masa depan yang membentuk sistem penyimpanan, pengurusan dan penyampaian maklumat kesihatan peribadi yang tepat dan boleh digunakan di seluruh dunia.

"Sebagai trend global iaitu sentiasa bergerak ke hadapan ke arah pendigitan maklumat perubatan, hasrat kami adalah untuk membawa penjagaan kesihatan di Malaysia ke satu tahap lebih tinggi.

"Pengenalan iPHER amat bertepatan bagi memenuhi hasrat ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Patient Practitioners, LLC - USA berkata, adalah penting untuk setiap individu mempunyai kawalan ke atas kesihatan mereka sendiri.

"iPHER menawarkan kemudahan daripada bebanan rekod-rekod perubatan sedia ada tetapi dalam masa sama membenarkan mereka untuk menguruskan kesihatan mereka sendiri.

"iPHER dibangunkan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2006 di Patient Practitioners dan telah menerima Anugerah Gabenor bagi Kepelbagaian Perniagaan untuk inovasi," katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan ekonomi Malaysia tahun 2009/2010, pelancongan kesihatan dijangka menyumbang sebanyak RM330 juta bagi pendapatan dalam negara.

Ia ekoran peningkatan jumlah pesakit luar negara sebanyak 430,000 tahun lalu. Pelancong perubatan juga meningkat sepuluh kali ganda sejak 1998 iaitu sebanyak 374,063 sehingga tahun 2008.

Ia sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan dalam negara yang memberangsangkan iaitu RM14.1 juta kepada RM299.1 juta bagi tempoh yang sama.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan iPHER boleh mendaftar di www.malaysiahealthcare.com atau menghubungi 03-2719 5582 untuk maklumat lanjut.

- KOSMO!

Misi melencongkan planet kecil


Adakah benar seperti yang didakwa oleh pelbagai pihak apabila asteroid jatuh ke Bumi dunia akan kiamat?

Bahkan, ramai yang membayangkan penghujung tamadun dunia bakal berakhir apabila batu dari angkasa itu jatuh ke atmosfera.

Itu semua bayangan penduduk dunia apabila kita dikejutkan dengan penemuan yang mengaitkan punca sebenar kepupusan dinosaur disebabkan oleh asteroid berukuran kira-kira 15 kilometer (km) lebar menghentam Bumi.

Penemuan terbaru itu secara tidak langsung menyangkal kajian yang dibuat oleh saintis sebelum itu mengenai kepupusan hidupan purba tersebut berpunca daripada satu siri letusan gunung berapi di India.

Lipatan sejarah juga pernah menceritakan, 65 juta tahun lalu, hentaman asteroid melanggar Bumi di Chicxulub, Mexico dengan kuasa berbilion-bilion bom atom sehingga menghapuskan lebih separuh spesies di planet Bumi termasuk dinosaur.

Akibat hentaman tersebut yang dikatakan mempunyai kekuatan bilion kali ganda berbanding bom atom di Hiroshima, ia menyebabkan mamalia menjadi spesies dominan di Bumi. Akhirnya mencetuskan insiden seperti musim sejuk secara melampau yang memusnahkan kebanyakan hidupan dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Itu cerita 65 juta tahun dahulu. Bagaimana dengan sekarang dan akan datang? Adakah manusia yang menghuni Bumi akan mengalami nasib yang sama seperti dinosaur yang telah musnah akibat hentaman asteroid?

Ancaman 2036

Pada 20 Februari 2007, Reuters melaporkan bahawa sebuah asteroid mungkin menghampiri Bumi pada tahun 2036.

Sehubungan itu, para saintis menyarankan supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan misi angkasa lepas bagi melencongkannya.

Asteroid yang diberi nama Apophis itu dijangka merempuh Bumi pada 13 April 2036 sedang dipantau, malah misi untuk melencongkan asteroid sepanjang 40 meter itu dijangka menelan belanja sebanyak RM1.04 bilion.

Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia merangkap Penyelaras Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera, Profesor Madya Nasirun Mohd. Salleh memberitahu, asteroid kadangkala dipanggil planet kecil atau platenoid.

Menurutnya, asteroid terbina daripada batu-batuan pejal yang tidak sempat menjadi planet semasa permulaan pembentukan sistem matahari.

"Batu-batuan pejal ini bukanlah dalam erti kata batu tetapi ia terdiri daripada batuan dan logam besi iaitu nikel. Secara umumnya permukaan asteroid terdiri daripada batuan logam sedangkan terasnya adalah besi padu. Bentuk dan saiz asteroid adalah pelbagai dan tidak mempunyai rupa yang tetap, ada yang berupa bentuk kentang dan ada yang bujur telur.

"Dakwaan mengenai asteroid tergolong daripada kumpulan planet kecil tidak benar kerana tidak semua asteroid dapat dianggap sedemikian. Terdapat lebih daripada 40,000 asteroid dikenalpasti yang melebihi satu kilometer saiz garis pusatnya, manakala saiz yang mencapai ukuran 1,000 km diameter ialah Ceres yang terletak di antara Marikh dengan Musytari yang boleh dianggap sebagai planet kerdil mengikut takrifan Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) berserta dengan planet Pluto," katanya.

Tambah Nasirun, terdapat 16 asteroid yang melebihi saiz 240 km diameter. Kesemua asteroid tersebut berada di dalam jaluran asteroid yang terletak di antara planet Marikh dan Musytari.

"Rata-rata asteroid yang menghentam Bumi bersaiz sepuluh meter hingga 30 meter sahaja dan tidak membawa kemusnahan besar. Namun terdapat asteroid yang pernah jatuh ke Bumi bersaiz 100 meter iaitu di New York pada 2,300 tahun yang lalu.

"Kesan tsunami yang dicetusnya sangat dahsyat," jelasnya.

Sementara itu, Felo Bersekutu di Institut Sains Angkasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Geri Kibe Ak Gopir, memberitahu orang ramai tidak perlu panik dengan jangkaan Asteroid Apophis yang panjangnya menyamai Menara Kembar Petronas akan menghentam Bumi. Ini kerana peratusannya untuk menghentam Bumi pada tahun 2036 ialah 2.7 peratus dengan kebarangkalian tiga dalam satu juta.

"Asteroid besar menghentam Bumi jarang terjadi. Ia berlaku dalam tempoh berpuluh juta tahun hingga berbilion juta tahun. Kita tidak perlu risau kerana sudah ada teknologi yang membolehkan asteroid dikesan dan dipantau.

"Kedudukan asteroid sebenarnya adalah di jaluran asteroid yang terletak di antara orbit Marikh dan Musytari. Asteroid dalam jaluran berukuran dua hingga empat Unit Astronomi (UA) mengorbit matahari. Satu UA adalah bersamaan dengan 150 juta kilometer," katanya.

Jelas Geri, terdapat beratus ribu asteroid di dalam jaluran asteroid yang mengorbit. Dalam masa yang sama ia pecah akibat berlanggar antara satu sama lain sehingga ada di antaranya terlepas daripada jajaran.

"Jika ia terkeluar dari jajaran dan ditarik oleh graviti Musytari, kita tidak perlu risau kerana ia jauh dari Bumi. Tetapi jika ia tersasar masuk ke dalam orbit Bumi, kebarangkalian ia menghentam Bumi itu ada.

"Sememangnya kita risau kejadian 65 juta tahun lalu berulang kembali. Sebenarnya setiap hari bumi dihentam asteroid. Sesetengah fakta memberitahu, kalau dicampur-campurkan jisim asteroid itu, ia mencecah 1,000 kilogram satu hari, tapi asteroid yang kecil-kecil sahaja," ujarnya.

Geri menambah umur Bumi sangat tua dan sentiasa berubah atau berevolusi walaupun suatu ketika dahulu Bumi banyak kali dihentam asteroid.

"Kalau nak tahu kita kena hentam, lihat sahaja jiran terdekat kita iaitu Bulan. Permukaannya berkawah-kawah dan itu bukti yang paling jelas Bulan dihentam oleh asteroid. Kenapa ia (kawah) kelihatan jelas di Bulan dan bukan di Bumi? Ini kerana Bumi mempunyai atmosfera, udara, tumbuhan dan gunung berapi yang sentiasa mengubah bentuk muka bumi kita

"Bulan tidak mempunyai atmosfera, tiada udara dan permukaannya tidak berevolusi. Jika rupa Bulan sedemikian satu bilion tahun yang lalu, begitu jugalah rupanya kini," jelasnya.

Ditanya mengenai kepupusan dinosaur adalah disebabkan hentaman asteroid, beliau memberitahu ia merupakan salah satu teori dan pendapat itu semakin diterima sekarang sedangkan ia mula dibangkitkan sekitar tahun 70-an dan 80-an.

Mengapa ia semakin diterima? Geri memberitahu suatu ketika dahulu dinosaur adalah dominan. Persoalannya bagaimana binatang yang sangat besar itu tiba-tiba pupus dan bagaimana pula binatang lebih tua di air iaitu penyu, buaya dan sebagainya boleh meneruskan survival sedangkan binatang di darat semuanya pupus?

"Apabila asteroid menghentam bumi, kemungkinan ombak naik tinggi, kebakaran besar berlaku menyebabkan semua binatang di darat pupus. Apabila kebakaran berlaku, udara menjadi toksik sehingga menyebabkan binatang tidak boleh bernafas dan tumbuhan yang menjadi sumber makanan mati.

"Kerana itulah hidupan di air seperti penyu dan buaya dapat hidup kerana haiwan tersebut berada di dalam air," katanya.

Agensi Angkasa Negara (Angkasa) melalui Observatori Negara Langkawi (ONL) telah memulakan pencerapan objek angkasa khususnya komet pada tahun 2008 dan 2009. Namun untuk pencerapan asteroid secara spesifik program itu belum bermula lagi.

Pegawai Penyelidik Sains Angkasa, Mohd. Fairos Asillam, memberitahu, kebanyakan saintis percaya objek bersaiz 100 ke 500 meter diameter dapat menembusi atmosfera dan menyebabkan kemusnahan sama ada terbakar semasa memasuki atmosfera Bumi atau menghentam daratan atau lautan.

"Jika hentaman tersebut berlaku di bandar besar atau di lautan berhampiran bandar utama, ia dapat menghasilkan gelombang besar dan bakal memberi kesan berbahaya kepada manusia.

"Secara umumnya, kesan-kesan hentaman asteroid yang dapat dikenalpasti adalah pembentukan kawah besar, penyejukan atmosfera, perubahan iklim dunia akibat kotoran di atmosfera yang menghalang cahaya matahari, hujan asid, kemusnahan hasil pertanian dan tsunami," katanya.

Mengenai ramalan impak pada masa hadapan, Mohd. Fairos memberitahu, penduduk dunia tidak perlu bimbang kerana ancaman daripada penyakit dan kemalangan sehingga menyebabkan kematian adalah lebih tinggi berbanding ancaman asteroid.

Bagaimanapun, ancaman tersebut perlu dibimbangkan dalam jangka masa panjang, namun kebarangkaliannya adalah kecil.

Sebenarnya, kira-kira 100 asteroid telah dikesan pada orbit yang menjadikannya berada hampir dengan orbit Bumi yang membolehkannya menghentam Bumi suatu hari nanti.

Ini kerana orbit asteroid berubah secara perlahan-lahan mengikut masa. Namun jika orbitnya tidak bersilang dengan Bumi, perlanggaran hanya akan berlaku dalam beribu tahun lagi.

- KOSMO!

UAV - 'Burung besi' yang digeruni


Pesawat tanpa juruterbang (UAV), peninjau atau pesawat dengan kawalan jarak jauh merupakan antara nama yang diberikan kepada pesawat kecil yang semakin digeruni masa kini.

Bagi kebanyakan negara, memiliki pesawat UAV atau boleh juga dipanggil 'burung besi' itu seakan menjadi satu keperluan kepada pasukan angkatan tentera mana-mana negara.

Ini kerana pesawat itu bukan hanya boleh digunakan untuk mengintip pergerakan musuh tetapi juga dijadikan senjata untuk menyerang musuh dalam senyap.

Kelebihan pesawat ini ialah selain tidak memerlukan pemandu, ia boleh terbang di bawah pengesanan radar dan boleh juga dijadikan seperti peluru berpandu iaitu meletupkan dirinya sendiri ke sasaran.

Malaysia sendiri dikatakan telah menggunakan beberapa buah pesawat UAV yang berperanan sebagai pesawat peninjau dan berkemungkunan akan menggunakan pesawat UAV buatan tempatan di masa depan.

Selain digunakan untuk aktiviti ketenteraan, UAV juga sebenarnya banyak digunakan dalam kerja-kerja seperti penyelidikan saintifik, remote sensing, memadam kebakaran, memeriksa kedudukan paip dan sebagainya.

Menurut sumber industri, kira-kira 44 negara di seluruh dunia hari menggunakan pesawat UAV untuk pelbagai tujuan.

Jumlah UAV di seluruh dunia, sebenarnya bukan hanya bertambah tetapi ia menjadi semakin pantas, kuat dan pintar dalam pelbagai model yang dibangunkan.

Avenger, misalnya merupakan UAV yang mampu memburu dan membunuh tiga kali lebih pantas berbanding model sebelumnya, Predator yang banyak digunakan di dalam perang di Iraq dan Afghanistan.

Bagi melihat sejauh mana perkembangan teknologi 'burung besi' ini, Mingguan Malaysia ingin memaparkan beberapa UAE yang sedang dibangunkan untuk kegunaan di masa depan.

Phantom Ray

Pesawat berkelas Stealth ini dibangunkan oleh The Boeing Company dengan berpangkalan di Pangkalan Tentera Udara Edwards, Lancaster, California, AS.

Prototaip ini menggunakan sayap berkuasa jet yang menggunakan teknologi perang terkini seperti menganggu radar, mengisi minyak di udara, anti peluru berpandu dan sebagainya.

Jurutera menjangkakan pesawat ini boleh terbang sehingga 12,192 meter (m) dan mempunyai kelajuan sehingga 982 kilometer/jam (km/j) yang akan menjadikannya UAV paling laju pernah dicipta.

Demon

Pesawat ini dibangunkan oleh BAE Systems dan ketika ini masih berada dalam makmal pertahanan syarikat itu di London.

Pesawat ini terbang tanpa sirip atau bahagian yang boleh diubah kerana seluruh badan berbentuk seperti sayap.

Keseluruhan pesawat dikawal oleh perisian yang menentukan bagaimana ia terbang ke atas dan bawah, termasuk membelok kiri dan kanan.

BAE menjangkakan pesawat ini boleh diuji tidak lama lagi.

Vulture

Pesawat yang dijana oleh tenaga solar ini dibina oleh Lockheed Martin.

Pesawat berbentuk seperti tali pinggang ini dibina untuk kemampuan terbang setinggi 16,764 meter dan boleh berada di udara sehingga tempoh lima tahun secara berterusan.

Ia sangat sesuai diletakkan dengan kamera pemantauan yang boleh memantau sejauh 965 kilometer di bawah bumi.

Badan pesawat ini boleh membengkok atau melurus apabila berhadapan dengan rintangan angin.

RQ-170 Sentinel

Pesawat jenis Stealth ini dibangunkan oleh Lockheed Martin dan dikatakan menjalankan misi rahsia dan dipercayai berada di pangkalan tentera AS di Afghanistan.

Tidak banyak yang diketahui mengenai pesawat ini dan dipercayai mempunyai kemampuan terbang dengan ketinggian sehingga 15,240 meter.

Pesawat ini dijangka tidak digunakan sebagai pesawat pengebom kerana ia tidak membawa senjata bersamanya tetapi berfungsi sebagai pesawat pengintip.

Avenger (Predator C)

Pesawat ini dibina oleh General Atomics Aeronautical Systems dengan fungsi memburu dan memusnahkan.

Pesawat ini mampu membawa peralatan seberat 1,360 kg sama ada dalam bentuk kamera pengawasan dan peluru pemusnah seperti peluru berpandu kawalan laser Hellfire.

Pesawat ini boleh terbang dengan kelajuan 853 km/j dan boleh terbang tanpa henti selama 20 jam.

Embla

Pesawat UAV yang dibina oleh Aesir dari Britain ini berada dalam kategori Hovercraft dan digunakan di Afghanistan dan zon bencana.

Ia mempunyai kemampuan terbang dan mendarat menegak (VTOL) seperti helikopter dan sesuai untuk membantu tentera di lereng-lereng bukit.

Pesawat ini boleh terbang dengan ketinggian 3,048 meter dan kelajuan 80 km/j.

Ion Tiger

Pesawat ini dibangunkan oleh Naval Research Laboratory, Washington yang mempunyai tugasan lasak dengan berkhidmat di kawasan Eropah. Ia juga mungkin boleh terbang sehingga Asia Barat jika teknologi sel bahan bakarnya dipertingkat.

Ia boleh terbang tanpa dapat didengar walaupun berada pada ketinggian 305 meter atau sehingga mencapai ketinggian 4,267 meter.

Kemampuannya untuk terbang selama 24 jam memberikan kelebihan untuk beroperasi di kawasan lereng bukit dan saiznya yang kecil membolehkan ia menghampiri musuh dengan kameranya yang ringan dan murah.

Excalibur

Pesawat UAV ini mempunyai fungsi memburu dan memusnah dan boleh digunakan dalam zon perang di laut dan darat.

Ia juga boleh terbang dan mendarat tanpa lapangan terbang dan boleh terbang dengan ketinggian 9,144 meter.

Dilengkapi dengan 181 kg peluru berpandu laser, Excalibur boleh memusnahkan sasaran yang berada sejauh 966 km dari tempat pelancarannya.

Sebenarnya banyak lagi pesawat UAV atau 'burung besi' yang sedang dibangunkan untuk masa depan, selain yang digunakan pada masa kini.

Antara pesawat masa depan itu ialah S-100 Camcopter dari Austria, Skylite dari BAE Systems, Mantisdari Bluebird Aero Systems, Boeing HALE (High Altitude Long Endurance) dari Boeng, Global Observer dari AeroVironment dan Samarai dari Lockheed Martin.

Manakala pesawat UAV yang sedang digunakan pula ialah RQ-11B Raven, Wasp III, Desert Hawk, MD4-200 (Microdrone), T-Hawk/gMAV, Aerosonde, FINDER, ScanEagle, RQ-7 Shadow (AAI), Hermes 450/Watchkeeper, MQ-1 Predator, MQ-9 Reaper dan sebagainya.

- UTUSAN

Hindar menerima, perangi si pemberi rasuah

Oleh DATUK AHMAD KHUSAIRI YAHAYA
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Sejauh manakah kefahaman masyarakat mengenai perbuatan menawar atau memberi rasuah sebagai satu kesalahan jenayah yang serius? Jika disabitkan dengan kesalahan ini seseorang itu akan berhadapan dengan hukuman yang berat termasuk dipenjara dan didenda.

Kebiasaannya, pendakwaan kes-kes rasuah yang dipaparkan oleh media massa lebih berkisar kepada individu-individu yang menerima rasuah. Kebanyakan penerima rasuah yang mendapat perhatian media massa terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan yang dikatakan mempunyai kuasa untuk mengambil atau tidak mengambil sesuatu tindakan yang mana ia memberi manfaat kepada si pemberi rasuah.

Terdapat juga pandangan dan teguran segelintir masyarakat bahawa pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil tindakan ke atas penerima rasuah semata-mata. Ada juga antaranya yang tidak mengetahui bahawa memberi rasuah itu suatu kesalahan jenayah.

Bermula dari kewujudan Akta Pencegahan Rasuah 1961, Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan terkini Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, jelas memperuntukkan bahawa perbuatan memberi suapan rasuah merupakan suatu kesalahan yang serius di bawah undang-undang negara ini. Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 menetapkan bahawa perbuatan memberi atau menawarkan rasuah merupakan suatu kesalahan yang sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah:

"Seseorang melakukan kesalahan jika dia memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan hal ehwal prinsipalnya."

Jika disabitkan dengan kesalahan ini, seseorang itu akan berhadapan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Perbuatan memberikan rasuah ini juga merupakan kesalahan yang dipandang serius oleh agama. Ini dapat dijelaskan menerusi hadis Rasulullah SAW: "Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah".

Rasuah tidak akan berlaku seandainya salah satu pihak sama ada pemberi atau penerima tidak merestuinya. Rasuah tidak akan berlaku jika tiada pemberi. Rasuah tidak akan berlaku jika tiada penerima. Rasuah akan berjaya dibanteras jika kedua-dua pihak pemberi atau penerima enggan melakukannya dan melaporkan apa-apa percubaan perbuatan rasuah kepada pihak berkuasa untuk tindakan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Tun Abdul Hamid Mohamad, dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Aspirasi SPRM menjelaskan: "Jika kita betul-betul hendak memerangi rasuah, perkara pertama sekali yang masing-masing mesti lakukan ialah menghindar diri daripada perbuatan rasuah. Caranya mudah dan semua orang tahu: "Jangan beri dan jangan terima rasuah".

Namun begitu, kajian ahli-ahli kriminologi Barat menjelaskan bahawa rasuah ini diibarat jenayah tertua dunia sebaris dengan pelacuran. Dari 10 kes rasuah yang berlaku hanya satu sahaja dilaporkan. Ini kerana kedua-dua pihak sama ada pemberi atau penerima mendapat faedah daripada kesalahan jenayah ini. Kedua-dua pihak bersetuju dan berpuas hati dengan syarat-syarat yang ditetapkan bersama.

Rasuah sentiasa menjadi fokus kepada apa jua dasar dan strategi pembangunan negara ini. Sejak awal kemerdekaan sehinggalah ke hari ini, kita amat bertuah kerana mempunyai kerajaan yang berpandangan jauh dan menjadikan rasuah sebagai isu penting yang perlu diperangi.

Seawal kemerdekaan, kerajaan telah menubuhkan sebuah agensi penguatkuasaan khas membanteras rasuah iaitu Badan Pencegah Rasuah pada 1967. Agensi ini terus wujud dan berkembang sehinggalah ke hari ini yang telah dinaiktarafkan sebagai sebuah suruhanjaya.

Kerajaan juga sebenarnya telah melakukan pelbagai bentuk reformasi dan transformasi dalam perkhidmatan awam untuk mengubah sikap dan pandangan keseluruhan penjawat awam terhadap rasuah. Penubuhan Institut Integriti Malaysia, pengenalan Pelan Integriti Nasional, penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan yang kini telah digantikan dengan Jawatankuasa Keutuhan dan Tadbir Urus (JKTU) dan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) yang membincangkan isu integriti dan rasuah di pelbagai peringkat kepimpinan, dari nasional hingga ke daerah, penubuhan pasukan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) dan yang terkini pelancaran Integrity-Pact Dalam Perolehan Kerajaan jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memerangi jenayah ini.

Usaha memerangi jenayah rasuah ini bukan mudah untuk diukur dan terhasil dalam sekelip mata. Menerusi pelbagai dasar dan pendekatan yang digunakan kerajaan dan SPRM, pegawai-pegawai kerajaan dilihat telah meningkatkan tahap integriti dan kebenciannya terhadap rasuah semakin tinggi.

Berasaskan perangkaan SPRM, bagi tempoh sepuluh tahun iaitu 2000 hingga Februari 2010, sejumlah 878 orang telah ditangkap atas kesalahan cuba menyogok penjawat awam. Secara puratanya seramai 88 orang ditangkap setiap tahun atas jenayah ini. Daripada jumlah 878 tangkapan tersebut, hampir 90 peratus melibatkan cubaan menyogok anggota penguat kuasa pelbagai agensi.

Cubaan menyogok ini pula mempunyai kaitan dengan usaha pemberi rasuah untuk mengelakkan diri dari dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan jenayah berat lain yang juga serius seperti dadah, penyeludupan, judi, pelacuran, pendatang asing, kesalahan jalan raya dan sebagainya.

Kes dua anggota polis Detektif Koperal Mohd. Surani Sarbini dan Lans Koperal Mohd. Tarmazi yang ditawarkan rasuah RM500,000 oleh penyeludup dadah yang membawa 978 kilogram syabu, dianggarkan bernilai RM280 juta wajar dijadikan iktibar dan teladan.

Atas kesedaran dan tahap integriti yang tinggi, kedua-dua anggota ini telah menolak tawaran rasuah tersebut dan seterusnya menangkap pengedar dadah tersebut.

Ini adalah antara contoh terbaik bagaimana penjawat awam pada hari ini mempunyai tahap integriti dan kesedaran yang cukup tinggi untuk menolak godaan pemberi rasuah.

Masyarakat secara umum dan penjawat awam yang bertugas di agensi-agensi penguatkuasaan khasnya harus melihat kesan yang mungkin terhasil dari tindakan melindungi perbuatan jenayah.

Mengambil contoh kes di atas, kita tidak dapat membayangkan betapa ramai anak muda akan terjerumus dengan penyalahgunaan dadah sekiranya syabu seberat 978 kilogram memasuki pasaran.

Ini secara tidak langsung mengakibatkan kadar jenayah seperti samseng jalanan, kegiatan ragut, pergaduhan kumpulan, pembunuhan yang berpunca daripada pengaruh syabu akan meningkat dan seterusnya memberi kesan kepada keharmonian serta keselamatan masyarakat.

Bersempena dengan sambutan Hari Pekerja pada tahun 2010 ini, SPRM akan melancarkan kempen kesedaran secara besar-besaran kepada semua penjawat awam khasnya dan anggota masyarakat untuk menghentikan perbuatan menyogok penjawat awam.

Di pihak penjawat awam, kempen kesedaran berhubung kewajipan melaporkan apa jua sogokan di bawah seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 akan ditekankan dalam kempen-kempen yang telah dirancang menerusi media massa.

- UTUSAN

Pameran Keranda di Muzium Negara


Manusia yang paling bijak atau cerdik di dunia ini adalah mereka yang sering mengingati mati." Demikianlah pesanan Rasulullah SAW dengan maksud yang sangat mendalam.

Untuk mengingati mati ini pula, terdapat dengan pelbagai cara. Terutama digalakkan melihat kematian malah menziarahi tanah perkuburan itu sendiri.

Ini tentunya bagi menimbulkan keinsafan dan kesedaran bahawa setiap manusia akan mati. Walau cuba berselindung di sebalik tembok yang tebal sekalipun, ajal tetap akan menjemput pulang.

Jadi apakah persediaan kita untuk menghadapi mati? Maka dalam sebuah hadis lain Rasulullah menyebutkan; "Berkerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi dan beribadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati keesokan hari."

Justeru, melihat sendiri 'kematian' yang dirakam dan dipamerkan, seperti yang baru berlangsung di Muzium Negara, Jalan Damansara Kuala Lumpur tidak sepatutnya dilepaskan oleh orang ramai.

Pameran Keranda, Tradisi dan Misteri yang berlangsung dari semalam sehingga 20 Jun di muzium itu membawakan kepada para pengunjung suatu suasana dan merasakan sendiri mengenai hakikat kematian.

Sekurang-kurangnya memberikan banyak pengetahuan yang sangat meluas mengenai aspek-aspek kebudayaan yang berkaitan dengan pengamalan pengkebumian khususnya dengan bahan yang utama iaitu, keranda.

Usaha pihak muzium untuk mengadakan pameran yang cukup bermakna itu harus dipuji. Ini kerana ia melibatkan tugas-tugas yang sangat mencabar untuk mendapatkan bahan-bahan pameran yang melibatkan kematian dan keranda itu sendiri.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail berkata, bagi tujuan penyelidikan sahaja, pihak JMM perlu mengambil masa selama tiga bulan. Tugas yang paling mencabar ialah apabila perlu mendapatkan bahan pameran yang melibatkan tradisi kalangan Orang Asli di negara ini.

"Kita terpaksa pergi ke kawasan pedalaman perkampungan Orang Asli di Kuala Lipis, Pahang bagi menurunkan peralatan kematian dari atas pokok. Ini kerana mereka menjadikan dahan-dahan utama pokok sebagai tempat persemadian terakhir untuk si mati.

"Tetapi sesukar manapun keseluruhan proses mendapatkan bahan mengikut adat resam Orang Asli itu, penceritaan di sebaliknya adalah sangat menarik untuk kita kongsi bersama," katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Pameran itu juga adalah sangat berkaitan dengan sejarah tamadun awal manusia. Ini apabila kita saksikan sendiri bagaimana artifak-artifak pengkebumian yang ditemui di tapak-tapak prasejarah seperti di Lenggong, Perak; Kuala Selinsing, Gua Cha di Kelantan dan Gua Niah di Sarawak itu merupakan satu penemuan 'pintu masuk' kepada sejarah manusia.

"Ia melibatkan tradisi-tradisi yang diamalkan sejak 1,100 tahun dahulu. Semua ini dapat kita lihat sendiri di Pameran Keranda," kata Ibrahim.

Selain bahan-bahan pameran tempatan, ia juga mempamerkan segmen-segmen tradisi kaedah pengkebumian dan keranda dari beberapa negara Asia Tenggara yang lain.

Ini termasuklah keranda Toraja, Indonesia, keranda kayu balak dari Thailand dan Kerusi dan Takar Kematian dari Filipina.

"Kesemua bahan-bahan dari luar ini sangat menarik untuk kita pelajari ditambah lagi kita bawakan juga elemen-elemen suasana sebenar sebagaimana di tempat asal mereka," katanya.

Para pengunjung tidak perlu bimbang mengenai bau busuk mayat atau sebarang bunyi-bunyian yang menyeramkan tetapi yang penting minda mereka akan dibawa meneroka dengan lebih jauh mengenai kepelbagaian amalan dan kebudayaan melibatkan kematian dan fungsi-fungsi keranda.

"Namun yang lebih menarik lagi, kita akan mengadakan juga acara atau demonstrasi-demonstrasi pengurusan dan pengkebumian jenazah mengikut kaum-kaum yang ada di negara ini.

"Umat Islam dengan cara dan kaedah mereka yang tersendiri. Begitu juga kaum India dan Cina serta bumiputera lain mengenai tradisi masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab terakhir terhadap si mati.

"Apabila ada demonstrasi seperti ini, ia tentu merupakan satu lagi pengalaman menarik kepada para pengunjung," kata Ibrahim.

Kerusi Mayat, Tempayan Manunggul, Keranda Gantung, Perjalanan Roh, Posisi Mayat Melengkung atau Mengiring, Mayat dan Tembikar-tembikar di kaki, Pengkebumian Perahu, Tempayan, Keranda Pasak (Kuku Kambing) dan Keronda Erong. Kesemua istilah-istilah itu boleh ditemui di sepanjang pameran itu. Untuk mengetahui lebih lanjut dan kisah-kisah yang 'mengujakan' di sebaliknya maka kunjungi pameran ini.

Ini seperti yang ditegaskan oleh Ibrahim, JMM mahu menjadi sebahagian institusi pendidikan yang penting kepada para pengunjung sama ada rakyat tempatan mahupun pelancong asing.

"Walaupun melibatkan kematian, keranda sering menjadi simbol kepada pelbagai misi perjuangan. Kunjungi sahaja pameran ini, pelbagai rahsia mengenai keranda dapat kita ketahui," kata Ibrahim.

- UTUSAN

USM cipta alat beza daging ayam, babi

GEORGETOWN: Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan bahan penentu daging yang digunakan dalam sesuatu produk makanan ayam atau babi, lebih murah dengan pengenalan ‘PC (Pork Chicken) Indicator’.

Bahan yang dihasilkan daripada campuran gula ribose itu dibotolkan dalam kandungan empat gram dan dijual pada harga RM15.

Ketua Penyelidik penghasilan bahan berkenaan dari Pusat Pengajian Teknologi Industri USM, Prof Azhar Mat Easa, berkata harga itu lebih rendah berbanding bahan seumpamanya yang terdapat pada masa ini dan sesuai untuk pengusaha industri kecil dan sederhana yang terbabit dalam bidang makanan.

“Mereka hanya perlu membelanjakan wang untuk membeli PC Indicator serta Spectrophotometer yang berharga kira-kira RM20,000 berbanding kaedah lain yang cukup mahal sehingga boleh mencecah RM300,000,” katanya di sini, semalam.

Untuk kajian itu, Azhar dibantu Dr Abbas FM Alkarkhi dan Tan Thuan Chew sejak 2008 dengan kos RM190,000 yang diterima daripada geran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Azhar berkata, PC Indicator digunakan dengan meletakkan bahan itu ke atas daging ayam atau babi dan selepas itu dipanaskan pada suhu tertentu bagi melihat perubahan warna.

“Perubahan warna daging dilihat menggunakan spectrophotometer. Jika julat warnanya pada kadar 0.21 hingga 0.25, ia adalah ayam dan jika 0.12 hingga 0.14, ia adalah babi,” katanya.

- BERITA HARIAN

Tugas guru bertambah akibat banyak arahan

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan guru menanggung beban kerja berganda akibat wujudnya ‘arahan dalam arahan’ yang mana mereka terpaksa melakukan tugasan dalam skop sama berulang kali atas arahan pihak atasan pada peringkat berbeza.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata senario itu berlaku apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan guru melaksanakan program tertentu, namun pada masa sama mereka dikehendaki menjalankan lagi program seumpama atas arahan pentadbiran pada peringkat jabatan pelajaran negeri (JPN) atau pejabat pelajaran daerah (PPD), walaupun semua mengandungi pengisian hampir sama.

Beliau berkata, keadaan sedemikian berlaku di negeri tertentu menyebabkan guru terpaksa akur dengan arahan dikeluarkan pihak atasan pada peringkat berbeza itu sehingga berlaku pembaziran masa dan menjejaskan tanggungjawab mereka dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Justeru, dalam menangani situasi sebegini, NUTP berharap guru hanya perlu akur kepada pekeliling dikeluarkan Kementerian Pelajaran dan tidak perlu ditokok tambah dengan program yang mirip oleh pihak JPN atau PPD,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipetik sebagai berkata jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil NUTP akan mengenal pasti tahap keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.
Lok berkata, masalah berkenaan ialah antara beban kerja guru yang dibangkitkan dalam mesyuarat antara NUTP dan Muhyiddin yang berlangsung lebih sejam di Bangunan Parlimen, kelmarin.

Selain itu pada pertemuan berkenaan, katanya, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dimaklumkan mengenai masalah kekurangan waktu untuk guru berehat apabila dipanggil menjalankan pelbagai aktiviti pada setiap Sabtu, justeru NUTP mencadangkan supaya kementerian menetapkan peraturan bahawa guru hanya dipanggil bertugas pada Sabtu kedua dan keempat dalam sebulan.

Sambil menjelaskan NUTP menyokong penempatan guru baru di pedalaman, katanya, kesatuan itu bagaimanapun membantah tindakan memindahkan guru dari sebuah sekolah ke sekolah lain untuk penggiliran kerja bagi pelbagai mata pelajaran di sesetengah negeri, sedangkan proses penugasan semula itu sepatutnya hanya untuk subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

“NUTP ada 160,000 ahli dari pelbagai kumpulan dalam sektor pendidikan, oleh itu banyak masalah akar umbi yang perlu diberi perhatian. Justeru, NUTP berharap dapat mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri sekurang-kurang dua kali setahun untuk membincangkannya.

“NUTP amat berterima kasih atas keprihatinan beliau yang begitu `passion’ terhadap profesion keguruan,” katanya.

- BERITA HARIAN

Din Beramboi Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio popular Din Beramboi atau nama sebenar Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 44, disahkan meninggal dunia sekitar pukul 12.35 malam tadi di Hospital Selayang.

Kematian Allahyarham disahkan oleh Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani yang dihubungi oleh mStar Online.

Ketika diminta untuk mengulas mengenai berita sedih itu, Nizam bagaimanapun masih belum bersedia memberikan sebarang komen kerana masih terkejut. Pihak keluarga dan rakan terdekat Allahyarham juga gagal dihubungi.

Din yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU) kerana mengidap Dengue Shock Syndrome sudah berada dalam keadaan kritikal sejak petang semalam. Allahyarham dimasukkan ke hospital pada petang Isnin lalu selepas mengalami demam yang mempunyai tanda-tanda denggi.

- MSTAR

Khamis, April 01, 2010

Senarai penerima pertama biasiswa nasional 2010

Berikut senarai 30 pelajar paling cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 yang diumumkan sebagai penerima pertama Biasiswa Nasional 2010:

1. Gladys Tan Yee Kim (SMK Green Road, Kuching)

2. Grace Kiew Sze-Ern (SMK Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya)

3. Khadijah Ahmad Jais (SM Agama Persekutuan, Labu)

4. Akmal Hidayat Sabri (SMK Derma, Kangar)

5. Syamilah Mahali (Kolej Tunku Kurshiah, Seremban)

6. Amelia Lee Wei Ling (SMK Taman Melawati, Gombak)

7. Nur Syuhadah Muhamad (SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Baharu)

8. Lai Yin Kwin (SMK Tinggi Melaka)

9. Corinne Gunn Huey Min (SMK Taman Melawati, Gombak)

10. Hu May Khei (SMK Convent, Taiping)

11. Muhammad Amal Aiman Mohd Yusof (MRSM Kota Baharu)

12. Kuah Jia Ying (SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang)

13. Chean Chung Shen (SMK Methodist (ACS) Sitiawan)

14. Ahmad Zhafir Zulkfli@Zulkifli (SBPI Temerloh)

15. Goh Diangde (SMK Derma, Kangar)

16. Ameenah Azman (Kolej Tunku Kurshiah, Seremban)

17. Erin Chuah Wei Yen (SMK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur)

18. Mohamad Syukri Azmi (MRSM Kota Baharu)

19. Muhammad Syafiq Kamarulzaman (SBPI Selandar, Melaka)

20. Neelam Devi Nath (SMK Buloh Kasap, Segamat)

21. Ooi Hui Lynn (SMK Convent Green Lane, Pulau Pinang)

22. Nurliyana Sanusi (MRSM Kota Baharu)

23. Gan Li Fang (SMK Tun Mamat, Tangkak)

24. Muhammad Sallehuddin Mansor (SMK Matang, Perak)

25. Muhammad Izzat Solihuddin (MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka)

26. Nurizzati Zainal Nazeri (Kolej Yayasan Saad, Melaka)

27. Khairunnisa Che Bahrun (Maahad Ahmadi, Tanah Merah, Kelantan)

28. Nurulaida Mohd Darus (SBPI Jempol, Negeri Sembilan)

29. Loh Sook Yin (SMK Tinggi St David, Melaka)

30. Malathy a/p Balakrishnan (SMK Ibrahim, Sungai Petani)

SMK : Sekolah Menengah Kebangsaan

SM : Sekolah Menengah

MRSM: Maktab Rendah Sains Mara

SBPI: Sekolah Berasrama Penuh Integrasi

- Bernama

Tiga Golongan Yang Menjadi Ahli Syurga

Hadith :

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Ahli syurga itu ada tiga golongan iaitu orang yang memerintah yang bersifat adil dan dikurniakan taufiq, orang yang berperasaan kasih sayang serta berhati lembut kepada setiap kaum karabat dan sesama Islam, orang yang tidak suka meminta-minta dan berusaha mengelak daripada meminta-minta sedangkan ia mempunyai keluarga yang ramai”. Riwayat Muslim

Huraian:

Tiga golongan yang menjadi ahli syurga ialah:

1. Pemerintah yang berlaku adil di dalam pemerintahannya.

2. Orang yang mempunyai sifat kasih sayang serta berlemah-lembut khususnya kepada ahli keluarga dan umumnya kepada sesama Islam.

3. Seseorang yang tabah dan cekal menghadapi kesusahan hidup tanpa mengharapkan pertolongan orang lain.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Recent Posts