Sabtu, Januari 02, 2010

Isu Teknologi sepanjang 2009

Tahun 2009 bakal ditinggalkan dengan pelbagai kisah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mengagumkan yang sekali gus meningkatkan kemudahan masyarakat sama ada untuk bekerja, belajar atau menjalani kehidupan seharian.

Kebanyakan teknologi terbabit membantu menambah baik kaedah perhubungan agar ia menjadi lebih cekap sambil mendapat hiburan yang lebih mantap.


Lihat saja teknologi 3G/HSPA dan WiMAX yang menyemarakkan industri capaian jalur lebar tanpa wayar, tidak kurang juga teknologi capaian berwayar yang dilihat tidak mahu kalah dalam persaingan jalur lebar.

Begitu juga dengan peranti berasaskan sentuhan yang mempelbagaikan kaedah input capaian.

Industri animasi pula diceriakan dengan kejayaan filem animasi terbitan anak muda tempatan Geng: Pengembaraan Bermula yang berupaya membawa inovasi jauh ke depan ke arah persekitaran lebih maju dalam era digital.

Perkembangan teknologi semakin pantas dan perlu pantas dijejaki masyarakat kerana perubahan hidup memerlukan inovasi yang selaras dengan kegunaan seharian seperti mana disaksikan sebelum ini.

Apakah yang boleh dijangka pada tahun depan?

Adakah ekonomi akan kembali pulih sepenuhnya? Mungkin ya atau tidak. Adakah banyak lagi skandal baru yang membabitkan pemain selebriti golf terkemuka, Tiger Wood? Mungkin ya, mungkin tidak.

Tiada yang pasti melainkan teknologi yang sentiasa berubah dan akan terus menerajui perjalanan hidup manusia serta memenuhi jangkaan.

Teknologi hijau, misalnya, menjadi buah mulut terutama selepas isu pemanasan global sering menjadi topik hangat ditambah pula sogokan satu demi satu berita kemusnahan dan bencana alam, malah ia turut menjadi filem yang mengingatkan manusia betapa dunia sudah tiba ke minit terakhir.

Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Anne Abraham, menjangkakan perubahan iklim membuka mata banyak pihak menilai semula model perniagaan sedia ada dengan membangunkan strategi yang berbeza.

"Kebanyakan organisasi bakal menggunakan strategi hijau dalam pelbagai aspek bagi mengurangkan penggunaan karbon.

"Secara tidak langsung, ia akan mengurangkan kesan rumah hijau serta dalam masa yang sama menjimatkan kos," katanya.

Namun begitu, beliau menegaskan, aplikasi hijau dalam teknologi perlu disusuli dengan perubahan budaya kerja serta kerjasama kuat antara industri bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

"Peneraju perniagaan perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam merangka kaedah dan ukuran terbaik yang mampu membangunkan permintaan terhadap teknologi hijau pada masa depan," kata Abraham.

Bicara mengenai jalur lebar tidak akan berhenti terutama di Malaysia kerana kita tergolong antara negara yang masih berusaha menyediakan 'lebuh raya' sesuai untuk menawarkan kepantasan Internet kepada penduduknya.

Oleh itu, tidak hairan jalur lebar akan terus menjadi topik hangat 2010 memandangkan ia membantu meningkatkan ekonomi secara tidak langsung seperti yang diperkatakan Ketua Pegawai Eksekutif Cisco, John Chambers.

"Inovasi produktiviti dan peningkatan taraf hidup banyak bergantung kepada prasarana jalur lebar sebenar. Inilah masa sesuai untuk menjadikannya kenyataan," katanya.

Penyelidikan syarikat rangkaian itu mengenai Kajian Kualiti Jalur Lebar 2009 mendapati 62 daripada 66 negara berjaya meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar yang kemudian didapati memperbaharui ekonomi.

Teknologi video pula dijangka menerajui permintaan komunikasi dalam Internet dengan pelbagai bentuk seperti televisyen, video atas permintaan, video Internet dan P2P.

Laporan Jangkaan Indeks Rangkaian Visual Cisco (VNI) 2008-2013 membayangkan jumlah video dalam Internet mendominasi 90 peratus trafik protokol Internet (IP) pengguna global.

Sehingga kini, lebih satu pertiga trafik Internet dikuasai video Internet manakala 64 peratus trafik data mudah alih diwarnai dengan video yang dijangka menjelang 2013.

Perhatikan sambungan USB di komputer peribadi (PC) anda yang ketika ini beroperasi pada versi 2.0 yang memindah turun fail pada kelajuan 480 megabit sesaat (Mbps) sesuai untuk digunakan pada masa kini.

Namun begitu, perkembangan digital yang menyaksikan berdozen gigabait aplikasi, muzik, filem dan banyak lagi memerlukan medium sesuai untuk memindahkannya dengan pantas.

Justeru, evolusi USB 3.0 dijangka akan dikeluarkan dengan kelajuan 10 kali ganda lebih pantas memungkinkan pemindahan fail sekitar 400Mbps.

Tidak cukup dengan itu, tahun 2010 bakal menyaksikan kapasiti storan lebih besar ditagih yang berkemungkinan tidak terhad kepada perkakasan semata-mata.

Pengarah Urusan Hitachi Data Systems Sdn Bhd, Johnson Khoo, berkata pemacu berdasarkan 'flash' atau Solid State Drives (SSD) menawarkan prestasi memberangsangkan yang digunakan dalam PC.

SSD adalah perkakasan storan yang menyimpan data dalam memori berasaskan 'flash' dibina menggunakan memori perkakasan semikonduktor berbanding media magnetik atau optikal pada cakera keras.

Ia menawarkan kelebihan menerusi kepantasan dan mengurangkan masa 'boot' selain tahan lasak serta lebih senyap.

hoo berkata, selain teknologi SSD, masyarakat bakal menyaksikan perkomputeran 'cloud' semakin ke depan dengan perkembangan storan yang mampu menampung berbilion data.

"Penggunaan storan cloud memberi kelebihan terutama dari aspek keselamatan dan ruang lebih besar yang mampu memberi kemudahan kepada manusia," katanya.

Satu lagi kejutan yang bakal menghangatkan suasana perkomputeran pada 2010 adalah kehadiran sistem operasi (OS) baru yang dihasilkan Google menerusi Google Chrome OS.

Sistem operasi berasaskan sumber terbuka itu disasarkan kepada pengguna netbook yang dijangka menemui penduduk dunia pada pertengahan 2010 nanti pastinya membawa persaingan sengit dengan pengeluar OS lain.

Windows 7 pula akan terus menjadi peneraju industri selepas Vista gagal memukau pada 2009.

Pengguna akan mendapati Windows 7 sebagai sistem operasi bermutu tinggi bagi menggantikan kegagalan Vista yang mendapat sungutan ramai sebelum ini.

Mungkin ini masanya untuk pengguna berfikir dan menukar perisian untuk dunia perkomputeran lebih bergaya pada 2010 dengan Microsoft pastinya akan mengemaskini aplikasi yang bersesuaian untuk dipadankan bersama OS terbabit.

Seterusnya, saat yang ditunggu pasti tiba apabila 2010 menyaksikan sejauh mana kemampuan Malaysia mencapai sasaran 50 peratus penembusan jalur lebar yang ditetapkan kerajaan.

Setakat ini, misi terbabit dilihat mustahil dan sebaliknya memerlukan banyak pihak duduk semeja dan memikirkan keperluan penting dalam menyelesaikan beberapa isu termasuk mengenai pakej dan kepantasannya.

Bagaimanapun, Bajet 2010 yang dibentangkan tidak lama dulu mementingkan perkembangan ICT dan ia perlu dieksploitasi sepenuhnya bagi memberi impak sebenar.

Selaras penambahan celik ICT di peringkat global, negara memerlukan insentif yang membolehkan rakyatnya menikmati kemudahan inovasi secara berpatutan dan setimpal dengan apa yang dibayar mereka terutama sambungan jalur lebar.

Setiap tahun, pembentangan bajet menyaksikan pelbagai insentif baru diketengahkan yang menjadi pemangkin untuk mewujudkan prasarana serta pertambahan budaya ICT secara meluas.

Bagi pihak kerajaan, belanjawan ICT seharusnya diperincikan dan dijelaskan di peringkat kementerian secara mendalam sebelum mereka membuat keputusan yang tepat mengenai penggunaan bajet itu bagi mendapatkan kesan seimbang pada 2010.

Manakala pihak swasta yang mendapat galakan dari bajet perlu menyediakan kertas kerja kukuh yang mengikut objektif dalam memajukan masa depan ICT dan bukannya memikirkan keuntungan berlipat ganda hasil penjualan produk atau perkhidmatan.

Antara bajet ICT yang dikenal pasti termasuk insentif jalur lebar, pakej netbook, industri kreatif, kandungan tempatan, teknologi hijau dan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV).

- HARIAN METRO

Isu dan tumpuan berita tahun 2009

Exco kerajaan Selangor, yang dilanda kontroversi foto bogel awal tahun ini, menduduki tangga teratas kategori 'pencetus berita' dalam negara di kumpulan data enjin carian tersohor Google bagi 2009.

Elizabeth Wong, wakil rakyat PKR bagi Bukit Lanjan, mengatasi kontroversi bekas model remaja Manohara Odelia Pinot, menantu Sultan Kelantan yang menghadapi konflik rumahtangga dengan suaminya Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Senarai itu - yang dihasilkan daripada jumlah carian pengguna Internet di Malaysia melalui Google - diikuti personaliti TV3 Zakiah Anas sebelum mantan menteri besar Perak yang disingkirkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Kontroversi hukuman sebat terhadap Kartika Sari Shukarnor meletakkan model sambilan itu di tangga kelima, di atas aktres jelita Fasha Sandha.

Sementara ahli parlimen PAS Khalid Samad lebih popular dicari pengguna Internet, di tangga ketujuh, berbanding Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (kesembilan) daripada 10 personaliti.

Dalam kategori 'paling popular', portal berita Malaysiakini berada di tangga kesembilan, sementara laman web akhbar Berita Harian di kedudukan ketujuh.

Kategori ini dikuasai laman-laman web jaringan sosial Facebook (pertama) dan Friendster (kedua), selain penyedia khidmat emel percuma seperti Yahoo! (kelima) dan Gmail (keenam).

Laman perkongsian video Youtube berada di tangga terakhir daripada 10 tapak web yang paling dicari di Malaysia, demikian menurut laporan 2009 Year-End Google Zeitgeist bagi negara ini.

Dalam laporan tahun lalu, Malaysiakini berada di tangga pertama dalam kategori 'paling cepat meningkat'.

Tahun ini, Facebook pula berada di tangga teratas untuk kategori tersebut, diikuti Michael Jackson (meninggal dunia 26 Jun lalu), Elizabeth Wong, Utusan Malaysia dan laman permainan dalam talian Dragonica.

Laman pencari kerja yang dibangunkan kerajaan JobsMalaysia dan laman memblog secara mikro yang semakin popular Twitter masing-masing berada di tangga ketujuh dan kelapan.

Kandungan 'berita' yang paling popular pula mengenai wabak selesema A (H1N1), diikuti kempen alam sekitar sejagat Earth Hour yang disambut pada penghujung Mac setiap tahun.

Slogan yang dipopularkan perdana menteri 1Malaysia berada di tempat ketiga, diikuti belanjawan 2010.

Program Latihan Khidmat Negara dan kejadian gempa yang menyayat hati di Padang, Sumatera masing-masing di tangga keenam dan kesembilan.

Penyanyi pop Zee Avi yang mula mencipta nama pada 2007 melalui klip video di Youtube pula menjadi 'penghibur' paling popular dalam kategori 10 penghibur paling dicari.

Artis indie bertudung Yuna, popular dengan imej bergitar dan lagu ala Norah Jones, berada di belakang Zee Avi, diikuti Hafiz AF dan Aril AF.

Penyanyi pop Tomok, kumpulan indie Bunkface dan juruhebah radio terkenal Linda Onn berada di kedudukan tiga terbawah dalam kategori penghibur paling dicari.

Lagu-lagu yang paling popular dicari melalui Google, antaranya, Khatimah Cinta oleh kumpulan 6ixthSense, Cinta Gila (Grey Sky Morning) dan Cari Jodoh (Wali Band).

Lagu-lagu Dan Sebenarnya (Yuna), Pakai Buang (Stacy) dan Situasi (Bunkface) menyusul di belakang.

Pasukan lumba kereta Formula One yang baru ditubuhkan 1Malaysia F1 pula menjadi carian popular dalam bidang 'sukan', diikuti Kelate.net, laman web penyokong pasukan bola sepak Kelantan.

- MALAYSIAKINI

Perwakilan Umno puashati kepimpinan Najib

Ahli Umno berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Najib Tun Razak sejak mengambil alih teraju kepimpinan sebagai presiden parti memandangkan mereka berpendapat beliau kini memimpin negara ke arah yang betul.

Kaji selidik yang dikendalikan oleh sebuah firma penyelidikan bebas, Merdeka Centre, terhadap 358 perwakilan ke perhimpunan agung Umno baru-baru ini, menunjukkan kira-kira 95 peratus daripada mereka menyuarakan rasa puas hati terhadap prestasi Najib, sebahagian besarnya disebabkan peningkatan dalam kualiti kepimpinan.

Mereka berpendapat bahawa Najib, yang juga perdana menteri, mempunyai kualiti kepimpinan kebangsaan dan mengutarakan beberapa idea menarik bagi meraih sokongan umum, misalnya konsep "1Malaysia", memberi penekanan terhadap menyelesaikan masalah rakyat dan memperkukuhkan ekonomi.

"Rasa puas hati terhadap presiden parti dalam kalangan perwakilan adalah amat tinggi iaitu 95 peratus dengan 60 peratus daripada mereka mengatakan 'sangat berpuas hati' dengan prestasi beliau sejak mengambil alih kepimpinan Umno.

"Sebab utama bagi sokongan yang kukuh itu berpunca daripada peningkatan yang dirasai dalam kualiti kepimpinan," kata Merdeka Centre dalam rumusan terhadap keputusan kaji selidik perwakilan perhimpunan agung Umno 2009.

Kaji selidik itu dijalankan dari 4 hingga 11 November, meliputi sekurang-kurangnya seorang individu dari setiap bahagian dalam parti berkenaan.

Kaji selidik dilakukan menerusi telefon dan kumpulan yang dikaji dipilih berdasarkan senarai perwakilan ke perhimpunan agung itu.

Merdeka Centre juga berkata perwakilan memberi sokongan amat padu kepada dua langkah yang diperkenalkan itu, dengan 81 peratus menyokong liberalisasi ekonomi manakala konsep 1Malaysia menerima sokongan daripada 94 peratus.

Kaji selidik itu menunjukkan bahawa 91 peratus daripada perwakilan yang dikaji percaya bahawa imej Umno di mata masyarakat secara amnya adalah positif manakala 97 peratus percaya Umno adalah satu-satunya parti yang dapat menjaga kepentingan orang Melayu.

Mereka juga optimis mengenai peluang parti dalam pilihan raya akan datang dengan 66 peratus berpendapat Umno telah pun pulih daripada masalah yang membawa kepada pencapaian buruk parti itu pada pilihan raya umum lepas.

- Bernama

Serina Sah Bergelar Isteri Gavin



KUALA LUMPUR - 1 Jan 2010 : Dengan sekali lafaz, aktres jelita Serina Redzuawan sah bergelar isteri kepada Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar pada pukul 11.30 pagi tadi di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini.

Pasangan ini dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk masjid tersebut, Mohd. Nazarudin Mohd. Nazir dengan berwalikan bapa Serina, Chef Wan atau Redzuawan Ismail dengan mas kahwin sebanyak RM1,000.

Setelah selamat dinikahkan, Serina menzahirkan rasa syukur kerana majlis itu berjalan dengan lancar. "Susah untuk mengambarkan perasaan saya selepas sah bergelar isteri, saya tak percaya sebab ia hanya sekali lafaz sahaja.

"Namun apa yang dapat dirasakan ialah Gavin melafazkan akad dengan ikhlas dan hati saya sangat tersentuh.

"Ini juga bermakna bermula satu tanggungjawab besar kepada saya untuk membimbing suami sebagai seorang Muslim.

"Saya bukanlah pandai fasal agama tapi Insya-Allah, saya akan sama-sama mencuba yang terbaik mempelajari ajaran Islam.

"Saya sangat berharap perkahwinan kami akan kekal ke akhir hayat," kata Serina yang akan berbulan madu di Pulau Santorini, Greece.

Sementara itu, Gavin mengakui perasaan gemuruh dan gembira bercampur baur ketika melalui upacara akad nikah sebentar tadi.

Katanya, dia sangat gembira kerana berjaya melepasi satu tahap baru dalam hidupnya dan hari ini merupakan satu pengalaman baru yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat.

Ketika ditanya tentang harapan menimang cahaya mata, Serina memberitahu bahawa dia inginkan dua pasang anak lelaki dan perempuan bagi melengkapi kehidupan rumah tangganya.

Pada majlis itu, Serina menerima tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM30,000 dan membalas kepada Gavin dengan sembilan dulang hantaran.

Antara barang hantaran yang diberi pihak Gavin kepada Serina terdiri dari sepersalinan baju, kain telekung, beg tangan, gelang tangan, cek bernilai RM30,000, Al Quran dan kek serta sirih junjung.

Manakala Gavin menerima Al-Quran, Telefon bimbit, tali leher, jam tangan, kemeja, minyak wangi, tali pinggang, kek dan sirih junjung.

Pasangan pengantin ini akan diraikan dalam majlis berinai besar pada malam ini di NEO, Jalan Sultan Ismail sebelum melalui majlis bersanding di The Royale Chulan malam esok.

- MSTAR

Mahkamah Putuskan Majalah Katolik Herald Boleh Guna Perkataan 'Allah'

KUALA LUMPUR - 30 Dis 2009: Majalah mingguan Katolik, Herald, boleh menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan hari ini.

Mahkamah itu membuat keputusan bahawa setiap orang mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan "Allah".

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan itu.

Selepas keputusan itu, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said, yang mewakili menteri dan kerajaan, meminta penjelasan mahkamah sama ada keputusan itu akan menjejaskan penerbitan Herald bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Disember 2010.

Beliau berkata ini disebabkan permohonan itu adalah untuk tahun ini dan bukannya untuk penerbitan tahun depan.

Peguam yang mewakili gereja berkenaan, Porres Royan, memaklumkan kepada mahkamah bahawa menteri telah pun memberi permit baru pada awal tahun ini untuk penerbitan tahun depan.

"Keputusan itu dengan sendirinya jelas. Menteri telah pun memberi permit baru untuk tahun depan. Saya percaya menteri akan akur dengan keputusan ini," katanya.

Kamaluddin memberitahu mahkamah bahawa beliau perlu mendapatkan arahan daripada menteri sama ada keputusan hari ini akan menjejaskan permit baru untuk penerbitan tahun depan memandangkan ia membabitkan perkara yang sangat serius.

Katanya, beliau juga perlu mendapatkan arahan daripada responden mengenai sama ada untuk merayu atau memohon penangguhan pelaksanaan keputusan.

Lau berkata responden mempunyai 30 hari untuk memfailkan permohonan itu.

- BERNAMA

Galakan Mengerjakan Ibadat Sunat

Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Junjunganku (Nabi Muhammad SAW) telah berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan, mengerjakan dua rakaat sembahyang dhuha dan juga supaya aku mengerjakan sembahyang witir sebelum aku tidur.” (Bukhari & Muslim)

Huraian:

1. Jalan untuk mencapai tahap ihsan ialah dengan melalui proses menunaikan segala perkara yang difardhu atau diwajibkan. Lebih tinggi daripada itu ialah dengan melakukan amalan-amalan yang membawa taqarrub kepada Allah SWT iaitu amalam-amalan an-Nawafil (sunat).

2. Maka untuk melakukan amalan-amalan tersebut memerlukan jihad, kemampuan serta kerelaan hati, kesungguhan yang berterusan dan memusatkan segala kepentingan kepada Allah SWT semata-mata.

3. Antara amalan sunat yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ialah seperti:

i. Sembahyang sunat Dhuha- iaitu sembahyang yang dikerjakan dengan sekurang-kurangnya dua rakaat dan afdhalnya ialah lapan rakaat. Masuk waktunya pula ialah apabila matahari meninggi kadar segalah;

ii. Berpuasa sunat terutamanya tiga hari dalam sebulan iaitu di hari-hari putih (13, 14 dan 15 haribulan dari bulan Qamariah);

iii. Sembahyang witir iaitu sembahyang sunat yang paling utama setelah sembahyang wajib. Waktunya bermula selepas sembahyang Isyak hinggalah terbit fajar. Paling sedikit bilangan rakaatnya ialah 1 rakaat dan paling banyak ialah 11 rakaat. Ia dinamakan sembahyang Witir kerana ia dikerjakan dengan bilangan rakaat yang ganjil.

4. Dalam mengerjakan ibadat janganlah kita hanya mementingkan kuantiti amalan yang dilakukan tanpa memikirkan kualitinya kerana tiada gunanya amalan yang banyak sedangkan ianya tidak diterima oleh Allah SWT. Hal ini mungkin disebabkan ibadat tersebut dikerjakan tanpa khusyuk atau kerana timbulnya perasaan riya' dan ujub yang membinasakan pahala.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

2010 disambut meriah, warna-warni

Pertunjukan bunga api warna-warni, muzik dan tarian bergema di bandar raya Kuala Lumpur malam tadi ketika berpuluh ribu orang berpesta menyambut kedatangan Tahun Baru 2010.

Jalan-jalan utama ditutup bagi membolehkan pengunjung mengucapkan selamat tinggal kepada 2009 dan bersama-sama mengikuti "countdown" ke Tahun Baru sambil artis-artis tempatan dan antarabangsa mempersembahkan hiburan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menyertai lebih 20 ribu rakyat Malaysia yang membanjiri dataran itu bagi menyambut ketibaan Tahun Baru 2010 serta menyaksikan Konsert Ambang 2010 Kuala Lumpur anjuran AmBank Group, sebelum majlis mengira detik Tahun Baru 2010 pada tengah malam bermula.

Laungan "Selamat Tahun Baru" dan "Satu Malaysia" berkumandang di udara sebaik saja jam berbunyi tepat 12.00 tengah malam.

Di saat itu, Dataran Merdeka digegarkan dengan dentuman bunga api, menjadikan langit dihiasi dengan cahaya berwarna-warni.

Turut hadir menyaksikan konsert ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Artis rock sensasi, Amy Search dan Ella menjadi tarikan utama pada konsert itu, yang turut menampilkan kumpulan rock popular Hujan, Bunkface, Bhangra Gold Kartz, the Singing Shop dan persembahan tarian dari DBKL.

Orang ramai termasuk pelancong asing mula membanjiri Dataran Merdeka seawal jam 5.30 petang.

Seorang pelancong asing, Siddharth Sharma, 27, dari New Delhi, India berkata beliau mendapat tahu sambutan meraikan kedatangan tahun baru 2010 di Malaysia terutamanya di Kuala Lumpur merupakan yang terbaik serta meriah dan sengaja merancangkan bulan madu bersama isterinya.

"Kami baru tiba pagi ini dan akan kembali ke India pada 7 Jan," kata Sharma kepada Bernama.

Seorang rakyat tempatan Rahimaton Nurul Ain Abu Seman, 24, kakitangan awam yang datang pertama kali ke Dataran Merdeka bersama sekumpulan rakannya, berkata beliau memilih untuk menyambut ketibaan tahun baru di sini kerana ia merupakan tempat bersejarah ditambah dengan suasana yang meriah dengan kehadiran pelancong asing serta mendapat liputan secara langsung di televisyen.

Ada pengunjung yang sanggup berjalan jauh selepas meletakkan kenderaan di kawasan tempat letak kenderaan yang disediakan selepas polis mengeluarkan arahan akan menunda kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.

Ramai juga yang datang dengan menaiki pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) yang dilanjutkan perkhidmatannya sehingga pukul 2 pagi.

Sementara itu, kawasan Jalan Bukit Bintang meriah dengan 'Street Party Countdown 2010 Celebration' yang dijayakan oleh artis-artis tempatan dan asing di hadapan pusat beli-belah Plaza Sungei Wang.

Kira-kira 15,000 orang rakyat tempatan dan pelancong asing membanjiri kawasan sekitar Jalan Bukit Bintang di persimpangan lampu isyarat di hadapan Bangunan Yayasan Selangor yang ditutup kepada semua kenderaan sejak awal pagi tadi.

Polis turut berada di kawasan sekitar bagi mengawal keadaan.

Ada di antara peniaga mengambil kesempatan dengan menjual minuman dan makanan ringan di sekitar kaki lima.

Masjid Asyakirin di KLCC turut membuat program sambutan ambang dengan mengadakan ceramah bertajuk "Diari Kehidupan".

Ketua imam masjid tersebut Mohd Abdul Nasir Abdullah berkata memang setiap ambang tahun mereka membuat program seperti itu.

Pemuda PAS juga tidak ketinggalan membuat program expedisi dakwah "Ziarah Kasih" tertumpu di KLCC dan sekitar ibu kota, antaranya Bintang Walk, Dataran Merdeka dan Titiwangsa.

Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan berkata program itu bertujuan memastikan tiada perbuatan maksiat berlaku di kalangan anak muda.

Di Menara KL, 10 penerjun membuat terjunan tanpa henti mulai jam 9 malam hingga 1 pagi.

- BERNAMA

Jumaat, Januari 01, 2010

Hormati guru anda

Sesi persekolahan baru sahaja bermula minggu ini. Bagi yang pertama kali melangkah masuk ke alam persekolahan mahupun pelajar lama, semoga tahun 2010 memberi semangat baru buat anda untuk cemerlang dalam pelajaran.

Untuk cemerlang dalam pelajaran, insan paling bertanggungjawab membentuk pelajar ke arah itu adalah guru yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar pada setiap masa.

Ilmu yang dicurahkan oleh guru amat penting bagi menjadikan seseorang itu insan berguna pada masa hadapan. Jadi, guru mesti dihormati kerana jasa mereka tidak akan terhitung oleh kita.

Pada asasnya, tugas hakiki seorang guru adalah mengajar di sekolah. Guru mendidik pelajar supaya menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Mereka juga merupakan ibu bapa kedua kepada pelajar memandangkan banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding di rumah.

Pelbagai cara boleh dipraktikkan untuk menghargai jasa guru yang tidak pernah jemu-jemu mencurahkan bakti tanpa mengenal erti jemu.

Guru tidak pernah meminta wang ringgit dan harta sebagai balasan. Cukuplah setiap pelajar menghormati mereka dengan mengucapkan selamat sejahtera apabila berjumpa.

Tidak salah kalau menyapa guru ketika berselisih di luar kawasan sekolah sekalipun.

Dengan cara itu, bukan sahaja dapat menunjukkan sikap menghormati guru, malah dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka demi kebaikan bersama.

Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah. Mereka mesti menghantar kerja sekolah mengikut masa yang ditetapkan.

Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Dengan ini, pelajar dapat belajar daripada kesilapan.

Sikap dan disiplin diri seorang pelajar di sekolah juga adalah penting. Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara berdisiplin semasa di sekolah.

Secara tidak langsung, ini boleh menjadikan mereka lebih tekun dalam pelajaran dan seterusnya berjaya dalam hidup.

Mereka juga perlu mematuhi peraturan sekolah. Sebagai contoh, mereka perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, melepak dan lain-lain. Oleh itu, jadilah pelajar yang berdisiplin.

Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru juga sebahagian tanda hormat dan penghargaan seseorang pelajar.

Dengan membuang masa dan membuat bising dalam kelas ketika guru sedang mengajar adalah tindakan yang menunjukkan pelajar tidak menghormati guru.

Jika sikap seperti ini berterusan dan tidak diperbetulkan, ia akan merugikan masa depan pelajar terbabit.

Sebelum terlambat, ubahlah sikap dengan berusaha sebaik mungkin menghormati dan mengenang jasa guru.

Jika di rumah, ibu bapa adalah insan yang perlu disayangi, manakala di sekolah pula guru umpama ibu bapa. Jadi, sebagai pelajar, anda boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru.

Ia boleh dilakukan dengan dengan membawa buku-buku ke bilik guru, selain memberi hadiah tanda ingatan semasa sambutan Hari Guru.

Namun, apa lebih penting guru akan rasa dihargai apabila pelajar dapat meluangkan masa untuk menziarahi mereka ketika terlantar sakit. Mereka akan berasa disayangi dan diingati sepanjang masa.

Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri dan menerangi hidup orang lain.

Lagipun, guru telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Janganlah jadi salah seorang yang merugikan masa depan sendiri. Tepuk dada tanya selera.

- KOSMO!

'Tok Mat' meninggal dunia

Mantan menteri penerangan Tan Sri Mohamed Rahmat meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pagi ini.

Allahyarham, yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 pada Isnin depan, dilaporkan meninggal dunia dalam tidur.

Selepas lama bersara daripada kerajaan dan parti, bekas setiausaha agung Umno itu baru-baru ini menerbitkan sebuah buku Umno: Akhir Sebuah Impian yang mengisahkan pergolakan politik parti itu dalam mengekalkan kuasa.

Beliau, yang lebih popular dikenali 'Tok Mat', mula menyertai Umno sejak 1963 dan terpilih menjadi ahli parlimen dalam pilihan raya umum enam tahun kemudian.

Kawasan parlimen itu kini dinamakan Pulai dan dikuasai anaknya Datuk Nur Jazlan selama dua penggal mulai 2004.

Menurut Bernama, anak sulungnya itu berkata bapanya disedari meninggal dunia pada kira-kira 8 pagi ini ketika ibunya Salbiah Abdul Hamid mengejutnya bangun daripada tidur.

"Beliau meninggal dalam tidur," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman bapanya hari ini.

Nur Jazlan berkata allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas Asar.

Menurut agensi berita itu lagi, allahyarham menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lepas dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari.

Pemimpin veteran Umno itu menjadi menteri penerangan sebanyak dua kali iaitu dari 1978 hingga 1982 semasa kepimpinan Tun
Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertaraf menteri dari 1982 hingga 1984.

Selain itu, allahyarham menyandang jawatan setiausaha agung Umno sejak 1988 hingga 1996 dan setiausaha agung BN dari 1988 sehingga 1999.

Semasa menjadi menteri penerangan, allahyarham memperkenalkan Program "Setia Bersama Rakyat" (Semarak) sewaktu kepemimpinan Dr Mahathir sedang menerima kritikan hebat susulan pergolakan teruk dalam Umno.

Ketegasannya dapati dirasai antaranya dalam isu disiplin artis tempatan apabila mengarahkan penyanyi rock memotong rambut
panjang mereka jika mahu menyertai program di RTM.

Mereka yang mematuhi arahan itu antaranya kumpulan rock Wings dengan penyanyi utamanya Awie dan kumpulan Search dengan penyanyi utamanya Amy.

- MALAYSIAKINI

Program Penempatan Pekerjaan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Januari 2010

Temuduga Terbuka di PTK Seremban
Tarikh :13 & 15.1.2010
Masa : 9.00 pagi - 4.00 petang
Tempat :Pejabat Tenaga Kerja Seremban, Negeri Sembilan

Temuduga Terbuka di PTK Klang
Tarikh :26.1.2010
Masa : 9.30 pagi - 5.00 petang
Tempat :Bilik Temuduga Jobs Malaysia Centre,Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang,Persiaran Raja Muda Musa 42000 Pelabuhan Klang.

Temuduga Terbuka di PTK Sg Petani
Temuduga Terbuka PTK Sg Petani
Tarikh : 27.1.2010
Masa : 9.30 pagi - 12.30 tgh
Tempat : Pejabat Tenaga Kerja Sungai Petani, Kedah.

Temuduga Terbuka di PTK Shah Alam
Tarikh :26 & 27.1.2010
Masa : 10.00 pagi - 4.00 petang
Tempat :Pejabat Tenaga Kerja Shah Alam,Unit Perkhidmatan Pekerjaan,Tingkat 3, Fasa 1,Kompleks PKNS, 40000 Shah Alam

Temuduga Terbuka di PTK Shah Alam
Chunghwa Picture Tubes (M) Sdn Bhd
Tarikh :28 & 29.1.2010
Masa : 9.00 pagi - 4.00 petang
Tempat :Pejabat Tenaga Kerja Shah Alam,Unit Perkhidmatan Pekerjaan,Tingkat 3, Fasa 1,Kompleks PKNS, 40000 Shah Alam
Nama Syarikat : Chunghwa Picture Tubes (M) Sdn Bhd
Nama Jawatan : Operator Pengeluaran

Temuduga Terbuka di JMC Kota Bharu
Tarikh :31.1 & 1.2.2010
Masa : 9.00 pagi - 4.00 petang
Tempat :JobsMalaysia Centre (JMC), Tingkat Bawah , Wisma PERKESO, PT 304 - 307, Jalan Kota Darulnaim, Kota Bharu Kelantan

Peraduan

Recent Posts