Isu Teknologi sepanjang 2009

Tahun 2009 bakal ditinggalkan dengan pelbagai kisah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mengagumkan yang sekali gus meningkatkan kemudahan masyarakat sama ada untuk bekerja, belajar atau menjalani kehidupan seharian.

Kebanyakan teknologi terbabit membantu menambah baik kaedah perhubungan agar ia menjadi lebih cekap sambil mendapat hiburan yang lebih mantap.


Lihat saja teknologi 3G/HSPA dan WiMAX yang menyemarakkan industri capaian jalur lebar tanpa wayar, tidak kurang juga teknologi capaian berwayar yang dilihat tidak mahu kalah dalam persaingan jalur lebar.

Begitu juga dengan peranti berasaskan sentuhan yang mempelbagaikan kaedah input capaian.

Industri animasi pula diceriakan dengan kejayaan filem animasi terbitan anak muda tempatan Geng: Pengembaraan Bermula yang berupaya membawa inovasi jauh ke depan ke arah persekitaran lebih maju dalam era digital.

Perkembangan teknologi semakin pantas dan perlu pantas dijejaki masyarakat kerana perubahan hidup memerlukan inovasi yang selaras dengan kegunaan seharian seperti mana disaksikan sebelum ini.

Apakah yang boleh dijangka pada tahun depan?

Adakah ekonomi akan kembali pulih sepenuhnya? Mungkin ya atau tidak. Adakah banyak lagi skandal baru yang membabitkan pemain selebriti golf terkemuka, Tiger Wood? Mungkin ya, mungkin tidak.

Tiada yang pasti melainkan teknologi yang sentiasa berubah dan akan terus menerajui perjalanan hidup manusia serta memenuhi jangkaan.

Teknologi hijau, misalnya, menjadi buah mulut terutama selepas isu pemanasan global sering menjadi topik hangat ditambah pula sogokan satu demi satu berita kemusnahan dan bencana alam, malah ia turut menjadi filem yang mengingatkan manusia betapa dunia sudah tiba ke minit terakhir.

Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Anne Abraham, menjangkakan perubahan iklim membuka mata banyak pihak menilai semula model perniagaan sedia ada dengan membangunkan strategi yang berbeza.

"Kebanyakan organisasi bakal menggunakan strategi hijau dalam pelbagai aspek bagi mengurangkan penggunaan karbon.

"Secara tidak langsung, ia akan mengurangkan kesan rumah hijau serta dalam masa yang sama menjimatkan kos," katanya.

Namun begitu, beliau menegaskan, aplikasi hijau dalam teknologi perlu disusuli dengan perubahan budaya kerja serta kerjasama kuat antara industri bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

"Peneraju perniagaan perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam merangka kaedah dan ukuran terbaik yang mampu membangunkan permintaan terhadap teknologi hijau pada masa depan," kata Abraham.

Bicara mengenai jalur lebar tidak akan berhenti terutama di Malaysia kerana kita tergolong antara negara yang masih berusaha menyediakan 'lebuh raya' sesuai untuk menawarkan kepantasan Internet kepada penduduknya.

Oleh itu, tidak hairan jalur lebar akan terus menjadi topik hangat 2010 memandangkan ia membantu meningkatkan ekonomi secara tidak langsung seperti yang diperkatakan Ketua Pegawai Eksekutif Cisco, John Chambers.

"Inovasi produktiviti dan peningkatan taraf hidup banyak bergantung kepada prasarana jalur lebar sebenar. Inilah masa sesuai untuk menjadikannya kenyataan," katanya.

Penyelidikan syarikat rangkaian itu mengenai Kajian Kualiti Jalur Lebar 2009 mendapati 62 daripada 66 negara berjaya meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar yang kemudian didapati memperbaharui ekonomi.

Teknologi video pula dijangka menerajui permintaan komunikasi dalam Internet dengan pelbagai bentuk seperti televisyen, video atas permintaan, video Internet dan P2P.

Laporan Jangkaan Indeks Rangkaian Visual Cisco (VNI) 2008-2013 membayangkan jumlah video dalam Internet mendominasi 90 peratus trafik protokol Internet (IP) pengguna global.

Sehingga kini, lebih satu pertiga trafik Internet dikuasai video Internet manakala 64 peratus trafik data mudah alih diwarnai dengan video yang dijangka menjelang 2013.

Perhatikan sambungan USB di komputer peribadi (PC) anda yang ketika ini beroperasi pada versi 2.0 yang memindah turun fail pada kelajuan 480 megabit sesaat (Mbps) sesuai untuk digunakan pada masa kini.

Namun begitu, perkembangan digital yang menyaksikan berdozen gigabait aplikasi, muzik, filem dan banyak lagi memerlukan medium sesuai untuk memindahkannya dengan pantas.

Justeru, evolusi USB 3.0 dijangka akan dikeluarkan dengan kelajuan 10 kali ganda lebih pantas memungkinkan pemindahan fail sekitar 400Mbps.

Tidak cukup dengan itu, tahun 2010 bakal menyaksikan kapasiti storan lebih besar ditagih yang berkemungkinan tidak terhad kepada perkakasan semata-mata.

Pengarah Urusan Hitachi Data Systems Sdn Bhd, Johnson Khoo, berkata pemacu berdasarkan 'flash' atau Solid State Drives (SSD) menawarkan prestasi memberangsangkan yang digunakan dalam PC.

SSD adalah perkakasan storan yang menyimpan data dalam memori berasaskan 'flash' dibina menggunakan memori perkakasan semikonduktor berbanding media magnetik atau optikal pada cakera keras.

Ia menawarkan kelebihan menerusi kepantasan dan mengurangkan masa 'boot' selain tahan lasak serta lebih senyap.

hoo berkata, selain teknologi SSD, masyarakat bakal menyaksikan perkomputeran 'cloud' semakin ke depan dengan perkembangan storan yang mampu menampung berbilion data.

"Penggunaan storan cloud memberi kelebihan terutama dari aspek keselamatan dan ruang lebih besar yang mampu memberi kemudahan kepada manusia," katanya.

Satu lagi kejutan yang bakal menghangatkan suasana perkomputeran pada 2010 adalah kehadiran sistem operasi (OS) baru yang dihasilkan Google menerusi Google Chrome OS.

Sistem operasi berasaskan sumber terbuka itu disasarkan kepada pengguna netbook yang dijangka menemui penduduk dunia pada pertengahan 2010 nanti pastinya membawa persaingan sengit dengan pengeluar OS lain.

Windows 7 pula akan terus menjadi peneraju industri selepas Vista gagal memukau pada 2009.

Pengguna akan mendapati Windows 7 sebagai sistem operasi bermutu tinggi bagi menggantikan kegagalan Vista yang mendapat sungutan ramai sebelum ini.

Mungkin ini masanya untuk pengguna berfikir dan menukar perisian untuk dunia perkomputeran lebih bergaya pada 2010 dengan Microsoft pastinya akan mengemaskini aplikasi yang bersesuaian untuk dipadankan bersama OS terbabit.

Seterusnya, saat yang ditunggu pasti tiba apabila 2010 menyaksikan sejauh mana kemampuan Malaysia mencapai sasaran 50 peratus penembusan jalur lebar yang ditetapkan kerajaan.

Setakat ini, misi terbabit dilihat mustahil dan sebaliknya memerlukan banyak pihak duduk semeja dan memikirkan keperluan penting dalam menyelesaikan beberapa isu termasuk mengenai pakej dan kepantasannya.

Bagaimanapun, Bajet 2010 yang dibentangkan tidak lama dulu mementingkan perkembangan ICT dan ia perlu dieksploitasi sepenuhnya bagi memberi impak sebenar.

Selaras penambahan celik ICT di peringkat global, negara memerlukan insentif yang membolehkan rakyatnya menikmati kemudahan inovasi secara berpatutan dan setimpal dengan apa yang dibayar mereka terutama sambungan jalur lebar.

Setiap tahun, pembentangan bajet menyaksikan pelbagai insentif baru diketengahkan yang menjadi pemangkin untuk mewujudkan prasarana serta pertambahan budaya ICT secara meluas.

Bagi pihak kerajaan, belanjawan ICT seharusnya diperincikan dan dijelaskan di peringkat kementerian secara mendalam sebelum mereka membuat keputusan yang tepat mengenai penggunaan bajet itu bagi mendapatkan kesan seimbang pada 2010.

Manakala pihak swasta yang mendapat galakan dari bajet perlu menyediakan kertas kerja kukuh yang mengikut objektif dalam memajukan masa depan ICT dan bukannya memikirkan keuntungan berlipat ganda hasil penjualan produk atau perkhidmatan.

Antara bajet ICT yang dikenal pasti termasuk insentif jalur lebar, pakej netbook, industri kreatif, kandungan tempatan, teknologi hijau dan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV).

- HARIAN METRO Isu Teknologi sepanjang 2009

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.