Sabtu, September 05, 2009

125 laman web jadi sasaran penceroboh sejak 31 Ogos lalu

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam menasihatkan pemilik laman web Malaysia agar mengemas kini dan melindungi laman web mereka daripada risiko serangan penggodam.

Nasihat itu diberikan susulan laporan media tentang insiden banyak laman web Malaysia diserang oleh penggodam.

"Pemilik laman web Malaysia perlu mengemas kini dan melindungi aplikasi dan server laman web mereka dengan pek perkhidmatan bagi melindungi pelbagai kelemahan yang boleh dieksploitasikan oleh penggodam," kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

SKMM berkata, insiden pencerobohan kali pertama dikesan pada 31 Ogos dan sejak itu telah menjejaskan 125 laman web.

Ada pihak mendakwa perbuatan itu sudah dimulakan beberapa hari lebih awal dengan dilakukan oleh sekumpulan penggodam dari negara jiran.

- KOSMO!

Aplikasi mel elektronik (e-mel)

Antara pelbagai kegunaan Internet, mel elektronik (e-mel) adalah aplikasi atau kegunaan paling popular kerana keberkesanannya sudah terbukti dalam berkomunikasi.

Cuba bayangkan aturan biasa yang dialami: terima e-mel, buka e-mel, tutup, buka balik kemudiannya, tutup sekali lagi dan mungkin berakhir dengan buang e-mel.

Cara berulangan seperti itu boleh membosankan pengguna e-mel memandangkan penggunaan sedemikian agak ketinggalan zaman.

Kini, e-mel bukan lagi sekadar penyimpan surat elektronik, malah ia sudah melangkau jauh sebagai perkakasan komunikasi dua hala yang berupaya menyuburkan hubungan sosial.

Platform e-mel bukan saja digunakan untuk menghantar surat elektronik, malah kini pengguna boleh berbual menerusi ikon sembang, menghantar video, menguruskan jadual melalui kalendar dan banyak lagi.

E-mel dikatakan direka terlebih dulu sebelum kewujudan Internet dan menjadi alat penting dalam penciptaan Internet.

Pada 1961, Massachusetts Institute of Technology (MIT) mula mendemonstrasikan Sistem Perkongsian Masa Serasi (Compatible Time-Sharing System - CTSS) yang membolehkan ramai pengguna masuk ke IBM 7094 dari terminal berbentuk dail secara jarak jauh serta menyimpan fail online dalam cakera.

Kebolehan baru ini menggalakkan pengguna berkongsi maklumat dengan bermulanya era baru e-mel pada 1965 sebagai kaedah untuk pengguna komputer kerangka utama berkongsi masa bagi berkomunikasi sesama sendiri.

Sungguhpun sejarah tepatnya tidak jelas, antara sistem terawal yang memiliki kemudahan sebegini ialah Q32 SDC dan CTSS oleh MIT.

E-mel dengan pantas berkembang menjadi e-mel rangkaian yang membolehkan pengguna mengirim mesej di antara komputer berlainan pada 1966.

Perkembangan e-mel yang pesat dikatakan hanya untuk kegunaan golongan muda kerana ada yang berpendapat ia sukar terutama apabila inovasinya semakin berkembang sejak kebelakangan ini.

Pembekal e-mel seperti Google (Gmail) adalah antara pelopor yang menyediakan ruang lebih meluas untuk manusia berkomunikasi menerusi kemudahan itu.

Keupayaan aplikasi lain yang dimuatkan dalam e-mel dikatakan sukar digunakan golongan pertengahan umur dan ke atas apatah lagi kalau mereka tidak mempunyai asas teknologi maklumat (IT) kukuh.

Pendapat terbabit ternyata meleset kerana e-mel seperti Gmail menyediakan platform mesra pengguna tanpa mengira batas umur mereka.

Sejak dilancarkan pada 2004, Gmail menarik perhatian golongan berusia untuk menggunakannya seperti ahli perniagaan berasal dari Subang Jaya, Abdul Karim Abdul Kadir, 59.

"Saya menggunakan Internet sejak ia diperkenalkan, malah menggunakan Gmail Google apabila ia mula-mula dilancarkan di peringkat 'beta' yang boleh diakses melalui jemputan khas saja.

"Malah, saya menghantar jemputan itu kepada menantu lelaki saya yang juga graduan dalam bidang IT namun dia pun tidak pernah mendengar mengenai Gmail sebelum itu," katanya.

Karim berkata, Gmail kini sebati dalam hidupnya memandangkan ia menjadi platform untuknya dalam berkomunikasi, berbual dan bertukar foto sesama keluarga.

"Kalau mahu berbual, saya akan gunakan Google Talk memandangkan ia menghubungkan saya dengan keluarga lain walaupun pada jarak yang jauh," katanya.

Ketika mula diperkenalkan rakannya, Karim tidak menyangka ia akan merubah hidupnya untuk berkomunikasi dengan kerap.

Katanya, Google Talk memiliki keupayaan bertenaga menghubungkan manusia secara berdepan menggunakan kamera web, malah ia turut memaparkan rakan lain yang berada di ruang sembang sama untuk dihubungi.

"Gmail mempunyai banyak kelebihan seperti ruang penyimpanan memori luas. Oleh itu saya tidak lagi perlu memadam e-mel dan menyimpannya dalam arkib.

"Saya memiliki empat kumpulan hubungan (contact) dalam Gmail merangkumi 47 individu termasuk keluarga terdekat dan saudara di Denmark, Jepun, Sudan, New Zealand dan Australia.

"Kami berkomunikasi melalui Google Talk dan bertanyakan khabar menerusi e-mel hampir setiap hari manakala tiga kumpulan lain termasuk kumpulan golf, komuniti setempat dan surau," kata Karim.

Sementara itu, bekas jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Datuk Jeyam Ponnudurai, 78, menggunakan fungsi berbual dalam Gmail untuk mengajar matematik dan sains kepada cucunya yang tinggal berasingan.

"Apabila pulang dari sekolah, cucu saya akan membuka Gmail untuk berhubungan serta meminta saya mengajarnya subjek yang bersesuaian dengan keupayaan saya.

"Secara tidak langsung, saya mampu berkomunikasi dengan orang tersayang walaupun mereka berada jauh di mata," katanya.

Menurutnya, setakat ini penggunaan Gmail menerusi komputer peribadi (PC) memudahkan hidupnya namun beliau belum bersedia untuk membuka e-mel menerusi telefon bimbit.

"Usia sebegini pastinya menyukarkan saya kalau mahu membuka e-mel menerusi telefon bimbit walaupun berminat untuk melakukannya," katanya.

Sejak diperkenalkan lima tahun lalu, Gmail mengalami pelbagai perubahan yang bertujuan mengetengahkan pengalaman e-mel mengagumkan. Berikut antara ciri Gmail yang mungkin tidak diketahui.

1. Berbual melalui suara atau video

Ia direka untuk menambah kualiti komunikasi yang tidak terhad kepada teks semata-mata. Pengguna boleh menetapkannya dengan memindah turun aplikasi terbabit di http://gmail.com/videochat.

2. Penetapan fungsi tapisan

Fungsi terbabit membenarkan pengguna mengawal inbox dengan menetapkan 'create a new filters' pada ruangan 'Settings' yang membolehkan Gmail menyusun fail anda secara automatik.

3. Gunakan Gmail walaupun tanpa sambungan Internet.

Ada situasi yang memerlukan kita membuka e-mel bagi mendapatkan maklumat namun terpaksa online contohnya, ketika mengakses e-tiket dalam kereta api yang tiada sambungan Internet.

Gmail mengubah senario ini menerusi Offline Gmail yang mampu diakses pada ruangan Settings pengguna.

4. Senaraikan apa yang perlu dibuat melalui Tasks.

Kebanyakan kita sering terlupa terutama perkara kecil seperti peringatan membayar bil atau senarai barang yang perlu dibeli.

Melalui ikon Tasks, senaraikan keperluan sebagai ingatan, malah ia turut mampu diakses menggunakan telefon bimbit.

5. Perbaharui carian e-mel.

Katakan pengguna mahu mencari e-emel daripada rakan bernama Ali, taipkan perkataan terbabit pada ruangan 'Search' dan anda akan mendapat senarai e-mel yang berkaitan.

6. Sentiasa berhubungan

Gmail mudah alih boleh diakses pada kebanyakan perkakasan dengan lebih 35 bahasa.

7. Susun inbox dengan label berwarna

Kalau pengguna sentiasa pening dengan fail yang berlambak dalam akaun, tandakannya melalui warna yang disukai.

8. Pilih tema berwarna untuk inbox

Mungkin ada yang bosan dengan antaramuka e-mel biasa didapati namun menerusi Gmail, pengguna boleh mengubah dengan pilihan tema serta warna melebihi 30 rekaan.

9. 'Surat balasan elektronik' tersedia.

Pada suatu ketika, kita akan malas membalas e-mel dengan teks yang sama namun melalui 'Canned Responses', pengguna boleh menyiapkan teks terlebih dulu sebelum menyimpannya untuk dihantar dengan kerap.

10. Hentikan menghantar e-mel yang membuatkan anda menyesal di kemudian hari.

Kadang-kadang, kita akan menaip e-mel dalam keadaan mengantuk sehingga tidak sedar apa yang ditaip, tetapi menyesal sebaik e-mel dihantar kerana ia tidak menepati kehendak asal.

Menerusi Mail Goggles, pengguna boleh menetapkan tarikh dan masa sebelum menghantar e-mel diingini.

- HARIAN METRO

517,908 calon UPSR 2009

Seramai 517,908 calon bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 pada 8 hingga 10 September ini di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 510,125 (98.5 peratus) merupakan calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran dan sekolah bantuan kerajaan manakala bakinya, 7,783 (1.5 peratus) calon sekolah swasta.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, kesemua calon juga bakal menduduki Ujian Aptitut Darjah Enam yang pertama kali diperkenalkan kepada calon UPSR tahun ini.

''Ujian Aptitud Darjah Enam akan diduduki pada hari terakhir peperiksaan UPSR," menurut kenyataan itu di sini.

Selangor mencatat jumlah calon UPSR paling ramai iaitu 91,428 orang manakala Putrajaya mencatatkan calon paling kecil iaitu 1,034 orang.

Sebanyak 8,289 pusat peperiksaan dengan 32, 944 orang petugas peperiksaan telah disediakan untuk peperiksaan tersebut.

''Calon dikehendaki membawa Borang Perakuan Calon Peperiksaan Tahun 2009 masing-masing pada setiap hari peperiksaan dan meletakkan borang tersebut di atas meja untuk semakan Ketua Pengawas.

Lembaga Peperiksaan telah mengeluarkan satu pekeliling berkaitan 'Garis Panduan Menghadapi Wabak Penyakit Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan' kepada semua sekolah.

Garis panduan itu menghendaki pelajar dan keluarganya mengikuti perkembangan wabak penyakit dan peka kepada maklumat terkini serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

''Ibu bapa atau penjaga perlu menasihati anak-anak agar mengikut panduan penjagaan kesihatan dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan virus selesema babi atau Influenza A (H1N1) daripada terus merebak," kata kenyataan itu.

Pelajar dan keluarganya juga dikehendaki memaklumkan kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Lembaga Peperiksaan sekiranya terdapat tanda-tanda mereka dijangkiti penyakit.

Bilik Gerakan UPSR yang beroperasi 24 jam di Lembaga Peperiksaan dibuka dari 1 September hingga 11 September depan dan boleh dihubungi menerusi talian 03-88893601, 03-88893809, 03-88893582, 03-88893520, 03-88893551, 03-88893030, 03-88893095 atau faksimile 03-88893010, 03-88895561, 03-88893445.

- UTUSAN

Malaysia mangsa serangan Indonesia

Pada 30 Ogos lalu, ketika sekumpulan rakyat Malaysia mengadakan majlis menaikkan bendera dan menyanyikan lagu Negaraku serta lagu-lagu patriotik lain di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, sekumpulan penunjuk perasaan membakar bendera Malaysia di Menteng, Jakarta Pusat.

Pada 31 Ogos pula, ketika seluruh rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan, lebih banyak tunjuk perasaan dan perbuatan membakar bendera Jalur Gemilang dilakukan.

Di sesetengah tempat, golongan pelajar seperti di Universiti Gajah Mada meminta pihak universiti berkenaan mengusir serta tidak lagi mengambil pelajar Malaysia.

Perbuatan provokasi itu tidak terhenti setakat itu. Televisyen, radio dan akhbar tempatan tidak henti-henti menuduh Malaysia sengaja menggunakan tarian Pendet yang berasal dari Bali dalam promosi pelancongan Malaysia, walaupun terbukti kesilapan itu bukan dilakukan oleh kerajaan Malaysia tetapi oleh Discovery Channel yang beribu pejabat di Singapura.

Tidak cukup itu, pada Hari Kebangsaan juga sekumpulan penunjuk perasaan telah melontar telur ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Pada hari yang sama juga sekumpulan penggodam Indonesia bergabung menggodam 120 laman web Malaysia termasuk laman web Kementerian Pelancongan.

Setiap laman web yang digodam ditinggalkan catatan pesanan: “Hari ini 31 Ogos 2009, sebuah negara yang tidak kreatif, negara yang gemar mencuri kebudayaan Indonesia, negara yang mana rakyatnya menjadi perancang serangan bom berani mati di Indonesia, negara yang mendera pekerja Indonesia di sana, negara yang mempermainkan lagu kebangsaan kami, negara yang menyerang Indonesia melalui Internet, negara yang mencuri Pulau Sipadan dan Ligitan, negara yang menceroboh perairan Indonesia, negara yang mendapat kemerdekaan daripada British sedang menyambut ulang tahunnya.”

Baru-baru ini juga media massa Indonesia melaporkan Malaysia telah mendakwa Pulau Jemur dekat Sumatera sebagai sebahagian negeri Selangor.

Walaupun dakwaan tersebut dibuat oleh sebuah laman web yang mempromosikan pelancongan serta tidak diketahui pemiliknya, tetapi media massa Indonesia tetap menyalahkan Malaysia.

Tindakan agresif berterusan oleh pelbagai pihak yang tidak diketahui motif serta agendanya itu telah menimbulkan ketakutan kepada kalangan kebanyakan rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja serta belajar di Indonesia.

Nampaknya tindakan provokasi tersebut seolah-olah tidak mempunyai noktahnya. Persoalannya siapa yang harus bertanggungjawab memperbetulkan keadaan tersebut?

Apakah Menteri Pelancongan Indonesia yang membuat tuduhan melulu terhadap Malaysia mahu bertanggungjawab memperbetulkan kembali fakta tersebut?

Setakat ini hanya Kementerian Luar sahaja yang bernada lebih rasional dan mahu menjaga hubungan kedua-dua buah negara berjiran, manakala pihak lain hanya menjadikan situasi bertambah parah.

Bibit kebencian yang ditanam oleh pemimpin dan media massa Indonesia kini telah menular kepada golongan remaja, bahkan anak-anak di sekolah juga mula ‘menganut’ fahaman jumud dan berbahaya itu.

Melihatkan kepada senario tersebut sukar dibayang hubungan Malaysia-Indonesia dapat memasuki era kegemilangannya jika golongan muda yang bakal mewarisi kepimpinan kedua-dua negara telah didoktrin dengan fahaman kebencian.

Media massa Indonesia sejak memasuki era pemerintahan Presiden Bambang Yudhoyono dilihat begitu bebas melaporkan sebarang berita tanpa sebarang sekatan atau nasihat daripada kerajaan.

Apa sahaja yang difikirkan betul, walaupun tidak semestinya benar akan terus dihambur di stesen-stesen televisyen, radio, mahupun di dada akhbar.

Melihatkan situasi itu, pentingnya media tempatan diberikan kefahaman mengenai sebarang isu yang boleh menjejaskan hubungan kedua-dua buah negara.

Mungkin Kementerian Luar Malaysia perlu mengisi kembali jawatan pegawai media di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Walaupun media Indonesia sering bertindak sebagai mahkamah dengan menghukum sesuatu perkara dan kadang kala juga bertindak seperti samseng, tetapi jika kena cara pendekatannya tidaklah terlalu sukar mengendalikan mereka. Mereka sama juga seperti media massa di negara lain yang mempunyai prinsip serta memburu kebenaran.

Penulis sendiri melihat bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan diplomasi dan kebijaksanaannya ketika melayan soalan-soalan wartawan tempatan semasa mengadakan lawatan rasmi pertama ke Indonesia tidak lama dahulu.

Hubungan Malaysia-Indonesia tidak boleh dibiarkan sentiasa berada dalam keadaan tegang kerana kesannya terlalu buruk, jadi kedua-dua buah negara perlu memikirkan dan melakukan sesuatu bagi memperbaikinya.

- UTUSAN

Bulan Hantu Lapar


Mengikut kepercayaan masyarakat Tionghua, hari ke-15 pada bulan ketujuh dalam kalendar lunar Cina, merupakan permulaan Bulan Hantu Lapar. Kononnya pada masa itu pintu neraka akan dibuka dan para hantu serta roh dipercayai keluar dari alam ghaib dan merayau-rayau pada waktu malam.

Dek pegangan turun-temurun, pada bulan itu mereka akan lebih berhati-hati dan patuh kepada pantang larang yang diperturunkan nenek moyang bagi mengelak ditimpa nasib malang.

Bukan itu sahaja, sebagai langkah pencegahan supaya tidak diganggu oleh roh dan hantu itu, sebilangan besar pengamal kepercayaan Taoist membakar duit palsu, emas, kereta dan rumah kertas sebagai persembahan kepada roh jahat atau hantu lapar.

Menurut seorang peniaga di Kuala Lumpur, Lee Hock Ming, 29, dia percaya ritual itu mampu mengurangkan kesengsaraan para hantu.

“Orang Cina percaya dunia di bawah sana sama dengan dunia yang kita tinggal sekarang.

“Selain duit, ada juga orang yang sediakan makanan dengan kerusi kosong dan menganjurkan acara-acara hiburan.

“Mereka akan menyanyi dan berjenaka bagi mengurangkan penderitaan roh,” katanya yang mula menyambut hari tersebut Ahad lalu.

Roh mangsa kemalangan

Hock Ming berkata, rakan sekolahnya sendiri pernah disampuk roh jahat pada Bulan Hantu Lapar.

“Dulu semasa saya tinggal di Perak, seorang kawan Melayu saya tiba-tiba pengsan semasa kami menghadiri kelas malam. Bila sedar, dia bercakap dalam bahasa Hokkien.

“Rupa-rupanya roh itu milik seorang lelaki Cina yang mati akibat kemalangan dan dia hendak ‘balik’ ke rumahnya.

“Roh itu turut memberitahu tempat tinggal keluarganya. Bila kawan saya selidik, keluarga itu memang ada dan salah seorang anggota keluarga itu mati akibat kemalangan beberapa bulan sebelumnya,” katanya.

Seorang sami Buddha di sebuah tokong di Petaling Jaya, Chang Wen, berkata asal-usul perayaan ini adalah daripada seorang anak murid pendeta Buddha bernama Mu Lian.

“Semasa bermeditasi, Mu Lian yang merupakan antara 10 murid terbaik Buddha telah mendapat petunjuk yang ibunya sedang sengsara di neraka.

“Menurut kisah itu, ibu Mu Lian merupakan seorang yang kedekut dan sering menghina golongan pengemis. Apabila Mu Lian mengambil keputusan untuk menjadi sami, ibunya sangat marah.

“Sebagai tanda bantahan, ibunya telah memberi Mu Lian makanan berdaging iaitu makanan yang tidak boleh dijamah oleh para sami. Kerana perbuatannya, si ibu telah diberi balasan dengan dihantar ke neraka selepas dia mati.

“Sebagai anak yang baik, Mu Lian sentiasa berdoa untuk ibunya dan doa itu telah didengari oleh Buddha. Dengan keizinan Buddha, setahun sekali pintu neraka dibuka dan roh-roh boleh kembali ke bumi untuk diberi makanan,” cerita Chang Wen.

Bukan bulan malang

Mengupas kebenaran sama ada wujud roh atau hantu jahat yang berkeliaran dan mengganggu manusia pada bulan ini, Chang memberitahu, ia sebenarnya tidak wujud.

“Perayaan untuk memperingati tarikh 15 haribulan ini telah jauh menyimpang daripada ajaran Buddha. Mungkin ia banyak dipengaruhi oleh adat resam orang Cina itu sendiri.

“Dalam ajaran Buddha, Bulan Hantu Lapar adalah bulan yang paling bahagia dan sangat diberkati. Selain roh ‘dibebaskan’, ia juga hari kemuncak para sami belajar dan berbincang mengenai agama.

“Cara terbaik memperingati para roh ini adalah dengan bersedekah dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan mereka, bukan dengan membakar kertas atau menganjurkan pesta. Itu hanya perbuatan yang membazir dan sia-sia,” jelas Chang Wen.

Tambahnya lagi, ritual yang sering dilakukan oleh kebanyakan masyarakat Tionghua itu tidak sepatutnya diamalkan.

“Jangan fikir apabila duit, rumah, kereta atau emas dibakar, roh itu akan tenang. Kehidupan mereka di alam fana tidak sama dengan kehidupan kita di sini. Mereka tidak perlukan itu semua, yang mereka mahukan ialah doa dan nikmat sedekah,” katanya.

Menyelar sesetengah orang yang suka meramalkan peristiwa malang kerap terjadi pada bulan ini, Chang Wen memberitahu, semua hari adalah baik dan tiada hari yang malang.

“Pucuk pangkalnya ialah amalan dan perbuatan kita. Ia tiada kena-mengena dengan pantang larang, hari, warna atau perkara-perkara lain. Itu adat sahaja,” kata Chang Wen.

- KOSMO!

Puasa beri kekuatan psikologi hentikan tabiat merokok

Oleh Lokman Ismail

RAMADAN adalah peluang terbaik untuk menjayakan misi berhenti merokok. Kekuatan iman dan takwa yang dijana melalui ibadat puasa dapat mengatasi mengatasi rasa ketagih. Bagi individu dalam kategori ketagih rokok, sukar untuk berpisah daripada rokok. Pada kebiasaannya perokok tidak senang duduk jika tidak merokok dalam tempoh tiga atau empat jam.

Jika ditahan keinginan itu akan menyebabkan perasaan tidak tenteram dan tidak dapat melakukan tugasan lain. Perkara ini disebabkan tubuh perokok telah terbiasa dengan nikotin. Bagaimanapun, pada Ramadan, perokok yang ketagih sekalipun boleh berhenti merokok sekitar 12 jam bermula dari sahur hingga berbuka. Perkara ini tidak dapat dijawab dengan ilmu sains, melainkan mengakui itulah keberkesanan puasa meningkatkan ketakwaan.

Ini membuktikan ketagih merokok dapat diatasi sekiranya minda kita menguasai mengatakan tidak boleh merokok kerana ia perbuatan yang membatalkan puasa. Hakikat bahawa perokok boleh menahan diri daripada merokok dalam tempoh masa kira-kira 12 jam adalah satu kejayaan besar. Kebiasaannya perokok 'mesti' merokok setiap selang dua atau tiga jam.

Pakar psikologi menjelaskan ketagih rokok sebenarnya lebih dikuasai oleh minda dan perasaan. Ketagih merokok sebenarnya dikuasai oleh keinginan merokok. Individu merokok bukan kerana ketagih, tetapi keinginannya mengatakan dia perlu merokok.

Ketika berpuasa, segala kekuatan dan tumpuan diberikan untuk menghalang diri daripada melakukan perbuatan membatalkan puasa, termasuklah merokok. Jadi ketagih merokok secara tidak langsung hilang.

Sekiranya selama ini perokok mendakwa terpaksa merokok kerana ketagih, mengapa pula ketika berpuasa tidak menunjukkan tanda-tanda ketagihan?

Sekiranya 12 jam mampu bertahan, keupayaan yang sama perlu diteruskan. Jika ketika berpuasa tidak merokok kerana tidak mahu membatalkan puasa, tanam pula azam tidak merokok selepas berbuka kerana perbuatan mendatangkan keburukan.

Waktu berbuka hendaklah dimulai dengan makan dan minum, bukannya merokok. Selesai berbuka, bersegeralah menunaikan sembahyang Maghrib. Elakkan daripada memberi ruang masa untuk memikirkan keinginan merokok.

Selesai sembahyang, elok berdoa kepada Allah agar memberi kekuatan diri menjauhkan tabiat merokok. Sesungguhnya doa dan usaha yang dilakukan pada Ramadan mudah dimakbulkan Allah.

Selesai sembahyang Maghrib, diisi dengan aktiviti berfaedah menantikan masa untuk ke masjid untuk bersembahyang Isyak dan kemudian diikuti sembahyang tarawih.

Apabila pulang ke rumah, jangan biarkan fikiran dan perasaan ingin kepada rokok. Cuba elakkan berada bersama-sama orang yang merokok.

Lebih baik jika masuk tidur awal untuk mengelak keinginan merokok. Atau, jika ingin meneruskan ibadat malam seperti membaca al-Quran dan bersembahyang sunat. Amalan itu dapat mengelak diri rasa ketagih rokok.

Mukjizat al-Quran

Oleh IDRIS MUSA

AL-QURAN hanya helaian kertas, tetapi mempunyai nilai yang tinggi dan mendapat kedudukan istimewa dalam Islam.

Malah, dikatakan tidak sempurna sesebuah rumah itu jika tidak mempunyai kitab suci berkenaan walaupun peng huninya jarang membaca dan menelaahnya.

Meskipun nampak mudah, tetapi manusia tidak mampu menghasilkan kitab yang sehebat al-Quran.

Justeru, sesiapa membacanya diberi ganjaran berlipat ganda dan ia menjadi panduan dalam kehidupan insan.

Bagaimanapun, senario masa kini menyaksikan pelbagai pandangan masyarakat terhadap al-Quran.

Kitab itu tidak dijadikan panduan hidup, malah ada mem bacanya dengan tajwid dan gaya bacaan yang janggal dan tidak tahu makna.

Sesetengah pula gemar membaca surah tertentu, mengikut musim dan adat bahkan tidak kurang hanya membeli sebagai koleksi sehingga ia dibiarkan berdebu ditelan waktu.

Apapun sikap masyarakat Islam terhadap al-Quran, kitab suci yang diturunkan pada bulan Ramadan mempunyai hikmah dan mukjizat yang tidak digambarkan dengan ka ta-kata kepada manusia.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia (al-Quran) akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Al-Quran yang mengandungi lebih 6,000 ayat dikenali juga dengan beberapa nama lain seperti al-Kitab, bermaksud sebuah kitab sebagaimana dijelaskan di awal surah al-Ba qarah, al-Furqaan iaitu pemisah hak dan batil, az-Dzikr dengan makna peringatan dan at-Tanzil bermaksud pe nurunan.

Masyarakat Islam wajib mempercayai kitab terbabit ke seluruhan dan berpegang teguh dengannya, malah beriman kepadanya satu daripada enam rukun keimanan, sekali gus tertutup rapat pintu keraguan terhadapnya.

“Kitab al-Quran ini, tiada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” (al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 2).

Bagi bukan Islam, sesetengahnya masih sukar mempercayai kitab terbabit, bahkan ditambah dengan kekeliruan di timbulkan segolongan pihak, melebarkan kesangsian mereka terhadap kandungan kitab itu.

Tetapi yang nyata kitab itu tiada sebarang keraguan padanya, dianugerahkan kepada manusia melalui Nabi Muhammad s.a.w, malah ia manual yang sesuai diaplikasikan setiap zaman walaupun generasi dan tamadun manusia sentiasa ber ubah-ubah.

“Katakanlah: Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan men datangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding de ngannya walaupun mereka saling bantu-membantu.” (al-Quran, surah al-Isra:88)

Pensyarah al-Quran, hafazan dan taranum di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Nilam Puri, Ke lantan, Muhammad Lukman Ibrahim, berkata kehebatan, kelebihan dan mukjizat al-Quran menandingi yang lain.

Beliau berkata, kitab Taurat dan Injil yang memang dijaga paderi sepanjang waktu boleh berubah, tetapi al-Quran tetap terpelihara daripada perubahan, menjadikannya asli, dahulu, kini dan selamanya.

“Pada zaman Nabi dahulu, seorang bernama Musailamah al-Kazzab cuba menandingi al-Quran, mereka-reka ayat al-Quran seperti surah al-Fiil iaitu mengenai gajah.

“Antara katanya, gajah...apa itu gajah...ada belalai yang panjang. Orang ramai bukannya takjub dengan kepan daiannya itu, tetapi gelak ketawa, sekali gus gagal mem bawakan ayat seumpama al-Quran,” katanya.

Mukjizat al-Quran jugalah memberikan ketenangan, malah melembutkan hati kepada sesiapa yang membaca dan men dengar alunannya.

Bahkan Saidina Umar al-Khattab yang terkenal dengan sifat bengisnya menjadi lembut hati dengan al-Quran.

Dalam satu riwayat, Saidina Umar (sebelum menjadi Mus lim) bersama pedangnya menuju ke tempat Nabi s.a.w dan sahabat yang lain, mencari untuk membunuh baginda. Dalam perjalanan itu, beliau disapa Nu’aim bin Abdullah.

Nu’aim berkata: “Demi Allah, kamu tertipu oleh dirimu sendiri, hai Umar! Apakah kamu mengira Bani Abdi Manaf akan membiarkanmu berjalan bebas di muka bumi selepas kamu berjaya membunuh Muhammad! Sebaiknya kamu pulang ke rumahmu dulu, selesaikanlah dulu urusan ke luargamu.”

Umar bertanya kehairanan: “Siapa yang kamu maksudkan dengan keluargaku dan apa maksudmu?”

Nu’aim menjawab dengan senyum sinis: “Iparmu dan anak saudaramu sendiri, Said bin Zaid, bahkan adikmu sendiri, Fatimah binti Khattab, masuk Islam dan mengikuti agama Muhammad. Hal merekalah yang harus kamu selesaikan.”

Mendengar jawapan Nu'aim, kemarahan Umar meluap-luap bagai disengat jengking.

Beliau menukar haluan bergegas ke rumah kedua-dua ahli keluarganya itu.

Ketika itu, di rumah Said ada seorang sahabatnya, Khabbab Ibnul Aratt yang membacakan ayat al-Quran kepada me reka.

Apabila Umar datang, Fatimah segera mengambil lembaran berisi ayat suci itu dan menyembunyikannya di bawah pahanya sedangkan sebaik mendekati rumah terbabit Umar sempat mendengar bacaan Khabbab, sehingga beliau bertanya kepada mereka: “Syair apa yang aku dengar tadi...Aku diberitahu kamu berdua mengikuti agama Muhammad!”

Selepas itu, Umar menyerang Said. Fatimah pula melompat dan berusaha menghalang tindakan Umar, namun terkena tamparan hingga kepalanya berdarah.

Kemudian, Fatimah berkata kepada abangnya itu: “Ya, benar! Demi Allah, kami berdua memang sudah masuk Islam dan beriman kepada Allah dan rasul-Nya, Muhammad. Kini kamu sudah mengetahuinya. Perbuatlah sesuka hatimu ter hadap kami. Kami tidak gentar sedikit pun.”

Selepas Umar melihat darah pada kepala adiknya, beliau menyesal lalu menahan marahnya dan berkata kepada adik nya: “Kalau begitu, berikan padaku lembaran syair yang aku dengar tadi supaya aku dapat mempertimbangkan apa yang diajarkan Muhammad kepadamu.”

Fatimah memberikan lembaran ayat suci itu kepada abang nya, Umar.

Dalam lembaran itu tertulis surah Taha. Selepas selesai membaca lembaran itu, Umar berkata: “Alangkah indahnya kata-kata ini dan alangkah mulianya.”

Bermula detik itulah Umar memeluk Islam. Hatinya yang keras menjadi lembut selepas menatap ayat suci al-Quran.

Lukman berkata, ayat al-Quran tidak seperti teks lain kerana gaya bahasanya tinggi dan hal ini diperakui sendiri kalangan orang Arab yang mahir dalam ilmu bahasa.

“Orang kita, bahkan bangsa lain yang tidak begitu tahu mengenai ilmu bahasa terbabit tidak mampu menilai dan merasai kehebatan gaya bahasa terbabit, sebagaimana orang Arab.

“Tetapi bagi orang Arab, walaupun mereka menilai ke tinggian gaya bahasa dan keindahannya, mereka gagal me ngadakan ayat seumpama itu,” katanya.

Beliau juga menyangkal sekeras-kerasnya, jika ada orang yang mengatakan ayat al-Quran seperti bentuk nyanyian, puisi atau syair.

“Saya sendiri ada melakukan kajian terhadapnya dan me mang terbukti ayat-ayatnya tidak boleh dilagukan seperti nyanyian, syair atau qasidah.

“Ia mempunyai tajwid dan membacanya mesti mengikut hukum terbabit. Inilah keistimewaan al-Quran,” katanya.

“Dan ini ialah kitab yang Kami turunkannya yang di berkati...” (al-Quran, surah al-An’anm:155)

Cerpen - Cinta Rembulan Ramadan

Oleh Farahana Hussain

Air Mata Subuh

Bergelar isteri. Saya tidak pernah membayangkan saya akan menurut sahaja saranan Walid. Saranan Walid, yang lebih tepat, sebagai satu permintaan dan suruhan seorang bapa kepada anaknya. Sebagai anak, saya mahu jadi anak yang solehah. Apabila Walid menyuarakan dalam nada tegas dan sebak sambil memandang Ummi tunak, saya senyum.

“Izinkan saya, beristikharah dulu?” Pohon saya pada Walid.

Walid hanya mengangguk. Ummi senyum dan mengusap ubun kepala saya. Saya rasa dengan bertanya pada Dia sahaja akan memberikan saya ketenangan dan semoga jawapan saya kepada Walid dan Ummi dipandu oleh bimbingan Tuhan kepada bisikan hati saya. Akal saya cuba mencerna, mampukah saya memikul amanah Walid dalam usia semuda ini? Muda, bukan saya kira menggunakan angka kelahiran. Saya muda, masih pucuk hijau dalam ilmu agama dan cetek pengetahuan hal ehwal rumah tangga. Tapi, Walid dan Ummi yang menerima risikan daripada keluarga lelaki semalam. Mereka melihat saya sudah cukup bersedia daripada segenap segi. Saya melihat refleksi diri dari cermin di bilik tidur. Saya tahu, saya bukan lagi gadis yang sama seperti 10 tahun lalu. Walid dan Ummi hendak mengangkat martabat saya. Walid, wali mujbir yang punya kuasa menyatukan saya dengan mana-mana lelaki pilihannya, selagi tidak mendatangkan mudarat kepada saya, jika menurut mazhab Syafie. Persetujuan saya ini hanyalah budi bicara Walid, sedangkan Walid mempunyai kuasa menikahkan saya dengan mana-mana sahaja lelaki pilihannya. Tetapi Walid, bapa yang berilmu dan lembut hatinya. Walid tidak memaksa. Akhirnya, selepas 3 kali beristikharah. Dada saya lapang tanpa dihimpit perasaan berat. Sewaktu bangun menyiapkan juadah sahur, saya memberikan persetujuan.

“Alhamdulillah.”

Walid senyum lebar dan saya lihat di kolam mata Ummi ada genangan air mata. Walid mengetuai doa dan mengingatkan niat untuk berpuasa esok hari. Sebaik azan Subuh bergema, Walid mengetuai solat Subuh. Tazkirah Walid di pagi subuh hari ini, menyentuh mengenai taqqarub di bulan Ramadan.

Untung Buah Melaka

“Air tangan isteri yang mengikat cinta suami dan air tangan ibu akan mengekalkan kasih sayang anak kepada ibunya.” Ujar Ummi sambil memeriksa kelapa yang sedang dikukus.

Saya masih membulat-bulatkan adunan kuih buah Melaka, sambil meletakkan sedikit gula merah yang dikacip sebesar setengah biji guli. Kuih buah Melaka yang juga dikenali sebagai onde-onde itu selalu Ummi golekkan dengan kelapa kukus supaya tidak mudah basi. Teringat pula, saya dengan seorang kawan yang memanggil kuih ini dengan nama kekoh car. Saya terus senyum sendiri, kelucuan.

“Amboi, anak Ummi. Sambil memasak senyum sendiri. Seri pengantin dah naik ke mukalah tu.”

Usikan Ummi cepat saya sanggah dan saya ceritakan apa yang membuat saya tersenyum sendiri. “Kekoh car? Peliknya, Ummi tahu namanya buah Melaka saja. Paling penting, Walid suka makan, anak kesayangan Ummi pandai masakkan dan ada lagi ... satu yang penting ..,” Ummi senyum sambil menjungkitkan kening tanda menyuruh saya menghabiskan ayatnya.

“Apa lagi? Giliran saya mengerutkan dahi.

“Bakal menantu Ummi, khabarnya penggemar buah Melaka.”

Saya tidak tahu hendak bereaksi bagaimana. Hendak senyumkah atau saya diserbu malu. Hari ini keluarga pihak lelaki akan datang berbuka di rumah kami. Saya tahu, risikan keluarga lelaki diterima bersyarat gantung dengan persetujuan saya. Hari ini, tentu rancangan pertunangan akan diusulkan. Entah kenapa hati saya tiba-tiba jadi berdebar. Semacam takut dan jantung saya berdenyut lebih laju daripada biasa. Bukan! Bukan! Saya tidak diserang, penyakit cinta. Saya khuatir, saya bukan pilihan terbaik untuk bakal suami dan lebih khuatir jika saya bukan pilihan hatinya, tapi sekadar pilihan keluarganya.

“Mengelamun pula. Tolong Ummi.” Pinta Ummi lembut kepada saya untuk membantunya menyerahkan bahan masakan kepadanya. Saya bangun dan segera membersihkan sisa tepung di tangan.

“Tak apa, Ummi. Biar, saya yang uruskan semuanya.”

“Oh, anak Ummi nak tunjuk bakat pada bakal keluarga baru, ya? Bagus juga, ikat hati bakal suami dengan keluarga mentua dengan air tangan sendiri. Ummi setuju.” Ummi menepuk bahu saya lembut. Kami menyediakan lauk sederhana untuk keluarga kecil yang bakal bertandang. Keluarga pihak lelaki datang berempat, bakal suami, ibu, ayah dan kembar perempuan bakal suami. Kuih buah Melaka, kegemaran Walid dan tetamu yang dijemput. Lauk ikan masak cuka kegemaran Ummi, gulai lemak ketam dan sambal udang tempoyak berserta ulaman. Bubur sarang lebah dan kuih buah Melaka sebagai pencuci mulut. Air jambu batu dengan asam boi dan teh madu suam turut kami sediakan meraikan tetamu untuk iftar di rumah kami.

Usai terawih diimamkan bakal suami, kami sekeluarga duduk di ruang tamu. Saya dengar, Walid memanggil namanya, Ilham sewaktu meminta dia ke hadapan mengimamkan solat. Bacaannya dalam solatnya lancar , merdu dan sederhana panjang menjadikan selesa untuk semua jemaah yang mengikutinya. Ayah Ilham yang diperkenalkan sebagai Pak Hamzah meminta izin supaya saya berpeluang berbual-bual sendirian dengan Ilham di halaman rumah. Kolam ikan kecil dengan deru air terjun menjadi teman. Saudara kembar Ilham, Ghafirah tersenyum mengusulkan saya mengikuti Ilham keluar selepas Walid mengizinkan. Saya hanya mengikut. Ilham, kini saya lihat secara jelas fizikalnya. Rambutnya kemas disisir dan dipotong rapi. Oh, saya tidak ada peluang berlama-lama menatap rupa fizikalnya kerana sebaik sahaja dia mempelawa saya duduk, saya tidak berani menatap wajahnya.

“Awak, syaitan kena ikatkan bulan puasa macam ni?”

Saya melongo. Saya betul-betul hendak ketawa, tapi bimbang dikatakan kurang sopan. Tidak menyangka sama sekali saya akan disapa perbualan perkenalan selucu itu.

“Kenapa muka awak merah, awak malu ya?” Ilham cuba memecahkan suasana tidak mesra kami.

“Bukan. Bukan. Saya geli hati sebab ditanya soalan macam tu. Saya fikir awak akan soal sesuatu yang formal.” Balas saya.

“Oh, saya nak cakap sebenarnya. Tak apalah kita berdua-duaan ni, sebab syaitan yang ketiga daripada kita berdua tak ada. Kan?”

“Ke situ pula.”

“Maaflah, saya gurau saja. Harap-harap supaya rupa saya yang garang ni tak membuat awak berubah fikiran daripada menerima pinangan saya.”

Saya tidak terkejut dengan sangkaannya sendiri. Apabila dia menganjurkan bahawa riak wajahnya yang garang, itu ada kebenarannya. Fizikalnya, dia terlalu tinggi dan berbadan sasa. Mukanya serius dan jika dia berlelucon pun, dia tidak ketawa. Tapi saya dapat rasa wajahnya bersih dan saya tidak menerima pinangannya kerana fizikal, jadi tidak ada masalah bagi saya walau apapun rupa parasnya. Saya tahu, pilihan Walid tentu yang terbaik.

“Nama saya Ilham Hanafi Hamzah. Umur saya 30 tahun. Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Bioteknologi. Saya hafaz 5 juzuk al-Quran sedang berusaha untuk hafaz lebih lagi. Apa lagi yang perlu awak tahu, ya?”

“Tak apa, insya-Allah panjang lagi masa kita berkenalan. Saya terima, awak seadanya. Saya harap awak, juga terima saya seadanya. Oh, ya kalau tak keberatan, apa pekerjaan awak?” Saya berharap dia lebih tenang dan tidak rasa tergesa-gesa memperkenalkan dirinya pada saya. Cukuplah saya mengetahui, dia pilihan Walid dan saya pilihan ibu bapanya. Tentu kami sekufu pada mata kedua-dua orang tua. Penyesuaian? Biarlah kami pelajari perlahan-lahan dalam alam rumah tangga kelak.

“Walid, tak beritahu awak pekerjaan saya?”

“Tidak, saya pun tak bertanya pada Walid. Selepas istikharah, saya setuju saja. Nama awak pun, saya baru tahu hari ni.”

“Oh ....” Ujar Ilham, tanpa menjawab pertanyaan saya.

Dugaan Pertama

SAYA tidak berubah fikiran apabila mengetahui pekerjaannya, bukan sesuatu yang mengejutkan jika saya mengagak daripada bentuk tubuhnya yang kelihatan tegap. Biasa saja pekerjaannya, yang selalu menjadi cita-cita kebanyakan murid di sekolah dahulu dan di universiti, masih ada anak didik saya yang menyimpan cita-cita yang sama. Polis. Cuma yang luar biasa, apabila dia mengkhabarkan sifat pekerjaannya di lapangan. Dia jujur memberitahu, saya akan selalu ditinggalkan kerana urusan kerja dan pekerjaannya bahaya. Raut muka saya sedikit berubah, saya tidak tahu dunia kerjanya. Walid seorang pendidik dan Ummi pula seorang psikiatris. Dunia pekerjaan keluarga saya, adalah pendidikan dan ilmu jiwa. Tidak ada ahli keluarga kami yang berkhidmat dalam angkatan tentera mahupun polis. Sewaktu dilihatnya muka saya berubah, dia menganjurkan saya berfikir semula.

“Tak apa, saya faham. Sebagai pensyarah memberikan awak peluang berjumpa dengan lebih banyak yang calon sekufu. Mereka yang dunianya buku, ilmu dan penyelidikan. Saya tak terkejut kalau awak berubah fikiran.” Ilham menarik nafas dalam, saya perasan suaranya tertekan dalam talian. Saya tidak tahu, kenapa saya pula merasa bahawa dia sengaja mencipta jurang. Ada lompang dalam hati saya mengatakan mungkin dia ada pilihan lain, namun mahu mengkambinghitamkan saya, supaya saya yang menolak pinangannya. Tapi itu tidak akan saya lakukan. Saya akan menyahut seruan hati bergelar isteri.

Terbongkar Rahsia

KAU kekasihku/tapi orang lain bagiku/kau dengan dirimu saja/kau dengan duniamu saja/teruskanlah/teruskanlah kau begitu.

Sudah genap seminggu kami dijabkabul, sempena nuzul Quran. Bait lagu dendangan Agnes Monica penyanyi dari seberang seakan mengena ke batang hidung saya. Saya cuba menumpukan perhatian pada pemanduan, namun bayangan Ilham Hanafi, yang saya jumpa dua minggu lepas kini selamat bergelar suami bermain di minda. Sayalah yang menelan semua kepahitan, sedang baru seminggu berumahtangga. Penyesuaian. Saya perlu banyak bersabar. Sesudah selesai memberi kuliah saya cepat pulang mengejar peluang menyediakan juadah berbuka, kata nasihat Ummi berkesan di hati. Kalau suami merasa air tangan isteri itu akan mengikat kasih sayang kami.

“Berbuka sekali ya? Izzah ada masakkan ....?” Saya menelefon Ilham sedang tangan cekatan menyediakan makanan kegemarannya. Kuih buah Melaka.

“Kerja ni. Nanti abang telefon semula.” Jawapan ringkas yang saya terima sebelum sempat menghabiskan kata-kata. Talian terus dimatikan. Seloyang kuih buah Melaka yang belum disalut kelapa terlepas dari pegangan tangan dan terburai intinya. Lantai di dapur kotor dengan inti gula Melaka yang mencair. Saya menangis. Hati saya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Saya berdebar-debar.

Pernahkah kau bicara/tapi tak didengar/tak dianggap/sama sekali/pernahkah kau tak salah/tapi disalahkan/tak diberi/kesempatan/

Saya matikan radio di dapur yang sedang memutarkan lagu Teruskanlah. Saya ke bilik air, mengambil wuduk. Hanya pada Dia saya mengadu, apakah saya telah tersalah pilih jalan hidup saya? Ketika menyimpan al-Quran dalam laci, saya menjumpai sampul surat putih tertulis nama saya. Nur Izzah Ain Hayati. Saya kira, ini tulisan Ilham Hanafi. Saya tidak peduli, saya rakus hendak membacanya.

“Buat isteri yang abang kasihi. Abang berdoa dikurniakan seorang isteri solehah dan abang mendapatkan Izzah, kurniaan Allah. Tapi abang bimbang menzalimimu. Lalu abang ragu apabila kita bersua. Abang tahu abang akan selalu melukakan daripada memberi kebahagiaan. Banyak belum sempat diceritakan. Sesungguhnya demi keselamatan Izzah lebih sedikit pengetahuan Izzah tentang kerja abang, lebih selamat dan baik untuk Izzah. Bulan ini, abang menyertai operasi membanteras pengedaran dadah dan betul-betul sibuk. Doakan abang.

Bukankah ada pepatah Melayu menyebut, sayangkan anak ditangan-tangankan, sayangkan isteri ditinggal-tinggalkan. Jadi abang, tinggal-tinggalkan Izzah. Abang tahu, tindakan abang macam badut, mesti Izzah sedang ketawa sambil mengesat air mata. Sekejap abang berlawak, sekejap abang serius. Bersedialah Izzah kerana buat masa ini itulah cabaran yang akan kita tangani bersama. Perkahwinan satu perkongsian dan buat masa ini penyesuaian kita memerlukan perkongsian persefahaman, fahamilah dan terimalah abang, seadanya”

Saya menggeleng-geleng dan memang saya ketawa. Saya fikir saya perlu banyak belajar bagaimana dia boleh membuat saya ketawa hanya dengan tulisannya. ‘Sayangkan isteri ditinggal-tinggalkan?’ Mungkin ada banyak benarnya pepatah Melayu, kerana dengan ditinggalkan saya belajar merindui ketiadaan dan menghargai setiap kehadirannya. Saya duduk dan menghidupkan suis televisyen.

“Berita Semasa - Seorang pegawai polis cedera parah dalam kejadian tembak menembak dengan penjenayah, disyaki pengedar dadah di ibu kota kira-kira sejam yang lalu. Kita bersama wartawan di lokasi untuk mendapatkan berita terkini.” Saya tutup televisyen, tidak mahu mendengar berita ngeri di petang bulan Ramadan yang patutnya damai dan menenangkan. Tinggal beberapa jam sebelum waktu berbuka. Saya diserbu gelisah, teringat kuih buah Melaka yang terburai isinya di dapur. Segera membayangkan Ilham Hanafi. ‘Tuhan, jauhkan saya dari prasangka.’, bisik hati kecil saya berdoa. Saya terduduk dengan perkhabaran daripada rakan sekerjanya. Namun, saya gagahkan diri. Tentu Ilham memerlukan saya.

“Kami perlukan penderma darah, luka di bahagian abdomen suami Puan parah. Bekalan darah di bulan Ramadan memang terhad.” Ujar petugas di hospital pada saya. Saya hanya dengar perkataan berdesing masuk ke telinga kiri dan keluar ke telinga kanan. Buku rekod derma darah saya bawa bersama, saya biasa menderma darah secara tetap empat bulan sekali. Hendak saja saya suruh petugas itu sedut semua darah yang diperlukan, tapi saya tahu dengan berat 46 kg, saya hanya mampu memberikan Ilham 350 ml darah. Saya berharap Ilham diberi keutamaan memandangkan saya penderma darah dan dia cedera dalam tugasan. Saya dikhabarkan peluru mengenai intestine kecil Ilham dan juga hampir mengenai hati. Lima das semuanya. Saya tidak mahu mendengar lebih lanjut. Saya mahu Ilham dibekalkan darah dengan segera. Azan berkumandang, saya berbuka puasa dengan segera dan cepat-cepat menghulurkan lengan kiri untuk proses menderma darah. Tiba-tiba sekeliling saya gelap.

“Rehat sayang, Izzah pitam tadi.” Ummi ada di sebelah Walid mengusap pipi saya.

“Ilham?”

“Alhamdulillah stabil. Terima kasih, Izzah.” Ujar bapa dan ibu mentua dengan rasa hormat. Saya masih pening lalat. Ramadan menemukan saya dengan cinta, kasih sayang dan pengorbanan. Semua kemanisan yang saya kecapi dari kemurahan Allah yang melimpahkan ujian, rezeki dan umur yang panjang buat kami sekeluarga di bulan yang mulia ini.

- BERITA HARIAN

191 bahagian UMNO mahu pilih pucuk pimpinan parti

Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno menerima maklum balas daripada 191 bahagian yang mahu antara 60,000 hingga 650,000 perwakilan diberi peluang memilih pucuk pimpinan parti pada Perhimpunan Agung Umno yang dijangka pada Oktober depan.

Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Jawatankuasa, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu antara lima cadangan utama yang dibentangkan pada mesyuarat pengurusan minggu depan sebelum dikemukakan ke peringkat jemaah tertinggi, 11 September ini.

Katanya, empat cadangan lain turut diteliti untuk pindaan ialah usaha memudahkan ahli bertanding, menjadikan Umno parti yang inklusif, mengurangkan tempoh masa berkempen dan memudahkan proses menjadi ahli.

"Pada masa sama, kita bersedia mempertimbangkan cadangan lain bagi membantu memperkasa parti supaya sentiasa relevan dengan aspirasi rakyat selain dapat membanteras gejala rasuah politik," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Ibu Pejabat Umno di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerja jawatankuasa berkenaan, Datuk Abdul Rauf Jusof.

Ditanya pindaan menghapuskan sistem kuota, Hishammuddin berkata, ia bukan saja dapat memudahkan lebih ramai ahli bertanding malah membantu memastikan hanya ahli yang komited dan ikhlas saja dipilih menjadi pemimpin.

Mengenai Umno Bahagian Bukit Mertajam yang menolak cadangan pindaan perlembagaan parti kerana ia dikatakan dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa, Hishammuddin berkata isu itu tidak timbul kerana pihaknya sudah mengarahkan Abdul Rauf memberi taklimat kepada ketua bahagian berkenaan, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Berhubung tindakan yang diambil kepada pihak yang menyertai perarakan kepala lembu di Shah Alam, baru-baru ini, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata tindakan tegas akan diambil tanpa 'mengira bulu' bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.

Ditanya cadangan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya perintah penahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikaji oleh mahkamah atau satu badan berkecuali bukannya Menteri Dalam Negeri seperti sekarang, Hishammuddin berkata pihaknya menerima cadangan berkenaan dengan sikap terbuka.

- BERITA HARIAN

PM ucap takziah tragedi gempa di Indonesia

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam menyampaikan rasa dukacita dan takziah Malaysia kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono atas tragedi gempa bumi di Indonesia.

"Sesungguhnya saya dan rakyat Malaysia juga merasakan kesedihan rakyat Republik Indonesia yang kehilangan nyawa, kecederaan manusia dan kemusnahan harta benda dalam tragedi itu," kata Perdana Menteri dalam surat kepada pemimpin Indonesia itu.

"Ianya lebih menyayat hati memandangkan tragedi ini berlaku dalam Ramadan yang penuh berkat ini," tambah Najib dalam surat yang salinannya dihantar kepada Bernama.

Najib percaya, dengan kepemimpinan Presiden Susilo, rakyat Indonesia pasti akan dapat mengatasi kesukaran dan secepat mungkin memulihkan kehidupan seperti biasa dan membina semula ekonomi.

Perdana Menteri juga mengucapkan syabas kepada jentera tenaga Indonesia atas tindakan pantas meringankan penderitaan mangsa-mangsa gempa bumi dan membolehkan mereka memulakan kehidupan baru.

Dalam gempa bumi itu yang melanda Tasik Malaya di Jawa Barat tiga hari lalu, lebih 50 terkorban selain kecederaan manusia dan kemusnahan harta benda.

- BERNAMA

Jumaat, September 04, 2009

ADUN BN Bagan Pinang Negeri Sembilan meninggal dunia


ADUN BN bagi Bagan Pinang, Negri Sembilan, Azman Mohd Noor meninggal dunia di Seremban hari ini.

Beliau meninggal dunia pada jam 2.30 petang tadi di Pusat Pakar Seremban.

Dalam pilihanraya umum lalu, Azman, 54, menang dengan mendapat 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang mendapat undi.

Dalam pilihanraya umum lalu, DUN Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi yang 66 peratus Melayu, Cina (10.5%), India (19.9%) dan lain-lain (3.5%).

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihanraya kecil dalam tempoh 60 hari ini.

Ia merupakan pilihanraya kecil kesembilan selepas pilihanraya umum tahun lalu.


Bagan Pinang merupakan kawasan DUN dalam Parlimen Telok Kemang. Empat lagi DUN dalam parlimen tersebut ialah Chuah, Lukut, Linggi dan Port Dickson.

Dalam pilihanraya umum lalu, Parlimen Telok Kemang dimenangi oleh calon PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Manakala DUN Chuah pula dimenangi oleh PKR, Lukut (DAP), Linggi (BN) dan Port Dickson (PKR).

Azman juga merupakan naib ketua Umno bahagian Teluk Kemang.

Menurut Bernama, anak lelakinya Hairol Asfani, 22, berkata bapanya meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah.

BN menguasai 21 daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan. Dalam pilihan raya lalu, DAP menang 10 kerusi, PKR (4) dan PAS (1).

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Normah Zainal Abidin, 49, dan lima anak iaitu Mohd Khusairi, 23, Hairol Asfani, 22, Norsyazila, 19, Norsyafikah, 16, dan Norsyafitra, 13.

Hairol Asfani yang ditemui pemberita di hospital itu berkata bapanya dimasukkan ke hospital pada jam 3.30 pagi tadi akibat demam dan tidak boleh berjalan.

"Ayah mengadu demam sebelum ini tapi boleh berjalan tetapi lepas berbuka (puasa) petang semalam ayah tidak boleh berjalan," katanya.

Beliau berkata semua anggota keluarga berada di sisi bapanya semasa allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 2.30 petang.

Hairol Asfani berkata bapanya pernah menjalani pembedahan pintasan koronari pada Mei lalu.

Turut hadir di hospital ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan ekas Menteri Besar yang juga Ketua Umno Bahagian Telok Kemang Tan Sri Mohd Isa bdul Samad.

"Allahyarham merupakan kawan lama saya dalam Umno, tambahan pula beliau dalah Naib Ketua Umno Bahagian Telok Kemang dan telah berkhidmat dengan baik. aya berharap keluarga allahyarham dapat bersabar menerima dugaan ini dengan abah," kata Mohamad.

Mohd Isa pula berkata pemergian allahyarham adalah kehilangan seorang tokoh mno Bahagian Telok Kemang dan Negeri Sembilan.

Katanya allahyarham adalah seorang yang taat kepada parti dan komited dalam ugasan yang diberikan kepadanya.

Jenazah allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan kariah Bagan Pinang malam ini.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan Datuk Abdul Razak ansor berkata beliau akan mengemukakan notis mengenai kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang kepada SPR Isnin ini (7 September).

"Terpulang kepada SPR untuk menentukan tarikh penamaan dan pengundian bagi ilihan raya kecil DUN itu," katanya.

- MALAYSIAKINI

Periksa suhu calon UPSR

Kira-kira 500,000 murid yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu depan wajib menjalani ujian suhu badan sebelum menduduki peperiksaan itu sebagai langkah mengelak penularan wabak Influenza A(H1N1) atau selesema babi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata kementerian dalam mesyuarat semalam memutuskan semua calon UPSR bermula Selasa ini perlu menjalani pemeriksaan itu dan mereka yang suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius akan diasingkan.

"Mereka yang suhu badan melebihi 37.5 darjah celsius hanya dibenarkan mengambil peperiksaan di tempat berasingan yang akan diatur pihak sekolah.

"Sebuah bilik pengasingan akan diwujudkan di semua pusat peperiksaan, jauh daripada dewan utama peperiksaan.

"Pengawas akan menggunakan alat infra-merah untuk mengambil suhu badan calon. Prosesnya yang cepat dan tepat tidak akan menjejaskan peperiksaan," kepada pemberita selepas pelancaran kempen mencegah H1N1, di sebuah pusat beli-belah, di sini semalam.

Berhubung kes pelajar yang tidak sihat dan perlu dimasukkan ke hospital, Wee berkata mereka akan dibenarkan menduduki peperiksaan pada tarikh lain di bawah pengawasan khas.

Wee juga berkata, semua 32,000 pengawas peperiksaan UPSR di seluruh negara akan dibekalkan pelarut sanitizer dan penutup mulut serta hidung untuk mengelakkan penularan penyakit itu.

Beliau berkata, kementerian juga akan mengguna pakai kaedah sama untuk semua peperiksaan utama seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

- BERITA HARIAN

Recent Posts