Sabtu, Ogos 29, 2009

Raptai Merdeka rancak dalam hujan


Raptai sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 di Dataran Parlimen di sini hari ini berjalan lancar walaupun hujan lebat pada awal pagi.

Dengan tema 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, semangat berkobar-kobar di kalangan peserta itu akan menjayakan sambutan hari bersejarah tersebut Isnin ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais turut meluangkan masa menyaksikan raptai tersebut pada hari ini.

Antara aturcara yang akan memenuhi sambutan tersebut adalah perbarisan kira-kira 6,000 peserta sambil mengibarkan Jalur Gemilang di sepanjang lebih satu kilometer jalan ke bangunan Parlimen.

Acara perbarisan oleh kontinjen keselamatan pula akan disertai oleh 500 anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Istiadat Kawalan Kehormat Utama oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pula akan diadakan bagi menyambut keberangkatan tiba dan pulang Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Acara akan disusuli dengan beberapa das tembakan meriam oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja serentak dengan nyanyian lagu Negaraku.

Bacaan ikrar Rukun Negara oleh 59 warga pendidik yang mewakili kaum-kaum utama di Malaysia akan dilangsungkan selepas itu.

Selain itu, lintas hormat oleh tujuh buah helikopter milik ATM dan tiga cabang perkhidmatannya Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), PDRM serta APMM akan turut menghiasi acara sambutan Hari Kemerdekaan tersebut.

- UTUSAN

Prestasi Celcom positif 13 kali berturut

Celcom (M) Bhd. (Celcom) terus cemerlang apabila mencatat perolehan yang positif bagi 13 suku tahun berturut-turut apabila meraih RM1.5 bilion pada suku kedua berakhir pada 30 Jun tahun ini.

Pencapaian itu mewakili peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding suku pertama tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly.

Menurut beliau, perolehan pada suku kedua itu juga merupakan pertumbuhan sukuan tahun tertinggi sejak dua tahun lalu.

Perolehan yang tinggi itu membolehkan Celcom mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM494 juta dalam tempoh yang sama berbanding RM481 juta pada suku sebelumnya.

Katanya, Celcom yakin mampu mengekalkan prestasi kukuh pada tahun ini khususnya bagi suku ketiga dan keempat yang secara tradisinya separuh kedua akan merekodkan pertumbuhan yang baik sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Celcom, pengendali rangkaian telefon bimbit tempatan juga menikmati peningkatan asas pelanggannya dari 9.17 juta pada suku pertama kepada 9.69 juta pada suku kedua.

"Setengah tahun pertama merupakan tempoh yang agak mencabar bagi kami dan melalui pelan transformasi yang telah dilaksanakan Celcom sejak tiga tahun lalu, kami yakin akan terus mengekalkan momentum pada keseluruhan tahun kewangan ini," katanya selepas mengumumkan hasil kewangan Celcom untuk separuh pertama 2009 di sini. Turut hadir Ketua Pegawai Kewangannya (CFO), Chari TVT.

Shazalli berkata, Celcom dijangka terus kekal sebagai peneraju penyedia perkhidmatan jalur lebar bergerak dengan sasaran pelanggannya mencapai 500,000 menjelang akhir tahun ini dengan 420,000 pelanggan berdaftar ketika ini.

"Pelanggan jalur lebar ketika ini mencecah 420,000 pertambahan 37 peratus atau 114,000 pelanggan pada suku kedua tahun ini," katanya.

Celcom sebelum ini dilaporkan memperuntukkan antara RM7 bilion hingga RM8 bilion bagi tujuan perbelanjaan modal terutamanya di dalam peningkatan liputan rangkaian 3G di negara ini.

Beliau berkata, Celcom membelanjakan 75 peratus daripada perbelanjaan modalnya untuk liputan rangkaian 3G manakala 25 peratus lagi diperuntukkan untuk rangkaian 2G.

Shazalli berkata, Celcom tidak berhasrat memberikan liputan rangkaiannya ke semua kawasan di seluruh negara ketika ini walaupun pada dasarnya 98 peratus rangkaian telekomunikasi itu telah diliputi.

Ketika ini beliau berkata, Celcom sudah pun meliputi 100 peratus kawasan yang berpenduduk manakala beberapa kawasan tarikan pelancongan juga telah diliputi antaranya, Taman Negara dan Gunung Kinabalu.

"Di antara faktor kenapa liputan tidak mencapai 100 peratus kerana faktor bentuk muka bumi, kepadatan penduduk serta kesukaran capaian rangkaian, tetapi itu bukan masalahnya kerana talian satelit disediakan," kata Shazalli lagi.

- UTUSAN

AS1M: Tempoh dilanjutkan

Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan bahawa tempoh peruntukan mengikut kaum bagi langganan AS 1Malaysia (AS1M) dilanjutkan sehingga 30 September 2009.

Walaubagaimanapun, had pelaburan maksimum bagi langganan unit-unit berkenaan akan dimansuhkan mulai 4 September 2009.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata keputusan melanjutkan tempoh peruntukan kepada kumpulan etnik bertujuan memberi peluang dan masa secukupnya kepada semua kaum untuk mengambil bahagian dalam tawaran dana amanah AS1M.

''Saya berharap para pelabur akan mengambil peluang menyertai skim dana AS1M dengan membuat pelaburan baru ataupun menambah pelaburan sedia ada,'' kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

AS1M merupakan dana berharga tetap dengan saiz 10 bilion unit yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 31 Julai 2009.

Semasa tempoh tawaran awal selama 30 hari yang bermula pada 5 Ogos 2009, had pelaburan maksimum telah dikenakan sebanyak 50,000 unit bagi pelabur yang berumur 18 sehingga 55 tahun dan 100,000 unit bagi pelabur yang berumur melebihi 55 tahun.

Langanan dana ini adalah dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia dengan peruntukan 50 peratus untuk kaum Bumiputera, 30 peratus untuk kaum Cina, 15 peratus untuk kaum India dan lima peratus untuk kaum-kaum lain.

Hamad Kama Piah turut mengumumkan bahawa sehingga 25 Ogos 2009, lebih dari 2 bilion unit AS 1Malaysia telah pun dilanggan oleh 148,830 pelabur.

''Jumlah langganan dan bilangan pelabur yang diterima adalah seperti jangkaan bagi dana yang bersaiz besar seperti AS 1Malaysia ini,''katanya.

AS1M merupakan tabung unit amanah berharga tetap RM1 unit yang kelima yang dilancarkan oleh PNB selepas ASB, ASM, ASD dan ASW 2020.

AS1M merupakan tabung ekuiti pendapatan yang berharga tetap dengan ciri-ciri yang sama seperti ASM dan ASW 2020, seperti kecairan yang tinggi, tidak dikenakan caj jualan dan juga transaksi pada harga tetap RM1 seunit.

Dana ASM dan ASW 2020 telah menunjukkan prestasi cemerlang sejak dari pelancaran dengan rekod pengagihan pendapatan yang kompetitif melebihi instrumen tabung lain di pasaran.

- UTUSAN

Pertumbuhan 8 peratus capai status negara maju

Datuk Seri Najib Razak berkata pertumbuhan ekonomi tahunan Malaysia mesti ditingkatkan kepada lapan peratus dalam tempoh 10 tahun, bagi mencapai sasaran status negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata, pertumbuhan yang kurang daripada kadar itu akan melewatkan matlamat Malaysia ke arah negara maju.

"Contohnya, pertumbuhan tahunan enam peratus bererti pencapaian status pendapatan tinggi akan lewat selama 10 tahun lagi hingga ke 2030 bukan 2020," katanya dalam ucaptama pada mesyuarat sulung Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata negara mestilah berusaha gigih untuk mencapai sasaran melayakkan diri bagi ukuran semasa Bank Dunia untuk ekonomi berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, pengembalian semula pencapaian 2008 negara dalam Pendapatan Negara Kasar (GNI) menunjukkan Malaysia akan menduduki tempat ke-85 pada paras hampir AS$7,000.

Sementara itu, ukuran semasa Bank Dunia bagi ekonomi berpendapatan tinggi ialah hampir AS$12,000 dan mengikut kadar pertumbuhan diunjurkan, ia akan mencapai lebih AS$17,000 menjelang 2020.

Untuk mencerminkan dengan lebih jelas perdagangan dunia yang semakin terbuka, beliau berkata, Bank Dunia kini menggunakan GNI, dan bukan lagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk membandingkan negara bagi tujuan analisis.

"Menggunakan GNI ada baiknya kerana ia mencerminkan pertumbuhan modal yang benar-benar milik Malaysia tanpa tanggapan berat sebelah dicetuskan oleh pelaburan asing di negara ini.

"Untuk mencapai status itu, Malaysia mestilah bukan saja berkembang maju, malah juga bertindak dan wujud dalam cara yang mencerminkan status itu," katanya.

Perdana Menteri berkata, ada ukuran sosial dan kualiti hidup yang penting diambil kira, bagi menentukan objektif dan kejayaan negara.

Katanya, usaha Malaysia untuk mencapai status negara maju akan bergantung kepada dua kriteria, iaitu yang pertama memerlukan pencapaian yang melebihi ambang untuk menjadi ekonomi berpendapatan lebih tinggi.

"Kedua, sebagai ekonomi maju, kita mestilah mencapai peningkatan prestasi indeks pembangunan manusia Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF)," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut pada satu sidang media selepas itu, Najib berkata kerajaan tetap komited terhadap usaha mencapai Wawasan 2020.

"Ternyata, kita perlu membuat perkiraan semula mengenai apa yang boleh dicapai dan dikekalkan, memandangkan persekitaran ekonomi global sekarang, yang jauh berbeza daripada masa kita mengilhamkan Wawasan 2020, mengalami krisis kewangan Asia 1997/98 dan sekarang krisis ekonomi global.

"Memandangkan andaian serantau berhubung persekitaran ekonomi global agak banyak berubah, semua rancangan kini mestilah anjal dan disemak semula disebabkan oleh keadaan global yang berubah-ubah, tetapi kita mesti mengharunginya untuk mencapai matlamat kita," katanya.

Perdana Menteri menambah, MPEN akan membantu kerajaan merumuskan rancangan mengubah negara menjadi negara berpendapatan tinggi dan mencapai Wawasan 2020.

"MPEN akan cuba mencapai sasaran masa ini. Ia akan mengumumkan laporan pertamanya sebelum akhir tahun ini dan laporan kedua, yang membabitkan pelaksanaan, akan dikeluarkan enam bulan selepas itu," katanya.

- BERITA HARIAN

Malaysia dituduh ‘pencuri’ dan ‘kurang ajar’ oleh Indonesia

‘‘MALAYSIA itu memang pencuri dan kurang ajar,” begitulah kenyataan kasar yang berkumandang di stesen televisyen tempatan Indonesia dan diulang berkali-kali.

Kenyataan itu keluar daripada mulut seorang wakil rakyat Bali yang mengecam promosi pelancongan Malaysia di Discovery Channel yang memuatkan Tarian Pendet yang merupakan tarian penganut agama Hindu di Bali.

Mungkin perkataan pencuri dan kurang ajar itu adalah perkara biasa diucapkan oleh penduduk Indonesia khususnya di Bali, tetapi bagi rakyat Malaysia ia satu kata-kata yang sangat kesat.

Menteri Pelancongan Indonesia, Jerowacik pula menyatakan akan menyaman Malaysia kerana menggunakan Tarian Pendet di dalam promosi pelancongan.

Menurut Jerowacik, Indonesia merupakan negara yang kaya dengan kebudayaan, oleh sebab itulah Malaysia yang miskin kebudayaan sering mencuri daripada Indonesia.

Sesungguhnya kenyataan yang begitu kasar itu cukup mengejutkan penulis dan tidak seharusnya keluar daripada pemimpin mana-mana negara, apatah lagi membuat tuduhan terhadap negara tetangga.

Seingat penulis, tidak pernah pihak berkuasa atau pemimpin di Malaysia menggunakan kata-kata kesat sedemikian ketika mengulas sebarang masalah berkait dengan negara tetangga. Walaupun telah nyata kehadiran warganegara asing berkenaan menjadi punca meningkatnya kejadian jenayah rogol, bunuh, pecah rumah dan sebagainya.

Seperti biasa Malaysia walaupun dituduh sebagai pencuri, kurang ajar dan sombong, tetap merendah diri serta bertanggungjawab apabila Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Amran Mohammed Zin menyatakan permohonan maaf di atas kesilapan itu ketika dipanggil mengadap Jerowacik. Promo itu juga akan digantikan dengan yang baru, walaupun kerajaan tidak terlibat langsung dalam penerbitannya.

Jerowacik juga telah menghantar surat kepada Malaysia bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dengan kesilapan itu.

Tidak cukup itu di dalam program kuliah sempena Ramadan yang disiarkan oleh sebuah stesen tempatan, seorang ustaz juga terbawa-bawa dengan isu murahan tersebut apabila turut melabelkan Malaysia sebagai pencuri kerana kes yang sama.

Begitulah Indonesia, mereka akan membuat tuduhan melulu, tanpa usul periksa dan apabila mendapati tersilap, mereka mendiamkan diri dengan tidak berasa bersalah walaupun sekelumit.

Ternyata itu bukan promosi pelancongan oleh kerajaan Malaysia, tetapi merupakan sebuah program yang diterbitkan oleh pihak swasta iaitu penerbitan KRU yang merupakan milik Norman KRU dan kemudiannya dijual kepada Discovery Channel.

Norman sendiri telah memberi penjelasan program tersebut dihasilkan oleh syarikat penerbitannya tanpa melibatkan kerajaan Malaysia dan promo yang digunakan pula dihasilkan oleh Discovery Channel.

Norman memberitahu sebuah stesen tempatan Indonesia bahawa dia hanya menjual program kepada Discovery Channel dan tidak terlibat dalam menyediakan promo. Kesilapan adalah berpunca daripada penerbit yang tidak meneliti terlebih dahulu isi kandungan program termasuk promo yang dibuat.

Sebagai rakyat Malaysia penulis sendiri tidak pernah mengetahui tentang Tarian Pendet yang merupakan upacara penganut agama Hindu di Bali iaitu destinasi yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia bercuti. Tarian itu kemudiannya diubah suai menjadi tarian menyambut tetamu.

Kini persoalannya di mana kerajaan Indonesia mahu kaitkan penglibatan kerajaan Malaysia dalam menyediakan program tersebut.

Pepatah Melayu ada mengingatkan ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Kini selepas tuduhan sedemikian pastinya tidak akan ada pihak Indonesia yang akan memohon maaf kepada Malaysia walaupun kenyataan mereka melukakan hati rakyat Malaysia.

Ini bukan pertama kali pemimpin Indonesia membuat tuduhan melulu. Sebelum ini mereka menuduh Malaysia mencuri kebudayaan Indonesia apabila turut mempersembahkan Tarian Barongsai.

Malaysia juga dituduh mencuri masakan rendang serta masakan Padang dan dijadikan sebahagian daripada makanan tradisional Malaysia. Bahkan Malaysia juga dituduh pencuri kerana mempromosi batik yang berasal dari Pulau Jawa dan alat muzik Angklong.

Penulis masih ingat ketika Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan ke Indonesia, beliau juga ditanya tentang perkara itu.

Jawapan Zahid mudah: “Apakah saudara semua sanggup menuduh, saudara mara anda di Malaysia sebagai pencuri?”

Penjelasan Zahid yang berketurunan Jawa dari Yogyakarta dan boleh berbahasa Jawa halus itu memang tepat sekali.

Budaya itu dibawa oleh kaum Jawa dan kaum dari Padang bersama-sama mereka ketika berhijrah ke Malaysia kerana ia telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka dan merekalah yang mengamalkan kebudayaan tersebut.

Oleh itu kebudayaan Malaysia dan Indonesia hampir sama, tetapi sesuai dengan peredaran masa ia telah diubah mengikut selera semasa.

Kini rakyat Malaysia pastinya menunggu apakah ada permohonan maaf daripada Jerowacik yang membuat tuduhan melulu terhadap Malaysia, atau seperti biasa yang diamalkan iaitu budaya ‘lempar batu sembunyi tangan’.

- UTUSAN

Tonton TV guna Internet

Sebagaimana satu dunia, menonton televisyen menjadi kebiasaan rakyat Malaysia.

Ia adalah antara teknologi yang pantas mendapat perhatian pengguna sejak peti televisyen mula dijual kepada masyarakat pada 1953.

Ketika itu imej yang dihasilkan hanya hitam dan putih, namun ia terus mengalami revolusi seperti yang dapat kita nikmati pada hari ini.

Teknologi penghantaran isyarat menggunakan sistem te restrial yang kemudian diperbaharui dengan sistem satelit menjadikan televisyen sasaran perubahan inovasi.

Tidak berhenti di situ, televisyen bergerak selangkah lagi menuju dimensi baru apabila ia mampu disesuaikan dengan capaian Internet yang seterusnya menghasilkan gabungan baru dalam dunia komunikasi dan hiburan.

Bermula sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menonton televisyen dengan menggunakan Televisyen Protokol Internet (IPTV) menjadi pengalaman baru yang mengembangkan kaedah manusia berinteraksi dengan kotak televisyen.

Menariknya, menonton televisyen dengan menggunakan IPTV mempamerkan visual dan audio yang berkualiti tinggi sama seperti siaran televisyen biasa.

Maknanya dengan memiliki komputer, penonton boleh menonton program menarik menerusi kaedah diperkenalkan hasil teknologi masa depan itu dengan visual berkualiti tinggi dan memberi kemudahan untuk akses di mana saja asalkan mempunyai kemudahan Internet.

Gaya hidup masa kini dan kemudahan Internet di negara ini membuka ruang kepada cara baru menonton televisyen menerusi Internet yang akan menyumbangkan kepada pe ningkatan dunia penyiaran tempatan.

Semestinya, komitmen teknologi terbabit merevolusikan penyiaran dengan mempelbagaikan kaedah untuk menonton televisyen yang kini tidak terhad kepada siaran teresterial, televisyen kabel dan televisyen satelit semata-mata.

IPTV adalah sistem yang mana perkhidmatan televisyen digital disampaikan menggunakan Protokol Internet me rentasi prasarana rangkaian seperti kemampuan yang di sambung menerusi jalur lebar.

Secara umumnya, IPTV mengetengahkan kandungan te levisyen yang bukan disalurkan melalui format penyiaran dan kabel biasa, sebaliknya diterima penonton melalui teknologi digunakan untuk rangkaian komputer.

Untuk pengguna perumahan, IPTV sering dikaitkan dengan Video atas Permintaan (VoD) dan ia disambung dengan perkhidmatan Internet yang lain seperti capaian Web dan Panggilan atas Protokol Internet (VoIP).

Gabungan ketiga-tiga sumber terbabit menghasilkan pakej perkhidmatan Triple Play bagi lebih pengayaan kandungan (rich content).

Menurut Ketua Pembangunan Perniagaan Rantau Asia Selatan Nokia Siemens Networks, Praba Sangarajoo, kajian dijalankan Broadband Forum pada penghujung 2006 me nunjukkan dunia kini memiliki 4.5 juta pelanggan IPTV.

“Ia dijangka bertambah dari 15.3 juta kepada 23.9 juta pengguna dari tahun ke tahun manakala Asia Tenggara turut menyaksikan pertambahan 91 peratus menunjukkan potensi IPTV di kalangan masyarakat Asia,” katanya.

Sangarajoo menjelaskan IPTV boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu siaran disalurkan menerusi komputer peribadi (PC) dikenali sebagai TV Web yang mana kan dungannya dibangunkan atas permintaan pengguna.

“Kandungan IPTV terbabit dilihat menerusi laman web atau platform rangkaian sosial seperti MySpace dan YouTube dengan pendekatan lebih mendalam terhadap pengguna tertentu,” katanya.

Sangarajoo berkata, kategori kedua dilabelkan sebagai media biasa seperti televisyen namun ia menggunakan set kekotak di atas (set-top-boxes) yang disambung terus ke televisyen menggunakan prasarana IP serta akses jalur lebar.

“Perkhidmatan terbabit diuruskan pembekal perkhidmatan dengan kandungan hanya akan dihantar sekiranya pengguna di rumah memesannya,” katanya.

Tidak seperti konsep ‘terus-ke-rumah’ yang menjadi ke biasaan pengguna di Malaysia, IPTV menawarkan kualiti berbeza dengan kandungan hiburan lebih meluas tanpa sebarang halangan.

“Paling menarik, siaran IPTV tidak akan terganggu oleh hujan, angin atau cuaca terik kerana struktur arkitekturnya berbeza,” kata Sangarajoo.

Berdasarkan aspek perniagaan pula, IPTV berkos efektif untuk pembekal perkhidmatan dan kandungan menyasarkan pengiklanan, ciri interaktif dan aplikasi berasaskan web mereka yang diperlukan dalam menjana keuntungan.

“IPTV turut sejajar dengan visi masa depan televisyen Nokia Siemens Networks yang mana pengalaman pengayaan kan dungan media membolehkan penciptaan, perkongsian dan perhubungan komuniti yang berterusan.

“Ia boleh dilakukan di mana saja, pada bila-bila masa dan pada mana-mana peranti yang diinginkan,” katanya.

Katanya, Malaysia adalah negara berpotensi untuk me majukan IPTV dengan kadar celik pengguna di kalangan masyarakat membantu memperluaskan kandungan.digital.

Sangarajoo berpendapat Malaysia mempunyai komitmen dan penetapan jalur lebar yang mantap dengan kadar pe nembusan baik memudahkan capaian IPTV.

“Negara ini sudah mempunyai prasarana tembaga terbaik di bandar dan luar bandar, sekali gus menjadikan Malaysia sesuai untuk memulakan IPTV.

“Ia membolehkan perkhidmatan generasi kandungan media masa depan yang bertepatan dengan kehendak pengguna tempatan selain mengekalkan visi sebagai negara termaju dalam sektor teknologi dan prasarana,” katanya.

Beliau berkata, IPTV membenarkan pengguna menikmati kemudahan Triple Play yang mempunyai pakej harga kom petitif di samping penerimaan saluran siaran secara ‘ala carte.’

“Sasaran itu turut menguntungkan pengiklan kerana me reka kini faham kehendak yang didapati menerusi pelanggan mereka,” katanya.

Sehingga Jun 2006, lebih 1,300 saluran IPTV percuma berada di pasaran dan sektor itu berkembang pesat dengan kebanyakan syarikat penyiaran di seluruh dunia menyalurkan isyarat siaran mereka menerusi Internet.

Saluran IPTV percuma itu hanya perlukan penyambungan Internet dan peranti yang menyokong standard Internet seperti komputer peribadi (PC) atau set kekotak di atas (set-top-boxes) yang disambung terus ke televisyen.

Disebabkan IPTV menggunakan standard protokol rang kaian, ia menjamin kos capaian yang rendah bagi pengguna dan kos operasi yang murah bagi penyedia perkhidmatan.

Menggunakan PC atau set kekotak di atas bersama dengan penyambungan jalur lebar, video boleh disalurkan ke rumah atau pejabat dengan lebih cekap berbanding kabel.

Dalam pada itu, segmen capaian Internet berasaskan jalur lebar berkembang begitu pesat di seluruh dunia.

Firma penyelidikan terkemuka, Gartner Group menjang kakan pelanggan IPTV

meningkat sekali ganda dari 6.4 juta pada 2006 dan lebih 48 juta isi rumah di seluruh dunia dijangka melanggan IPTV pada 2010.

Banyak syarikat telekomunikasi mula menerokai IPTV sebagai penjana keuntungan baru ke atas pasaran sedia ada mereka sebagai usaha menyaingi perkhidmatan yang di berikan oleh televisyen berkabel atau satelit.

Senario di negara kita turut tidak ketinggalan apabila penyedia perkhidmatan jalur lebar terkemuka, TM Net mempunyai saluran IPTV menerusi Hypp.TV yang boleh dicapai menerusi www.hypp.tv.

Hypp.TV menawarkan kandungan video dari tiga saluran utama iaitu sukan, berita dan gaya hidup serta hiburan tempatan.

IPTV bukan sekadar menawarkan kandungan yang siap dirakam dan perlu dipindah turun terlebih dulu oleh peng guna sebelum ditonton, malah ia sebenarnya meliputi ke dua-duanya yang dipanggil berbilang siaran (multicasting) untuk siaran langsung atau ‘live’ dan video yang sudah dirakam (Video atas Permintaan - VOD).

Kandungan video itu lazimnya akan dimampatkan meng gunakan kodek MPEG-2 atau MPEG-4 dan kemudian di hantar menggunakan penyalur pengangkutan MPEG me nerusi IP berbilang saluran (IP Multicast) untuk siaran langsung atau menerusi IP siaran tunggal (Unicast) untuk VOD.

IP Multicast adalah kaedah yang mana maklumat atau kandungan itu boleh dihantar ke banyak PC pada satu masa.

Sementara itu, standard pemampatan video kodek H.264 atau MPEG-4 semakin luas digunakan bagi menggantikan kodek MPEG-2 kerana ia lebih cekap dan mutu video yang lebih tinggi.

Salah satu perbezaan IPTV dengan siaran lain termasuk kandungannya boleh diperibadikan dan lebih interaktif di samping berkeupayaan menyalurkan kandungan berdefinisi tinggi (HD).

Lebih interaktif membawa maksud bahawa ia membenarkan komunikasi antara penonton dengan kandungan sama ada VOD atau saluran TV biasa. Pelanggan juga mungkin me nyumbang atau mengedarkan kandungan.

IPTV menawarkan kawalan yang menyeluruh serta mem beri kepuasan penonton. Mereka bukan saja boleh me nentukan kandungan atau program yang hendak ditonton, malah boleh mengawal masa, siapa dan berapa kali program itu mahu ditonton.

Dengan ciri kawalan itu, ia membolehkan keluarga me ngawal kebebasan anak-anak menonton sama ada dengan kawalan masa atau program tertentu saja.

- HARIAN METRO

Pengurusan Ramadan Nabi SAW

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

AHLAN Wasahlan Ya Ramadan (Selamat Datang Ya Ramadan). Begitulah ucapan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya bila menjelang bulan al-mubarak sebagai menghormati dan menyambut bulan mulia tersebut.

Sebelum menjalankan ibadat Ramadan, ada beberapa perkara yang perlu difahami, di antaranya ialah puasa Ramadan adalah rukun Islam yang keempat.

Hukumnya adalah fardu (wajib) yang langsung dari perintah Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu sekalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Dalam hadis dijelaskan, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Islam itu dibangun di atas lima (dasar). Kesaksian bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu adalah utusan-Nya, menegakkan solat, menunaikan zakat, melaksanakan puasa Ramadan dan menunaikan haji. (riwayat Muslim).

Dari ayat dan hadis di atas berpuasa Ramadan hukumnya wajib atas setiap Muslim dan Muslimat yang sihat akalnya, dan telah mukalaf, tidak dalam keadaan musafir dan sakit. Khususnya bagi wanita, tidak dalam keadaan haid dan nifas.

Allah SWT mensyariatkan berpuasa dan pelbagai ibadat Ramadan sebagai salah satu program yang harus dilalui setiap muslim dan mukmin dalam pembentukan karakter takwa mereka.

Sebaliknya ancaman keras bagi orang-orang beriman yang tidak melaksanakan ibadat puasa Ramadan.

Ia sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW yang bermaksud: Ikatan dan penegak agama Islam itu ada tiga. Siapa yang meninggalkan salah satu darinya, maka ia telah kafir, halal darahnya iaitu: syahadat, solat fardu, puasa Ramadan. (riwayat Abu Ya'la dan Dailami). Yang dimaksudkan kafir ialah hukumnya seperti murtad.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang berbuka satu hari dalam bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (faktor yang membolehkan berbuka) dari Allah, maka tidak akan tergantikan walaupun ia melaksanakan puasa sepanjang masa. (riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi).

Jenis-jenis puasa itu terbahagi dua, pertama puasa fardu (wajib), dan kedua puasa tathowwu' (puasa sunat).

Adapun puasa wajib terbahagi tiga, pertama puasa Ramadan, iaitu puasa yang dilaksanakan selama bulan Ramadan seperti dijelaskan dalam surah al-Baqarah: 183.

Kedua, puasa kaffarat (puasa denda), iaitu puasa yang wajib dilakukan sebagai denda dari pelanggaran hukum seperti pelanggaran dalam ibadat haji, membunuh tidak sengaja, melanggar sumpah dan sebagainya.

Ketiga, adalah puasa nazar, iaitu jika seseorang bernazar dengan berpuasa bagi perkara yang dinazarkannya seperti jika ia sembuh dari penyakit dan sebagainya maka ia bernazar untuk berpuasa. Puasa seperti ini disebut dengan puasa nazar dan wajib hukumnya.

Puasa tathowwu' (puasa sunat), adalah puasa enam hari di bulan Syawal. Dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan: Siapa yang berpuasa Ramadan, kemudian dia teruskan dengan enam hari di bulan Syawal, seakan dia berpuasa sepanjang masa (tahun). (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Nasa'i)

Isnin dan Khamis

Puasa hari Arafah bagi yang tidak menunaikan ibadat haji. Dalam hadis dijelaskan: Berpuasa hari Arafah (9 Zulhijah) menghapuskan dosa dua tahun, setahun sebelum dan setahun selepasnya. (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Nasa'i).

Puasa hari Asyura (10 Muharam). Dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan: Puasa pada hari Arafah (9 Zulhijah) menghapus dosa dua tahun yang lalu dan yang akan datang. Dan puasa Asyura (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun yang lalu. (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Tirmizi).

Berkaitan puasa Asyura, Rasulullah SAW menyarankan agar ditambah sehari sebelumnya agar tidak sama dengan Yahudi, kerana mereka juga berpuasa pada hari Asyura.

Puasa diperbanyak di bulan Syaaban. Dari Aisyah r.a dia berkata: Aku tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya kecuali di bulan Ramadan sahaja, dan aku tidak melihat banyak berpuasa di bulan selain Ramadan kecuali di bulan Syaaban. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Puasa pada hari Isnin dan Khamis. Dari Abu Hurairah r.a dia berkata: Rasulullah SAW paling banyak berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Lalu Baginda ditanya kenapa? Baginda menjawab : Sesungguhnya semua amal diangkat (ke langit) setiap hari Isnin dan Khamis. Maka Allah akan mengampunkan setiap Muslim atau setiap Mukmin kecuali dua orang yang sedang berbantah, maka Allah berkata : Tangguhkan keduanya." (riwayat Imam Ahmad).

Puasa tathowwu' (sunat) dibolehkan berbuka, khususnya jika ada penyebabnya seperti dijemput makan. Dari Abu Said al-Khudri r.a dia berkata: "Saya menyiapkan makanan untuk Rasulullah SAW, maka Baginda datang dengan beberapa sahabatnya. Ketika makanan dihidangkan salah seorang di antara mereka berkata: Sesungguhnya saya sedang berpuasa. Lalu Rasulullah berkata: Saudaramu telah menjemputmu dan telah bersusah payah untukmu. Kemudian Baginda bersabda: Berbukalah dan berpuasalah di hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu". (riwayat Baihaqi).

Setiap ibadat dalam Islam ada rukunnya agar ibadat itu dapat tegak dan berjalan dengan benar. Demikian juga dengan puasa Ramadan ada dua rukun.

Pertama, niat yang menentukan sah atau tidaknya ibadat seseorang seperti yang dijelaskan Rasulullah SAW: Sesungguhnya (sahnya) setiap amalan itu bergantung adanya niat, dan sesungguhnya setiap orang (akan memperoleh) sesuai apa yang diniatkannya. Siapa yang berhijrah kerana kepentingan dunia yang akan dia peroleh atau wanita yang akan dinikahinya, maka dia akan memperoleh apa yang diniatkannya. (riwayat Muslim).

Setiap amal ibadat, baik wajib mahupun yang sunat akan bernilai di mata Allah jika didasarkan dengan niat.

Niat kerana Allah

Niatnya harus hanya kerana Allah, tidak menyeleweng sedikitpun. Kemudian itu niat letaknya dalam hati yang diucapkan dengan lisan, termasuk niat berpuasa Ramadan mesti dilakukan dalam hati. Waktunya sebelum terbit fajar.

Juga menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak terbit fajar sampai matahari tenggelam sebagaimana maksud dalam surah al-Baqarah: 187.

Yang berniat membatalkan puasanya di siang hari, dengan demikian membatalkan puasanya walaupun dia tidak makan atau minum.

Adapun yang membatalkan puasa dan mesti diqada dan kaffarat menurut jumhur ulama adalah berhubungan suami dan isteri dengan sengaja.

Kaffarat bagi yang berhubungan suami isteri ialah memerdekakan hamba. Jika tidak sanggup, berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika tidak mampu memberi makan fakir miskin sebanyak 60 orang, seperti yang dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW, yang diriwayatkan Imam Bukhari.

Jumaat, Ogos 28, 2009

Sambutan kemerdekaan 2009 cuma 40 minit

Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 di pekarangan Parlimen hanya akan berlangsung selama 40 minit bagi menghormati bulan Ramadan dan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sambutan pada Isnin ini akan dimulakan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada pukul 8 pagi dan kemudiannya diikuti kepimpinan tertinggi negara lain.

Beliau berkata, sebanyak 1,600 orang akan berada di pekarangan Parlimen dan ia termasuk bekas Perdana Menteri, ahli-ahli Parlimen dan wakil kedutaan asing manakala 1,000 peserta lagi akan berdiri di kiri kanan jalan dari pintu masuk utama sehingga pekarangan Parlimen.

''Majlis akan dimulakan dengan pertunjukan gerak senaman serta nyanyian yang melambangkan 1Malaysia dan lintas udara oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

''Acara lain yang akan diadakan adalah kawad hormat, ikrar merdeka dan laungan merdeka sebanyak tujuh kali," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Berikutan pekarangan Parlimen yang sempit, katanya, orang ramai digalakkan untuk menyaksikan upacara sambutan itu hanya menerusi siaran langsung televisyen.

''Jika orang ramai masih ingin hadir mereka akan dibenarkan menyertai lebih 6,000 peserta yang akan berdiri di kiri kanan jalan dari bulatan Bank Negara sehingga pintu utama Parlimen.

''Orang ramai dan peserta yang hadir akan diberikan buku kecil mengenai 1Malaysia terbitan Jabatan Penerangan secara percuma.

''Kita juga menggalakkan semua yang hadir untuk memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak jangkitan virus H1N1," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Tuanku Mizan; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadiri Majlis Kesyukuran Merdeka yang akan diadakan di Masjid Negara pada Ahad ini.

''Majlis yang akan dihadiri 3,000 orang bermula pada pukul 6.30 petang melibatkan majlis berbuka puasa, solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah serta jamuan moreh," jelasnya.

Katanya, pada hari sama turut diadakan Majlis Kesyukuran Merdeka di St. John Cathedral, Jalan Bukit Nenas; Wisma Buddhist, Jalan Klang Lama dan Kuil Sri Ramalingeswaran, Off Jalan Bangsar yang akan dihadiri menteri dan timbalan menteri bukan Islam.

Sementara itu, beliau berkata, pemilik bangunan dan rumah yang masih lagi tidak mengibarkan Jalur Gemilang diminta segera berbuat demikian.

''Saya memohon supaya ini dijadikan sebagai perjuangan peribadi untuk Malaysia yang dicintai dan bukan untuk apa-apa gerak kerja politik atau kepercayaan lain," katanya.

- UTUSAN

ADUN Terengganu akui ada rundingan keluar Umno

Seorang wakil rakyat Umno Terengganu hari ini mengakui memang ada rundingan melibatkan beberapa orang wakil rakyat lain parti berkenaan berhubung cadangan untuk lompat parti.

ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata cakap-cakap mengenai tindakan untuk meninggalkan Umno bermula sejak dua bulan lalu, berikutan rasa tidak senang dengan kepemimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

"Ini bermula daripada cadangan. Cadangan ini ada daripada PKR dan ada daripada individu," katanya kepada Malaysiakini, tanpa menamakan individu-individu berkenaan.

Jelasnya, pertemuan seumpama itu juga diadakan secara tidak rasmi di antara beliau sendiri dan beberapa lagi wakil rakyat Umno negeri itu.

Beliau turut mengesahkan terdapat sembilan orang wakil wakyat Umno yang kini tidak lagi menyokong kepimpinan ADUN Kijal.

"Memang betul kami tidak berpuas hati dengan menteri besar," kata Nawi lagi.

Ditanya sama ada wujud rundingan balas pihak menteri besar atau Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak untuk memujuk mereka kekal dalam Umno, Nawi berkata: "Tidak ada."

Beliau juga menolak laporan media bahawa tindakan mereka itu akan disekat oleh pemimpin-pemimpin tertentu PAS Terengganu.

"Maknanya sekarang ini, bebaslah (kami) sama ada hendak kekal atau hendak keluar daripada parti," katanya.

Sementara itu, ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah pula tidak tahu-menahu mengenai rancangan sembilan wakil rakyat Umno di negeri itu untuk menyertai PKR.

"Saya sendiri tidak pernah mendengar (nak lompat). Belum ada lagi yang nak lompat,” kata wakil rakyat Umno itu ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

"Kita tidak pernah berbincang tentang perkara ini."

PAS Terengganu: Jijik ADUN lompat parti

Pesuruhjaya PAS Terengganu menegaskan bahawa beliau memang tidak menerima seseorang wakil rakyat melompat parti – seperti diura-urakan akan melibatkan sembilan ADUN Umno.

"Kalau mereka mahu lompat, lompatlah. Tapi saya tidak suka orang lompat parti ini.

"Saya anggap lompat-lompat parti ini perbuatan jijik," kata Datuk Harun Taib kepada Malaysiakini hari ini.

Diminta mengulas kemungkinan wakil-wakil rakyat Umno melompat kepada PKR dan bergabung dengan PAS untuk membentuk kerajaan baru di negeri itu, ADUN Manir berkata beliau tidak tahu-menahu tentang perkara tersebut.

"Saya tidak tahu, biar ia berlaku dululah baru kita boleh tengok kesannya," katanya lagi.

Harun, yang juga ketua Dewan Ulama PAS, menambah beliau tidak menghalang mana-mana wakil rakyat Umno yang ingin menyertai parti dalam gabungan Pakatan Rakyat itu.

"Macam mana saya nak halang, saya mana ada kuasa untuk halang siapa-siapa," katanya, mengulas laporan media yang mendakwa beliau berbuat demikian kerana mempunyai hubungan baik dengan menteri besar.

Dihubungi petang ini, Harun mengakui beliau memang mempunyai hubungan lebih baik dengan Datuk Ahmad Said berbanding bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh, juga ADUN Jertih.

Jelasnya, beliau lebih senang bekerjasama dengan ADUN Kijal dalam urusan pentadbiran negeri itu berbanding Idris – pemimpin “gelombang biru” yang berjaya menumbangkan kerajaan PAS di neger itu dan mentadbir sehingga 2008.

"(Sebagi pemimpin Umno,) Ahmad pun sama juga, tapi Idris lagi teruk. Habis dia rampas balik tanah yang diberikan (oleh kerajaan PAS) kepada rakyat dulu," katanya, bekas exco pendidikan negeri.

Ditanya lagi sekiranya beliau mengetahui perjumpaan yang didakwa diadakan di antara wakil-wakil rakyat Umno itu dengan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Harun berkata:

"Saya tidak tahu langsung. Saya tidak ada kena-mengena dengan perkara itu."

Tambahnya, beliau juga tidak menganjurkan apa-apa perbincangan mengenai isu berkenaan.

"Orang boleh kata macam-macam. Tapi bukan kerja saya untuk berbincang mengenai perkara ini," katanya lagi.

- MALAYSIAKINI

Mara beri diskaun 30% kepada peminjam

Majlis Amanah Rakyat (Mara) menawarkan diskaun 30 peratus kepada peminjam yang membayar balik secara penuh pinjaman mereka berkuat kuasa 1 September hingga 31 Disember tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pemberian diskaun pembayaran balik sempena sambutan kemerdekaan negara kali ke-52 itu untuk menggalakkan peminjam membayar balik pinjaman yang telah diberikan.

Katanya, galakan membayar itu secara tidak langsung membolehkan dana baru dapat dikumpul untuk pembiayaan program pinjaman pada masa akan datang.

"Pemberian diskaun itu tertakluk kepada peminjam untuk jenis pinjaman perniagaan atau pembiayaan perniagaan (tidak termasuk pinjaman atau pembiayaan kontrak), bekas penyewa premis perniagaan atau perusahaan.

"Selain itu, pinjaman Mikrokomputer Pelajar, pendahuluan pinjaman pelajaran, mereka yang tidak layak mendapat pengurangan Pinjaman Pelajaran Mara, bekas pelatih Institusi Pendidikan Mara dan pinjaman bekas anggota Mara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan majlis sambutan Bulan Kemerdekaan di ibu pejabat Mara di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinin.

Idris berkata, kepada mereka yang dikenakan tindakan undang-undang, penguatkuasaan Mara sendiri atau diisytiharkan muflis oleh mana-mana pihak adalah tidak layak untuk pengurangan pembayaran tersebut.

Katanya, pemberian diskaun itu tidak termasuk kos guaman dan kos iklan nama penghutang yang disiarkan dalam akhbar.

Beliau seterusnya berkata, bukan semua peminjam di bawah skim Pinjaman Pelajaran Mara layak untuk menerima diskaun pengurangan pinjaman tersebut.

"Antaranya peminjam pelajaran tidak boleh ubah yang ditawar sebelum 1 Januari 1985, peminjam di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) mulai 1 Januari 1998.

"Begitu juga pelajar tahun akhir di bawah tajaan Mara yang berada di luar negara, peminjam yang melanggar kontrak, dan mereka yang gagal dalam pengajian," katanya.

Sebelum itu, katanya lagi, peminjam perlu melakukan pengesahan baki pinjaman terlebih dahulu dan mengisi borang permohonan pemberian diskaun sebelum membuat bayaran penuh di kaunter bayaran di pejabat Mara.

Sementara itu, beliau turut diminta mengulas mengenai penstrukturan semula Mara seperti yang diperkatakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Beliau berkata, kerajaan akan menstrukturkan semula hala tuju agensi yang telah banyak berjasa kepada rakyat itu untuk tujuan penambahbaikan.

Idris memberitahu, perbincangan akan dilakukan pada waktu terdekat untuk mengenalpasti langkah mengkaji kedudukan dan prestasi Mara supaya terus relevan sepanjang masa termasuk dengan melantik perunding.

"Pandangan masyarakat, konsep 1Malaysia dan peranan agensi itu pada masa akan datang dalam membantu rakyat antara perkara yang akan diberi perhatian untuk diteliti," ujar beliau.

- UTUSAN

Muhasabah diri dalam kepimpinan

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
Pensyarah Kanan, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

KEPIMPINAN dan pentadbiran adalah amanah Allah yang paling berat untuk dipikul. Setiap tindakan para pemimpin dan pentadbir akan dipersoalkan di hari akhirat kelak.

Kejayaan kepimpinan mereka akan memberi kesan paling baik dalam struktur sosial, ekonomi dan politik.

Kegagalan pula boleh menyebabkan umat Islam menghadapi krisis kemiskinan, pergolakan politik dan kekacauan dalam negara. Tetapi inilah fenomena yang wujud dalam dunia Islam masa kini.

Berdasarkan suasana ini, para pemimpin dan pentadbir di negara-negara Islam amat perlu bermuhasabah dan memikirkan kelemahan serta kesilapan mereka dalam urusan pentadbiran dan kepimpinan.

Faktor-faktor yang menyebabkan kepincangan dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinan dan pentadbiran negara perlu dianalisis secara teliti dan ikhlas supaya kesilapan yang sama tidak berulang. Antaranya ialah:

Pertama, sesetengah pemimpin utama kurang teliti sewaktu melantik barisan orang kanan untuk membantunya memimpin negara.

Pelantikan sebegini boleh melemahkan sistem pemerintahan. Keadaan itu jika berterusan akan menimbulkan kemarahan rakyat dan menyebabkan kerajaan goyang dan akhirnya runtuh.

Kedua, sikap pucuk pimpinan yang mempertahankan orang-orang di sekelilingnya walaupun mereka ternyata telah melakukan kesalahan.

Sikap ini bukan sahaja bertentangan dengan perspektif Islam tetapi bakal menjurus kepada kehancuran kerajaan.

Dalam sistem kepimpinan Islam, keadilan dan kejujuran merupakan asas utama bagi pelantikan pemimpin dan pentadbir. Negara bukan milik individu atau kelompok tertentu yang boleh bebas bertindak sesuka hati tetapi hak keseluruhan rakyat.

Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda tidak pernah menunjukkan sikap tolak ansur terhadap mana-mana pemimpin dan pentadbir di bawah mereka yang tidak amanah melaksanakan tugas.

Para pemimpin, baik di peringkat mana pun, perlu sedar mereka sentiasa menjadi perhatian rakyat. Mereka akan diadili di dunia dan begitu juga ketika menghadap Allah di akhirat kelak.

Faktor ketiga yang menyebabkan banyak negara Islam ketika ini menjadi lemah dan tidak stabil ialah sikap pucuk pimpinan yang mengenepikan kepentingan rakyat. Pemimpin sebegini biasanya tidak telus dan tidak ikhlas melaksanakan dasar dan perancangan untuk pembangunan negara.

Faktor keempat yang menyebabkan kemarahan rakyat ialah pemimpin yang enggan menerima kritikan. Sikap angkuh dan bongkak itu akhirnya akan memakan diri.

Apabila kebencian terhadap pemimpin tersebut tidak dapat dibendong maka masyarakat menunding jari kepada pucuk pimpinan negara dan menunjukkan sikap penentangan terhadapnya. Suasana begini merupakan lumrah dalam dunia Islam masa kini.

Berdasarkan kepada faktor-faktor tersebut, para pemimpin seharusnya sentiasa bermuhasabah. Mereka perlu sentiasa memandang ke belakang dan menilai semula kepimpinan mereka.

Bila patriotisme kian luntur

Oleh SITI SHAMSIAH MD SUPI
Pegawai Penyelidik Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Ujar Ibnu Khaldun secara fitrahnya setiap peradaban bangsa akan melalui tiga zaman atau peringkat; kemunduran, kemewahan dan kehancuran. Peringkat atau zaman kemunduran merupakan proses perjuangan mempertingkatkan keadaan hidup yang mundur, daif atau terjajah kepada keadaan yang merdeka, lebih aman, selesa, maju dan seimbang.

Apabila peringkat yang seimbang telah dapat dicapai, maka warga bangsa akan meneruskan usaha untuk mencapai tahap yang lebih baik dan mewah. Peringkat yang stabil dan proses mencapai kehidupan lebih terkehadapan adalah era warga bangsa begitu menghargai keadaan sebelumnya dan sangat bersyukur pada apa yang mereka miliki di peringkat ini.

Kesempitan dari sudut kemudahan asas atau yang bersifat daruriyyah, apatah lagi 'jauh panggang dari api' yang berbentuk hajiyat akan menerbitkan rasa syukur dan penghargaan bila keadaan bertukar kepada kehidupan yang lebih selesa.

Peringkat yang dilalui oleh peradaban satu-satu bangsa ada kaitannya dengan semangat patriotisme. Perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air akan terserlah dan terzahir apabila keadaan negara memerlukan pertahanan, perlindungan serta kesejahteraan daripada ancaman dan tentangan dari luar atau secara mudahnya ia membawa maksud sebagai penentangan terhadap penjajahan.

Dapat dilihat siapa musuh negara secara zahir dan hakiki atau pembelot dari kalangan warga bangsa sendiri seperti Sang Rajuna Tapa. Pada ketika ini patriotisme tertanam jauh ke dalam dasar hati, dibawa selama-lamanya sehingga jasad dikandung tanah.

Pada zaman ini juga setiap warga bangsa merupakan patriot kerana tidak rela melihat walau seinci ibu pertiwi diredah, dijajah, dieksploitasi demi keuntungan penjajah. Apatah lagi daulat negara dicincang dan dinafi dengan penuh kehinaan tanpa sebarang harga.

Setiap patriotik akan mewariskan sejarah kepada keturunannya dan generasi selepas mereka. Betapa bumi merdeka ini harus dipertahankan kedaulatannya. Tidak ada siapa yang akan menjaga untuk kita, melainkan diri sendiri.

Kesinambungan kemerdekaan harus berlangsung sampai bila-bila. Namun, sejarah kemudiannya perlahan-lahan menjadi 'novel tradisi' kepada generasi yang lebih terkemudian. Tidak lagi menjadi kunci kepada jati diri warga bangsa.

Kelunturan patriotisme dapat dilihat pada tingkah laku, pendirian dan cara bertindak generasi muda. Mereka yang berjuang dan berhempas-pulas menegakkan tiang seri jalur gemilang hanya mampu menggeleng dan menitiskan air mata bila melihat belia pada hari ini tidak mempunyai sikap yang prihatin untuk terus mempertahankan kedaulatan negara.

Ada juga kalangan yang keliru yang mengatakan hubb al-watan itu merupakan 'asabiyah, tetapi sebenarnya Baginda Rasulullah menegaskan bahawa 'asabiyah berlaku bila kita tetap mempertahankan ahli keluarga atau kaum kerabat biarpun dia telah melakukan kesalahan. Malah para hukama' mengatakan mencintai tanah air itu sebahagian daripada iman.

Penyerlahan patriotisme oleh seorang warga bangsa sudah tentu tidak sama bentuknya sebagaimana ketika berlakunya penjajahan. Banyak orang telah cuba menterjemah dan menjelaskan bentuk-bentuk semangat perjuangan dalam suasana negara yang telah merdeka. Penjajahan pemikiran dan penjajahan ekonomi antara perjuangan yang masih belum selesai.

Menyertai konsep patriotisme yang kini semakin abstrak dan subjektif sifatnya, berdasarkan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara yang lima, pada hemat penulis; seseorang itu telah luntur atau hilang semangat patriotiknya bila ia tidak menghormati undang-undang negara.

Sekecil mana pun peruntukan yang telah digubal, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang untuk mematuhinya. Undang-undang yang berdaulat hanya dapat digubal apabila sesebuah negara mencapai kemerdekaan.

Lebih kurang satu dekad Perlembagaan Persekutuan melalui proses penggubalan sebelum ia benar-benar dapat berfungsi menjadi undang-undang tubuh. Daripadanya, maka dibentuk dan digubal undang-undang lain supaya Malaysia memiliki undang-undang yang sempurna dan dapat memelihara ketenteraman dan kesejahteraan awam.

Tidak mematuhi undang-undang boleh diibarat seperti melanggar dinding pertahanan negara; juga seakan-akan satu usaha membuat kacau-bilau terhadap keadaan yang asalnya aman. Itulah sebabnya apabila berlaku perlanggaran undang-undang dan sabit kesalahan, seseorang pesalah perlu membayar harganya dengan menerima hukuman sebagaimana yang telah diperuntukkan.

Namun jika hukuman itu diterima dengan penuh keinsafan, ia adalah petanda bahawa berlaku proses pendidikan daripada kesilapan yang telah dilakukan dan undang-undang berjaya mengajar dan membentuk kedegilan manusia kepada memiliki sikap yang lebih baik dan bernilai untuk negaranya.

Bukanlah sikap yang patriotik juga bagi seseorang yang memiliki kemahiran tinggi tetapi cenderung untuk membuat pilihan yang lebih memberi keuntungan peribadi kepada dirinya sedangkan pada masa yang sama negara amat memerlukan kemahiran tinggi tersebut.

Contoh yang boleh dikemukakan di sini adalah seperti kepakaran dalam bidang perubatan. Sasaran nisbah yang diletakkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi setiap seorang doktor dengan jumlah penduduk adalah 1:600. Pada tahun 1957, nisbah seorang doktor dengan penduduk di Tanah Melayu adalah 1: 8,229.

Nisbah ini mengalami perkembangan yang sangat memberangsangkan dengan pada tahun 2007 adalah 1:1,145, dan target yang mungkin dapat dicapai oleh Malaysia pada tahun 2013 adalah 1:1,600, yang sebenarnya masih sangat jauh dengan piawaian yang diletakkan oleh pertubuhan antarabangsa tersebut.

Lebih malang lagi apabila terdapat dari kalangan rakyat negara ini yang sedar tentang keperluan negara tetapi tidak berasa apa-apa untuk tidak menghiraukannya.

Seakan-akan suatu fitrah bagi setiap tamadun atau peradaban yang akan bertemu dengan zaman kejatuhan dan kemalapan selepas menikmati zaman kemewahan dan kesempurnaan.

Namun kata Malek bin Nabi walaupun era tersebut tidak dapat dielak namun tidak seharusnya ia bermaksud kehancuran dan keruntuhan yang langsung tidak mampu memberi sedikit pun nafas. Walaupun secara relatifnya ia jatuh atau jauh sangat rendah kedudukannya berbanding dalam zaman kegemilangannya, tetapi ia seharusnya suatu keadaan yang masih mampu ditampan oleh kekuatan jati diri warga bangsa.

Menurut beliau lagi faktor pemikiran yang kukuh dan pendidikan yang berteraskan kepada akidah yang ampuh mampu mengekang keruntuhan yang bersifat mutlak.

Keistimewaan Ismail sebagai pakar ekonomi

Oleh ROOSFA HASHIM
Pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia

YB Senator Prof Datuk Dr. Ismail Md. Salleh meninggal dunia semalam. Penulis sempat bercakap di telefon dengan Dr. Wan Ali Wan Mamat bekas Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia yang juga jiran Allahyarham tentang kematian mengejut beliau.

Menurut Wan Ali, arwah menghembuskan nafas terakhirnya di bahu isterinya ketika dalam penerbangan pulang dari China ke Singapura pagi semalam. Beliau meninggal pada usia 62 tahun.

Allahyarham Ismail telah meninggalkan pelbagai rekod yang sungguh cemerlang sepanjang kerjayanya sebagai seorang ahli akademik dan pakar ekonomi.

Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Twintech Holdings dan menjadi Naib Canselor, Twintech International University College dan Pengerusi PPP Resource & Advisory Centre.

Ismail anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan graduan sarjana muda sains dalam bidang ekonomi dan sains politik daripada State University of New York pada 1973. Beliau kemudian menerima ijazah sarjana sains (ekonomi) pada 1974 dan Ijazah kedoktoran pada 1977 kedua-duanya daripada University of Illinois.

Kerjayanya sebagai ahli akademik bermula di Jabatan Analisa Ekonomi dan Dasar Awam, Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia pada Jun 1977 sebelum mengetuai jabatan tersebut pada 1981 selama tiga tahun.

Pertama kali penulis bertemu dengannya ketika mengikuti kuliah beliau pada awal tahun 1980-an, memang cukup menarik hati dan memukau. Beliau memperkatakan teori ekonomi dengan realiti negara ketika itu menggunakan paparan overhead projector yang sarat dengan graf dan jadual seolah-olah paksi-paksi dalam graf itu dan baris serta lajur dalam jadual yang diperkatakannya itu dilihatnya sedangkan beliau tidak nampak satu apa pun.

Batang penunjuk yang digunakannya bergerak tepat dari satu titik ke satu titik pada lengkuk dan kelok graf yang dibincangkannya tanpa tersasar sedikit pun. Demikianlah hebatnya Ismail sebagai guru ekonomi sewaktu penulis sempat menghadiri beberapa kuliahnya sekitar suku abad yang lalu.

Pembentangannya, hujahnya, fakta serta data yang disyarahkannya mengalir dengan lancar tanpa cacat dan cela. Sungguhpun beliau tidak dapat melihat mahasiswanya, tidak ada pula yang mencuri-curi keluar ketika beliau memberikan kuliahnya. Beliau seorang guru yang amat dihormati.

Semasa menjadi editor Intisari Dagang, sebuah majalah ekonomi pada penghujung 1980-an, penulis singgah ke pejabatnya dan mengundang beliau menjadi kolumnis untuk majalah tersebut. Tanpa banyak soal, beliau bersetuju dan menjadi antara kolumnis yang menghantar tulisan tepat pada waktunya.

Kami menjadi lebih rapat kerana saya perlu singgah ke pejabatnya setiap kali deadline majalah tersebut tiba. Dalam kolumnya beliau menyentuh pelbagai isu ekonomi yang melanda negara ketika itu.

Prof. Ismail memang terkenal dengan tulisannya yang banyak terbit dalam bentuk buku dan makalah dalam jurnal antarabangsa. Beliau juga kemudian menjadi kolumnis untuk beberapa akhbar dan majalah terkemuka.

Pada 1989 beliau juga dilantik menjadi Timbalan Pengarah Eksekutif Centre of Economic Research and Services. Dengan kepakarannya yang terserlah dalam bidang ekonomi, Ismail kemudian dilantik menyertai ISIS antara 1990-1994 sebagai Penolong Ketua Pengarah dan kemudian sebagai Timbalan Ketua Pengarah.

Ismail bukan sahaja aktif dan dikenal sebagai seorang sarjana dalam bidang ekonomi tetapi mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan serta menduduki pelbagai jawatankuasa di pelbagai peringkat. Antara lain beliau menganggotai Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN) dan kemudiannya Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Minat dan kecenderungan Ismail terlalu kuat dalam pendidikan tinggi. Sungguhpun terlibat dengan pelbagai institusi di luar kampus, beliau masih mengikat dirinya dengan pendidikan tinggi khususnya bagi memberi peluang pengajian tinggi di universiti swasta. Beliau menganggotai Majlis Pendidikan Tinggi Negara dan dalam masa yang sama memimpin Persatuan Pendidikan Tinggi Swasta Bumiputera Kebangsaan. Seringkali beliau mengetengahkan pelbagai isu yang berkaitan dengan masa depan universiti dan kolej swasta yang dibangunkan oleh kaum bumiputera.

Kekurangan beliau dari segi penglihatan sebaliknya telah meletakkan Ismail pada kedudukan yang tinggi. Beliau diberi kepercayaan sebagai Presiden Persatuan Orang Buta Malaysia dan kemudian menjadi Pengerusi Hospital Mata Tun Hussein Onn.

Guinness Book of Record mencatatkan beliau sebagai orang cacat penglihatan yang pertama memperoleh ijazah kedoktoran. Dua tahun lalu Ismail dilantik pula sebagai Senator di Dewan Negara bagi mewakili golongan kurang upaya. Selain itu beliau juga menjadi Pengerusi East Asia, International Council for the Education of the People With Visual Impairment (ICEVI).

Sungguhpun berpendidikan tinggi Ismail nampaknya tidak lupa kepada golongan masyarakat yang senasib dengannya. Semasa dilantik menjadi Senator, beliau berkata; "Peluang yang diberikan akan digunakan dengan sebaik-baiknya oleh saya untuk memartabatkan lagi golongan OKU supaya masa depan kami lebih terbela."

Ismail juga menduduki pelbagai kerusi penasihat yang ditubuhkan oleh kerajaan, termasuk NITF - National Implementation Task Force yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri bagi Pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-9, kerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Yayasan Tenaga Nasional, Malaysian Business Council serta menjadi Felo Pelawat di ISIS.

Sebagai mengiktiraf kepakaran dan sumbangan besarnya dalam bidang ekonomi, Ismail dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Irish International University. Sejak tahun 2000, Prof Dr. Ismail juga menjadi Profesor Ajung di Universiti Utara Malaysia. Pada 1993 beliau menerima anugerah Johan Setia Mahkota (JSM) daripada Yang di-Pertuan Agong dan Pingat Kepujian Tertinggi daripada kerajaan negeri Pulau Pinang. Gelaran Datuk diperolehnya pada 2001 daripada Yang di-Pertuan Agong.

Recent Posts