Jumaat, Ogos 14, 2009

Rohaizat Othman calon BN di Permatang Pasir


Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pemilihan setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman sebagai calon BN untuk pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini.

Beliau membuat pengumuman tersebut di Bukit Merah, Permatang Pasir pada jam petang ini.

Nama Rohaizat pernah disebut-sebut akan dicalonkan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti baru-baru.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan apabila BN memutuskan untuk tidak meletakkan calon bertanding di kerusi tersebut.

Manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula akan mengumumkan calonnya pada jam 9 malam ini.

Salah satu yang disebut-sebut mungkin dipilih mewakili PAS kali ini ialah Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd Salleh Man.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman kerana serangan jantung pada 31 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 17 Ogos ini.

Sebelum ini, Umno bahagian Permatang Pauh menyenaraikan empat calon termasuk Mohd Zaidi kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang terbaik untuk mewakili parti itu.

Manakala jawatankusa PAS pula bermesyuarat hujung minggu lalu membicangkan lima orang calon termasuk Salleh.

- MALAYSIAKINI

Mayat bayi dalam tandas sekolah


Amat menyayat hati apabila mayat bayi lelaki yang sudah berbau ditemui di atas tangki tandas dalam bilik air lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh di sini, semalam.

Mayat bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat tanpa pakaian itu ditemui seorang pekerja am sekolah itu kira-kira jam 10 pagi dalam keadaan terlungkup dan dipercayai dilahirkan sejak dua hari lalu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Star, Deputi Superintendan Mohd Fiesal Libertus Abdullah, berkata polis menahan seorang pekerja am wanita berusia 40-an yang bekerja di sekolah asrama penuh itu.

Menurutnya, polis yang bergegas ke tempat kejadian menemui mayat bayi terselit dalam tangki mengepam air tandas.

Siasatan mendapati wanita itu pernah mengalami pendarahan ketika bertugas Selasa lalu dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star untuk rawatan.

Difahamkan, wanita terbabit sudah bersuami dan mempunyai lima anak.

Mohd Feisal berkata, polis akan mengambil keterangan beberapa saksi, termasuk suami wanita terbabit yang bekerja sebagai penoreh getah bagi membantu siasatan.

“Kita akan membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menentukan kaitan antara wanita berkenaan dengan mayat bayi yang ditemui. Punca kematian belum dikenal pasti dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat daripada HSB,” katanya.

- HARIAN METRO

Permatang Pasir: Erti kemenangan untuk Pakatan Rakyat

Bagi PAS, kemenangan di Permatang Pasir nanti adalah untuk orang Melayu dan Islam. Bagi DAP, kemenangan nanti bererti sokongan kepada kerajaan pimpinan Setiausaha Agungnya, Lim Guang Eng di negeri itu. Bagi PKR, kemenangan di sini bererti sokongan terus menerus kepada anggota Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Inilah perspektif yang ada kepada semua parti-parti dalam Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir nanti.

Perspektif inilah yang bakal menyatukan mereka dengan satu tujuan iaitu memenangkan calon PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat melawan calon Umno yang akan mewakili Barisan Nasional (BN).

Walaupun siapapun mewakili PAS, perpekstif ini jelas di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat yang berbengkel sehari suntuk semalam di Petaling Jaya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof menyatakan bahawa kemenangan Dewan Undangan Negeri (Dun) N11 Permatang Pasir adalah kemenangan bagi orang Melayu dan umat Islam di Pulau Pinang.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, adalah menjadi keperluan supaya kerusi Dun Permatang Pasir kekal kemenangannya di tangan PAS kerana ia adalah satu keperluan walaupun hanya dengan satu kerusi yang ada di Pulau Pinang.

"Dengan kemenangan tersebut walaupun dengan satu kerusi yang ada maka PAS dapat memberi pandangan, teguran dan memberi pembelaan kepada nasib orang Melayu dan umat Islam khususnya di negeri ini.

"Perkara ini bukan hanya setakat amalan soleh sahaja malah ia adalah suatu keperluan untuk membela dalam banyak perkara dan isu yang berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam di Pulau Pinang.

"Tetapi sekiranya ia di menangi oleh pihak yang lain maka mereka tidak dapat memberi pembelaan apa-apa kepada orang Melayu dan umat Islam kerana mereka itu bukannya parti yang memerintah di negeri Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Masjid Batu, Kampung Pertama, Permatang Pauh iaitu dalam kawasan pilihan raya Permatang Pasir.

Tidak boleh 'over confident'

PAS juga mengarahkan seluruh jenteranya meletakkan keputusan Pilihan Raya Umum 2004 sebagai kayu ukur yang hanya menang 500 lebih kerusi berbanding PRU 2008 dengan memperolehi lebih 5000 majoriti undi.

Demikian dinyatakan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad pada satu pertemuan dengan kesemua jentera kempen bagi Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir malam tadi.

"Kita turun bukan dalam keadaan selesa. Kita mesti turun dengan semangat 2004 bukan 2008. Kita tidak boleh 'over confident' sangat," ujarnya kepada seluruh jentera.

Oleh itu katanya, jentera PAS perlu bekerja kuat menggunakan segenap ruang sepanjang tempoh berkempen untuk menarik pengundi baru dengan tidak mengabaikan pengundi sedia ada.

Melihat kepada senario dan politik semasa, PAS yakin isu pengkhianat melayu akan terus dicanang habis habisan oleh Umno BN pada pilihan raya kali ini.

"Kita yakin isu pengkhianat melayu akan dimainkan Umno BN, sebab itu kita perlu bersedia awal berdepan dengan serangan itu," tambah Ustaz Idris.

Demikian dinyatakan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad pada satu pertemuan dengan kesemua jentera kempen bagi Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir malam tadi.

"Kita turun bukan dalam keadaan selesa. Kita mesti turun dengan semangat 2004 bukan 2008. Kita tidak boleh 'over confident' sangat," ujarnya kepada seluruh jentera.

Oleh itu katanya, jentera PAS perlu bekerja kuat menggunakan segenap ruang sepanjang tempoh berkempen untuk menarik pengundi baru dengan tidak mengabaikan pengundi sedia ada.

Melihat kepada senario dan politik semasa, PAS yakin isu pengkhianat melayu akan terus dicanang habis habisan oleh Umno BN pada pilihan raya kali ini.

"Kita yakin isu pengkhianat melayu akan dimainkan Umno BN, sebab itu kita perlu bersedia awal berdepan dengan serangan itu," tambah Ustaz Idris.

- HARAKAH

Asri pergi tak kembali


Pastinya lirik puitis penuh sentuhan rohani di sebelah cukup kuat untuk mengingatkan kita semua kepada figura bernama Mohd. Asri Ibrahim, vokalis dan juga ketua kumpulan nasyid terkemuka, Rabbani.

Benarlah, setiap insan pasti akan merasa saat perpisahan yang terakhir kerana pada tanggal 13 Ogos 2009 lalu (semalam), kira-kira seminggu sebelum Ramadan 1430 Hijrah menjelang tiba, seluruh jiwa yang mengenali Asri bagaikan terpana dipukul halilintar.

Suasana ceria, teruja dan gembira tiba-tiba bertukar menjadi kalut dan cemas, anak kepada Robiah Ehsan, 70, yang sedang berdiri hendak memulakan sesi latihan menjelang satu majlis pelancaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) rebah dan nazak. Setengah jam kemudian, berita pemergiaannya diketahui umum.

Perginya Asri tanpa pesan. Tanpa ucap selamat tinggal buat semua, kepada peminat yang sentiasa menyanjungi, sahabat seperjuangan mahupun buat keluarga tercinta.

Hanya lunak suaranya yang tinggal jadi kenangan dan lagu Pergi Tak Kembali seakan-akan mendayu-dayu, merintih dalam sendu dan tangis saat kerandanya di usung menuju ke persemadian terakhir di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam semalam.

Lagu yang ditulis sendiri oleh Allahyarham, Pergi Tak Kembali, itu cukup mengingatkan semua tentang kematian dan bekalan yang perlu dipersiapkan setiap makhluk bernama manusia.

Kata seorang teman Che Amran daripada kumpulan Raihan yang telah lama mengenali Asri : "Dalam hati saya, setiap kali mendengar berita kematian sesiapa sahaja termasuklah rakan-rakan, saya berkata, biarlah, itu takdir. Tapi saya selalu minta kepada Tuhan, janganlah orang berkenaan Ustaz Asri.

"Tapi panggilan Ilahi tidak mampu dilawan. Hari ini (semalam) Ustaz Asri dijemput Ilahi. Mulanya saya anggap berita yang diterima menerusi panggilan telefon sekadar gurauan.

"Dalam berdebar-debar, saya hubungi Azadan (anggota Rabbani) dan barulah saya tahu, benarlah Asri sudah tiada.

Bagi pencinta dan seluruh penggiat muzik nasyid di Malaysia, nama Asri muncul nombor satu sebagai tiang yang menjadi tunjang kekuatan. Dialah sumber inspirasi kepada mana-mana sahaja anak-anak muda yang mula ingin menginjak ke dunia nasyid.

"Bagi saya, Allahyarham adalah pahlawan sejati kepada perkembangan muzik nasyid kontemporari. Dialah pahlawan yang akan mengetuai gerakan kami.

"Dialah satu-satunya orang yang akan menjadi rujukan dan inspirasi penyanyi nasyid baru. Saya sendiri membesar dengan lagu-lagu dendangan Allahyarham sewaktu Allahyarham masih bersama Nada Murni lagi," tambah Che Amran yang ditemui di lobi Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Kuala Lumpur ketika menziarahi jenazah Asri.

Pemergian Allahyarham pada usia 40 tahun sungguh mengejutkan dan merupakan kehilangan besar kepada negara khususnya kepada bidang dakwah Islam menerusi seni.

Keunggulan anak ketujuh daripada 13 adik-beradik itu di mata pencinta muzik nasyid bukan hanya tertumpu kepada keindahan melodi dan kelunakan suaranya yang sukar ditemui persamaan dengan mana-mana penyanyi nasyid yang ada.

Sebaliknya pengetahuan agama yang tinggi dan pekerti Asri itu sendiri sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja pantas menyenangi kehadirannya.

Dua hari sebelum kematiannya, Allahyarham bersama ahli kumpulan Rabbani yang lain iaitu Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Loqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman sempat mengadakan satu sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama dengan Hotel Singgahsana, hotel yang tidak pernah mengenepikan nama Rabbani apabila tibanya Ramadan sejak 12 tahun lalu.

Seraya tersenyum, ini antara bait-bait terakhir yang dilafazkan Allahyarham ketika sesi sidang media itu berlangsung: "Orang kata, apabila tiba bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja dan banyakkan ibadah, tetapi bagi saya pula, kerja ini (membuat persembahan) merupakan ibadah kepada saya."

Kepada Ustaz Asri, semua perlakuan, perbuatan dan aktiviti seni yang diceburinya sejak bersama Nada Murni lagi merupakan satu ibadah. Lirik-lirik yang ditulis Allahyarham sendiri banyak berkisar tentang dakwah Islam yang mengajak umat agar kembali ke jalan Allah.

Sejarah awal

Menyingkap sejarah awal pembabitan Allahyarham dalam dunia seni segalanya bermula pada tahun 1991 apabila Allahyarham mula berjinak-jinak dengan kumpulan nasyid Nada Murni dan semakin serius apabila tertubuhnya kumpulan Rabbani pada 1 Mac 1997.

Meskipun kemunculan kumpulan Rabbani di persada muzik tanah air dipandang enteng pada awalnya tetapi itu sedikit pun mematahkan semangatnya walaupun ketika itu nama Raihan sedang mewangi di kalangan peminat nasyid.

Rabbani mengejutkan banyak pihak apabila tampil bersama 13 ahli kumpulan dan menjadi satu-satunya kumpulan nasyid di Malaysia yang mempunyai anggota paling ramai.

Dalam soal keahlian dan tanggungjawab menjaga keutuhan kumpulan agar tidak berlaku onar yang meretakkan hubungan sesama ahli, Ustaz Asri sendiri pernah menjelaskan, keakraban dan setiakawan adalah kunci kekuatan mereka untuk bertahan sehingga kini.

Perkara itu diakui oleh komposer dan pengarah muzik terkenal Ramli MS. Katanya, apa yang menjadikan Asri satu nama besar dalam industri muzik nasyid adalah keunikan suaranya yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

"Saya individu yang mendengar muzik setiap hari tetapi setiap kali mendengar nyanyian daripada Allahyarham, telinga saya bagaikan tertusuk sesuatu yang indah.

"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga," ujar Ramli.

Selama 12 tahun kumpulan Rabbani ditubuhkan, kumpulan nasyid yang dianggap pencabar terdekat kepada Raihan itu melalui banyak fasa termasuklah menyesuaikan muzik nasyid tradisional dengan elemen-elemen muzik dari luar negara.

Bermula daripada konsep nasyid klasik melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut cita rasa yang sesuai dengan era terkini.

Sehingga kini bersama Rabbani Allahyarham sudah menghasilkan 18 buah album. Bukan itu sahaja, keunggulan Asri dan Rabbani dibuktikan menerusi pelbagai pencapaian dan anugerah yang telah diraih. Ini termasuklah kemenangan demi kemenangan kumpulan Rabbani dalam Anugerah Industri Muzik.

Seorang teman seperjuangan Allahyarham, penyanyi Yassin yang ditemui menyifatkan pemergian arwah satu kehilangan yang besar dalam industri muzik Malaysia.

"Ini kehilangan yang besar pada industri muzik sebab ramai orang yang membesar dengan lagu-lagu Rabbani. Saya sendiri terkejut sebab tidak tahu dia ada penyakit kronik kerana dua tiga hari sebelum ini saya baru jumpa arwah dan tidak nampak sebarang perubahan langsung.

"Arwah juga seorang yang baik. Tanyalah sesiapa sahaja, pasti tiada seorang pun yang tidak suka akan personalitinya," ujar Yassin sambil menitiskan air mata.

Sesungguhnya, apa yang tercatat menerusi penulisan ini tidak dapat menggambarkan keseluruhan riwayat hidup yang pernah dilalui oleh seorang hamba Allah, seorang lelaki, seorang penasyid, seorang penghibur, seorang pendakwah, seorang suami dan seorang ayah bernama Mohd. Asri Ibrahim.

Disahutnya panggilan Ilahi tanpa mengundang banyak keresahan keluarga, peminat dan rakan-rakan, Allahyarham Asri telah pergi meninggalkan semua dalam sekelip mata.

Sepantas itu nyawanya diambil semula oleh Sang Pencipta. Biarpun pemergiannya diratapi dan ditangisi, Asri pergi dan takkan kembali lagi.

Allahyarham yang meninggal dunia pagi semalam ada menulis dalam blognya asrirabbani@blogspot.com yang berbunyi: "Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat. Aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...."

- KOSMO!

Hassan Ali, Ronnie Liu sepakat isu 'Arak' selesai


Pesuruhjaya PAS Selangor Dato' Dr Hassan Ali bersama Exco DAP Ronnie Liu menyatakan kata sepakat isu penjualan Arak dianggap sudah selesai.

Kedua-dua mereka dilihat berjabat tangan dan berdamai secara terbuka di satu sidang media bersama di Tropicanna dekat sini petang tadi.

Dalam kenyataan kedua-dua belah pihak, mereka bersetuju bahawa penjualan arak dibenarkan bagi orang bukan Islam.

Namun ianya mesti dikawal dan tidak dibenarkan kepada orang Islam. Dalam masa yang sama, difahamkan, kedua-duanya bersetuju bahawa tidak ada permit baru akan dikeluarkan bagi tujuan penjualan minuman beralkohol itu.

Turut hadir di sidang media yang dibuat sejurus selepas Seminar Pakatan Rakyat di Tropicana, ialah Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PAS Dato' Mustafa Ali beserta barisan pimpinan parti masing-masing.

Dalam sidang media itu Anwar menyatakan bahawa penubuhan Jawatankuasa Displin Pakatan Rakyat akan ditubuhkan di peringkat pusat bagi memantapkan lagi dasar dan pelan tindakan pemimpin Pakatan Rakyat.

Seminar itu juga adalah bertujuan memperkukuhkan Pakatan Rakyat sekaligus cuba menangkis pelbagai tohmahan dan serangan 'pyswar' yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) dan Umno mutakhir ini.

- HARAKAH

143 kakitangan kerajaan dibuang kerja

Sejumlah 143 kakitangan perkhidmatan awam dibuang kerja dari April sehingga Jun tahun ini setelah didapati bersalah melanggar tatatertib dan peraturan perkhidmatan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Latif berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak hadir bertugas, pelanggaran tata kelakuan, terlibat dalam kes mahkamah, tanggungan hutang serius, kesalahan penggunaan dadah dan melakukan pekerjaan luar.

Katanya, kakitangan terbabit adalah daripada kategori Perkhidmatan Awam Persekutuan (90 orang) diikuti badan berkanun Persekutuan (25), pihak berkuasa tempatan (22), perkhidmatan awam negeri (5) dan badan berkanun negeri (1).

"Kesemua kakitangan awam yang dibuang kerja itu merupakan sebahagian daripada 484 penjawat awam yang dikenakan tindakan tatatertib sepanjang suku kedua tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kategori penjawat awam dalam Kumpulan Sokongan merupakan golongan paling ramai dikenakan tindakan tatatertib iaitu seramai 427 orang atau 88 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dikenakan tindakan.

Jelasnya, antara hukuman lain yang dikenakan kepada penjawat awam terbabit adalah denda, dilucutkan hak emolumen (tidak diberi kenaikan pangkat selama 24 bulan), tangguh pergerakan gaji, turun gaji dan pangkat.

"Tujuan utama peraturan ini diguna pakai untuk menilai prestasi kerja kakitangan terbabit selain menjaga imej dan kredibiliti perkhidmatan awam," jelasnya.

Beliau menambah, hukuman tatatertib termasuk membuang kerja itu mengikut langkah dan prosedur yang betul.

Tambahnya, ia dilaksanakan agar setiap kesalahan yang dilakukan tidak menjejaskan imej perkhidmatan awam.

- UTUSAN

Mingguan Malaysia akhbar pilihan utama

Mingguan Malaysia kekal di tangga teratas sebagai akhbar mingguan pilihan utama pembaca di negara ini dengan mencatatkan jumlah edaran 460,000 naskhah.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sehubungan itu beliau mahu mengkaji faktor-faktor yang menyebabkan sesebuah akhbar itu mampu memperoleh jumlah edaran begitu tinggi.

"Kenapa Mingguan Malaysia mampu mencecah edaran sehingga 460,000 naskhah setiap minggu berbanding akhbar-akhbar lain?

"Saya perlu ambil perhatian mengenai perkara ini dan kaji bagaimana pembaca memberikan reaksi terhadap kandungan sesuatu akhbar," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan wajah baru akhbar berbahasa Arab, Ahlan terbitan Ahlan Press Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Ahlan Press, Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan Pengarah Urusan Ahlan Press, Ghazali Ismail.

Ahlan, satu-satunya akhbar berbahasa Arab di negara ini mula diterbitkan pada 2005.

Ia diterbitkan dua minggu sekali dan diedarkan di kawasan-kawasan yang mempunyai ramai komuniti dan pelancong dari Asia Barat seperti pusat pelancongan, lapangan terbang, kedutaan negara-negara Arab, pusat beli-belah dan hotel.

Jumlah edaran akhbar berbentuk tabloid itu adalah sebanyak 10,000 naskhah.

- UTUSAN

Dua cendekiawan Islam tegur Nik Aziz

Kenyataan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ‘menghalalkan’ tindakan DAP menghina Islam merupakan satu kenyataan yang dipengaruhi oleh pendirian politik dan tidak berdasarkan kepada kearifan ilmu agamanya.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid menegaskan, perkara itu amat serius kerana apabila dibiar berterusan akan menjadikan sesuatu yang menghina Islam sebagai perkara biasa pada akhirnya.

“Bagi saya, pendapat Nik Abdul Aziz itu sangat dipengaruhi oleh pendirian politik. Ia adalah amat membimbangkan kerana akan menghakis terus perasaan sensitiviti terhadap kesucian agama Islam.

“Apabila dihina, kita hanya senyap dan pada masa yang sama seperti mengizinkan. Lama-kelamaan ia akan menjadi seperti perkara biasa dan kalis serta jika berlaku, adalah sesuatu yang amat malang bagi umat Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan yang tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana berpendapat parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.

Tegas Mahmood Zuhdi, dalam setiap isu berkaitan dengan agama, tidak sepatutnya dipolitikkan kerana dibimbangi akan menjejaskan kesucian Islam itu sendiri.

Justeru, beliau yakin sekiranya Nik Abdul Aziz tidak berada pada kedudukan sekarang sebaliknya sebagai ulama biasa, pasti akan berasa sensitif dengan penghinaan dan cacian terhadap Islam yang dihamburkan oleh orang bukan Islam.

“Inilah bahayanya apabila orang- orang agama memakai topi atau pakaian politik. Saya berpendapat mungkin Nik Abdul Aziz sedikit terkeliru kerana tidak mendapat maklumat tepat dalam perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohammad Yusoff Hussain menegur Nik Abdul Aziz yang terlalu memberi ‘muka’ kepada DAP atas alasan mereka tidak memahami Islam secara mendalam.

“Kenyataan itu adalah jelas tidak tepat kerana saya percaya orang bukan Islam di negara ini sebenarnya sudah cukup faham dengan Islam. Cuma mereka tidak mahukan syariat Islam ditegakkan di negara ini.

“Kalau mereka tidak faham, maka sudah pasti mereka tidak akan mengeluarkan sebarang komen mengenai undang-undang Hudud seperti yang dinyatakan oleh salah seorang pemimpin mereka dahulu iaitu, ‘langkah mayat aku dahulu’,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, sebagai seorang ulama, Nik Abdul Aziz sepatutnya membetulkan persepsi orang bukan Islam terhadap ajaran Islam dan bukannya menambah kekeliruan mereka.

Mohammad Yusoff berkata, Nik Abdul Aziz seharunya mengutamakan objektif dan bukan menekankan kepada perkara subjektif iaitu kepentingan politik sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Jangan menyokong DAP hanya kerana mereka bersekongkol atau berada sekumpulan dengan kita dengan membuat pelbagai cara untuk menghalalkan apa yang mereka cakap.

“Tidak bolehlah membutakan mata, memekakkan telinga demi kepentingan golongan yang diwakili, kerana secara tidak langsung Nik Abdul Aziz telah menyokong golongan menghina Islam,” katanya yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan.

- UTUSAN

Dedah lokasi panas H1N1

Kementerian Kesihatan diminta mendedahkan lokasi-lokasi panas kes selesema babi atau influenza A (H1N1) terutama kawasan yang membabitkan kematian atau mempunyai kadar jangkitan tinggi supaya orang ramai lebih berwaspada.

Melalui pendedahan itu, orang ramai boleh mengelakkan kawasan tersebut sama seperti larangan yang dikenakan oleh kerajaan terhadap lawatan ke negara-negara yang dilanda wabak itu sebelum ini.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah berkata, kerajaan perlu bersikap lebih terbuka dengan mendedahkan lokasi-lokasi yang mencatatkan jumlah kes jangkitan dan kematian tinggi akibat wabak H1N1.

“Maklumat mengenai lokasi-lokasi tersebut akan memberi mesej dan panduan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada selain meningkatkan tahap berjaga-jaga apabila berada di kawasan tersebut.

“Sebagai contoh, jika seseorang mahu mengunjungi mana-mana kawasan yang telah diklasifikasikan sebagai berisiko H1N1, maka mereka secara sendirinya akan meningkatkan tahap berjaga-jaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Muhammad Shaani, kaedah melabelkan lokasi-lokasi panas H1N1 perlu dilakukan mengikut kadar jangkitan dan kes kematian akibat wabak itu di sesuatu kawasan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman juga bersetuju bahawa Kementerian Kesihatan perlu memaklumkan kepada orang ramai tentang tempat-tempat yang berisiko tinggi berlaku penularan wabak H1N1.

“Kementerian tidak perlu mendedahkan maklumat lokasi panas tersebut secara terperinci seperti kawasan perumahan atau kampung tertentu sebaliknya melabelkan lokasi panas mengikut negeri, bahagian atau daerah,” katanya.

Selain itu, pihak PPIM juga mencadangkan kementerian membeli sejenis alat pengesan virus H1N1 yang dikatakan dijual di luar negara secara pukal untuk dibekalkan kepada pusat perubatan termasuk klinik-klinik swasta tempatan.

“Dengan adanya alat itu, lebih ramai pegawai perubatan dapat melakukan kerja-kerja pengesanan virus H1N1 di kalangan pesakit mereka dengan cepat dan praktikal dalam usaha menangani penularan wabak H1N1,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula berkata, langkah mendedahkan lokasi panas H1N1 itu perlu memandangkan kes kematian akibat wabak itu di negara ini semakin meningkat sehingga mencecah lebih 50 orang setakat ini.

“Kawasan atau daerah di negeri yang mencatatkan kes H1N1 tinggi perlu didedahkan kepada orang ramai sama seperti kaedah yang digunakan kerajaan dalam menangani wabak denggi selama ini,” katanya.

Jacob berkata, tahap keseriusan H1N1 dalam kawasan panas itu boleh diklasifikasikan menggunakan warna seperti hitam untuk lokasi berisiko tinggi, putih berisiko sederhana dan merah berisiko rendah.

“Keadaan ini akan menyebabkan masyarakat atau institusi di sekitar lokasi itu lebih sedar akan bahaya wabak H1N1 sekali gus mengambil langkah lebih ketat untuk mengelak penularan wabak itu seperti membatalkan semua majlis terbuka,” ujarnya.

Naib Presiden Persatuan Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia (PPPM), M. Subramaniam berkata, kerajaan perlu mendedahkan lokasi panas H1N1 di seluruh negara agar masyarakat boleh mengambil langkah-langkah pencegahan yang sepatutnya.

“Katakanlah kawasan panas itu terletak di Alor Setar, Johor Bahru atau Pulau Pinang, maka hospital-hospital yang terbabit di sana boleh bersiap sedia dari segi rawatan antivirus dan penutup-penutup mulut dan hidung yang mencukupi,” jelas beliau.

Tambahnya, PPPM mahu Kementerian Kesihatan berbuat demikian bukan bertujuan untuk menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat sebaliknya hendak meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap wabak H1N1.

“Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan kekerapan hebahan maklumat berkaitan H1N1 di media massa kerana kita dilihat masih ketinggalan berbanding negara-negara luar dalam aspek ini,” ujar beliau.

- UTUSAN

Pelakon & pelawak Param meninggal dunia


Pelakon dan pelawak veteran, Param Periaphanby, 55, telah meninggal dunia pada pukul 6 pagi tadi akibat sakit jantung di Hospital Kuala Lumpur.

Dalam nada sayu dan sedih, kakaknya, Sarah menceritakan tentang saat-saat bagaimana Param pergi.

“Dia meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital dan waktu itu dia sesak nafas.

“Dia akan disemadikan pada Ahad ini di Hindu Krematorium, Cheras,” kata Sarah yang sebelum ini menjaga Param.

Sarah juga terkilan kerana tidak sempat menghantar Param ke hospital setelah mendiang mengadu sesak nafas pada awal pagi tadi.

“Saya berasa sangat terkejut apabila dia meninggal setelah mengadu sakit. Waktu itu, kami tergesa-gesa menghantarnya ke hospital.

“Sebelum ini, dia dijaga oleh keluarga kami kerana dia tidak berkahwin dan hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda.

“Dia sangat kuat semangat walaupun keadaan kesihatannya tidak baik,” ujar Sarah dalam nada teresak-esak yang mengalu-alukan kedatangan tetamu untuk melawat mendiang Param di kediaman mereka di 7348, Jalan Ruby, Taman Setia, Gombak.

Param begitu terkenal di zaman 70an dan awal 80an dan banyak berlakon filem-filem Melayu dan drama-drama TV waktu itu.

Param kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem Penyamun Tarbus sekitar tahun 80an. Filem-filem lain yang turut dilakonkannya ialah Si Luncai, Si Badul dan Anak Tunggal.

Mendiang turut dikenali menerusi siri Hang Setia yang pernah disiarkan di RTM pada tahun 80an.

Pelawak Param pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana menghidap penyakit jantung koronori dan telah menjalani operasi pintasan jantung tidak lama dulu.

Nama sebenar pelakon komedi veteran yang berasal dari Negeri Sembilan ini ialah P. Paramasivam.

Beliau bergiat cergas bersama pelawak komedi seangkatan dengannya seperti A.R Badul, Wazata Zain, Allahyarhamah Yusni Jaafar dan R. Jaafar.

Param adalah anak bongsu dari lima beradik, yang kesemuanya perempuan.

Mendiang Param memulakan karier lakonannya pada tahun 1976 sewaktu bekerja di Tampin.

- MSTAR