Isnin, Julai 20, 2009

Usia 40 - Wanita makin matang, lelaki mula nakal

Lelaki kalau mencecah usia 40 tahun akan mula nampak 'nakalnya'. Itu kata orang. Tetapi pengalaman melihat persekitaran yang berkaitan dunia lelaki, menyakinkan saya bahawa kenyataan tersebut memang ada logiknya. Jangan marah kaum Adam!

Logik atau tidak, masing-masing punya cara, punya rasa. Hakikatnya wanita pula dalam usia 40 tahun semakin matang dan masak dengan rencah kehidupan terutama bab rumah tangga.

Pun tidak dinafikan, agenda utama wanita dalam usia 40 tahun sekarang ini adalah bagaimana mengekalkan kecantikan dan kelangsingan tubuh badan. Sebab itu gaya hidup orang sekarang.

Kalau dulu, ibu-ibu dan suri rumah tidak begitu ambil berat tentang bentuk badan dan rupa paras mereka kerana lebih utamakan rumah tangga suami dan anak-anak, sekarang tidak lagi.

Kebanyakan wanita sanggup berhabis wang ringgit dan membuang masa semata-mata untuk cantik dan tampil menawan mengikut peredaran masa.

Nampak kedut di muka mula resah gelisah. Nampak tubuh yang tembam mula tak makan. Tidur pun jadi tidak menentu sebab asyik berfikir bagaimana hendak mengatasi masalah badan gemuk dan muka berkedut.

Malah ada sampai lalai terhadap rumah tangga, suami dan anak-anak kerana menghabiskan masa di spa, salun dan kelas senaman. Janji tubuh cantik dan wajah berseri macam bulan di pagar bintang.

Hasilnya jangan terkejut jika anda ke majlis-majlis tertentu, nampak wajah wanita yang sama saja, sepesen kata orang, putih melepak dan gebu semacam. Itu juga sudah menjadi trend.

Tapi tidak semua, ada juga wanita yang bertanggungjawab dan kekal prestasi sebagai isteri dan ibu mithali.

Tidak salah mahu kelihatan cantik tetapi biar patut padan. Ingatlah, kecantikan hanya sementara, sampai masa akan pudar juga.

Saya terpanggil bercakap tentang angka 40 tahun minggu ini kerana ingin mengaitkan ia dengan ulang tahun majalah WANITA yang ke-40 pada bulan depan.

Tentunya saya tidak sabar menunggu saat itu. Pelbagai persiapan sedang dibuat untuk menjadikan sambutan kali ini sebagai satu sejarah dan memori yang akan terpahat dalam minda pembaca.

Ini kali kedua saya melalui fasa penting dalam sejarah kelahiran majalah WANITA. Kali pertama semasa majalah ini menyambut ulang tahun ke-30 pada 1999.

Paling menyentuh hati apabila salah seorang penghias pertamanya, Zaimah Alias berjaya saya temui setelah hampir dua bulan berusaha.

Hampir dua jam saya dan jurugambar Fatah Sulaiman menghabiskan masa di kediaman Zaimah di Kelana Jaya, Selangor berbual tentang sejarah WANITA sambil menjamah mihun goreng dan karipap serta teh O panas.

Seperti saya Zaimah juga teruja dengan pertemuan penuh nostalgia ini. Dia tidak menyangka yang WANITA masih mengingatinya. Beliau kini berumur 60 tahun tetapi masih kekal anggun dan ceria.

Namun begitu saya masih terkilan kerana tidak dapat mengesan dua lagi penghias kulit depan yang pertama WANITA , Janet Mok dan Alice Yoong walaupun telah puas berusaha.

Saya mengharapkan sebelum majlis hi-tea ulang tahun Anggun 40 bersama WANITA berlangsung bulan depan, mereka akan saya temui. Kalau ada kawan-kawan, saudara mara atau mereka sendiri yang terbaca catatan ini harap hubungi saya. Harap sangat-sangat!

Juga ingin saya kongsi rasa terharu saya apabila menerima panggilan telefon daripada tiga wanita yang menjadi pembaca setia WANITA memberitahu mereka ada menyimpan koleksi WANITA edisi pertama hingga Julai 2009.

Lalu saya usahakan untuk bertemu mereka sebagai tanda penghargaan. Air mata saya bergenang dan sebak apabila saya, wartawan Siti Hajar dan jurugambar Jefri Iran tiba di rumah Sharifah di Tanjong Keling Melaka.

Dua jam perjalanan tidak terasa penat apabila kedatangan kami disambut penuh gembira oleh Kak Sharifah, pesara kerajaan yang kini berusia 63 tahun.

Melangkah masuk ke ruang tamu, terpegun saya melihat koleksi 479 naskah WANITA tersusun rapi di atas almari. Ada yang telah dijilid dan ada yang masih berikat kemas.

Empat jam berborak menjadikan saya semakin terharu. Kak Sharifah masih mampu bercerita tentang keistimewaan WANITA dan nama-nama mereka yang pernah menjadi penghias kulit depannya.

Ingatannya amat kuat. Lebih mengharukan apabila melihat nama sendiri tertulis pada rencana yang dimuatkan dalam majalah itu pada era 80-an dan 90-an ketika saya menjadi wartawan.

Bukan mudah untuk menjadi wartawan pada masa dulu, banyak cabaran. Malah untuk menjadi wartawan majalah ternama seperti WANITA perlu bersaing.

Hanya wartawan terpilih saja yang akan berpeluang. Fikir-fikir balik alangkah bertuahnya saya!

Merasa juga pengalaman masuk istana, rancangan Felda, kampung nelayan, penjara, pusat pemulihan, bermalam di kampung orang Asli dan diserang pelacur dan diterkam budak-budak terbiar di jalanan. Begitu manisnya menjadi wartawan!

Kunjungan saya ke rumah Roziah Che Mat di Taman Sejahtera, Bakar Arang, Sungai Petani juga mengusik perasaan saya. Sekali lagi saya tersentuh memikirkan komitmen kedua-dua wanita ini menghimpun WANITA sebagai koleksi peribadi mereka.

Sayangnya saya tidak sempat untuk terbang ke Kuching, Sarawak melihat koleksi Jamaiah Suhail. Bagaimanapun terima kasih kepada jurugambar Utusan di Kuching yang membantu merakamkan gambar majalah yang dikumpulnya.

Tidak kira di mana dan siapa, saya amat terhutang budi dan berterima kasih kepada mereka yang begitu menyayangi WANITA. Siapalah WANITA tanpa pembaca.

Sehubungan itu saya mengharapkan agar pembaca setia WANITA dan mereka yang menghargai wadah unggul kaum wanita Malaysia ini akan turut sama meraikan ulang tahunnya yang ke-40 pada 13 Ogos nanti.

Pelbagai acara dirancang untuk mengingati detik bersejarah ini termasuk meraikan mereka yang terlibat mencetus dan melahirkan majalah ini.

Segala kenangan terindah itu kami rakamkan di dalam WANITA keluaran Ogos yang kini sudah berada di pasaran. Jika anda pembaca setia, anda mesti membeli dan menyimpannya.

Jika sudah membeli rugi jika tidak menghadiri hi-tea yang akan diadakan nanti. Ajaklah teman-teman, suami dan anak-anak bersama. Kenalkan WANITA kepada mereka.

Jualan meja dan kad sudah bermula. Jika berhajat, hubungi kami di talian 03-89262999/89267399 atau faks 03-89252311/89259277 untuk pertanyaan dan tempahan.

Meja berharga RM5,000, RM3,000 dan RM2,000 serta kad individu juga boleh dibeli. Kalau sayangkan WANITA, tentu anda tidak fikirkan harganya kan?

Nak cerita yang indah-indah saya tidak pandai tetapi yang pasti, majlis itu nanti akan menjadi kenangan manis buat semua tetamu.

Sebabnya, ada raja rock, Amy Search dan insya-Allah, penghias kulit pertama, juga tiga orang pengumpul setia WANITA akan turut hadir sebagai tetamu khas.

Lain-lain apa ya? Ala malulah nak cerita lebih-lebih, tetapi saya jamin, majlis akan meriah dan ceria sebab Istana Budaya ada persembahan eksklusif tentang dunia wanita untuk anda.

Seperti yang saya katakan di awal catatan, usia dan angka bukan halangan untuk mendapatkan sesuatu. Biarlah usia dan angka menjadi sandaran dan sasaran buat kita terus hidup dan menjadi manusia.

- UTUSAN

Facebook pupuk belia berpolitik

Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan sepenuhnya laman web sosial Facebook bagi menarik golongan belia untuk berpolitik, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, langkah itu wajar kerana Facebook merupakan laman yang paling digemari golongan tersebut pada masa ini.

Katanya, berdasarkan pengalaman peribadinya, beliau ‘bersahabat’ dengan lebih 2,800 belia menerusi Facebook yang mana mereka masih berminat berbicara tentang politik.

‘‘Daripada apa yang saya lihat dalam Facebook, adalah tidak benar kalau kita katakan orang muda tidak berminat dengan politik. Mereka minat politik, tetapi dengan cara yang baru dan berbeza.

‘‘Jadi, kalau hendak tingkatkan penyertaan orang muda dalam politik, sistem politik yang sedia ada perlulah dipinda sedikit untuk memberi ruang kepada golongan muda,’’ katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita pada majlis meraikan sahabat-sahabat Facebook beliau dan genap 100 hari menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi di Saloma Bistro, Jalan Ampang di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, sebagai contoh antara pandangan yang diutarakan kepada beliau melalui Facebook ialah ramai anak muda yang menyokong BN, tetapi sukar hendak jadi ahli mana-mana parti komponen dalam BN.

‘‘Jadi, mereka minta cadangkan tubuh Kelab BN supaya mereka boleh sokong BN dan jadi ahli BN tanpa jadi ahli mana-mana badan gabungan.

‘‘Ini kerana ramai golongan muda pada hari ini adalah bukan Melayu, Cina mahupun India hasil daripada perkahwinan campur. Oleh itu, agak sukar bagi mereka untuk menyertai UMNO, MCA atau MIC,’’ katanya sambil menambah golongan itu tetap menyokong BN.

Saifuddin menambah, terdapat juga di kalangan orang muda yang tidak ada ketaatan kepada mana-mana organisasi atau ideologi politik.

‘‘Golongan ini berfikir berdasarkan pandangan peribadi. Perkara yang dirasai betul, mereka akan katakan betul dan yang salah mereka akan kata salah.

‘‘Golongan muda pada hari ini juga lebih tertarik jika suara mereka didengar tidak setakat musim pilihan raya sahaja, tetapi sepanjang masa,’’ katanya.

Tambah beliau, bagi mereka proses demokrasi tidak sepatutnya dipamerkan pada setiap lima tahun sekali sahaja dan pandangan itu turut diluahkan dalam Facebook.

Beliau turut berhasrat untuk menambah bilangan sahabat dalam Facebook kepada 5,000 orang menjelang penghujung tahun ini.

‘‘Saya seronok menggunakan Facebook, namun agak mustahil untuk saya menggunakan laman web itu setiap hari. Nanti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyangka saya tidak ada kerja pula,’’ katanya secara berseloroh.

Pada majlis yang sama, Saifuddin turut melancarkan buku elektronik beliau yang pertama bertajuk Kalau Saya Mahasiswa yang boleh dibaca secara percuma di www.saifuddinabdullah.com.my

Menurutnya, dalam buku berkenaan, beliau menceritakan pengalaman dan pengamatannya dalam gerakan mahasiswa dulu dan sekarang selain menggaris apa yang akan dilakukan untuk memperkasa gerakan mahasiswa.

Semua NC disaran guna Facebook

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan semua Naib Canselor (NC) dan Timbalan Naib Canselor (TNC) institusi pengajian tinggi (IPT) menggunakan laman web sosial, Facebook bagi memudahkan mahasiswa berinteraksi dengan mereka.

Cadangan tersebut disuarakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang berpandangan sudah sampai masanya NC dan TNC berbuat demikian.

Katanya, NC dan TNC terutama TNC Hal Ehwal Pelajar perlu berbuat demikian bagi membolehkan mahasiswa berinteraksi lebih mudah tanpa perlu mengikut waktu-waktu tertentu.

"Dengan itu, ia akan memberi peluang kepada setiap mahasiswa berinteraksi dengan pimpinan universiti. Lazimnya yang lebih mudah berjumpa dengan pemimpin universiti ialah pemimpin mahasiswa sahaja," katanya.

- UTUSAN

Gambaran tentang malaikat

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

Gambaran fizikal mengenai Malaikat Jibrail? Dikatakan malaikat itu mempunyai enam ratus sayap, yang luas dan lebar sayapnya itu mampu menjangkau dari kedudukan masyrik sehingga ke maghrib (Barat ke Timur) dan mengenakan busana kebesaran rona putih laksana mutiara yang dilarutkan dengan rupa yang elok dan menawan. Apabila bercakap mengenai kekuatan, Malaikat Jibrail mempunyai kekuatan yang sangat luar biasa dahsyat dan penuh mukjizat!

Maklumat gambaran itu diambil dari laman Wikipedia sebagai cuba memenuhi permintaan pembaca ruangan ini yang mahukan Malaikat Jibrail, yang tugasnya menyampaikan wahyu kepada nabi-nabi, dapat diberi gambaran dengan lebih jelas.

Namun begitu tanpa ada dukungan daripada mana-mana nas atau dalil, gambaran seperti yang diceritakan itu tentunya jauh daripada kesahihan.

Begitupun dalam sebuah hadis ada disebutkan sedikit mengenai gambaran fizikal malaikat itu, iaitu malaikat Jibrail. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Aku pernah berpeluang bertemu dengan salah seorang malaikat yang membawakan risalah wahyu untukku. Dan aku dapati jarak antara cuping telinga dan bahunya sahaja adalah bersamaan dengan jarak perjalanan yang sejauh 700 tahun lamanya". (riwayat Abu Daud)

Maka, terpulang bagaimana kesemua gambaran fizikal ini dapat kita terima. Apa yang pasti malaikat berbeza ciptaannya dan ciptaannya pasti penuh dengan kehebatan yang sukar digambarkan oleh kata-kata mahupun lakaran lukisan.

Bagi sesetengah kita, gambaran fizikal mengenai malaikat ini penting untuk dikaji dan diketahui. Ini apabila tiada ilmu mengenai itu, maka kita terutama di kalangan anak-anak mungkin mudah terpengaruh dengan pelbagai gambaran mengenai rupa bentuk malaikat, mengikut sesetengah pandangan, walaupun kita tahu semua itu adalah tidak benar.

Ini termasuk yang terpengaruh akibat membaca kisah-kisah penglipurlara misalnya, malaikat digambarkan sebagai kuasa baik (kerana adanya kuasa-kuasa jahat), mempunyai imej seperti hologram dan pelbagai gambaran ilusi yang lain. Malah ada yang dapat 'menerima' apabila malaikat digambarkan sebagai bayi yang comel, gebu dan sihat serta bersayap dan juga lelaki atau perempuan muda berjubah putih dan terdapat lingkaran putih (Halo) di atas kepala dan juga bersayap di belakang mereka.

Namun sebagai umat Islam mempercayai mengenai kewujudan para malaikat adalah menjadi satu kemestian. Ini sebagaimana yang terkandung dalam Rukun Iman yang lima walaupun kita tidak dapat melihatnya.

Namun kita tahu malaikat itu wujud sebagaimana ada tugas-tugas mereka menanti masa dan waktu sahaja untuk dilaksanakan hatta sehingga pada Hari Kiamat sekalipun.

Begitupun mempercayai secara kosong sahaja mampu menjejaskan keimanan seseorang itu kelak. Ini kerana dipercayai kepercayaan yang ada, tidak lebih hanya di peringkat asas sahaja iaitu sebagaimana yang diajar semasa kecil atau pendidikan di peringkat rendah dalam ruang lingkup yang sempit atau tidak meluas.

Oleh itu, kepercayaan berlandaskan ilmu atau daripada ilmu yang sentiasa digali pasti dapat meningkatkan lagi makam keimanan setiap individu Muslim itu.

Persoalan tentang malaikat

Ini kerana yang penting, kita mampu menjawab pelbagai persoalan mengenai malaikat. Ini termasuklah apabila dalam agama-agama lain, penganutnya juga percaya agama mereka turut dikuatkan dengan unsur malaikat.

Jadi bagaimana anda dapat menjawab persoalan mengenai malaikat dari perbezaan sudut agama yang berbeza dan seterusnya mengangkat kedudukan malaikat dalam Islam itu melebihi daripada segala-gala kepercayaan kepada unsur yang sama ini.

Perkataan Malaikat merupakan perkataan Arab (yang dibaca: malaa-ikah) iaitu jamak daripada perkataan asalnya iaitu Malak bererti kekuatan.

Maka dari aspek lughah itu dapatlah kita kaitkan bahawa barisan para malaikat merupakan kekuatan-kekuatan yang sangat patuh kepada perintah dan suruhan Allah.

Adakah kekuatan itu berpunca daripada unsur penciptaan malaikat itu sendiri? Wallahu 'alam, Allah jua lebih tahu termasuk jumlah sebenar malaikat yang dikatakan beratus ribu bilangannya diciptakan oleh Allah.

Namun, yang jelas kesemua barisan malaikat ini diciptakan oleh Allah dari cahaya (nur). Ini sebagaimana hadis Rasulullah yang menyebut; Malaikat telah diciptakan daripada cahaya. (riwayat Muslim).

Begitupun, jangan sama sekali kita mengambil kesimpulan bahawa malaikat itu adalah sejenis makhluk halus pula. Iaitu sebaris dengan makhluk-makhluk halus ciptaan Allah yang lain termasuk syaitan, jin dan sebagainya.

Malaikat bukan sejenis makhluk halus kerana tidak sahaja kerana kemuliaan kejadiannya tetapi yang penting malaikat merupakan satu-satunya makhluk yang tugasnya hanya menyembah Allah, taat kepada segala tugas dan perintah-Nya dan mereka tidak pernah berdosa (tidak ada malaikat baik atau malaikat yang jahat - yang sering kali dikatakan malaikat jahat itu adalah iblis). Lalu bandingkan mereka dengan makhluk halus yang lain, adakah wajar bagi malaikat mempunyai kedudukan yang sama seperti syaitan, jin, hantu dan sebagainya itu?

"Ingatlah segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua. Malaikat-malaikat yang ada di sisi-Nya tidak membesarkan diri untuk beribadat kepada Allah dan tidak pula mereka merasa penat dan letih. Mereka selalu bertasbih siang dan malam dengan tidak berhenti-henti." (al-Anbiya': 19-20)

Tetapi bolehkah kita katakan malaikat itu sebagai makhluk ghaib? Hanya, jika kita maksudkan malaikat itu ghaib kerana kita tidak dapat melihat, mendengar, meraba dan menciumnya (bau) dengan lain perkataan, kita tidak dapat menghampiri malaikat itu melalui pancaindera yang lima.

Ciptaan Allah

Tetapi apabila memahami bahawa malaikat itu ciptaan Allah yang begitu hebat, dalam jumlah yang tidak diketahui itu, dengan pelbagai tugas dan keupayaan mereka yang tersendiri tidak bermakna ada kelemahan di sisi tuhan sehingga menyebabkan adanya pembantu seperti yang dilakukan oleh para malaikat.

Allah sebenarnya tidak perlukan apa pun ciptaan termasuk malaikat ini tetapi dengan mempunyai pengetahuan dan kepercayaan terhadap apa juga yang menjadi ciptaan tuhan tidakkah itu semua bagi menggambarkan kekuasaan Dia Yang Maha Agung? Untuk menciptakan apa sahaja yang disukaiNya. Malah dengan kehebatan ciptaan-ciptaannya itu adalah menjadi satu bukti yang jelas kepada kebesaran dan keagungan Maha Kuasa itu.

Walaupun disebutkan manusia tidak dapat melihat malaikat namun ada hakikat yang jelas yang kita tidak mampu untuk menafikannya, malaikat pernah ditemui oleh para nabi.

Ini termasuk Nabi Muhammad iaitu dalam bentuk manusia lelaki walaupun kita tahu bahawa malaikat itu tidak mempunyai jantina tertentu sama ada lelaki atau perempuan.

Namun jangan lupa juga malaikat boleh menjelmakan dirinya di hadapan manusia itu sendiri. Ini sebagaimana yang dialami oleh ibu Nabi Isa a.s, Siti Maryam bagi memberitahu bahawa beliau bakal mengandung atau hamil seorang anak lelaki suci (bakal menjadi nabi).

"Maka dia (Siti Maryam) membuat tabir untuk melindungi dirinya daripada mereka. Lalu Kami menghantarkan kepadanya roh Kami (Malaikat Jibrail) yang dijelmakan sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. (Maryam: 17).

Malaikat yang dimaksudkan menerusi ayat itu merupakan malaikat Jibrail itu sendiri, iaitu antara 10 malaikat yang wajib diketahui dan dipercayai oleh umat Islam.

Bercerita lanjut mengenai malaikat Jibrail ini, malaikat ini ada disebut sebanyak dua kali dalam al-Quran, iaitu dalam surah al-Baqarah (ayat 97-98) dan surah at-Tahrim (ayat 4).

Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintah-Nya) malaikat-malaikat-Nya dan rasul-rasul-Nya khususnya malaikat Jibrail dan Mikail maka sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang yang kafir. (al-Baqarah: 98)

Sebagaimana yang dikisahkan sebelum ini pertemuan Nabi Muhammad dengan malaikat itu di Gua Hira' bagi bermulanya lembaran baru untuk baginda memulakan penyebaran dan dakwah Islamiah kepada penduduk Arab yang telah sekian lama tersesat dan perlu dikembalikan ke pangkal jalan.

Namun bagi Nabi Muhammad dan isterinya, Siti Khadijah masih dalam keraguan benarkah yang 'menyapa' baginda di Gua Hira itu benar-benar malaikat Jibrail? Benarkah melalui Jibrail itu ada perintah yang mesti diterima oleh baginda?

"Demi Maha Kudus Dia, Demi Maha Kudus Dia. Itulah Namus Besar yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa. Alangkah baiknya kalau aku masih muda, alangkah baiknya jika aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu.

"Kalaulah aku masih ada hari engkau mengalaminya, pasti akanku tolong engkau dengan bersungguh-sungguh,"

Kata-kata itu adalah dari bapa saudara Siti Khadijah, Warakah bin Naufal sebagai seorang penganut agama Nasrani yang sangat mengetahui mengenai isi kandungan Kitab Injil.

Kata-katanya itu sebagai mengesahkan mengenai kehadiran malaikat Jibrail dan kebenaran 'berita' yang dibawa oleh Namus itu.

Namus Besar (an-Namus'l-akbar) itu tidak diberikan pengertian tertentu oleh Haekal. Namun beliau menyebut mengikut Orientalis, Montgomery Watt, Namus diambil dari perkataan Yunani, iaitu "Nomos" bererti undang-undang atau kitab Suci yang diwahyukan. Namun bukan dimaksudkan sebagai al-Quran.

- UTUSAN

ISA sangat relevan bagi tujuan pencegahan

Nenek moyang kita mewariskan pintalan untaian kata-kata: “Mencegah lebih baik daripada mengubati”. Mereka juga berpesan”: “Beringat-ingat sebelum kena, berjimat-jimat sebelum habis, jangan sudah terhantuk baru tengadah”.

Maka pada pendapat saya, bagi menjaga keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan negara, kata-kata hikmat yang ditinggalkan itu wajib dijadikan panduan.

Ia agar negara ini tidak berdepan dengan situasi yang berlaku di Indonesia dan Thailand iaitu contoh paling dekat dengan kita.

Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act dan lebih tersohor dikenali sebagai ISA secara tidak langsung merupakan antara alat atau saluran terbaik untuk merealisasikan pesanan nenek moyang kita itu.

Dalam keadaan banyak pihak yang akhir-akhir ini seperti terlalu mengharapkan keadaan huru-hara berlaku di negara ini, maka penggunaan ISA sangat relevan.

Malah ia menjadi alat utama untuk membendung demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram daripada berleluasa dan memudaratkan keselamatan negara.

ISA boleh dijadikan pencegah kepada pertumbuhan bibit yang mendatangkan bencana kepada negara. Ia boleh menjadi isyarat untuk “beringat-ingat sebelum kena”. ISA boleh menjadi siren peringatan supaya berjimat-jimat sebelum habis dan semboyan untuk menyedarkan semua pihak supaya jangan sudah terhantuk baru hendak tengadah.

Walaupun ISA pada umumnya untuk menghalang dan mencegah kegiatan komunis yang telah menamatkan perjuangan bersenjatanya ekoran termeterainya perjanjian damai kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya di Hotel Lee Garden di Hatyai pada 2 Disember 1989. Namun ia tidak bermakna negara sudah bersih daripada semua ancaman.

Pada saya ada pihak yang kemaruk untuk menyaksikan keadaan huru-hara berlaku di negara ini. Namun hasrat mereka terbantut dan sukar untuk dilaksanakan kerana adanya ISA. Oleh itu, desakan demi desakan dibuat supaya ISA dimansuhkan. Ia untuk memudahkan mereka menggerak misi memusnahkan keharmonian negara.

Walaupun mungkin wujud segelintir yang ‘teraniaya’ oleh beberapa kelemahan dalam pelaksanaannya, namun akta itu tidak seharusnya dimansuhkan. Cukuplah sekadar melakukan beberapa pindaan sahaja agar tidak ada pihak yang teraniaya.

ISA atau pelaksanaan apa-apa bentuk perundangan sekalipun bukannya menjadi musuh kepada orang biasa iaitu orang yang tidak berbuat apa-apa kesalahan atau tidak ada niat melakukannya. Segala bentuk perundangan, termasuk ISA menjadi lawan kepada penjenayah dan pengacau ketenteraman awam.

Kerana itu orang kampung biasa, malah majoriti rakyat negara ini tidak rasa takut dan gerun kepada ISA. Malah ramai yang tidak tahu pun apa itu ISA, apatah lagi untuk menentang dan menyertai gerakan menghapuskan ISA.

Rakyat negara ini, terutama pihak polis sebagai pemelihara keamanan, boleh nampak individu atau golongan yang bagaimanakah yang menentang ISA ini dan mahu ia dimansuhkan.

Maka sangat tidak wajar untuk ISA dimansuhkan. Tanpa ISA, kejadian-kejadian sebagaimana yang berlaku di Indonesia dan Thailand akan turut berlaku di Malaysia nanti.

ISA hanya memerlukan pindaan jika benar-benar terdesak. Sebaik-baiknya, ia dikekalkan seperti sekarang kerana ISA bukan musuh majoriti rakyat Malaysia. Ia hanya menjadi masalah segelintir kecil rakyat. Itu pun di kalangan mereka yang jemu untuk melihat keamanan berkekalan di negara ini.

Oleh itu, kerajaan seharusnya tidak tunduk kepada desakan segelintir kecil rakyat yang mahu ISA dimansuhkan. Fikirkanlah kebaikan dan manfaat yang dicetuskan oleh pelaksanaan akta tersebut.

- UTUSAN

Iktibar kembara agung ke langit

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Walaupun setelah 40 tahun angkasawan Niel Armstrong menjejakkan kaki ke bulan, rahsia langit luas masih kekal rahsia. Ia masih belum dapat dijangkau oleh akal manusia.

Malah manusia juga masih tidak mampu untuk memikirkan sesuatu kecuali berdasarkan apa yang dapat dicapai oleh pancaindera. Justeru itu, wahyu dan pertolongan Allah SWT sahaja yang boleh merungkai rahsia alam ini.

Sebagai contoh, peristiwa kembara agung perjalanan Rasulullah SAW ke langit. Ia menjadi bukti kepada orang yang beriman betapa Allah SWT sememangnya "Maha Berkuasa". Allah menjemput kekasihnya, Nabi Muhammad SAW menerusi suatu perjalanan menakjubkan dari Masjidilharam di Mekah, melalui ruang udara Madinah kemudian menuju ke Baitulmaqdis di Palestin.

Baginda kemudiannya dibawa naik melepasi langit ke tujuh untuk bertemu zat Allah SWT. Semua perjalanan itu hanya dilakukan dalam tempoh satu malam sahaja.

Peristiwa menakjubkan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Isra', Ayat 1).

Sehubungan itu, umat Islam diminta agar tidak menjadikan peristiwa ini sebagai acara peringatan tahunan yang hanya dipenuhi dengan sesi ceramah dan juadah enak sahaja tanpa berusaha untuk mengambil pelajaran daripada peristiwa itu.

Ini kerana banyak kewajipan agama sama ada yang tersurat mahupun tersirat boleh dijadikan pedoman untuk manusia memperkuatkan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT. Antaranya ialah:

*Beriman dengan perkara ghaib

Peristiwa Israk Mikraj merupakan peristiwa ghaib yang pernah menyebabkan sebilangan masyarakat Arab menjadi murtad. Ini kerana mereka tidak dapat menerima perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW mengenai perjalanannya itu.

Apa tidaknya, perjalanan yang biasanya mengambil masa berbulan-bulan - Mekah ke Madinah ke Palestin - hanya dilakukan oleh Baginda dalam tempoh satu malam sahaja.

Namun perkara itu tidak boleh hanya disandarkan kepada logik akal semata-mata kerana peristiwa itu adalah benar dan telah ditempuhi sendiri oleh Rasullah SAW.

Maka, setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara-perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang begitu sukar, kerana di dunia ini terdapat banyak perkara yang dibuktikan oleh sains wujud tetapi tidak terlihat oleh pandangan mata kasar.

Contohnya, oksigen yang dihela oleh manusia setiap masa. Ia wujud walaupun tidak kelihatan pada mata kasar. Malah kewujudan oksigen dibuktikan secara saintifik dan ternyata sangat penting kepada manusia sebagai unsur utama untuk meneruskan hidup.

*Perintah wajib mengerjakan sembahyang

Ibadah sembahyang yang difardukan oleh Allah SWT pada malam Israk dan Mikraj itu merupakan suatu kaedah unik yang diadaptasikan daripada perlakuan malaikat bagi melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT.

Setiap umat Islam wajib melaksanakan perintah ini. Dalam apa jua situasi tanpa sebarang persoalan atau bantahan. Sembahyang lima waktu yang difardukan oleh Allah SWT juga merupakan tiang agama yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredhaan-Nya.

Bahkan ia termasuk perkara pertama yang akan dihisab di Hari Kemudian. Pelbagai hukuman disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang ingkar. Ia sebenarnya cukup untuk menjadi ingatan agar orang Islam tidak melalaikan segala suruhan-Nya. Gambaran azab dengan menghantuk-hantukkan kepala ke dinding hanya kerana leka dan malas mengerjakan sembahyang cukup menjadi bukti betapa ibadah itu sangat penting dalam kehidupan seorang muslim.

*Wajib percaya dengan Hari Kiamat

Perlu difahami bahawa kehidupan dunia hanya sementara. Semua manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk diperhitungkan segala perlakuan semasa di dunia. Berdasarkan gambaran dunia laksana wanita tua yang uzur dan tidak berdaya yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW di malam Israk dan Mikraj, dunia kini diambang kehancuran.

Oleh itu, setiap orang Islam bukan sahaja wajib percaya dengan Hari Kiamat tetapi diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari yang maha dahsyat itu.

Individu Muslim disaran agar meletakkan diri sebagai seorang pengembara yang dalam perjalanan bertemu Allah SWT. Sebagai pengembara kita perlu membawa pelbagai bekalan. Amal ibadat dan kebajikan yang dilakukan semasa di dunia merupakan bekalan kita ketika menuju ke akhirat bagi mengelak kesulitan untuk sampai ke destinasi yang dituju itu.

Selain itu, persembahan hadiah berupa amalan ibadah kepada Allah SWT juga mesti disediakan agar beroleh kebahagiaan yang kekal lagi abadi.

*Wajib percaya dengan azab Tuhan

Pelbagai seksaan ditunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Israk dan Mikraj tersebut. Antaranya akibat perbuatan zina, makan riba, ingkar menunaikan solat dan kewajipan berzakat, berdusta serta pecah amanah. Ia membuktikan betapa Allah SWT berkuasa untuk menghukum hamba yang ingkar dan hidup bergelumang dosa.

Semua gambaran itu diharap menginsafkan umat Islam agar sentiasa menjauhi dosa yang mengundang kemurkaan Ilahi.

Di sudut lain, gambaran kurniaan Ilahi kepada satu kaum yang menanam tanaman dan menuai pada hari yang sama seharusnya menjadikan individu Muslim memiliki semangat juang yang tinggi terutama ketika berdepan dengan godaan syaitan iaitu musuh utama kita.

*Wajib percaya dengan qada dan qadar

Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini, manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa. Biasa didengar ada orang yang beroleh kenikmatan dan terdapat pula yang ditimpa musibah.

Nabi Muhammad SAW juga tidak lekang dengan pelbagai ujian. Ini kerana Baginda juga merupakan manusia biasa.

Sebelum dijemput naik ke langit, Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan dua individu penting dalam karier dakwahnya iaitu isterinya, Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib.

Tetapi Baginda tetap tabah menghadapi ujian itu sehingga diberi ganjaran dengan dipertemukan dengan zat Allah pada malam Israk dan Mikraj yang penuh keberkatan.

Maka selayaknya umat Islam mencontohi Nabi dengan menerima segala qada dan qadar Ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan kerana ia suatu bentuk penilaian Allah SWT kepada hamba hamba-Nya.

Terdapat pelbagai lagi iktibar dan pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang boleh diperolehi oleh sesiapa yang dibukakan hatinya oleh Allah SWT. Namun yang lebih utama, janganlah kita hanya berseronok merayakan pelbagai hari kemuliaan Islam tanpa merenung pelajaran di sebalik setiap peristiwa berkenaan.

Marilah kita mensyukuri segala nikmat itu dengan mempertingkatkan amal ibadat dan kebaikan demi menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. - 27 Rejab

1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

- Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

- Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

- Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S. iii. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.
iv. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

- Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

- Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

- Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

- Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

- Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1). wallahua'lam..

SUMBER:
http://fullfilth.blogspot.com

Siti kekal 9 tahun paling popular serantau APM 2009


Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, masih mengekalkan popularitinya di serantau Malaysia, Indonesia dan Singapura apabila memenangi kategori Artis Serantau Paling Popular dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 di Pusat Konvensyen Jakarta, Senayan, Jakarta, malam semalam.

Kemenangan itu sekaligus mengekalkan takhtanya dalam kategori itu selama sembilan tahun berturut-turut.

Bukan itu sahaja, Siti turut meraih kemenangan bagi kategori Artis Malaysia Paling Popular Anugerah Kosmo!.

Kedua-dua kategori tersebut diadili menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibuka sejak pertengahan bulan Jun lalu.

Selain Siti, Aizat turut memenangi dua anugerah di APM 2009 iaitu kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Artis Baru Lelaki) dan Lagu Paling Popular (Malaysia) dikira berdasarkan jumlah muat turun.

Kedua-dua kategori itu menang menerusi single pertama dalam album pertamanya iaitu ‘Hanya Kau Yang Mampu’.

Sementara itu, penyanyi Indonesia, Afgan dan kumpulan Yovie & Nuno turut memenangi dua kategori di majlis anugerah yang pertama kali diadakan di negara mereka.

Afgan meraih kategori Artis Lelaki Terbaik dan Album Terbaik menerusi album ‘Confession No. 1’ manakala Yovie & Nuno mengungguli kategori Duo/ Kumpulan Terbaik menerusi album ‘The Special One’ dan Artis Indonesia Paling Popular.

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan dan ini termasuk sembilan kategori terbaik, tujuh anugerah paling popular selain dua kategori khas, iaitu Anugerah Cinta Planet Muzik dan Anugerah Khas Planet Muzik.

Media Corp. Radio - Ria 89.7FM dan Warna 94.2FM - serta Beyond Events Sdn. Bhd. merupakan penganjur bersama APM 2009.

Ia turut mendapat kerjasama dan sokongan padu seperti tahun-tahun dahulu daripada Music Award Foundation (Yami) Singapura dan Sound Recording Industry Association of Indonesia (ASIRI).

Berikut adalah senarai pemenang bagi setiap kategori:

1) Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Artis Baru Lelaki)- Aizat (Hanya Kau Yang Mampu)

2) Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Artis Baru Wanita)- Ayu (Hanya Di Mercu

3) Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Duo/ Kumpulan Baru Terbaik)-Kotak (Masih Cinta)

4) Kolaborasi Terbaik Dalam Lagu- Lagu Be Te oleh artis, Dewiq feat Ipank, penulis lagu: Pay & Yudi, dan penulis lirik: Dewiq

5) Artis Lelaki Terbaik- Afgan (Confession No. 1)

6) Artis Wanita Terbaik- Bunga Citra Lestari (Tentang Kamu )

7) Duo/ Kumpulan Terbaik- Yovie & Nuno (The Special One)

8) Lagu Terbaik- Laskar Pelangi (Album: OST Laskar Pelangi, artis: Nidji, penggubah lagu: Nidji dan penulis lirik: Giring)

9) Album Terbaik- Confession No. 1 oleh artis, Afgan dan produser: Tessy DJ & Fajar PJ Maringka

10) Artis Singapura Paling Popular (berdasarkan SMS)- Taufik Batisah

11) Artis Malaysia Paling Popular Anugerah Kosmo! (berdasarkan SMS)- Datuk Siti Nurhaliza

12) Artis Indonesia Paling Popular (berdasarkan SMS)- Yovie & Nuno

13) Artis Serantau Paling Popular (berdasarkan SMS)- Datuk Siti Nurhaliza

14) Lagu Paling Popular (Singapura) (berdasarkan SMS)- Impianku (Didicazli)

15) Lagu Paling Popular (Malaysia) (berdasarkan jumlah muat turun)- Hanya Kau Yang Mampu (Aizat)

16) Lagu Paling Popular (Indonesia) (berdasarkan jumlah muat turun)- Kul Cinta (Slank)

17) Anugerah Cinta Planet Muzik- Dik Doank

18) Anugerah Khas Planet Muzik- Band Gigi

- MSTAR

JAWATAN KOSONG DI PEJABAT PEMBANGUNAN, UiTM SHAH ALAM

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1.Jurutera (Awam) J41
2.Jurutera (Mekanikal)J41
3.Pegawai Penilaian W41
4.Jurukur Bahan J41

DOWNLOAD IKLAN:
http://www.ziddu.com/download/5681396/IklanJawatanKosongPembangunanUiTM.doc.html

DOWNLOAD BORANG PERMOHONAN:
http://www.ziddu.com/download/5681397/BorangPerjawatanUiTM.doc.html

Sila kemukakan borang permohonan kepada:

PENGARAH
PEJABAT PEMBANGUNAN
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA
40450 SHAH ALAM

MAKLUMAT LANJUT:
http://www.pembangunan.uitm.edu.my/

Tarikh Tutup : 31 Julai 2009


JAWATAN KOSONG DI MAJLIS PERBANDARAN BENTONG (MPB) PAHANG

Terbuka kepada Warganegara Malaysia.
Keutamaan kepada Rakyat Negeri Pahang.

JAWATAN:
1.ARKITEK J41
2.PENOLONG PEGAWAI PENILAIAN W36
3.PENOLONG PEGAWAI PENILAIAN W27
4.PENOLONG AKAUNTAN W27
5.PENOLONG JURUTERA J29
6.JURUTEKNIK J17

BORANG PERMOHONAN:
Permohonan hendaklah menggunakan Borang berharga RM1.00 yang boleh didapati di Pejabat Majlis Perbandaran Bentong, Pahang.

YANG DIPERTUA,
MAJLIS PERBANDARAN BENTONG
JALAN KETARI
26700 BENTONG
PAHANG DARUL MAKMUR

Tarikh Tutup : 4 Ogos 2009


JAWATAN KOSONG DI LEMBAGA LADA MALAYSIA (MPB)

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1. Penolong Akauntan W27 (Bertaraf Tetap)
2. Penolong Pegawai Perangkaan E27 (Bertaraf Tetap)
3. Pembantu Akaunan W17 (Bertaraf Tetap)
4. Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) N17 (Bertaraf Tetap)
5. Pegawai Ehwal Ekonomi E41 (Bertaraf Kontrak)
6. Pen. Peg. Ehwal Ekonomi E27 (Bertaraf Kontrak)
7. Pemb. Ehwal Ekonomi E17 (Bertaraf Kontrak)

DOWNLOAD IKLAN:
1.Jawatan tetap
http://www.ziddu.com/download/5681106/IklanJawatanTetapMPB2009.pdf.html

2.Jawatan Kontrak
http://www.ziddu.com/download/5681108/IklanJawatanKontrakMPB2009.pdf.html

DOWNLOAD BORANG PERMOHONAN:
http://www.ziddu.com/download/5681107/BorangJawatanLembagaLada.pdf.html

MAKLUMAT LANJUT:
http://www.mpb.gov.my

Tarikh Tutup : 10 Ogos 2009


JAWATAN KOSONG DI MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN (MAINS)

Terbuka kepada Warganegara Malaysia.
Keutamaan kepada Rakyat Negeri Sembilan Darul Khusus.

JAWATAN:
1.PEGAWAI TADBIR N41
2.PENOLONG PEGAWAI EHWAL ISLAM
3.PEMBANTU TADBIR

BORANG PERMOHONAN:
Permohonan hendaklah menggunakan borang yang boleh didapati Pejabat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Seremban, Negeri Sembilan.

Tarikh Tutup : 30 Julai 2009


JAWATAN KOSONG DI MAJLIS DAERAH TAMPIN (MDT) NEGERI SEMBILAN

Terbuka kepada Warganegara Malaysia.
Keutamaan kepada Rakyat Negeri Sembilan Darul Khusus.

JAWATAN:
1.PENOLONG JURUTERA GRED J29
2.PENOLONG PEGAWAI SENIBINA GRED J29
3.PENOLONG PEGAWAI PERANGANG BANDAR DAN DESA GRED J29

BORANG PERMOHONAN:
Permohonan hendaklah menggunakan Borang Khas yang boleh didapati dengan percuma dari Pejabat Majlis Daerah Tampin (Bahagian Pentadbiran). Samada dengan datang sendiri ataupun mengirimkan satu sampul surat berukuran 32 cm x 22 cm beralamat sendiri berserta setem yang mencukupi

YANG DIPERTUA,
MAJLIS DAERAH TAMPIN,
73000 TAMPIN,
NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

Tarikh Tutup : 31 Julai 2009


Recent Posts