Isnin, Julai 20, 2009

PROGRAM PELATIH PENGURUSAN DI TH PLANTATIONS BERHAD

TH Plantations Berhad mempelawa graduan–graduan Ijazah yang belum bekerja untuk menyertai skim ini:

PROGRAM PELATIH PENGURUSAN
Program ini akan dijalankan selama 6 bulan dan akan menyediakan latihan dan pendedahan persekitaran pekerjaan sebenar di samping mendapat bimbingan daripada para professional yang mahir dalam masing–masing.

Di antara kemudahan yang disediakan:
-Elaun bulanan sebanyak RM 1000.00 & Elaun penginapan RM 200.00
-Perlindungan Insurans kemalangan peribadi & Hospital
-Perkeso

Syarat – syarat Permohonan :
1.Warganegara Malaysia dan masih tidak mempunyai pekerjaan

2.Mempunyai Ijazah dalam salah satu daripada bidang berikut :
-Ekonomi
-Ekonomi (Kewangan)
-Pentadbiran Perniagaan
-Pemasaran (Pertanian)
-Teknologi Maklumat (Networking)
-Sains Komputer

3.Berumur tidak melebihi 30 tahun
4.Kemahiran Berbahasa Inggeris adalah diutamakan.

Sila hantarkan permohonan anda dengan menyertakan surat permohonan berserta dengan foto saiz passport, resume, salinan sijil-sijil dan kad pengenalan ke alamat berikut:

Pengurus Kanan Pentadbiran
TH Plantations BERHAD
Tingkat 27,Bangunan TH Selborn
153,Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur

Tarikh Tutup : 31 Julai 2009

JAWATAN KOSONG DI KERAJAAN NEGERI SARAWAK

Terbuka kepada Warganegara Malaysia yang bermastautin di Sarawak.

JAWATAN & TARIKH TUTUP:
-PEKERJA RENDAH AWAM 02-08-2009
-PEMANDU KENDERAAN BERMOTOR 02-08-2009
-PENOLONG PEGAWAI PERIKANAN 28-07-2009
-PENOLONG PEGAWAI VETERINAR 28-07-2009
-PENOLONG PEGAWAI PERTANIAN 28-07-2009
-PENOLONG PEGAWAI PEMBANGUNAN MASYARAKAT 28-07-2009
-PEMBANTU TEKNIK (MEKANIKAL) 28-07-2009
-PEGAWAI PERIKANAN 28-07-2009
-JURUTERA 28-07-2009
-PEGAWAI PERTANIAN 28-07-2009
-PEGAWAI PENYELIDIK 28-07-2009
-PENOLONG KURATOR 04-09-2009
-KURATOR 04-09-2009
-PROGRAM LATIHAN PEMERKASAAN KEUPAYAAN SISWAZAH 05-06-2012

MAKLUMAT LANJUT & BORANG PERMOHONAN ONLINE:
http://www.e-recruitment.gov.my
http://www.e-recruitment.gov.my/eRecruitment3_public/VacancyView_Browse.jsp

Tarikh Tutup : Rujuk Iklan


JAWATAN KOSONG DI SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI SABAH

Terbuka kepada Warganegara Malaysia yang berasal dari Sabah.

JAWATAN:
-JURUTERA (AWAM)
-MERINYU TALI AIR
-PEMBANTU TEKNIK
-TUKANG K2
-PENGAWAL KESELAMATAN

MAKLUMAT LANJUT & BORANG PERMOHONAN ONLINE:
http://www.jawatan.sabah.gov.my/

Tarikh Tutup : 31 Julai 2009


JAWATAN KOSONG DI INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN, UPM

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
- PENOLONG PEGAWAI TEKNOLOGI MAKLUMAT – GRED F29

DOWNLOAD BORANG:
http://www.ziddu.com/download/5436385/BorangJawatanUPM.pdf.html

Borang permohonan yang telah lengkap berserta dengan sijil-sijil yang berkaitan yang telah disahkan hendaklah dimajukan ke:

PEJABAT AM
INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN (INTROP)
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN

Tarikh Tutup : 31 Julai 2009


JAWATAN KOSONG DI PUSAT SUKAN, UPM

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
- PENOLONG PEGAWAI TEKNOLOGI MAKLUMAT – GRED F29

DOWNLOAD BORANG:
http://www.ziddu.com/download/5436385/BorangJawatanUPM.pdf.html

Borang permohonan yang telah lengkap berserta dengan sijil-sijil yang berkaitan yang telah disahkan hendaklah dimajukan ke:

Pejabat Am,
Pusat Sukan,
Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang
SELANGOR.
(u.p.: Cik Muzanna binti Muhamad)

Tarikh Tutup : 24 Julai 2009


Minum arak: Model dihukum 6 sebatan

Seorang model pelancongan didenda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak.

Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, dari Sungai Siput, Perak menjalani hukuman penjara tiga tahun, jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa meminum arak jenama Tiger Beer di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating kira-kira pukul 11.40 malam pada 11 Julai tahun lepas, laporan Bernama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Abdul Rahman dalam penghakimannya berkata mahkamah tidak ragu-ragu dalam menjatuhkan hukuman selepas tertuduh mengaku bersalah ketika didakwa di mahkamah itu pada 1 Disember tahun lepas.

Tertuduh yang dilihat mengalirkan air mata ketika penghakiman dibacakan kemudian memohon penangguhan hukuman untuk rayuan melalui peguamnya, Mohd Zuki Che Mat Ghani.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Syarie, Saiful Idham Sahimi.

- MALAYSIAKINI

Ahad, Julai 19, 2009

Chua Jui Meng umum keluar MCA & sertai PKR


Bekas menteri kesihatan, Datuk Chua Jui Meng hari ini mengumumkan keluar dari MCA dan menyertai PKR di di majlis forum anjuran PKR di Sunway.

Sebelum ini, Chua yang juga bekas menteri naib presiden MCA muncul di majlis tersebut bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chua sebelum ini mengumumkan melepaskan jawatan ketua MCA bahagian Bakri Khamis lalu.

Kira-kira 800 hadirin di majlis itu bertepuk tangan ketika Chua dan Anwar melangkah masuk ke dewan pada jam 3.30 petang.

Terdapat kain pemidang yang mengucap tahniah kepada Chua kerana menyertai PKR", yang dipegang hadirin ketika Chua berjalan masuk.

Dalam ucapannya, Chua berkata beliau telah melepaskan jawatan ketua MCA bahagian Bakri untuk menempuh perjalanan baru untuk perubahan.

Katanya, sebab beliau menyertai PKR ialah kerana sistem dua parti ini berdepan dengan ancaman dari Umno.

Menurut Chua, beliau yakin telah membuat keputusan yang betul, untuk menyertai PKR, terutama dalam detik penting dalam sejarah negara.

Menurutnya, kematian Teoh Beng Hock - setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, menjadi pendorong penting baginya untuk melompat menyertai pembangkang.

Mayat Teoh ditemui Khamis lalu di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, selepas disoal siasat semalam oleh SPRM, berhubung dakwaan salahguna wang peruntukan untuk DUN di Selangor.

Chua hadir bersama bekas senator MCA, David Yeoh dan bekas ahli Parlimen Lumut. Kedua-duanya turut mengumumkan menyertai PKR.

Dua hari lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Chua akan melompat menyertai PKR.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Chua ditanya mengenai laporan yang menyebut beliau menafikan akan menyertai PKR.

Dalam jawapannya, Chua menafikan berkata demikian tetapi sebaliknya berkata beliau telah disalahlapor.

Ada persamaan

Menurut bekas menteri kesihatan itu, beliau menyertai PKR kerana mempunyai persamaan idealisme dan visi dengan manifesto PKR untuk membawa perubahan di Malaysia.

“Saya sudah keluarkan manifesto saya beserta dengan idealisme dan visi untuk MCA.

“Saya membuat perbandingan manifesto beliau (Anwar) dalam agenda Malaysia dan manifesto PKR. Saya nampak isu-isu ada perkiraan yang sama. Itu mustahak bagi saya. Kalau ada idea-ide yang bercanggah saya tidak akan masuk PKR,” katanya

Beliau juga menafikan beliau kecewa dengan MCA dan menyifatkan perkara tersebut "tidak berbangkit sama sekali".

“Pada pemilihan tahun 2008 saya tewas, (kemudian) saya jemput Datuk Seri Ong Tee Keat ke bahagian saya dan minta beliau menjelaskan kepada masyarakat Tiong Hua, walaupun kami bertanding satu jawatan yang sama, atas nama prisip, maka kita boleh kekal berkawan,” katanya.

Kata Chua, presiden MCA itu, pernah hadir ke bahagiannya sebanyak dua kali selepas beliau kalah dalam permilihan parti tahun lepas.

Menurutnya lagi, beliau mula membuat pertimbangan untuk menyertai PKR sebelum dan selepas pemilihan MCA pada tahun lalu.

“Kemasukannya saya ke dalam PKR adalah tanpa syarat.

“Saya ada idea dan wawasan yang sama dengan PKR. Kalau ada tempat ada platform, tempat itu bermula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tambahnya.

Katanya, keputusan untuk menyertai PKR juga dibuat selepas beberapa kali perbincangan dengan Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

- MALAYSIAKINI

Pembaziran makanan

Tanpa disedari, longgokan makanan terbiar rosak di Britain, Eropah dan Amerika Syarikat sebenarnya mampu mengatasi tujuh kali ganda masalah kebuluran dunia.

Lebihan makanan setiap rumah di Britain pula - jika dikumpulkan - boleh mengenyangkan kira-kira 113 juta orang.

Secara purata, penduduk Britain membazirkan makanan di rumah masing-masing dalam kuantiti bersamaan dengan keperluan harian dua mangsa kelaparan.

Sebuah buku ditulis peladang kecil-kecilan dan penganalisis industri makanan, Tristram Stuart, sepatutnya mampu membuka mata kita mengenai pengurusan bahan makanan harian.

Bertajuk Waste, Stuart menyiapkan bahan itu dengan mendokumentasi proses penghasilan makanan - bermula dari ladang, kilang dan akhirnya dipasarkan di kedai atau pasar raya.

Dia mengembara ke serata dunia, termasuk China, Pakistan dan Jepun. Hasil penelitian Stuart, separuh daripada bahan makanan terbuang begitu saja sebelum ia sempat tiba kepada pengguna.

Pengamatan Stuart mendapati:

# Tiga puluh peratus ubi kentang - atau satu bagi setiap tiga yang dijual - terbuang begitu saja di Britain.

# Peladang dan pengilang menyebabkan hampir sejuta tan pembaziran ubi kentang setahun.

# Pembaziran pengguna pula sebanyak 358,000 tan.

# Di antara 40 hingga 60 peratus daripada keseluruhan ikan ditangkap di Eropah dibuang semula ke laut.

# Greenpeace menganggarkan, daripada 186 juta ikan ditangkap di perairan Britain, 117 juta mati dan dibuang ke laut - biasanya kerana terlalu kecil, bukan spesies diinginkan atau melebihi kuota ditetapkan ke atas nelayan.

# Nilai pasaran bagi beberapa jenis ikan yang ditangkap nelayan dan dibuang semula mencecah RM292.5 juta

# Syarikat Marks & Spencer mengarahkan pembekal sandwic untuk mereka, Hain Celestial Group, mengetepikan empat potong roti bagi setiap buku digunakan - kepingan berkerak dan kepingan selepasnya. Ia menyebabkan 13,000 kepingan roti dibazirkan sehari di kilang itu.

# Pengguna Britain membuang 484 juta tin yogurt tanpa sempat dibuka, serta pisang bernilai lebih RM2 bilion.

Menurut Stuart, pihak pasar raya melakukan kesalahan khusus apabila enggan mendedahkan nilai makanan yang dibuang.

“Pasar raya bersungguh-sungguh memastikan produk kegemaran pelanggan sentiasa ada dijual bagi mengelakkan mereka beralih ke tempat lain.

“Sebuah pasar raya menjelaskan, amalan itu memaksa mereka meletakkan produk lebih banyak berbanding permintaan sebenar dan tidak keberatan jika ia akhirnya terbuang atau rosak begitu saja,” katanya.

Menurut Stuart, peniaga juga yakin pelanggan akan lebih tertarik datang ke premis mereka apabila mendapati semua rak berisi dengan pelbagai barang.

“Alasan lain, pasar raya mendapat lebih keuntungan jika meningkatkan stok masing-masing,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, sebungkus sandwic 200 gram hanya memerlukan kos kurang daripada satu pence tetapi keuntungan diperoleh mencapai 100 kali ganda.

Pasar raya Sainsbury’s menyatakan, kira-kira 60,000 tan makanan dihantar ke tapak pembuangan sampah setiap tahun, manakala rangkaian pasar raya Asda melupuskan kira-kira 75,000 tan.

Bagaimanapun, keadaan mungkin berubah apabila banyak pasar raya berjanji berusaha mengurangkan pembaziran makanan di setiap premis mereka.

Morrisons berjanji menurunkan kadar pembuangan sehingga separuh menjelang tahun depan, selepas Sainsbury's dan Asda mengumumkan rancangan mereka.

Tesco pula berharap dapat menghantar 80 peratus bahan terbuang itu untuk dikitar semula menjadi bahan bakar.

Kaji selidik oleh syarikat pengurusan bahan buangan, Biffa, mendapati hampir separuh daripada buah-buahan dan sayur-sayuran ditanam untuk pasar raya akhirnya terbuang begitu saja.

Antara lain, ia kesan pelaksanaan sistem spesifikasi yang ketat.

Kata Stuart, lambakan makanan terbuang bukan sekadar satu tragedi kemanusiaan, sebaliknya boleh membuka potensi lain jika dimanfaatkan.

“Ada kira-kira 900 juta warga dunia kekurangan zat ketika ini dan mereka boleh diselamatkan daripada kebuluran dengan menguruskan bahan berkenaan,” katanya.

Menurut Stuart, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyokong saranan mengurangkan pembaziran makanan sehingga separuh menjelang 2025.

“Sebenarnya sasaran itu boleh dicapai lebih awal dengan kerjasama ahli perniagaan, kerajaan dan orang awam,” katanya.

- METRO AHAD

Hamil - Sudahkah anda bersedia?

Apa persediaan anda lakukan apabila merancang untuk hamil? Ramai kata bersedia untuk menimang cahaya mata tetapi tahukah anda persediaan mental saja tidak mencukupi.

Ini kerana ada pelbagai perkara perlu diberikan pertimbangan, terutama daripada aspek kesihatan walaupun diakui persediaan mental penting kerana kira-kira 80 peratus kehamilan di dunia tidak dirancang.

Perkara inilah yang membuatkan sesetengah bayi tidak diberi perhatian sewajarnya. Lebih malang kehamilan tidak dirancang dan dikehendaki menyebabkan wanita tergamak membuang bayi sendiri sejurus selepas dilahirkan.

Kajian menunjukkan 190 juta wanita setiap tahun di dunia hamil dan hampir 50 juta daripadanya melakukan pengguguran. Dianggarkan 68,000 wanita mati setiap tahun akibat pengguguran tidak selamat manakala berjuta menderita kerana mengalami ketidakupayaan jangka panjang.

Di Malaysia, dianggarkan seorang bayi dibuang setiap 10 hari di Lembah Klang dan di seluruh negara 100 bayi dibuang setiap tahun.

Justeru, setiap pasangan, terutama wanita perlu tahu kaedah perancangan keluarga sama ada melalui penggunaan kondom, pil perancang mahupun terapi hormon (implan atau alat dalam rahim).

Pengetahuan mengenai kaedah perancangan ini sangat penting kerana golongan muda kini dalam lingkungan usia 10 hingga 24 tahun mempunyai kehidupan seksual yang aktif.

Tabung Kanak-kanak Bangsa-Bangsa Bersatu 2007 (Unicef) melaporkan kebanyakan mereka aktif seksual sebelum berusia 20 tahun manakala 49 peratus kanak-kanak perempuan di negara membangun, berkahwin sebelum mencapai usia 18 tahun.

Malangnya masih ada wanita yang bimbang dengan penggunaan kaedah perancangan keluarga atas faktor agama.

Sebenarnya penggunaan kaedah perancangan keluarga dibenarkan dalam Islam bagi mengelakkan masalah sosial yang disebut di atas. Ia juga bertujuan anak yang dianugerahkan Allah dijaga, dibesarkan dan dididik dengan kasih sayang dan penuh tanggungjawab.

“Persediaan untuk mempunyai anak amat penting sama ada dari segi ekonomi, mental dan fizikal. Kehadiran semua bayi sepatutnya alu-alukan dan disambut dengan penuh syukur, bukannya dianggap sebagai kehamilan yang tidak disengajakan”, kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr Ho Choon Moy.

“Ada sesetengah wanita hamil dalam keadaan belum bersedia. Keadaan ini menimbulkan konflik antara suami isteri kerana bertentangan dengan kehendak mereka. Bukan semua orang boleh menerima kehadiran bayi dalam hidup mereka, terutama jika masing-masing dalam usaha memantapkan kerjaya.

“Bahkan bersedia mental saja tidak cukup, ekonomi anda juga perlu kukuh kerana bayi anda berhak mendapat kehidupan yang baik. Malah ibu bapa juga perlu tahu mengenai program imunisasi kebangsaan dan perlindungan yang diberikan kepada bayi. Ada beberapa penyakit kanak-kanak yang tidak dilindungi dan suntikan vaksin boleh diperoleh daripada klinik swasta,” katanya.

Persediaan untuk hamil

# Sihat — Suami isteri yang merancang perlu mempunyai badan sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang. Keperluan ini lebih tinggi pada wanita kerana anda akan menjadi ‘rumah’ kepada bayi selama sembilan bulan. Anda bertanggungjawab membekalkan khasiat makanan kepada bayi. Banyakkan makan sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan.

# Ambil makanan tambahan — Ramai wanita tidak tahu bahawa mereka perlu mengambil asid folik sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum hamil. Asid folik penting kerana ia boleh mengurangkan risiko ketidaknormalan atau kecacatan pada bayi. Pengambilan asid folik selepas disahkan hamil dianggap agak terlewat kerana ketika ini, bayi sudah pun terbentuk dalam rahim anda.

Selain itu, wanita disaran mengambil pil zat besi yang boleh menambah darah. Lebih baik jika anda berbincang dengan doktor mengenai pengambilan makanan tambahan sebelum dan ketika hamil.

# Bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat — Ramai wanita tidak menganggapnya sebagai bukan perkara penting walaupun tahu senaman boleh meningkatkan kesihatan. Kegemukan juga boleh menyebabkan wanita sukar mengandung dan ramai yang dinasihatkan untuk mengurangkan berat badan terlebih dulu.

Kegemukan boleh menyebabkan perubahan hormon dan fungsi ovari (organ yang mengeluarkan telur) terjejas; akibatnya wanita lebih sukar untuk hamil dan berisiko mengalami keguguran atau bayi dilahirkan tidak cukup bulan.

Sepanjang kehamilan, wanita gemuk berisiko untuk mengalami keguguran, kencing manis dan tekanan darah tinggi yang menyebabkan anda mungkin terpaksa menjalani pembedahan ketika bersalin kelak. Namun apa yang lebih kerap terjadi ialah bayi dilahirkan tidak cukup bulan sama ada secara normal atau pembedahan.

# Jalani pemeriksaan kesihatan — Ramai wanita hanya menyedari mereka mengalami masalah fibroid atau barah pangkal rahim ketika mengandung. Ini akan menimbulkan banyak konflik kerana rawatan kanser, khususnya berbahaya untuk kandungan. Lebih baik jika masalah kesihatan tidak kiralah kencing manis, tekanan darah tinggi atau rendah, sakit jantung atau penyakit lain dikesan sebelum hamil.

# Ujian imbasan bunyi — Untuk payudara (bagi wanita berumur 40 tahun ke bawah) atau ujian sinar-x dada.

# Lumuran pap — Bagi mengesan kanser pangkal rahim. Jika disyaki ada sel kanser, anda perlu menangguhkan rancangan untuk mendapat anak.

# Ujian darah — Ini adalah untuk mengesan talassemia iaitu penyakit keturunan. Jika wanita menunjukkan beliau adalah pembawa gen talassemia (juga dipanggil talassemia minor), suami juga perlu menjalani ujian darah. Seandainya hanya isteri saja menjadi pembawa gen talassemia, ia tidak membimbangkan kerana anak hanya akan menjadi pembawa juga.

Bagaimanapun, jika suami turut mengalami talassemia, anak bakal dilahirkan mempunyai kemungkinan 25 peratus mendapat penyakit talassemia major. Dalam keadaan ini, bayi dalam kandungan akan diperiksa ketika masuk bulan kedua.

# Suntikan rubela — Wanita yang belum mendapat suntikan vaksin rubela dinasihatkan untuk berbuat demikian sekurang-kurangnya empat bulan sebelum berkahwin, terutama memang merancang mendapat anak secepat mungkin. Jika tidak, ambillah langkah pencegahan supaya anda tidak mengandung sekurang-kurangnya tiga bulan selepas suntikan vaksin rubela.

Jangkitan virus rubela ketika mengandung boleh menyebabkan keguguran, kelahiran tidak cukup bulan, bayi meninggal ketika dilahirkan atau bayi anda mengalami kecacatan. Risiko ini lebih tinggi jika jangkitan berlaku pada awal kehamilan dan kerosakan akibat aktiviti virus akan bertambah dengan perkembangan janin.

# Ujian darah untuk hepatitis B — Virus hepatitis B menjangkit melalui darah dan cecair badan. Ini bermakna virus juga boleh diwariskan kepada anak dalam kandungan melalui kelahiran (normal atau pembedahan). Bayi mewarisi virus hepatitis B biasanya akan mengalami jangkitan kronik dan mempunyai peluang 25 peratus mendapat kanser hati pada usia muda.

# Faktor rhesus (kumpulan darah, juga dipanggil faktor Rh) — Kalau anda perhatikan, apabila ujian darah dilakukan, doktor akan mencatat sama ada darah anda (sama ada kumpulan A, B, AB atau O) dengan Rh positif atau Rh negatif. Jika tidak dicatat apa-apa, bermakna darah anda adalah Rh positif.

Rhesus adalah satu kumpulan antigen (bahan dianggap asing oleh badan) yang mungkin atau tidak hadir pada permukaan sel darah merah. Ia menjadi asas bagi sistem kumpulan darah. Kebanyakan orang tidak mengira jenis darah mereka mempunyai rhesus positif. Individu yang tidak mempunyai faktor ini dipanggil rhesus negatif atau Rh negatif.

Menurut Dr Ho, Rh negatif dianggap sebagai keadaan tidak normal dan ia jarang berlaku. Ketidakserasian antara darah Rh positif dan Rh negatif boleh menyebabkan penyakit berkaitan darah pada bayi. Bagi wanita yang mempunyai Rh negatif, suami akan dipanggil untuk menjalani ujian. Jika suami juga mempunyai Rh negatif, bermakna anda boleh menarik nafas lega kerana darah anda ‘serasi’ dengan darah suami.

Pada keadaan biasa faktor ini tidak memberi kesan kepada kesihatan kecuali ketika anda mengandung. Apa dibimbangkan ialah jika isteri mempunyai Rh negatif dan suami pula Rh positif. Oleh kerana bayi adalah gabungan daripada bahan baka ayah dan ibu, maka badan ibu akan menghasilkan antibodi untuk ‘menolak’ bayi yang dianggap sebagai bahan asing. Ini menyebabkan wanita boleh mengalami pendarahan sama ada sebelum atau selepas melahirkan anak.

Jika anda mengalami pendarahan sebelum atau selepas melahirkan anak, doktor akan memberikan suntikan RhoGAM untuk mengelakkan komplikasi. Ini bermakna doktor akan memberikan suntikan setiap kali anda mengalami pendarahan sepanjang sembilan bulan kehamilan. Suntikan ini juga bertujuan untuk mengelakkan komplikasi jika anda mengandung lagi.

# Ujian untuk penyakit kelamin — Ia penting untuk mengelakkan penyakit kelamin ini daripada menjangkiti bayi yang bakal lahir.



Bagi pasangan berumur 35 tahun ke atas dan pertama kali mahu mendapatkan cahaya mata perlu sedar bahawa peluang untuk hamil lebih rendah berbanding wanita muda serta berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi. Kesuburan berkurang dengan peningkatan umur disebabkan beberapa perkara iaitu jumlah telur berkualiti berkurang, penurunan tahap kesihatan (pada lelaki dan wanita), jumlah sperma berkurang dan hubungan seks tidak sekerap pasangan muda.

Adakah kehamilan selepas umur 35 tahun itu selamat? Ya, tetapi ada risiko komplikasi. Malah peluang untuk melahirkan anak cacat seperti Sindrom Down juga meningkat dengan pertambahan umur. Dianggarkan insiden bayi Sindrom Down di kalangan ibu muda (berumur 20-an) ialah satu kes bagi 1,400 kelahiran yang bertambah kepada satu kes bagi 100 kelahiran apabila umur ibu memasuki 40 tahun.

Malah risiko keguguran juga agak tinggi iaitu daripada 12 hingga 15 peratus di kalangan ibu muda kepada 25 peratus jika ibu berumur 40 tahun. Biasanya masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis bermula apabila seseorang memasuki pertengahan 30-an atau awal 40-an. Jika anda ada masalah ini, pastikan penyakit anda terkawal sebelum mengandung.

Selain itu melahirkan anak secara pembedahan juga biasa berlaku di kalangan wanita yang hamil kali pertama selepas berumur 35 tahun, namun tidak kira berapa pun usia anda, secara umumnya wanita disaran mengambil beberapa jenis vaksin sebagai pelindung iaitu:

# Vaksin untuk demam campak, terutama bagi individu yang tidak pernah mengalami jangkitan ini ketika kecil.

# Vaksin hepatitis B

# Vaksin untuk kanser pangkal rahim dan kutil kemaluan

Menurut Dr Ho, persediaan untuk hamil tidak terletak pada wanita saja bahkan lelaki juga perlu bersedia sekurang-kurangnya tiga bulan dan antara yang harus dilakukan ialah mengurangkan atau berhenti merokok dan pengambilan alkohol kerana ia boleh menjejaskan penghasilan dan kualiti sperma.

“Lelaki juga dinasihatkan untuk mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang bagi membolehkan badan menghasilkan sperma yang sihat. Jangan letakkan semua persediaan kepada wanita saja kerana kerjasama berdua diperlukan untuk mendapat anak. Bagi lelaki mempunyai pasangan lain sebelum ini, pergilah jalani ujian penyakit kelamin.

“Meskipun berasa sihat tetapi ujian ini adalah satu kepastian suami tidak menyebarkan penyakit kepada isteri dan anak yang bakal dilahirkan. Kerjasama anda untuk menimang cahaya mata secara tidak langsung boleh mengeratkan hubungan suami isteri dan menjadikan kedatangan orang baru sebagai anugerah sangat berharga,” katanya.

Cinta 3R


Selepas diperkenalkan kira-kira sembilan tahun lalu, siapa sangka program yang mengenengahkan isu remaja perempuan ini mampu bertahan sehingga hari ini dan masih mempunyai pengikut setia.

Malah penyampaiannya dilihat semakin matang memandangkan tenaga kerjanya juga menunjukkan peningkatan dari segi idea, penyampaian serta pengisian yang selari dengan isu terkini.

Musim terbaru yang mengandungi 13 episod ini masih mengekalkan tiga pengacaranya yang turut memainkan peranan besar dalam merealisasikan impian mereka untuk membawa rancangan ini pergi lebih jauh dan relevan dengan arah aliran terkini.

Rafidah Abdullah, Celina Khor dan Kartini Ariffin (Tini) - tiga gandingan hebat ini melebarkan lagi fungsi mereka dengan memberi sumbangan pelbagai segi termasuk kerja-kerja penulisan skrip dan pengarahan.

Musim ini turut menampilkan bekas pengacara 3R, Azah menerusi segmen khas yang lebih berupa sebagai kaunselor dalam menyelesaikan masalah penonton, menjadikannya satu kelainan berbanding musim lalu.

“Kalau diikutkan, memang kami mahu Azah kembali menjadi pengacara bersama, namun kerana konsep rancangan ini memang menampilkan tiga pengacara saja, kita ambil jalan lain untuk membawa Azah turut serta.

“Azah juga memang bijak dalam penyelesaian masalah khususnya remaja, jadi keputusan meletakkan Azah menerusi segmen itu memang tepat,” ujar Rafidah yang turut bertindak sebagai penulis skrip.

Menurutnya lagi, musim ini turut meluaskan fokus sesuatu isu memandangkan 3R hari ini menyajikan tontonan kepada wanita berusia 18 hingga 30 tahun, termasuk mereka yang sudah berumahtangga.

Malah pengisiannya turut diperluaskan kepada semua bangsa memandangkan pelbagai isu berkaitan bukan saja membabitkan bangsa tertentu, malah turut dipengaruhi kehidupan berbilang kaum di Malaysia.

“Jika sebelum ini kita lebih fokus kepada masalah remaja Melayu, sekarang kita merasakan sudah sampai masanya isu dikaitkan dengan wanita bawah 30-an yang selalunya terbabit dengan pelbagai masalah dan kekurangan pengetahuan dalam menjalani kehidupan.

“Ini termasuk masalah membabitkan hubungan sesama rakan dan masyarakat berbilang bangsa, serta mengenali adat resam yang nyata berbeza yang kadangkala menimbulkan rasa kurang sensitif, jadi kali ini kita paparkan langkah mengatasinya,” menurut Tini yang juga mengarah dan menulis skrip dalam beberapa episod 3R.

Selain itu, 3R turut memaparkan personaliti wanita yang mampu memberi inspirasi dalam bidang masing-masing, khususnya yang menunjukkan kejayaan dan mampu menjadi ikon dan contoh kepada penonton.

Ini termasuk penyanyi yang mula bertapak dalam dunia indie, Yuna, yang dirasakan sesuai bagi dijadikan contoh khususnya kepada remaja yang ingin menceburi bidang seni yang penuh liku.

“Tidak dinafikan, kita juga masih memaparkan isu sama kerana selalunya isu berkenaan wanita agak sama walaupun perjalanan waktu menyebabkan perubahan, jadi kita ambil inisiatif untuk menyentuhnya dari arah berbeza.

“Sebagai contoh, kita masih mengekalkan segmen mengenai penjagaan kecantikan yang tidak terlalu tipikal, selain masalah mengenai rumah tangga dan kerjaya yang selalu menghantui golongan remaja dan wanita muda,” kata Celina.

Kejayaan program ini sebenarnya mendapat perhatian ramai pihak, termasuklah golongan lelaki yang mahukan rancangan seperti ini dibuat dalam versi lelaki, namun ada pula yang berpendapat pendekatannya mungkin berbeza memandangkan 3R lebih sinonim dengan wanita.

Namun, ketiga-tiga pengacara ini tidak menolak, malah mengalu-alukan jika ada cadangan untuk menerbitkan 3R versi lelaki walaupun mungkin ada pihak yang merasakannya tidak sesuai.

“Sebenarnya kami pernah terfikir untuk menerbitkan 3R versi lelaki, tetapi setakat ini kami perlu meneliti apakah jalan paling sesuai bagi menarik minat lelaki menontonnya memandangkan sifat lelaki dan wanita ternyata berbeza.

“Justeru, penelitian harus dilakukan jika 3R untuk lelaki benar-benar hendak direalisasikan, dan kami mengharapkan sokongan orang ramai,” kata Rafidah.

Buat masa sekarang, 3R menampilkan beberapa personaliti lelaki sebagai pelakon jemputan dalam beberapa segmen seperti Fizo Omar dan Naz Habibur Rahman.

Menyentuh mengenai kehidupan ketiga-tiga pengacara ini, ternyata bukan mudah bagi mereka membahagikan masa bersama 3R memandangkan mereka mempunyai tugasan masing-masing seperti Tini yang juga penyampai radio Hot FM dan Celina yang kini aktif menguruskan perniagaannya.

Namun, atas dasar cinta kepada 3R, ternyata mereka sanggup berkorban demi memastikan program ini terus hidup dan dapat memberikan informasi berguna kepada golongan remaja dan wanita muda.

“Saya lebih mudah untuk memberikan komitmen kepada 3R memandangkan saya memang bekerja sepenuh masa menulis skrip di Red Communication, jadi saya tidak kisah bekerja lebih sedikit untuk memastikan segalanya berjalan lancar,” kata Rafidah.

Lain pula dengan Tini yang terpaksa berkejar-kejar ke set penggambaran, malah adakalanya dia terpaksa berulang alik dari lokasi ke konti radio memandangkan dia tidak boleh mengabaikan tanggung jawab sebagai penyampai radio.

“Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan Hot FM yang sentiasa memberi sokongan kerana secara tidak langsung saya membawa nama stesen ke mana saja, syukur kerana setakat ini saya mampu membahagikan masa tanpa mengabaikan komitmen saya dengan kedua-dua pihak,” ujar Tini yang pernah meninggalkan 3R buat sementara untuk menyambung pelajaran.

Celina juga tidak terlepas daripada masalah membahagikan masa lantaran sibuk dengan dunia perniagaan yang sering memerlukannya berurusan dengan pelanggan, sehingga adakalanya dia terpaksa menjalankan aktiviti perniagaannya di lokasi pada celah-celah waktu rehat.

“Pada mulanya memang susah untuk membahagikan masa, jadi saya cuba menyusun waktu kerja dengan baik agar saya berasa selesa dan boleh memberi fokus dalam setiap perkara yang saya jalani,” ujar Celina.

>Profil

Nama: Kartini Kamalul Ariffin

Pengacara 3R: Sejak 2004

Lahir: 24 Mac 1978

Status: Berkahwin

Pendidikan: Ijazah Sarjana Kewartawanan Televisyen, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Berkomputer, University of East Anglia, Norwich

Kerjaya: Hos 3R dan Penyampai Radio Hot FM

>Profil

Nama: Rafidah Abdullah

Pengacara: Sejak 2000

Lahir: 2 Februari 1976

Status: Bujang

Pendidikan: Kepujian dalam Sarjana Penulisan Skrip, Goldsmith College, London.

Kerjaya: Penulis skrip

>Profil

Nama: Celina Khor

Hos 3R: Sejak 2004

Lahir: 29 Disember 1979

Status: Bujang

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Universiti Malaysia Sabah

Kerjaya: Ahli Perniagaan

- METRO AHAD

RM20,000 beli suami


Tidak perlu bersusah payah memerah tenaga seperti insan lain kerana apa yang perlu dilakukan hanyalah merelakan maruah tergadai, berjanji menyimpan rahsia dan mengambil sisa orang lain demi menutup aib seseorang.

Tidak sampai satu jam, selepas semuanya selesai, dapatlah habuan wang tunai atau barangan termasuk tempat tinggal dan kenderaan .

Begitulah kerja mudah dilakukan individu tertentu yang sanggup merelakan diri menjadi ‘suami segera’ kepada wanita mengandung gara-gara terlanjur.

‘Kerjaya’ yang popular dengan gelaran ‘pak sanggup’ itu didedahkan seorang lelaki yang baru tiga bulan melakukannya.

Mahu dikenali sebagai Salleh Ali, 33, dia mengakui mendapat habuan RM20,000 di atas pekerjaan tidak bermaruah itu.

Salleh berkata, dia pernah mendengar mengenai ‘pak sanggup’ tetapi tidak menyangka terjebak dengan kerja seperti itu.

“Segala-galanya bermula apabila seorang rakan bercerita mengenai hajat seorang lelaki yang mahu mencari sesiapa yang sanggup mengahwini teman wanitanya yang hamil luar nikah hasil perhubungan sulit mereka.

“Lelaki itu sudah berkahwin dan tidak mahu mengahwini wanita itu serta mahu mengelak perhubungan sulit mereka diketahui isterinya. Wanita itu pula mahu melahirkan anak yang dikandungnya,” katanya.

Menurut Salleh, rakannya itu yang juga orang suruhan lelaki terbabit diminta mencari individu yang sanggup mengahwini wanita berkenaan dengan tawaran ganjaran wang tunai RM20,000.

“Saya yang bujang dan bekerja tidak menentu tanpa banyak cakap sanggup menerima tawaran itu. Siapa yang tidak mahu wang sebanyak itu dalam sekelip mata.

“Apatah lagi, saya sememangnya memerlukan wang kerana mahu membayar tunggakan kereta dan hutang along RM10,000,” katanya yang kemudian dibawa berjumpa lelaki itu untuk mengadakan perbincangan.

Tempoh perbincangan hanya mengambil masa dua minggu sebelum majlis pernikahan dijalankan.

Dia dimaklumkan, wanita itu terkantoi kerana keluarganya sudah tahu dia mengandung dan keluarganya mahu keterlanjuran itu diselesaikan dengan perkahwinan.

Katanya, lelaki terbabit yang sememangnya kaki perempuan tidak mahu bertanggungjawab dan mencari orang lain sebagai pak sanggup untuk berkahwin dengan kekasihnya.

“Sebelum ini, apabila teman wanitanya hamil lelaki itu melarikan diri tapi kali ini dia mengugut akan menghebahkan apa yang berlaku jika dia berbuat demikian,” katanya.

Selain itu, wanita terbabit meminta sejumlah wang dan majlis pernikahan ringkas supaya dapat memenuhi kehendak keluarga.

“Saya tidak mahu ambil tahu mengenai masalah mereka, kerana apa yang penting saya dijanjikan wang RM20,000 selepas selesai majlis pernikahan.

“Lelaki itu membawa saya bertemu teman wanitanya dan selepas berbincang, dia menetapkan tarikh untuk kami berkahwin.

“Saya dan wanita itu dibawa ke sebuah rumah. Turut serta keluarganya. Apabila pertama kali bertemu, puas jugalah saya kena herdik dan tidak kurang yang memberi nasihat oleh keluarga wanita itu.

“Saya datang dengan beberapa individu yang berlagak seperti keluarga saya. Semua ‘ahli keluarga’ saya disediakan lelaki itu dan kami hadir seperti orang kaya,” katanya.

Kata Salleh, dia tidak tahu perkahwinannya sah atau tidak kerana jurunikah yang disediakan meragukan.

“Saya hanya ikut perintah saja. Apabila bapa wanita itu melafazkan akad nikah, saya ikut saja. Perasaan takut tetap ada menyebabkan akad nikah terpaksa dilakukan lima kali.

“Saya juga hairan kerana keluarga wanita itu tidak pula banyak soal. Mungkin mereka percaya dengan wanita itu, apatah lagi melihat saya hadir dengan gaya seperti orang kaya,” katanya.

Tidak sampai satu jam, majlis pernikahan selesai dan dia mendapat habuan RM20,000 tunai yang dimasukkan dalam sampul.

“Ikutkan hati, saya mahu melarikan diri, tetapi saya perlu berlakon untuk tempoh beberapa hari. Saya dan wanita itu duduk di kondominium disediakan lelaki terbabit. Keluarga wanita itu turut serta kerana mereka mahu berehat di Kuala Lumpur dua atau tiga hari,” katanya.

Dia turut mengambil kesempatan meniduri wanita itu, namun bukan secara paksaan.

“Lelaki itu tidak kisah saya buat apa dengan teman wanitanya kerana dia mahu meninggalkannya. Wanita itu pun tak kisah saya buat apa kepadanya,” katanya.

Salleh berkata, dia hanya tinggal bersama wanita itu selama seminggu sebelum menghilangkan diri.

“Wanita itu tidak pula menghalang. Sehingga hari ini saya tidak tahu apa nasibnya dan saya tidak lagi bertemu lelaki itu,” katanya.

Ditanya apa yang dibuat dengan wang RM20,000 itu, Salleh tersenyum sambil memberitahu, RM10,000 untuk langsaikan hutang termasuk hutang along dan selebihnya ‘enjoy’!

Melihat ganjaran lumayan, dia bersedia untuk menjadi ‘pak sanggup’ lagi kepada pasangan kekasih yang terlanjur tetapi enggan kahwin.

“Sekarang, saya banyak melepak, dengan harapan dapat lagi tawaran jadi ‘pak sanggup’. Kerja pula ikut suka. Rasa nak datang, saya datang. Kalau tidak ponteng saja. Saya tak risau sebab wang masih ada ribuan ringgit lagi dan mungkin dapat rezeki jadi ‘pak sanggup’ lagi,” katanya.

- METRO AHAD