Isnin, Jun 01, 2009

Peratus undian Penanti catat rekod paling buruk

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti mencatatkan sejarah peratusan keluar mengundi terendah dalam sejarah pilihan raya negara apabila hanya 46.15 peratus atau 7,100 daripada 15,384 pemilih berdaftar keluar mengundi.

Walaupun calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mansor Othman hanya bertanding dengan tiga calon Bebas yang lain, beliau hanya mampu memperoleh undi sebanyak 6,052 sahaja.

Jumlah itu berkurangan sebanyak 1,294 berbanding undi yang diperoleh oleh calon PKR Mohammad Fairus Khairuddin pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu iaitu 7,346 undi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mengesahkan peratusan tersebut jauh lebih rendah dan rekod paling buruk dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Keputusan pilihan raya tersebut juga jelas menunjukkan sebahagian besar pengundi tidak mahu keluar mengundi kerana tidak bersetuju dengan cara pilihan raya itu diadakan hanya semata-mata kerana mahu menyelesaikan masalah dalaman PKR.

Tindakan Mohammad Fairus meletak jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu bagi membuka jalan kepada satu pilihan raya kecil juga dilihat sebagai satu ‘penyalahgunaan demokrasi’ secara terang-terangan oleh PKR selain membazirkan wang rakyat.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, peratusan yang kecil itu merupakan ‘protes’ yang jelas bahawa rakyat sudah muak dan tidak merestui permainan politik pembangkang yang hanya menyusahkan rakyat.

- UTUSAN

Ribuan tayar dipercayai dibakar menjelang Hari Gawai Dayak


Akibat perbuatan dipercayai oleh individu tidak bertanggungjawab, ribuan tayar terpakai yang ditempatkan di sebuah kawasan seluas padang bola sepak di Jalan Muara Tuang, di Samarahan, Sarawak terbakar.

Kebakaran kira-kira pukul 2 petang itu mengakibatkan kepulan asap hitam pekat menyelubungi kawasan persekitarannya di samping mengeluarkan bau busuk yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan penduduk sekitar.

Malah, kepulan asap hitam tebal itu boleh dilihat penduduk sekitar bandar raya Kuching serta Samarahan pada ketika hari-hari terakhir masyarakat Dayak membuat persiapan untuk menyambut perayaan Hari Gawai Dayak esok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, Kam Leman berkata, sebanyak dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dan Siburan serta sepasukan anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah dikejarkan untuk memadamkan kebakaran berkenaan.

Usaha memadam kebakaran itu ujarnya, turut membabitkan kira-kira 40 anggota bomba yang terpaksa mengepam air dari sungai berhampiran berikutan hanya satu pili bomba sahaja boleh digunakan.

‘‘Setakat pukul 8 malam ini, usaha pihak bomba dan JPAM untuk memadamkan kebakaran berkenaan masih belum berhasil.

‘‘Namun kita menjangka usaha untuk memadamkan kebakaran itu akan dapat diselesaikan malam ini setelah usaha memindahkan tayar-tayar yang belum terbakar dilakukan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kam memberitahu, pihak bomba masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kebakaran itu berlaku.

Tambahnya, usaha bomba untuk mendapatkan penjelasan daripada pemilik tapak masih gagal kerana dipercayai sedang bercuti.

Difahamkan, tayar yang disimpan itu digunakan untuk memproses tukun tiruan.

Ditanya sama ada kebakaran itu berpunca ekoran perbuatan khianat pihak yang tidak berpuas hati dengan pemiliknya, Kam berkata, beliau tidak dapat memastikan perkara tersebut dan masih menyiasat.

- UTUSAN

Pantang larang orang tua bagi perempuan mengandung

Memang dalam apa jua perkara kita tidak dpt lari dari petua mahupun pantang larang org tua. Adakalanya ia tidak logik dan tak masuk akal. Namun jika tidak diikut dan kemudiannya terjadi sesuatu perkara yg tidak baik kepada bayi, tentu mereka akan mula mengungkit. Berikut adalah beberapa pantang larang yg saya kumpulkan untuk panduan kita bersama.

a) Jangan minum air kelapa dan air nenas pada trimester pertama.* dikhuatiri bayi akan gugur.

b) Jangan mengikat mati benang, plastik atau sebagainya.* dikhuatiri ibu sukar melahirkan.

c) Jangan mengetuk dinding rumah.* dikhuatiri uri bayi akan melekat pada rahim, biarpun bayi telah selamat dilahirkan.

d) Jangan mandi malam.* dikhuatiri air ketuban akan berlebihan sehingga memudaratkan bayi dlm kandungan.

e) Jangan banyak minum ais.* dikhuatiri saiz bayi akan besar dan sukar dilahirkan. Ada juga sesetengah pendapatmengatakan takut bayi mudah dijangkiti demam kuning.

f) Elakkan minuman bergas dan kafein.* dikhuatiri kandungan mudah gugur.g) Jangan lilit tuala pada leher dan pada rambut (utk keringkan rambut)* dikhuatiri tali pusat akan melilit leher bayi.

h) Kurangkan mkn buah oren.* dikhuatiri bayi dilahirkan byk kahak.

i) Elakkan membuat kerja2 menjahit.* dikhuatiri tali pusat anak akan berbelit dan sukar melahirkan.

j) Apabila terlihat benda yg pelik, cepat2 beristighfar.* dikhuatiri bayi akan mengenan.

k) Kurangkan mkn pisang.* pisang menyebabkan rambut bayi terlalu lebat.

l) Jangan memburu atau membunuh binatang. (bg suami dan isteri)* dikhuatiri sukar utk bersalin.

m) Jangan mkn betik muda.* getah yg ada padanya menyebabkan kandungan boleh gugur.

Inilah antaranya... saya pasti diluar sana masih byk pantang larang yg diberikan oleh org tua mereka. Apa jua pantang yg kita dgr... Jgn terlalu taksub lak mengikutnya... takut lari Akidah pula nanti. Yg penting, setiap ibu yg mengandung, pastikan anda menjaga tingkah laku dan percakapan sepanjang kehamilan. Apa juga yg dilakukan oleh si ibu, mungkin diwarisi oleh anak yg dikandung. Wallahua'lam.

- WOMEN @ INFO
http://siti-yaya.blogspot.com/

Tenangkan Diri Sebelum Membuat Keputusan

Pernah tak anda membuat keputusan ketika anda sedang marah? Adakah keputusan yang dibuat itu merupakan keputusan yang betul dan memberikan kepuasan pada diri anda?
Pernah pada suatu hari itu, seorang lelaki sedang menghadapi masalah dengan kekasih beliau. Disebabkan tidak tahan dengan perangai dan sikap kekasihnya menyebabkan dia ingin membuat satu keputusan yang bagi saya tidak patut dia lakukan.

Pada ketika itu, beliau berada dalam keadaan tertekan dan marah dan memberitahu pada saya yang dia ingin memutuskan perhubungan dengan kekasihnya. Lantas segera saya menasihatinya supaya bertenang dan jangan buat keputusan secara terburu-buru. Pada mulanya, beliau tidak mahu mendengar nasihat saya. Mungkin beliau masih dalam keadaan marah ataupun beremosi.

Tetapi setelah diperjelaskan dengan lebih lanjut mengenai akibat dari keputusan yang dia bakal buat menyebabkan dia menarik semula keputusan itu. Dalam situasi ini, kita masih bernasib baik kerana saya sempat menghalang beliau dari melafazkan kata untuk putuskan perhubungan dengan kekasihnya. Dan setelah beliau berehat sebentar dan berfikir sejenak, barulah dia sedar yang jauh di sudut hati, masih ada lagi sifat sayang dan cinta pada kekasihnya.

Dan baru-baru ini saya dapat tahu yang beliau sedang gembira dan ceria disamping kekasihnya yang tersayang. Apa yang saya cuba sampaikan dalam entri kali ini adalah, jangan biarkan diri kita membuat keputusan ketika kita sedang marah, beremosi ataupun fikiran terganggu. Berikan diri kita masa untuk bertenang terlebih dahulu. Biarkan diri dan minda kita berehat sebelum kita membuat sebarang keputusan.

Keputusan yang dibuat secara terburu-buru yang dicampur dengan kemarahan dan emosi, akan menghasilkan keputusan yang mengecewakan, sedih dan mendukacitakan. Jadi, sebelum kita membuat keputusan, pastikan diri kita tenang supaya keputusan yang kita buat tidak akan mengecewakan kita di masa hadapan.

http://timadangkara.blogspot.com/

PKR kekal di DUN Penanti


Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, apabila calonnya, Mansor Othman, menewaskan tiga calon Bebas dengan majoriti 5,558 undi.

Mansor, 59, memperoleh 6,052 undi, manakala calon Bebas iaitu Nai-Khan Ari mendapat 494 undi, Aminah Abdullah (392 undi)dan Kamarul Ramizu Idris (56 undi).

Undi rosak pula adalah 107.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus pilihan raya kecil DUN Penanti, Roslan Yahaya, di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini pada jam 8.25 malam tadi.

Walaupun Mansor menang dengan majoriti lebih besar berbanding majoriti 2,219 undi pada pilihan raya umum tahun lalu, undi diterimanya merosot berbanding 7,346 undi yang diperoleh Mohammad Fairus Khairuddin.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohammad Fairus menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, yang mendapat 5127 undi

Seramai 7,100 pengundi atau 46.15 peratus daripada 15,384 pemilih berdaftar keluar mengundi pada pilihan raya kecil hari ini yang diadakan berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus pada 16 April lalu.

- BERITA HARIAN

Solat 'berkiblatkan' sampah


Surau Al-Iman, sebuah tempat ibadat, dikelilingi sampah!

Sukar dipercayai tetapi itulah hakikatnya pemandangan di sekitar Surau Al-Iman di Taman Indah Permai di Ampang, Selangor yang dikelilingi kawasan yang saling tidak ubah seperti pusat pelupusan sampah jika dilihat dari atas sebuah bukit di situ.

Persekitaran surau berkenaan menjadi lokasi pembuangan sampah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sejak tiga tahun lalu.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Razali, 46, berkata, longgokan sampah itu terletak hanya kira-kira 10 meter dari surau dan ia dipercayai dibawa dari kawasan luar dengan menggunakan lori sebelum dibuang di sebelah kawasan surau.

“Kami tidak tahu dari mana lori-lori itu datang tetapi lazimnya mereka akan memunggah sampah termasuk batu-bata di kawasan cerun bukit berhampiran surau,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Razali, kegiatan membuang sampah haram itu sudah lama berlaku dan menimbulkan ketidakselesaan kepada kariah yang menunaikan solat di surau berkenaan.

Tinjauan Kosmo! di lokasi berkenaan mendapati sampah yang dibuang secara haram itu dilonggokkan tidak jauh dari kawasan mengambil wuduk di surau tersebut. Bau busuk juga boleh dihidu dari dalam surau.

- KOSMO!

Gara-gara masalah teknikal bakal pelajar USM keliru status kelayakan

Gara-gara kesilapan teknikal pada laman web Universiti Sains Malaysia (USM), lebih 4,500 bakal pelajar terkeliru tentang status kelayakan mereka untuk masuki institusi pengajian tinggi itu.

Situasi itu tercetus ekoran tindakan universiti tersebut naik muat kesemua nama termasuk 3,599 pemohon yang berjaya pada laman web berkenaan kelmarin.

Sehubungan itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) USM, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal memohon maaf atas kesilapan tersebut.

Kata beliau, kira-kira 8,000 calon telah lulus ujian kelayakan baru-baru ini. Seramai 22,000 orang memohon masuk USM tahun ini.

Daripada 8,000 yang lulus ujian itu hanya 3,599 dipilih.

Mereka telah memenuhi kriteria minimum untuk mengikuti program kendalian USM, kata beliau sambil menambah, "pada pemilihan terakhir selama tiga mulai 26 hingga 28 Mei, kami memutuskan untuk mengambil hanya 3,599 penuntut."

"Nama baki calon akan dikembalikan kepada Unit Pengambilan Universiti (UPU) untuk proses pemilihan universiti lain," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Jelas Ahmad Shukri, USM hanya menyedari kesilapan tersebut 3 petang semalam, kira-kira 24 jam selepas 8,000 nama terbabit dipaparkan.

Kata beliau, pihaknya mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengatasi masalah tersebut.

"Menjelang 5 petang semalam, hanya pemohon yang berjaya dimaklumkan menerusi surat tawaran dan surat penerimaan tawaran.

"Kami kesal kerana kesilapan ini yang telah akibatkan kesulitan kepada pelajar dan ibu bapa terbabit," katanya.

Ekoran kesilapan itu, USM telah memaklumkan pemohon yang berjaya menerusi panggilan telefon dan SMS manakala surat rasmi akan menyusul.

Ini kali pertama USM memilih bakal penuntutnya secara terus selepas dikurniakan status Apex baru-baru ini.

- MSTAR

Nikmat sedekah

Oleh Zaharuddin Abd Rahman

Memang benar, jutawan Muslim yang bersifat dermawan memang ramai, banyak juga sumbangan yang dihulurkan kepada pelbagai pihak sama ada secara senyap atau terbuka.

Tan Sri Mokhtar Al-Bukhari adalah satu ikon utama yang pasti terlintas di minda kita apabila saja membuka cerita sebegini.

Saya secara peribadi mengenali beberapa individu dermawan seperti Datuk Rameli Musa, Pengasas Ingress Corporation Berhad dan ramai lagi.

Ketika saya pulang ke Malaysia dua minggu lalu, tatkala berbual dengan Ustaz Zahazan di syarikat Telaga Biru Sdn Bhd, beliau ada menyebut berkenaan kejayaan seorang usahawan Muslim bernama Ali Hassan Mohd Hassan yang juga pengasas al-Ikhsan Sport Sdn Bhd.

Jualan syarikat ini dikatakan mencecah RM100 juta setahun dengan cawangannya yang berjumlah 58. Apabila ditanya rahsia kejayaannya, beliau menjawab, amalkan tiga perkara:

1. Penuhi hak Allah SWT tanpa berkira-kira (iaitu zakat sehingga syarikat ini dikatakan penyumbang zakat terbesar di Johor).

2. Jalankan tanggung jawab pada masyarakat.

3. Ramai yang belum mampu melakukan iaitu penuhi hajat ibu, walaupun saudara terpaksa mengorbankan banyak kepentingan.

Memang benar, jawapan yang hampir sama sering saya dengar daripada usahawan Muslim yang berjaya. Sumbangan mereka dibuat secara senyap-senyap.

Segala pujian bagi Allah SWT dan tahniah di atas sumbangan dan sedekah mereka.

Namun begitu, jumlah golongan ini belum cukup besar. Masih ramai lagi hartawan dan jutawan Muslim yang belum dan terlalu berkira-kira untuk menyumbang. Kita sewajarnya lebih laju daripada hartawan bukan Islam yang saya sebutkan di atas.

Kita juga sewajarnya lebih sedar, menyumbang sama ada melalui zakat yang wajib atau sedekah yang sunat akan menambah berkat dan rezeki daripada Allah SWT.

Menambah rezeki yang bersifat spiritual. Sabda Nabi SAW: “Tiadalah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah,” (riwayat Muslim). Kini, ramai merasakan kesan sumbangan yang dikeluarkan adalah pertambahan, bukan berkurangan.

Malah, ia turut dirasa hartawan bukan Islam seperti Bill Gates. Beliau pernah menyebutkan hal ini dalam satu majalah antarabangsa satu ketika dulu (namun saya gagal mencari keratannya).

Jangan beralasan

Jika mereka berasakan nikmat kebahagiaan hasil pemberian itu, bilakah kita pula? Jangan ditunggu kita bergelar jutawan atau bilionair untuk bertindak, mulakan dari sekarang secara kecil-kecilan, sesuai dengan kemampuan kita.

Walau ada kalanya kita tidak layak membayar zakat wajib harta atau pendapatan kerana beban kewangan lebih besar daripada pendapatan, jangan sesekali menjadikannya sebagai alasan untuk tidak menderma dan menyumbang.

Moga dengan sumbangan kecil dan ikhlas itu mampu menjadi pembersih harta kita dan penyuburnya. Juga ingatlah, derma daripada seseorang yang sedikit harta lebih besar ganjarannya daripada derma individu yang besar hartanya.

Satu hadis menyebut: “Sedekah paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikeluarkan dalam keadaan sedikit harta.” (Riwayat Ahmad 5/178; Tafsir Ibn Kathir, 1/701)

Ikhlaskan niat dan jangan pula ‘kotor mulut’ mencela apabila sedekah diberi kelihatan tidak menambah keuntungan duniawi dalam jangka masa segera.

Saya bimbang, ada yang menderma dengan niat mengharapkan untung berganda selepas dimotivasikan oleh ustaz bersedekah boleh menambah keuntungan.

Justeru, apabila tiada pertambahan, dicelanya hadis, dicelanya ustaz, disesalinya sedekah yang pernah di lakukan dulu sebagai silap dan salah.

Ingatlah firman Allah SWT: “Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka.

“Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Al-Baqarah: 262)

Lihat dan fahami sedalam-falamnya erti yang tersurat pada ayat berkenaan. Setiap pemberian sedekah mestilah diiringi oleh rasa puas, gembira, tiada khuatir, tiada sedih dan sesal.

Bukankah pakar motivasi sedunia, malah doktor menyatakan antara faktor yang boleh memberi kesihatan tubuh, awet muda dan fikiran terfokus adalah KURANG TEKANAN dan hati yang gembira.

Bergembiralah wahai penderma, gembira memberi dan menyumbang sama ada ilmu, harta, masa selain tenaga dengan rela serta reda. Nescaya kita akan lebih tenang dan tersenyum, prestasi boleh meningkat manakala idea pula bercambah.

Bukankah Allah SWT yang menggerakkan hati dan minda manusia lain, sama ada untuk memberi kita kontrak dan tender, mengambil kita bekerja, menaikkan pangkat, melantik kita untuk jawatan itu serta ini, memberi kepercayaan untuk tugasan baru yang lumayan dan pelbagai lagi.

Lalu yakinilah dan bersangka baiklah dengan Allah SWT, nescaya Dia akan menunaikan sangkaan baik kita.

Nah, jika benar-benar kita langsung tidak mampu walaupun 10 sen, ada sedekah lain yang mampu kita tunaikan dengan cemerlang tanpa memerlukan wang, iaitu ajak orang kepada kebaikan dan larang mereka daripada kemungkaran.

Nabi Muhammad SAW berdialog dengan sahabat seperti berikut:

Nabi berkata: “Pada setiap Muslim tuntutan untuk bersedekah.”

Sahabat berkata: “Bagaimana jika tidak mampu?”

Nabi menjawab: “Usahalah dengan kedua-dua tanganmu untuk hasilkan perkara bermanfaat dan bersedekahlah.”

Sahabat bertanya: “Bagaimana jika masih tidak mampu?”

Nabi menjawab: “Carilah orang yang sangat memerlukan bantuan (dan bantulah sama ada dengan tenaga atau ditunjukkan kepada yang mampu).”

Sahabat bertanya: “Bagaimana jika masih tidak mampu?”

Nabi menjawab: “Ajaklah orang lakukan perkara kebaikan dan larang mereka daripada kemungkaran.”

Sahabat bertanya lagi: “Bagaimana jika masih tidak mampu?”

Nabi menjawab: “Janganlah kamu lakukan perbuatan buruk, ia juga satu sedekah.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan

Terlalu ramai orang yang sentiasa sibuk memikirkan cara untuk MENDAPATKAN wang dan harta untuk dirinya. Ya, MENCARI WANG, MENAMBAH WANG, MENGUMPUL WANG.

Siang, malam, pagi dan petang berhempas pulas minda dan tenaga mencari jalan sehingga ingin saja dilanggar semua jalan yang berpotensi walau ia haram atau syubhat.

Yang penting dalam mindanya adalah poketnya semakin tebal. Sedangkan seluruh pengumpulan itu sekadar di dunia yang pendek ini.

Malangnya, sangat kurang yang berhempas pulas memikirkan bagaimana untuk MENYUMBANG WANG, MEMBERI WANG atau SEDEKAH WANG.

Bukankah memberi ini demi kehidupan selepas kematian yang terlalu amat panjang masanya. Mulakan berfikir untuknya, sebenarnya untuk kita juga.

Ambil contoh Brian Burnie, jika seorang jutawan bukan Islam warga Britain boleh berkata dan bertindak berdasarkan katanya ini:

“Kita hidup dalam masyarakat ‘saya, saya, saya’ dan sangat penting bagi saya untuk memikirkan mengenai keperluan orang lain.”

Lalu apa lagi alasan kita sebagai Muslim, bersedekahlah sebelum sampai nyawa di kerongkong... adakah si kaya ini gila kerana mendermakan wang yang begitu banyak?

Atau kita yang mabuk dengan pencarian wang secara pentingkan diri tanpa sebarang pemberian?

Hari Ulangtahun Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) ke 51


Sejarah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bermula apabila Ordinan Tentera Udara diluluskan oleh Parlimen pada hari Isnin, 2 Jun 1958 dan semasa ditubuhkan ia dikenali sebagai "Tentera Udara Diraja Persekutuan".Air Commodore A.V.R. Johnstone seorang pegawai Tentera Udara Diraja British (RAF) telah dipinjamkan untuk menjadi penasihat kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya telah dilantik menjadi Ketua Turus Tentera Udara yang pertama.
Beliau bertanggungjawab merangka penubuhan Tentera Udara Diraja Persekutuan bagi negara yang baru merdeka dari segi organisasi, sumber manusia, aset dan syarat-syarat perkhidmatan. Sebagai angkatan yang termuda di dalam Angkatan Tentera ketika itu anggota terawalnya adalah terdiri daripada pegawai dan anggota yang dipinjamkan daripada Tentera Udara Diraja British.

Sekumpulan pegawai dan anggota yang menjadi perintis Tentera Udara Diraja Persekutuan telah ditukarkan daripada Tentera Udara Diraja British pada bulan November 1958. Mereka yang menjadi tenaga penggerak organisasi TUDM ialah Flying Officer Li Heng Lip, Sergeant Subramaniam, Corporal Razi Osman, Corporal Othman Mohd Ismail, Corporal Wan Said, Sorporal J D Pasley, Corporal Mahevan, Senior Aircraftsman (SAC) Surindran, SAC Md Noor, SAC Zainal Abidin, SAC Mohd Hussain dan Junior Technician (JT) Ismail Arifin.

Sebagai angkatan yang muda tugas awal yang diamanahkan kepada Tentera Udara Diraja Persekutuan pada ketika itu ialah untuk memberikan perkhidmatan perhubungan melalui udara dan membantu pasukan keselamatan menjalankan operasi memerangi komunis yang mengancam negara. Dengan tertubuhnya Malaysia pada 16 September 1963, nama Tentera Udara telah ditukar kepada "Tentera Udara Diraja Malaysia" atau lebih dikenali sebagai TUDM.
Lagu TUDM

Perwira Di Angkasa

Kami perwira di angkasa
Berjuang nun di langit biru
Menyediakan payung, melindungi negara
Musuh kn kami buru..

Dengan Do'a kami berkhidmat
Semoga Tuhan beri rahmat
Kami tetap setia, pd Seri Paduka
Dan Negara ibunda..

Sentiasa di angkasa raya
Itulah cogankata
Dgn cergas kami meronda
Taat setia terbukti..

Berkorban utk keamanan
Negara yg tercinta
Bendera Malaysia
Dgn megah dijulang...

KUIZ MY ADHA - MALAYSIA ™ BULAN JUN 2009

SYARAT-SYARAT:
- Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia (Tiada had umur & bangsa)
- Tempoh peraduan bermula dari 1 JUN sehingga 16 JUN 2009.
- Tiada caj SMS tambahan dikenakan.
- Pemenang akan ditentukan melalui jawapan yang tepat dan slogan yang menarik.
- Keputusan adalah MUKTAMAD.
- Nama pemenang akan disiarkan di blog ini pada 18 JUN 2009.
- Hadiah wang tunai akan dikreditkan terus ke akaun bank pemenang yang berjaya.

HADIAH:
- WANG TUNAI BERNILAI RM50.00

SOALAN:
Bilakah Penubuhan Malaysia?
A - 31 Ogos 1957
B - 16 September 1963
C - 16 September 1969

SLOGAN:
Saya bangga menjadi rakyat Malaysia kerana ........

Sila SMS jawapan anda dengan menaip JAWAPAN (A, B atau C), SLOGAN, NAMA PENUH, LOKASI & E-MAIL / BLOG (Jika Ada) ke nombor : 016-9015000

TARIKH TUTUP :
16 JUN 2009 (11.59 MALAM)

TERIMA KASIH KERANA MENYERTAI KOMUNITI BLOG MY ADHA - MALAYSIA ™

Recent Posts