Rabu, April 29, 2009

Pencalonan lebih terbuka dalam Muzik-Muzik 24

Di awal kemunculan rancangan Muzik-Muzik suatu ketika dahulu, semua genre lagu dipertandingkan setiap bulan tanpa mengkategorikan mengikut genre masing-masing.

Lagu yang berjaya mendapat tempat pertama di dalam carta rancangan itu setiap bulan akan dipertandingkan ke Juara Lagu.

Seterusnya, mengikut perkembangan semasa, rancangan Muzik-Muzik menukar formatnya dengan mengkategorikan lagu-lagu yang bertanding kepada tiga kategori iaitu Etnik Kreatif, Balada dan Pop Rock.

Biarpun telah mengalami banyak perubahan sejak diperkenalkan, program ini terus memberi sumbangan apabila berjaya mencetuskan satu evolusi dalam industri seni muzik.

Perubahan itu juga sekali gus mengangkat martabat pengkarya-pengkarya seni muzik tanah air melalui penganjuran berprestij Anugerah Juara Lagu setiap tahun.

Kini, setelah 24 tahun menyerikan persada muzik tanah air dan setelah melalui perubahan, carta muzik paling popular itu muncul dengan format baru yang dicampur dengan format yang lama bagi memantapkan dan memperbaiki lagi format program ini.

Musim baru Muzik-Muzik yang mula bersiaran 4 April lalu memperlihatkan perubahan format yang menyaksikan pencalonan lagu untuk menyertai carta Muzik-Muzik tidak lagi memfokuskan kepada kategori seperti tahun-tahun sebelum ini.

Menurut Pengurus Produksi Hiburan, Primeworks Studio Sdn. Bhd., Fadzliniza Zakaria, lagu-lagu yang dipertandingkan lebih terbuka dan tidak terbatas kepada tiga kategori utama iaitu kategori Etnik Kreatif, Balada dan Pop Rock seperti yang dipertandingkan sebelum ini.

"Semenjak dahulu, kami sentiasa terbuka dengan cadangan dan pendapat serta kehendak dalam industri muzik itu sendiri bagi meningkatkan lagi mutu program Muzik-Muzik.

"Sebab itu jugalah Muzik-Muzik 24 tampil dengan format baru iaitu pencalonan lagu lebih terbuka dan ini bermakna lagu-lagu yang dicalonkan terbuka kepada semua kategori lagu," katanya.

Kata Fadzliniza, rasional pencalonan terbuka yang dibuat TV3 juga ialah untuk memberi peluang kepada penggiat-penggiat seni pemuzik bebas berkarya dan hasil ciptaan mereka tidak terbatas kepada tiga kategori utama ini sahaja.

"Oleh itu, lagu-lagu yang bakal dicipta lebih luas genrenya dan ini sekali gus memperkayakan lagi hasil seni ciptaan pengkarya tempatan," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun, musim baru Muzik - Muzik masih mengekalkan Cheryl Samad yang bergandingan dengan Faizal Ismail sebagai pengacara dengan penampilan istimewa penyanyi Ezlynn sebagai pengacara bersama setiap bulan.

"Kami merasakan pemilihan tiga pengacara sekali gus dapat mewarnai lagi program Muzik-Muzik.

"Ezlynn dipilih kerana pernah mengacara program Mentor sebelum ini dan dia memang sudah ada pengalaman yang banyak sebagai pengacara," ujar Fadzliniza mengenai pemilihan Ezlynn sebagai pengacara jemputan.

Selain itu, penonton kini berpeluang mengundi lagu-lagu kegemaran mereka melalui dua cara iaitu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juga dengan melayari www.tv3.com.my berbanding hanya melalui SMS sahaja sebelum ini.

Muzik-Muzik 24 juga turut menampilkan tiga segmen yang berbentuk informasi untuk pengetahuan penonton iaitu segmen Buzz, Trivia dan Candid yang diacarakan oleh Adzri Faiz Adzlan (Faiz).

Segmen Buzz memaparkan apa yang berlaku dalam industri tanah air dan segmen Trivia pula memfokuskan rentetan perjalanan hidup seorang artis dari awal pembabitannya dalam industri muzik sehinggalah perkembangan terkini.

Sementara segmen Candid mendekati peminat-peminat dan melihat mereka membuat aksi dan gelagat seperti artis-artis kesayangan mereka

Setiap minggu, Muzik-Muzik 24 akan menyaksikan dua hingga empat pencalonan bertanding untuk mendapat tempat dalam carta 20 lagu-lagu yang tersenarai.

Jika lagu-lagu yang dicalonkan mendapat undian yang tinggi, lagu-lagu tersebut akan masuk ke dalam carta secara automatik.

Selain paparan carta dan informasi terkini, program ini juga turut dimeriahkan dengan artis jemputan setiap minggu.

Muzik-Muzik 24 diadakan rakamannya pada setiap hari Khamis pukul 8 malam di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor dan disiarkan pada setiap hari Sabtu pukul 5 petang.

- UTUSAN

Saksi aksi The Red Devils di Malaysia serendah RM50

Pasukan utama yang berkualiti tinggi tetapi dapat ditonton dengan harga yang tidak begitu mahal - dijanjikan dalam Jelajah Asia 2009 Manchester United di Malaysia pada 18 Julai ini.

Menyedari kegawatan ekonomi dunia kini, cuma RM50 hingga RM90 mungkin perlu dibayar penyokong setia The Red Devils untuk menyaksikan mereka menentang Pilihan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada perlawanan persahabatan itu.

Penganjur jelajah, ProEvents International Sdn. Bhd. menjanjikan nilai hebat bagi aksi bola sepak bertaraf dunia itu pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam dengan berharap dapat memutuskan harga tiket itu dalam 10 hari lagi.

Pengarah Urusan ProEvents, San Boon Wah berkata: "Manchester United memiliki sejumlah besar peminat di Asia yang pasti berdebar dan teruja untuk menyaksikan kehadiran pasukan utamanya secara langsung. Dengan ekonomi sekarang, harga tiketnya mungkin tidak jauh bezanya ketika mereka datang sini pada 2001."

Namun agak memeranjatkan ialah jika gelanggangnya masih sama seperti 2001, penganjur kali ini mengubah dan mengawalkan sepak mula perlawanan persahabatan itu dari waktu tradisi, 8.45 malam ke 5.30 petang pula.

Boon Wah bagaimanapun memberikan alasan sepak mula awal itu merupakan permintaan daripada kelab tersebut selain membolehkan ia ditonton sekeluarga serta peminat setia yang datang dari jauh dan pelancong asing memandangkan ia merupakan hari Sabtu .

"Perlawanan ini juga akan disiarkan secara langsung menerusi TV ke Asia, Eropah, Amerika Selatan, Carribean dan Afrika yang merangkumi kira-kira 400 juta isi rumah sekali gus menaikkan imej dan tarikan pelancongan buat Malaysia," katanya.

Kedatangan The Red Devils ke Malaysia kali ini merupakan yang keempat selepas 1981, 1995 dan 2001 manakala anak buah Sir Alex Ferguson ini akan turut mengunjungi Jakarta, Indonesia pada 20 Julai; Seoul, Korea Selatan (24 Julai) dan Hangzhou, China (26 Julai) sepanjang jelajah itu.

Pada 2001, skuad kebangsaan Malaysia yang ketika itu kebanyakannya dibarisi pemain bawah 23 dan dibimbing Alan John Harris, dibelasah 6-0 oleh Manchester United yang menurunkan bintang mereka seperti David Beckham, Fabien Barthez, Jaap Stam, Juan Sebastian Veron dan Ryan Giggs.

Dua tahun lalu, kedatangan Manchester United terpaksa dibatalkan pada saat akhir setelah Presiden Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), Mohamed Hammam tidak merestuinya kerana tidak mahu ia bertembung dengan jadual pusingan akhir Piala Asia di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam pada Julai.

Mengenai promosi menjelang kedatangan mereka yang dijadualkan pada 17 Julai ini, kata Boon Wah, pihaknya telah merancang pelbagai acara seperti peraduan yang menawarkan hadiah menarik, sesi peminat bertemu pemain, menonton sesi latihan dan perlawanan persahabatan itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad pula berkata, pihaknya yakin Pilihan Malaysia mampu memberikan tentangan hebat dan habis-habisan terhadap kelab terhandal England, Eropah dan dunia itu.

"Sebagai seorang warganegara Malaysia juga, saya yakin persembahan akan menarik dan tidak menghampakan serta pulangan wang yang berbaloi dengan aksi skuad negara buat penonton," katanya, seperti ketika Chelsea mengalahkan Malaysia 2-0, tahun lalu.

- UTUSAN

Tentera AS sertai Facebook

Angkatan Tentera Amerika Syarikat (AS) semalam berkata, ia telah melancarkan halaman peminatnya di laman web sosial Facebook dan menubuhkan pejabat untuk 'media sosial' dalam talian, walaupun peraturan keselamatan mengehadkan akses tentera kepada jaringan Internet.

Menyedari perubahan kepada landskap media, jurucakap tentera, Lindy Kyzer berkata, pihaknya mahu memastikan mereka dapat mencapai golongan lebih muda yang banyak bergantung kepada laman jaringan sosial seperti Twitter dan Facebook.

''Anak muda hari ini tidak menonton berita pada waktu malam. Mereka berkawan dan berkongsi maklumat menerusi Twitter atau Facebook.

''Jika kami tidak ada dalam ruang seperti itu, kami tidak dapat menceritakan kisah tentera,'' katanya kepada AFP.

Bahagian Media Sosial Dalam Talian untuk tentera ditubuhkan pada Mac lalu.

Menurut Kyzer, halaman Facebook tentera telah dilancarkan minggu lalu dan kini mempunyai lebih 8,000 peminat.

Laman itu turut disertai isteri-isteri tentera yang ingin mendapatkan nasihat daripada keluarga tentera yang lain, golongan muda yang bersedia memasuki perkhidmatan tentera dan veteran yang mengirim doa buat tentera di medan pertempuran.

Halaman Twitter tentera yang dibangunkan tahun lalu, menyaksikan permulaan yang perlahan dengan hanya 5,000 pengikut.

Namun sekatan keselamatan komputer Jabatan Pertahanan yang ditetapkan pada 2007 telah menimbulkan halangan kepada kempen jaringan sosial, apabila tentera di Iraq atau Afghanistan sering dilarang mengakses Facebook atau Twitter menggunakan jaringan komputer di pangkalan tentera.

''Ia dikesali dan menjadikan situasi lebih sukar di persekitaran penempatan, tapi kami telah menubuhkan program-program yang baik supaya akan ada kafe Internet di kawasan penempatan tentera dan yang seumpama dengannya,'' ujar Kyzer.

- AFP

Rekod lari berganti-ganti selama 120 jam


Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak di sini, melakar sejarah apabila program Cabaran Lari Berganti-Ganti 40x400 Meter Tanpa Henti Selama 120 Jam berjaya dicatatkan di dalam Malaysia Book of Records.

Pengarah program itu, Alvin Raj Santhanadass berkata, seramai 40 pelajar sekolah berkenaan mengambil bahagian dalam program tersebut yang berlangsung selama lima hari dari 17 hingga 22 April lalu.

Menurutnya, peserta yang terdiri daripada atlet sekolah berjaya menamatkan larian sejauh 1,670.8 kilometer atau 4,177 pusingan di padang sekolah tersebut pada pukul 3.20 petang Rabu lepas.

"Kami gembira kerana matlamat program ini tercapai termasuk layak dicatatkan ke dalam Malaysia Book of Records," katanya di sini hari ini.

Majlis penutupan program itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Silam, Salleh Kalbi. Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Kunak; Zamri Pehakan; Pengetua SMK Kunak, Mohd. Tan Bacho dan Penasihat Program, Norsiah Abdullah Ong.

Alvin berkata, kejayaan itu membuktikan semangat tinggi pelajar untuk menjadikan SMK Kunak sebagai sekolah yang pertama menjayakan program sedemikian.

Katanya, program itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai cabaran dan ketahanan mental serta fizikal untuk berjaya dengan cemerlang.

"Ia juga satu landasan ke arah membentuk jati diri, keterampilan dan semangat juang yang tinggi di kalangan pelajar," ujarnya.

- UTUSAN

Modenisasi sektor awam

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mencadangkan jawatan-jawatan utama sektor awam dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selain perkhidmatan tadbir dan diplomatik.

Perdana Menteri berkata, pembaharuan struktural perkhidmatan awam itu dicadangkan demi kepentingan rakyat.

“Kita tidak boleh lagi terlalu dogmatik, kita perlu mendapatkan bakat yang terpilih, terbaik dan tersaring demi kepentingan rakyat,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 (MAPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Beliau berkata, cadangannya mengenai kaedah sistem kemasukan pelbagai peringkat ke dalam perkhidmatan awam itu akan dapat memanfaatkan proses keterampilan bersilang antara bakat-bakat sektor awam dan sektor swasta serta GLC.

Najib juga mencadangkan satu dasar pintu terbuka dengan pegawai-pegawai perkhidmatan awam boleh dipinjamkan ke GLC dan sebaliknya untuk saling menimba ilmu.

Perdana Menteri berkata, dengan cara itu pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor swasta yang merupakan peneraju utama pertumbuhan negara.

Bagi mendapatkan bakat yang terbaik, katanya, perkhidmatan awam perlu mencontohi pelan pembangunan kerjaya dan pencarian bakat yang diamalkan seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad dan Bank Negara.

“Kita akan menghantar yang terbaik di kalangan penjawat awam untuk menimba ilmu di beberapa institusi tersohor di dunia seperti Kennedy School of Government di Universiti Harvard dan Wharton Business School di Universiti Pennsylvania,” katanya.

Serentak itu, Najib mencabar generasi muda yang hari ini mengkritik sektor awam untuk bersama-sama menambah baik sistem perkhidmatan awam dari dalam.

Kata beliau, meskipun kerajaan sedar buat masa ini sektor itu tidak boleh menandingi kelumayanan yang ditawarkan oleh sektor swasta tetapi apa yang ia boleh tawarkan adalah rasa kepuasan berkhidmat demi rakyat dan negara.

“Dalam menterjemahkan aspirasi ini, saya komited untuk memastikan perkhidmatan awam Malaysia dianggotai anak-anak Malaysia yang terbaik.

“Marilah bersama menyertai sektor awam, mempersembah kudrat dan pemikiran saudara-saudari demi pertiwi. Walau apa pun, kita sedang berusaha untuk menyemak dan menambah baik skim-skim perkhidmatan yang kritikal agar pengorbanan saudara-saudari dihargai,” katanya.

Empat anjakan paradigma

Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat anjakan paradigma modenisasi yang perlu dilaksanakan oleh sektor perkhidmatan awam bagi mencapai kejayaan pada alaf baru.

Dalam amanat sulungnya kepada para pegawai dan kakitangan kerajaan, Perdana Menteri berkata, pembaharuan ke arah anjakan tersebut perlu dilakukan dengan menggabung jalin semua segmen perkhidmatan awam bermula dengan pimpinan atasan.

Anjakan tersebut, kata beliau, ialah perubahan daripada ketegaran kepada keanjalan, antara lainnya menjadi pemudah cara kepada proses penciptaan kekayaan yang banyak dimainkan oleh sektor swasta.

"Dari kekayaan yang dicipta oleh pihak swasta, kerajaan mempunyai saham yang dikutip dalam bentuk cukai korporat.

"Hasil ini seterusnya digunakan bagi membangunkan negara dan membayar gaji kakitangan awam," kata beliau pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 (MAPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sektor awam juga perlu beralih daripada budaya out put dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata, kepada mementingkan keberhasilan secara holistik.

"Misalnya dalam bidang pelajaran, bukan sahaja jumlah sekolah atau makmal yang mencukupi harus diberikan penekanan tetapi perhatian yang utama harus diberikan kepada soal kejayaan menyeluruh termasuk kebajikan dan moral pelajar," katanya.

Anjakan paradigma ketiga pula, kata beliau, adalah perubahan daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudah cara serta menyenangkan rakyat.

Ini kerana, kata Najib, kerajaan telah meningkatkan taraf perkhidmatan awam termasuk menaikkan gaji asas kakitangan awam daripada 7.5 peratus kepada 35 peratus pada 2007 selain membayar emolumen mencecah RM41 bilion pada tahun lalu.

"Persoalannya, di benak rakyat tertanya-tanya, adakah perbelanjaan itu berbaloi. Adakah rakyat menikmati nilainya, hasil daripada cukai yang telah dibayar oleh mereka?," katanya.

Seterusnya Perdana Menteri berkata, bagi anjakan paradigma keempat, sektor awam perlu beralih daripada hanya menekankan soal produktiviti kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi.

Katanya, gabungan tiga unsur berkenaan mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan sektor awam selain menghasilkan penambahbaikan secara anjakan berganda.

Oleh itu kata beliau, tanggapan bahawa setiap masalah boleh diselesaikan dengan menubuhkan jabatan atau agensi baru serta menambah kakitangan adalah satu pandangan yang sudah ketinggalan zaman.

"Semua jabatan dan agensi kerajaan harus memaksimumkan aplikasi kreativiti dan inovasi.

"Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan kepuasan hati pelanggan sektor awam terutamanya rakyat," katanya.

Pentadbiran fahami denyut nadi rakyat

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kakitangan awam menekankan soal pencapaian secara holistik agar hasrat kerajaan untuk mewujudkan 'pentadbiran yang memahami denyut nadi rakyat' dapat dilaksanakan.

Justeru Perdana Menteri berkata, pelaksanaan kaedah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah kepimpinannya bukan bertujuan untuk dijadikan alat bagi mendera atau menghukum kakitangan awam.

"Tuan-tuan dan puan-puan yang berprestasi tinggi tidak perlu bimbang dan jangan anggap anda sebagai wira yang tidak didendang, kepada yang pencapaiannya kurang memuaskan, saya menyeru agar bingkas bangun membaiki prestasi diri.

"Kita tidak mahu sekadar memanterakan slogan yang muluk-muluk tetapi kosong, apa yang mustahak kerja mesti dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 (MAPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sistem piawai KPI dirangka bagi dijadikan kayu ukur yang objektif terhadap tahap penyampaian kakitangan bagi sektor berkenaan.

"Ini akan membolehkan perkhidmatan awam dinilai secara holistik merangkumi penilaian kuantitatif dan kualitatif.

"Apabila rakyat menilai kepimpinan sektor awam dan politik, apa yang ingin diukur oleh mereka ialah kepimpinan," katanya

Perdana Menteri berkata, kepuasan hati rakyat adalah tanda aras yang utama kepada kejayaan sektor awam.

"Rakyat berhak mendapat yang terbaik. Di bawah konsep rakyat didahulukan, sektor awam perlu melihat rakyat sebagai klien utama.

"Jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa, kita perlu memahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat." katanya.

Justeru beliau menegaskan, pihaknya tidak akan mengambil sikap 'hangat-hangat tahi ayam' bagi melaksanakan pembaharuan dalam sektor awam.

"Saya mahu mengatakan kepada anggota perkhidmatan awam bahawa apa yang saya katakan hari ini, apa yang saya janjikan hari ini, akan berkesinambungan dengan tindakan susulan," katanya.

Najib turut mengajak rakyat terutama 1.2 juta kakitangan awam bersama membantu kerajaan mendepani dua cabaran monumental berbentuk jangka pendek dan jangka panjang.

Menurutnya, cabaran jangka pendek pertama ialah untuk memastikan negara mengalami impak seminimum mungkin kesan kegawatan kewangan dan ekonomi global yang sedang berlaku.

Cabaran jangka pendek seterusnya, kata Perdana Menteri, berkisar untuk keluar dari kemelut ekonomi dan kewangan sedia ada dengan kadar paling pantas manakala ketiga, membantu rakyat menangani keperitan hidup yang dialami.

"Cabaran jangka panjang pula ialah untuk melakukan pembaharuan dan perubahan struktural kepada ekonomi Malaysia berasaskan satu model yang baru berteraskan kreativiti dan inovasi.

- UTUSAN

Mansor calon PKR pilihan raya kecil DUN Penanti


Sah! Sebagaimana diramalkan sebelum ini bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mansor Othman akan diturunkan sebagai calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti mewakili Pakatan Rakyat.

Mansor merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang.

Ia diumumkan oleh Anwar yang juga Penasihat PKR di Yayasan Aman, Penanti dalam bahagian Permatang Pauh kira-kira pukul 10 malam tadi.

Menurut Anwar, Mansor akan dicalonkan untuk mengisi kekosongan kerusi Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang jika menang pilihan raya kecil ini.

Pengumuman mengenainya dibuat Anwar di hadapan kira-kira 1,000 penyokong.

Anwar berkata, pemilihan beliau sebagai calon adalah tepat berdasarkan latar belakang pendidikan yang tinggi, kekananannya dalam parti, seorang pemimpin yang matang dan kemampuannya menerajui perjuangan parti di negeri ini.

Mansor, 56, merupakan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dengan memiliki tiga ijazah sarjana.

Bekas Prof Madya di Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM) itu memegang Sarjana Sains Kemasyarakatan dari USM serta Sarjana Sastera dan Sarjana Falsafah (M.Phil) dari University of Yale.

Anwar berkata, lewat petang semalam beliau telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

"Mereka telah dimaklumkan mengenai cadangan calon Keadilan dan memberi perakuan untuk sama-sama membantu kempen PRK DUN Penanti kelak," kata dalam blog beliau.

Beliau merupakan antara pesaing utama untuk menjadi calon PKR pada pilihan raya kecil berkenaan.

Difahamkan, Mansor menjadi pilihan utama memandangkan beliau tidak dicalonkan mewakili PKR sebagai senator oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.

Mansor pernah bertanding di peringkat DUN ketika pilihan raya umum Mac 2008.

Pilihan raya kecil Penanti adalah pilihan raya kecil keenam yang diadakan selepas pilihan raya umum pada 8 Mac tahun lepas.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei sebagai hari penamaan calon dan 31 Mei sebagai tarikh mengundi bagi pilihan raya kecil Penanti.

Kerusi Penanti kosong apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan jawatannya.

Pada Mac 2008, Fairus menewaskan calon BN.

- MSTAR

Rekod UFO singgah di Malaysia


Zaid Zain,43, sedang minum di sebuah restoran di Larkin Perdana, Johor Bahru, pada 17 Mac lalu apabila anaknya yang berusia 10 tahun, Mohd. Nauman menelefon untuk memberitahu dia ternampak sebuah objek pelik berlegar-legar di ruang angkasa.

Sebagai seorang yang obses dengan fenomena objek terbang tidak dikenali (UFO), Zaid bergegas pulang. Ketika itu jam baru menunjukkan pukul 8.30 malam manakala dada langit kelihatan cerah.

"Objek itu mempunyai dua warna iaitu putih dan hijau. Jika dilihat dari rumah saya, ia seperti betul-betul berada di ruang udara Stadium Larkin," katanya.

Selepas kejadian itu, boleh dikatakan setiap hari Zaid akan mendongak ke langit, namun 'UFO' itu hanya boleh dilihat sebanyak dua kali dalam seminggu.

"Saya terfikir juga ia mungkin pesawat canggih negara jiran, tapi tidak mungkin kerana bentuk dan objek terbang yang saya lihat itu terlalu tinggi di udara," katanya.

Adik Zaid, Mohd. Zamri, 30, sempat merakam pergerakan UFO tersebut dan menganalisis imej tersebut menggunakan komputer.

"Antara yang saya teliti adalah pergerakan, warna dan bentuknya," katanya.

Mohd. Zamri percaya objek itu bukan layang-layang bercahaya. "Tidak mungkin layang-layang boleh terbang setinggi itu di angkasa dan bertahan sehingga lebih satu jam sebelum hilang di celah awan," jelasnya.

Sekalipun UFO dianggap cerita dongeng oleh kebanyakan orang, masih ada rakyat Malaysia yang mempercayainya malah mendakwa pernah melihatnya.

Menurut laporan, terdapat lebih 140 kes kemunculan UFO di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 30 tahun lalu iaitu dari tahun 1981 hingga 2008.

Tanjung Sepat di Selangor dan Sungai Petani, Kedah ialah lokasi paling kerap objek itu didakwa muncul iaitu masing-masing sebanyak 10 dan lapan kali kali.

Satu anggaran kasar pernah menyatakan pendaratan UFO di seluruh dunia berlaku setiap 15 minit atau 30 minit.

Bagi bekas kakitangan kerajaan, Ahmad Jamaludin, 56, kemunculan UFO menjadi petanda gempa bumi akan berlaku di Sumatera, Indonesia.

Kejadian gempa bumi di Sumatera dipercayai berlaku dalam tempoh 24 jam hingga tiga bulan selepas UFO dilaporkan muncul.

"Jarak kemunculan UFO adalah bergantung kepada kekuatan gempa bumi itu. Jika magnitud 5 (biasanya kalau berlaku di kawasan utara Sumatera), ia (UFO) akan muncul di sebelah utara Semenanjung. Misalnya Pulau Pinang atau Kedah.

"Tetapi, jika magnitud itu lagi kuat, ia akan pergi jauh lagi, contohnya di Kelantan, Terengganu. Bergantung kepada magnitud tersebut," katanya.

Memiliki pengalaman selama 33 tahun dalam bidang kaji kuman dan penyakit haiwan akuatik, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Ahmad yang ditemui Kosmo! Ahad di ibu negara tidak lama dahulu begitu teruja apabila diajak berkongsi perspektifnya tentang UFO.

"Ya, saya yakin memang ada UFO kerana banyak data yang menyokong kehadirannya," kata Ahmad yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Pernah belajar memandu dengan Kelab Penerbangan Perak, Ahmad memberitahu, beliau sering berhubung dengan pakar-pakar dan peminat UFO luar negara untuk merungkai misteri alam itu.

Menurutnya, berdasarkan kajian menerusi kompilasi data-data sejak lebih tiga dekad lalu, UFO lazimnya muncul pada waktu malam.

"Data-data yang konsisten menunjukkan UFO biasanya muncul pada pukul 8 malam. Tetapi puncanya masih belum diketahui," ujarnya yang mula mengkaji tentang kehadiran UFO di Malaysia sejak tahun 1978.

Ahmad berpendapat kekerapan kemunculan UFO mempunyai kitarannya sendiri.

"Kemuncak kemunculan objek asing ini akan berlaku setiap 10 tahun. Tahun 2001, misalnya, dikategorikan sebagai tempoh kehadiran UFO paling banyak. Jadi gelombang itu bakal berulang lagi pada tahun ini atau tahun hadapan," katanya.

Kenapa hendak mengkaji UFO?

"Dengan mengkaji pendaratan UFO, kita dapat buktikan bahawa terdapat makhluk lain selain daripada manusia.

"Pakar-pakar astronomi turut meramalkan terdapat jutaan bintang yang ada penghuninya. Tapi satu pun tidak sampai ke sini kerana jaraknya terlalu jauh.

"Jadi saya ingin buktikan bahawa makhluk asing memang wujud dan mereka datang ke bumi," terang Ahmad panjang lebar.

Bagaimanapun, Pegawai Sains di Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Zulhabibullah Ismail, memberitahu sehingga kini tiada bukti secara saintifik wujudnya UFO.

"Pengkaji di Amerika Syarikat dikatakan pernah terjumpa dengan makhluk asing yang dipercayai UFO namun apabila dikaji hasilnya hanyalah bangkai binatang ataupun manusia.

"Malah kajian Angkasa berdasarkan aduan orang ramai yang mendakwa melihat UFO di Perak, Johor dan Kelantan sebenarnya hanyalah objek payung terjun, belon kaji cuaca serta pergerakan arus elektrik di udara," katanya.

Bicaranya lagi, kajian yang beliau lakukan juga mendapati objek yang disangka UFO ialah komet dan meteor.

"Seperti belon cuaca, ia mempunyai aluminium yang boleh memantulkan cahaya dan kelajuan angin membuatkan ia pantas bergerak.

"Pihak berkuasa Amerika Syarikat sendiri pernah mengkaji dengan serius sama ada UFO wujud atau tidak dengan memasang radio teleskop gergasi di kawasan pergunungan bagi berhubung dengan makhluk misteri itu.

"Tetapi program itu gagal walaupun berbilion dolar telah dihabiskan," ujarnya,

Penceramah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah pula memberitahu, tiada satu pun ayat di dalam al-Quran dan hadis Nabi yang mengatakan wujudnya UFO.

"Yang ada ialah cerita mengenai syaitan, jin dan makhluk halus lain. Memang makhluk ini boleh bertukar rupa tetapi saya tidak pernah mendengar cerita jin bertukar menjadi piring terbang UFO," ujarnya.

- KOSMO!

Teks Ucapan PM di Perhimpunan Perdana Kakitangan Kerajaan


Teks ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertemakan “Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 (MAPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

Alhamdulillah, saya mengucapkan rasa syukur setinggi-tingginya ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua satu proses peralihan kuasa yang tertib, licin dan sempurna telah berlangsung pada 3 April yang lalu.

Terima kasih yang tidak terhingga saya rakamkan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah memungkinkan peralihan tersebut berjalan dengan begitu baik.

Justeru, saya berasa amat sukacita kerana inilah julung kali saya bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali kesepuluh atas kapasiti sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru.

Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dari seluruh pelosok negara menjadi manifestasi komitmen dan iltizam tuan-tuan dan puan- puan kepada perkhidmatan awam yang telah lebih lima dekad menjadi tunjang dan nadi kepada pembangunan negara.

Sungguhpun inilah kali pertama saya bercakap sebagai ketua kerajaan, hakikatnya saya telah lama kenal sebilangan besar tuan-tuan dan puan-puan sepanjang perjalanan kepimpinan dan politik, lebih 33 tahun.

Mengimbau sejarah, kira-kira empat puluh tahun yang lalu, Allahyarham ayahanda saya telah diamanahkan sebagai Pengarah MAGERAN. Pada saat dan ketika itu, perpaduan kaum ibarat retak seribu dan rakyat Malaysia sudah hampir hilang harapan.

Selaku Pengarah MAGERAN, ayahanda saya telah berjaya memulihkan demokrasi serta harapan rakyat Malaysia dengan dibantu oleh anggota perkhidmatan awam yang amat berintegriti, berkebolehan, berwibawa dan berdedikasi.

Pendek kata, ramai daripada pendahulu-pendahulu tuan-tuan dan puan-puan adalah mereka yang berada di barisan hadapan dan sangat instrumental dalam usaha memulihkan negara pasca episod hitam 13 Mei 1969.

Sekali air bah sekali pantai berubah. Salah satu hakikat zaman adalah perubahan. Untuk maju manusia perlu sentiasa berada di hadapan keluk perubahan manakala untuk kekal di hadapan manusia perlu menerajui perubahan, sebaliknya jika hanya bernostalgia dengan sejarah kejayaan lampau tanpa gigih mencari kejayaan-kejayaan baru akan menyebabkan gejala jumud dan beku membudaya.

Oleh itu setiap generasi penjawat awam perlu membuktikan kerelevanan mereka kepada rakyat dengan mencipta semula peranan mereka sesuai dengan masa. Melalui kaedah ini barulah mereka boleh memainkan peranan secara berkesan sebagai pemelihara kepentingan awam.

Satu ketika dahulu penjawat awam Malaysia mempunyai reputasi yang amat cemerlang bukan sahaja di kalangan rakyat tempatan tetapi juga di peringkat rantau dan antarabangsa. Bukan maksud saya untuk mengatakan bahawa perkhidmatan awam Malaysia hari ini tidak secemerlang dahulu kerana telah terbukti bahawa perkhidmatan awam Malaysia telah memainkan peranan yang proaktif dalam proses transformasi negara dari sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian.

Namun kayu ukur dan tanda aras hari ini telah berubah akibat proses globalisasi, ledakan maklumat dan peningkatan taraf sosio ekonomi rakyat. Sesungguhnya penambahbaikan yang ingin saya lakukan adalah satu kesinambungan kepada transformasi berterusan sektor awam yang telah dimulakan sejak lama dahulu.

PENJAWAT AWAM: DALAM KONTEKS MENDEPANI CABARAN EKONOMI

Hakikatnya, hari ini kita berhadapan dengan dua cabaran monumental. Pertamanya cabaran jangka pendek dan keduanya cabaran jangka panjang. Di bawah cabaran jangka pendek ini terdapat tiga cabaran berkaitan. Cabaran jangka pendek pertama ialah untuk memastikan negara akan mengalami impak yang seminimum mungkin kesan kegawatan kewangan dan ekonomi global yang sedang berlaku.

Cabaran jangka pendek kedua ialah untuk keluar daripada kemelut ekonomi dan kewangan yang ada, dengan kadar paling pantas. Cabaran jangka pendek ketiga ialah untuk membantu rakyat Malaysia bagi menangani keperitan hidup yang dialami.

Manakala cabaran jangka panjang pula ialah untuk melakukan pembaharuan dan perubahan struktural kepada ekonomi Malaysia berasaskan kepada satu model yang baru berteraskan kreativiti dan inovasi.

Di bawah model baru ekonomi ini kerajaan akan membangunkan sektor perkhidmatan bagi menjadi peneraju pertumbuhan dan pembentukan kekayaan baru pada masa yang sama menggalakkan sektor pembuatan untuk bergerak ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

Langkah-langkah ini diharapkan agar dapat menyelesaikan secara tuntas kemelut yang dialami negara selama ini dari segi ekonomi iaitu of being neither here nor there yakni, sementara kita bukan lagi boleh dianggap sebagai pusat sektor pengeluaran berkos rendah, kita juga belum berupaya melonjakkan negara ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai sektor yang sama.

Model baru ekonomi ini juga diharapkan akan menjadi pemangkin kepada Malaysia untuk meningkatkan statusnya dari sebuah negara upper middle income kepada negara high income dan dalam masa terdekat meletakkan kita kembali di landasan yang betul bagi merealisasikan Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju.

Saya yakin dan percaya bahawa sektor perkhidmatan awam akan terus mampu memainkan peranan bagi menangani cabaran-cabaran ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa tuan-tuan dan puan-puan telah berjaya membantu dalam proses transformasi Malaysia daripada sebuah negara pertanian berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden sehingga Malaysia muncul di kalangan 20 negara perdagangan terbesar di dunia.

SATU MALAYSIA

Apabila saya mengambil alih kepimpinan negara, saya telah mengutarakan konsep “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.” Konsep ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia sebenarnya adalah kesinambungan kepada apa yang diperjuangkan semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Selama ini pun, Malaysia berjaya kerana kita menjadikan kemajmukan rakyat yang ada sebagai sumber kekuatan walaupun kita telah menyaksikan banyak negara di dunia telah hancur dek faktor kemajmukan. Malah kita juga telah merasai sedikit sebanyak bagaimana kemajmukan yang tidak diurus dengan betul telah hampir meranapkan negara seperti mana yang telah dialami semasa tragedi 13 Mei.

Maka yang demikian, suka atau tidak suka, kita mesti mengakui kemajmukan yang wujud adalah realiti yang harus di terima. Inilah merupakan teras kepada konsep Satu Malaysia, mengakui realiti yang ada dan menjadikannya sebagai platform untuk mencapai kejayaan demi kejayaan.

Konsep ini tidak sekali-kali lari daripada apa yang telah dimaktub dan dimuafakatkan melalui undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Di bawah konsep Satu Malaysia ini setiap rakyat Malaysia yang berkelayakan dan memerlukan bantuan serta pertolongan akan kita bantu. Tidak akan ada mana-mana pihak yang akan dicicirkan.

Sesungguhnya lagi janganlah mana-mana pihak menganggap mereka adalah warganegara kelas dua di negara tercinta ini, kerana setiap anak Malaysia adalah potensi modal insan yang penting kepada negara, setiap mereka perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Ketahuilah, setiap warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing seperti mana yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan. Kewarganegaraan bukan sahaja menggariskan hak tetapi juga menuntut tanggungjawab. Janganlah mana-mana pihak terlalu taksub terhadap tuntutan hak dan melupakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara.

Di bawah konsep Satu Malaysia kita perlu memastikan tiada rakyat Malaysia yang terpinggir daripada mendapat perhatian kerajaan. Bagi kerajaan, meritokrasi bukan bermakna kesaksamaan yang membuta. Malah kesaksamaan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak.

Dari itu, seorang anak yang datang dari keluarga miskin tidak kira dari bandar atau luar bandar walau dari etnik mana pun, tetapi ternyata mempunyai potensi sememangnya berhak mendapat bantuan kerajaan berbanding anak-anak golongan berada yang sudah tentu mempunyai peluang pendidikan yang terbaik.

Maknanya, kita boleh menawarkan akses pemula dengan menyediakan datar permainan yang adil tetapi kita sebagai kerajaan tidak berkemampuan memastikan outcome yang sama. Dalam kata lain, kerajaan tidak boleh memainkan peranan ibu bapa, keluarga atau masyarakat setempat, kerajaan juga bukanlah galang yang boleh mengganti kehendak, kemahuan, usaha serta iltizam seorang pelajar atau peniaga juga usahawan untuk berjaya.

Apa yang kerajaan boleh buat seperti yang saya katakan tadi, adalah menyediakan garis permulaan yang adil. Pendek kata, antara prinsip-prinsip utama yang mendasari Satu Malaysia adalah kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) dalam satu keluarga besar.

PENJAWAT AWAM: DALAM KONTEKS MENDEPANI CABARAN PENTADBIRAN

Modenisasi Sektor Awam

Bagi menjayakan segala perubahan yang diperlukan negara dalam perjalanan kita untuk memastikan Malaysia terus aman, maju dan makmur pada abad ke-21, kita memerlukan sebuah persekitaran yang kondusif untuk semua rakyat Malaysia mengoptimumkan potensi mereka.

Di sini peranan sebuah perkhidmatan awam yang cekap, berkesan, responsif, luwes dan berani berubah adalah amat mustahak. Saya amat gembira kerana dalam melaksanakan inisiatif modernisasi ini saya telah mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada barisan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam, khususnya Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Sesungguhnya pembaharuan yang akan dilakukan ini bukanlah bersifat top down tetapi sebaliknya melibatkan gabung jalin semua segmen perkhidmatan awam bermula dengan pimpinan atasan.

Usaha ini memerlukan proses modenisasi menyeluruh yang melibatkan bukan sahaja modenisasi paradigma tetapi juga struktural. Kita memerlukan perkhidmatan awam yang sesuai dengan pencapaian kejayaan pada alaf baru ini. Apa yang saya maksudkan dengan anjakan paradigma adalah pertamanya anjakan daripada ketegaran kepada keanjalan.

Anggota perkhidmatan awam seharusnya menyedari bahawa kerajaan tidak mencipta kekayaan. Peranan ini dimainkan oleh sektor swasta yang mencipta kekayaan, dari kekayaan yang dicipta pihak swasta, kerajaan mempunyai saham yang dikutip dalam bentuk cukai korporat. Hasil ini seterusnya digunakan bagi membangunkan negara dan untuk membayar gaji kakitangan awam.

Keanjalan ini penting bagi menghadapi cabaran untuk berjaya dalam ekonomi baru yang ditandai oleh proses globalisasi. Kita harus mengubah kerangka minda, strategi dan kaedah bekerja jika kita ingin memanfaatkan fenomena yang ada. Sesungguhnya extraordinary times requires extraordinary measures.

Sektor awam perlu menjadi pemudah cara kepada penciptaan kekayaan tanpa mengetepikan peranan mereka sebagai pemelihara kepentingan awam. Penjawat awam sekali-kali tidak boleh menjadi penghindar proses penciptaan kekayaan ini kerana jika mereka berbuat demikian, yang akan rugi pada analisis akhirnya adalah rakyat.

Anjakan paradigma kedua ialah beralih daripada budaya output dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan aspek outcome atau dampak keberhasilan secara holistik. Perkhidmatan awam harus menganjak paradigma daripada menilai kejayaan yang berasaskan output kepada kejayaan yang berasaskan outcome.

Misalnya dalam bidang pelajaran, bukan sahaja jumlah sekolah atau makmal yang mencukupi harus diberi penekanan tetapi perhatian yang utama harus diberikan kepada soal kejayaan menyeluruh termasuk kebajikan dan moral pelajar.

Begitu juga dalam hal menangani gejala penagihan najis dadah, perhitungan kita bukan hanya berapa kepada berapa banyak pusat serenti yang mampu dibina, akan tetapi berapa ramai penagih yang berjaya kita pulihkan.

Contoh lain pula ialah penekanan kita bukan pada bilangan mesyuarat yang diadakan atau kekerapan lawatan ke luar negara tetapi kepada apakah hasil yang tercapai daripada mesyuarat dan lawatan yang telah dibuat.

Anjakan paradigma ketiga adalah anjakan daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudah cara dan menyenangkan rakyat. Kita memperakui sistem birokrasi yang ada di Malaysia telah membawa pembangunan ke seluruh penjuru negara sejak lima puluh tahun yang lalu, namun hari ini terdapat tanggapan bahawa pentadbiran awam berada di belakang keluk perubahan negara mahupun global.

Jika diteliti perbelanjaan emolumen untuk pembiayaan sektor awam ia terus meningkat saban tahun. Hakikatnya kerajaan membelanjakan satu perempat daripada perbelanjaan pengurusan setiap tahun untuk emolumen sektor awam.

Pada tahun 2007 kerajaan telah mengumumkan kenaikan gaji asas kakitangan awam daripada 7.5 peratus sehingga 35 peratus. Daripada segi peruntukan, kerajaan telah pun membelanjakan jumlah yang besar untuk membiayai emolumen sektor awam pada tahun 2006 dengan sejumlah RM28 bilion untuk tujuan ini. Angka ini telah meningkat kepada RM32 bilion pada tahun 2007 dan kepada RM41 bilion pada tahun 2008.

Persoalannya, dibenak rakyat tertanya-tanya, adakah perbelanjaan ini berbaloi. Are the rakyat getting value for their tax dollars?

Lantas, untuk melakukan proses anjakan dan pembaharuan, kita memerlukan sektor awam yang bukan sahaja memahami realiti semasa tetapi mempunyai kemahuan dan berani membuat perubahan. We do not need mere seat warmers, we need actual doers.

Di sudut yang lain pula, kenapa kita harus secara operasionalnya terus-terusan mengamal tatacara kerja yang usang, menyulitkan lagi melambatkan jikalau ia dapat dilaksanakan atau disiapkan dalam masa yang cepat.

Perkara ini boleh dilaksanakan jika ada kemahuan, usaha dan tekad, ia tidak mustahil. Suatu masa dahulu untuk membuat atau memperbaharui pasport antarabangsa baru mengambil jangka masa yang panjang namun kini ia boleh disiapkan dalam masa beberapa jam sahaja.

Dalam konteks ini juga, salah satu perkara yang sentiasa menjadi rungutan orang ramai ialah khidmat kaunter yang lambat. Rakyat mengeluh kerana walaupun jumlah kaunter dilihat begitu banyak namun kebanyakan waktu jumlah kaunter yang dibuka pada waktu puncak tidak pada jumlah yang optimum yang dapat menangani jumlah pelanggan.

Begitu juga jika rakyat menelefon jabatan-jabatan kerajaan, pegawai atau kakitangan tidak menjawab atau jika pun mereka menjawab mereka mengatakan tidak tahu. Walaupun bukan semua yang terbabit akan tetapi hal ini telah menyebabkan tanggapan buruk rakyat terhadap perkhidmatan awam sebagai penyusah bukannya sebagai pemudah cara.

Justeru kenapa masih memegang teguh kepada birokrasi yang menyusahkan, beranjaklah kepada birokrasi yang bersifat memudah cara. Saya lihat, salah satu langkah terbaik ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan kaedah e-filingnya yang merupakan pendekatan yang memudahkan penuh kreativiti dan inovasi.

Anjakan paradigma yang keempat pula daripada produktiviti semata-mata kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi. Kalau selama ini kita mengukur pencapaian dari segi produktiviti, hari ini ukuran ini perlu ditambah baik melalui kreativiti dan inovasi.

Ukuran produktiviti secara konvensional hanya memberikan kita penambahbaikan secara bertokok (incremental), manakala jika digabungkan produktiviti dengan kreativiti dan inovasi, ia akan memberikan kita penambahbaikan secara anjakan berganda (quantum leap).

Jelasnya, produktiviti yang digabungkan bersama kreativiti dan inovasi mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam Malaysia. Tanggapan bahawa setiap masalah boleh diselesaikan dengan menubuhkan jabatan/agensi baru atau menambah kakitangan adalah pandangan yang tidak tepat.

Dengan kemajuan teknologi maklumat produktiviti setiap pegawai dan kakitangan boleh dioptimumkan. Kita perlu mengawal saiz kerajaan kerana kerajaan tidak tahu semuanya atau mempunyai penyelesaian kepada setiap permasalahan. Realitinya, era kerajaan besar dan kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir.

Semua jabatan dan agensi kerajaan harus memaksimumkan aplikasi kreativiti dan inovasi ini. Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan kepuasan hati klien sektor awam yang utama iaitu rakyat.

Idea-idea baru tidak harus dilihat dengan penuh syak wasangka atau dibakulsampahkan hanya semata-mata ia tidak konvensional. Untuk menjadikan perkhidmatan awam Malaysia sebagai tanda aras kecemerlangan peringkat global maka budaya pemikiran di luar kotak kebiasaan perlu menjadi norma harian dan rutin bukannya kepelikan. Barulah nanti wujud persekitaran kerja yang dinamik lagi bertenaga dan berdaya saing.

Dari segi pembaharuan struktural, pertamanya saya ingin mencadangkan kaedah ‘sistem kemasukan pelbagai peringkat’ ke dalam perkhidmatan awam. Di bawah konsep ini kita akan dapat memanfaatkan proses cross fertilization di antara bakat-bakat sektor awam dan sektor swasta.

Sudah tiba masanya kini jawatan-jawatan utama sektor awam dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta dan dari perkhidmatan selain perkhidmatan tadbir dan diplomatik. Kita tidak boleh lagi terlalu dogmatik, kita perlu mendapatkan bakat yang terpilih, terbaik dan tersaring demi kepentingan rakyat.

Keduanya, saya juga mencadangkan satu dasar pintu terbuka di mana pegawai-pegawai perkhidmatan awam boleh dipinjamkan ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pegawai GLC dipinjamkan pula ke perkhidmatan awam untuk saling menimba pengalaman.

Dengan cara ini pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor swasta yang merupakan peneraju utama pertumbuhan negara.

Oleh itu ketiganya bagi mendapatkan bakat yang terbaik, perkhidmatan awam perlu mencontohi pelan pembangunan kerjaya dan pencarian bakat yang diamalkan seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad dan Bank Negara yang mempunyai sistem pengenalpastian bakat yang mantap serta telah menjadikan mereka organisasi yang hebat.

Kita akan menghantar yang terbaik di kalangan penjawat awam untuk menimba ilmu di beberapa institusi tersohor di dunia seperti Kennedy School of Government, di Universiti Harvard, dan Wharton Business School di Universiti Pennsylvania.

PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

Dalam menterjemahkan aspirasi ini, saya komited bagi memastikan perkhidmatan awam Malaysia akan dianggotai anak-anak Malaysia yang terbaik. Saya mencabar generasi muda yang hari ini mengkritik sektor awam untuk bersama-sama kita menambah baik sistem dari dalam. Marilah bersama menyertai perkhidmatan awam, mempersembah kudrat dan pemikiran saudara saudari demi pertiwi.

Kita sedar buat masa ini kita tidak boleh menandingi kelumayanan yang ditawarkan oleh sektor swasta kepada saudara saudari tetapi apa yang kita boleh tawarkan adalah rasa kepuasan berkhidmat demi rakyat dan negara.

Walau apa pun, kita sedang berusaha untuk menyemak dan menambah baik skim-skim perkhidmatan yang kritikal agar pengorbanan saudara dan saudari dihargai.

Di atas segalanya, saya amat maklum bahawa mengurus sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia memerlukan kerjasama semua pihak. Paling utama harus ada kesefahaman di antara anggota pentadbiran sebagai penggubal dasar dan anggota perkhidmatan awam sebagai jentera pelaksana dasar.

Ini kerana, sebaik manapun dasar yang telah digubal tanpa mekanisma pelaksanaan yang cekap maka matlamat dasar tidak akan mampu direalisasikan.

Lantaran itu, baru-baru ini, semasa mengumumkan anggota Kabinet, saya telah menggariskan jangkaan terhadap pencapaian mereka. Saya telah mengamanahkan mereka untuk bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi kepentingan rakyat.

Sehubungan itu saya turut mengumumkan satu sistem Petunjuk Utama Prestasi (KPI) yang akan dirangka bagi mengukur pencapaian mereka.

Namun, semboyan berkhidmat ini tidak terhenti setakat para anggota kabinet, anggota perkhidmatan awam adalah rakan kongsi utama kepada anggota pentadbiran untuk menunaikan komitmen kita kepada rakyat Malaysia dalam memberikan khidmat yang terbaik.

Justeru, saya berdiri di sini pada hari ini, bagi mengulangi seruan kepada tuan-tuan dan puan-puan agar menumpah khidmat kepada rakyat dengan sepenuhnya.

Saya yakin dan percaya dengan pelaksanaan sistem pengurusan yang berteraskan pengiktirafan perkongsian antara anggota pentadbiran dan penjawat awam merupakan satu-satunya jalan untuk kita menempa kejayaan pembaharuan yang besar.

Perubahan tidak datang hanya dengan pengumuman atau berucap mengenainya. Ia terhasil daripada dedikasi dan kerja keras sepasukan manusia yang diikat oleh apa yang disebut dalam istilah bahasa Arab sebagai wa‘ad dan bai‘ah yakni satu tautan persetiaan dan perkongsian komitmen yang padu antara penjawat awam dan pentadbiran.

Kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian. Bila rakyat menilai kepimpinan sektor awam dan politik, apa yang ingin diukur oleh mereka ialah pencapaian. Kepimpinan berteraskan pencapaian adalah kemuncak penilaian kepada kepimpinan.

Sebab itulah saya telah merangka KPI kerana piawai kepada pencapaian itu perlu ada. Ini akan membolehkan perkhidmatan awam dinilai secara holistik merangkumi penilaian kuantitatif dan kualitatif.

KPI ini bukan alat atau kaedah untuk menghukum atau mendera kakitangan awam tetapi sebagai kayu ukur yang objektif terhadap tahap penyampaian. Ingatlah bahawa setiap sen dan ringgit yang kita terima akan dipertanggungjawabkan bukan sahaja di dunia ini tetapi juga di akhirat.

Sesungguhnya, modenisasi sektor awam adalah suatu usaha murni yang besar dan berterusan. Saya tidak mahu mengambil sikap hangat-hangat tahi ayam dalam usaha pembaharuan ini.

Saya mahu mengatakan kepada anggota perkhidmatan awam bahawa apa yang saya katakan hari ini, apa yang saya janjikan hari ini, akan berkesinambungan dengan tindakan susulan. Selepas ini kita tidak mahu sekadar memanterakan slogan yang muluk-muluk tetapi kosong. Apa yang mustahak, kerja mesti dijalankan.

Kepada tuan-tuan dan puan-puan yang berprestasi tinggi, tidak perlu bimbang. Janganlah menganggap diri tuan-tuan dan puan-puan sebagai wira yang tidak didendang. Kepada mereka yang pencapaiannya kurang memuaskan pula, saya menyeru agar bingkas bangun membaiki prestasi diri.

Rakyat berhak mendapat yang terbaik. Oleh yang demikian, di bawah konsep Rakyat Didahulukan, sektor awam perlu melihat rakyat sebagai klien yang terutama.

Penjawat awam perlu dilihat memberikan khidmat yang menyenangkan rakyat. Ini kerana sebab musabab atau raison d‘etre kepada kewujudan perkhidmatan awam itu sendiri adalah untuk mengkhidmati rakyat. Kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kepada kejayaan sektor awam.

Dalam hal konsep rakyat diutamakan ini, marilah kita merenung sirah Rasulullah SAW sebagai pemimpin yang agung, betapa Baginda dengan prihatinnya meletakkan keutamaan yang tinggi kepada kepentingan dan kebajikan masyarakat sehinggakan di saat-saat akhir riwayat baginda, kalimah yang diucapkan adalah ‘umatku, umatku, umatku’.

Jadinya, saya berasakan bahawa kita perlu mengambil pengajaran daripada kepimpinan Rasulullah yang sangat kasih dan penyayang kepada seluruh umat menelusuri kepimpinannya dalam tamadun Islam yang sungguh menakjubkan itu. Moga, dapatlah kita beriktibar daripadanya dalam mengangkat kepentingan rakyat dalam khidmat masing-masing.

Bertolak dari situ, pada hemat saya jua, jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa. Kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat, barulah kita mampu untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut.

Sebab itulah saya sangat menekankan empati dalam pentadbiran saya agar penyelesaian yang kita capai bagi setiap masalah rakyat adalah bertepatan dengan hasrat mereka yang sebenarnya.

Yang paling mustahak, saya inginkan pentadbiran saya menjadi pentadbiran yang memahami denyut nadi rakyat. Pentadbiran yang berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan seharian rakyat.

Justeru, sebaik saya memulakan tugas sebagai Perdana Menteri, saya telah mulakan siri walkabout atau tinjauan mesra dan prihatin di kawasan-kawasan tertentu, bukan sahaja bagi membolehkan saya mendekati rakyat, tetapi lebih penting, supaya saya dapat merasai kepekaan secara visual dan merasai sendiri melalui panca deria saya akan segala bau dan hiruk-pikuk serta liku-liku kepayahan yang dilalui oleh orang ramai dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Contohnya juga, bagaimana kita hendak menggubal dasar pengangkutan awam jika kita sendiri tidak turun ke bawah menaiki LRT dan komuter atau bas yang menjadi nadi pengangkutan selama ini.

Di noktah ini, saya sayugia teringat kepada pendekatan Allahyarham ayahanda saya yang turun merapati rakyat ke kampung-kampung, sawah bendang, tanah-tanah rancangan, menaiki basikal dan berperahu.

Memang jelas, pengalaman yang diperolehi itu amat berharga, dan penilaian yang dapat dibuat sangat berbeza berbanding penilaian berasaskan laporan-laporan dibentang dalam keselesaan bilik pejabat berhawa dingin yang terpisah jauh dari realiti kehidupan.

Sebab itulah saya mahukan pegawai-pegawai tinggi kerajaan juga turun padang dari masa ke semasa untuk memahami masalah pelanggan masing-masing. We must understand our stakeholders in order to be able to deliver what they require. Nescaya, insya-Allah, rakyat akan menerima kita sepenuhnya.

Akhir kata demi rakyat, tunjangkan dan tampilkanlah penjawat-penjawat awam yang berintegriti, berkebolehan, setia dan berdedikasi. Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Selasa, April 28, 2009

Fakta-Fakta Menarik

MATEORIT
Mateorit yang jatuh di Hoba West, Afrika, pada tahun 1920 merupakan yang terbesar dan paling berat pernah gugur ke bumi. Ia berukuran 2.7 meter panjang dan 2.4 meter lebar dengan jumlah berat 60 tan.

MOTOR ELEKTRIK
Motor elektrik terkecil di dunia berukuran 0.04sm iaitu lebih kecil daripada kepala jarum peniti, dibina oleh William MCLellan dari Amerika Syarikat. Ia mengandungi 13 bahagian dan pergerakan motor itu hanya boleh dilihat menerusi mikroskop.

UKURAN RED KANGAROO
Ukuran red kangaroo ketika dilahirkan ialah dua sentimeter, tetapi ia membesar sehingga 2.6 meter panjang. Haiwan itu boleh melompat sejauh lebih 12 meter dalam satu lompatan dan berupaya bergerak dengan kelajuan 48 km sejam.

LOGAM OSMIUM
Logam osmium adalah bahan yang paling tumpat di dunia iaitu enam kali lebih tumpat daripada emas. Jongkong osmium setebal saiz wang kertas seringgit adalah seberat 2.4 kilogram.

KERETA API PENUMPANG
Kereta api penumpang terpanjang di dunia berukuran 1,733 meter panjang dicatatkan di Belgium pada tahun 1991. Ia mengandungi 70 buah gerabak, sebuah lokomotif elektrik dan seberat 2,786 tan.

KELAJUAN MAKSIMUM
Kelajuan maksimum 39,897km sejam yang dicapai oleh Apollo 10 merupakan yang terpantas pernah dicatat manusia. Kelajuan itu 15.4 kali ganda Tupolev Tu-14, pesawat penumpang paling laju di dunia.

BOM ATOM
Bom atom pertama dibina mengambil masa selama 3 tahun dengan kos AS$3 bilion dan memerlukan saintis, jurutera dan tenaga pekerja yang ramai.

MAJLIS PERTUNANGAN
Upacara menyarung cincin berlian di majlis pertunangan telah dimulakan pada tahun 1475 oleh Archduke Maximilian (Autria) ke jari tunangnya Princess Mary (Burgundy). Ketika itu cincin disarungkan ke jari hantu.

MAHARAJA MOROCCO
Maharaja Morocco, Moulay Ismail (1672 - 1727) mempunyai 525 anak lelaki dan 342 anak perempuan yang dilahirkan oleh 1,703 orang isterinya.

BERAS
90 peratus pengeluaran beras dunia adalah dari benua Asia dengan China sebagai pengeluar terbesar iaitu 177.7 juta tan metrik berbanding Malaysia 2.17 juta tan metrik.

TAHUN BARU CINA
Masyarakat Cina memerlukan 600,000 peti limau mandarin untuk merayakan Tahun Baru Cina. Ini bermakna mereka membelanjakan RM12 juta untuk membeli limau sahaja.

PULAU BATU HAIRAN
Pulau Batu Hairan, 65 kilometer ke timur laut Kudat,
Sabah merupakan pulau terbaru wujud di dunia. Pulau
ini mempunyai keluasan 0.77 hektar dan 3.1 meter
tinggi, ditemui pada 14 April 1988.

PAPUA NEW GUINEA
Papua New Guinea dianggarkan mempunyai 4 juta penduduk, menggunakan paling banyak bahasa di dunia iaitu 869 kesemuanya. Setiap bahasa digunakan oleh lebih 4,000 orang penduduk.

MICROPATENT
Penerbit komersil maklumat hak cipta, MicroPatent, Connecticut, Amerika Syarikat, memiliki koleksi 1,730 CD-ROM yang mengandungi hampir 20 juta halaman senarai pemilik hak cipta utiliti di seluruh Amerika Syarikat

TELEKOM MALAYSIA
Telekom Malaysia merupakan pengendali utama telekomunikasi di negara ini, mempunyai sebanyak 29,700 kakitangan di seluruh negara. Ia membekalkan kemudahan telefon kepada 2.7 juta penduduk Malaysia; nisbah 15 buah telefon bagi setiap 100 penduduk.

LADANG KUPU-KUPU
Ladang kupu-kupu Pulau Pinang yang ditubuhkan pada tahun 1986, mengandungi 4,000 ekor kupu-kupu Malaysia terdiri daripada lebih 120 spesies.

KESESAKAN LALU LINTAS
Kesesakan lalu lintas paling buruk direkodkan pada 12 April 1990 apabila 1.5 juta kenderaan berbaris panjang menyeberang sempadan Jerman Timur dan Jerman Barat.

HUTAN HUJAN TROPIKA
Hutan hujan tropika Malaysia berusia 130 juta tahun dan dipercayai sebagai hutan yang paling tua di dunia. Terdapat sehingga 180 jenis pokok dalam satu hektar hutan tersebut.

GUA GOMANTUNG
Gua Gomantung di Sabah merupakan tempat kediaman lebih sejuta burung layang-layang. Sarang burung itu dieksport ke Hong Kong dan Singapura dengan harga RM8,750 sekilogram untuk dijadikan sup.

PELABUHAN
Pelabuhan Barat di Pulau Indah berharga RM1.2 bilion mampu mengendalikan 12.1 juta tan kargo setahun. Jumlah sebanyak itu memerlukan masa 10 hingga 12 tahun jika dikendalikan oleh pelabuhan Pasir Gudang dan Pulau Pinang.

SUNGAI RAJANG
Sungai Rajang di Sarawak merupakan sungai yang terpanjang di Malaysia, berukuran 563 kilometer. Ukuran tersebut boleh menghubungkan Muar dengan Butterworth.

MENARA KUALA LUMPUR
Menara Kuala Lumpur merupakan yang tertinggi di Asia dan ketiga di dunia berharga RM250 juta. Ia berukuran 421 meter tinggi, seberat 100,000 tan, menggunakan 45,000 meter padu konkrit, 5,300 tan keluli tetuli tetulang dan 1,300 tan keluli struktur.

KUIL BATU CAVES
Kuil Batu Caves mengandungi sebanyak 364 mata tangga iaitu dari paras bawah hingga ke dalam gua. Jumlah itu akan menjadi sepanjang kira-kira 170 meter jika mata tangga itu diluruskan menjadi satu garisan.

LAPANGAN TERBANG
Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang yang dijangka beroperasi pada tahun 1998 berupaya mengendali 45 juta penumpang dan juga mampu mengendali sejuta tan kargo setahun.

MENARA PETRONAS
Menara kembar Petronas KLCC (Kuala Lumpur City Centre) yang setinggi 88 tingkat akan menjadi bangunan tertinggi di dunia, berukuran 450 meter tinggi. Ketinggian ini tiga kali ganda Kompleks Dayabumi.

JAMBATAN
Jambatan Pulau Pinang (13.8km) merupakan yang terpanjang di Asia dan menduduki tempat ketujuh di dunia, dibuka pada bulan Ogos 1985.

KOMPLEKS RENANG
Kompleks renang Dewan Bandaraya Ipoh, Perak
merupakan yang terbesar dan paling moden di Asia Tenggara. Kompleks itu juga adalah kolam renang bergelombang pertama di Malaysia.

MINYAK
Malaysia adalah pengeksport minyak utama di Asia Tenggara dan merupakan negara ke-21 yang mempunyai simpanan minyak terbanyak di dunia, mengeluarkan 610,000 tong minyak sehari.

PROTON
Dalam tempoh sepuluh tahun, Proton menguasai 74 peratus pasaran domestik iaitu kira-kira 500,000 unit di jalan raya Malaysia dan 85,000 unit lagi dieksport ke 18 buah negara temasuk United Kingdom, New Zealand dan Australia.

MINYAK SAWIT
Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit nombor satu dunia, mengeluarkan sebanyak 51 peratus daripada jumlah pengeluaran dunia iaitu sebanyak 7.2 juta tan pada tahun 1994

POKOK GETAH
Pokok getah tertua Malaysia yang ditanam 119 tahun dahulu masih dapat dilihat di Kuala Kangsar, daerah pertama menanam pokok getah di negara ini.

BANK
Malaysia memiliki 37 buah bank komersil dengan rangkaian 1,246 cawangan di seluruh negara dan Maybank sebagai bank kemersil terbesar; mempunyai 399 cawangan.

Selamat Pendek Umur!

Oleh AMYLUNA

“Selamat pendek umur,” saya bergurau.

Sahabat saya agak tersentak, namun tetap senyum. Dia faham, saya hanya bergurau.
“Kenapa pula?” tanyanya. Dia kelihatan ceria. Hari ini ulang tahun hari kelahirannya. Saya meraikan dia dengan belanja makan di restoran berhampiran tempat kami bekerja.

“Yalah… bukankah tarikh mati telah Allah tetapkan di dalam rahim ibu lagi. Ertinya, semakin hari, semakin dekat langkah kita menuju ketetapan itu…”

“Makna, semakin hari semakin pendeklah umur kita?” tingkahnya penuh pengertian.
“Ya, hari ini setapak lagi kita dekat dengan kematian.”

“Pelik, selalunya bila hari lahir orang bercakap tentang hidup. Tentang kejayaan. Tentang pencapaian. Sekarang kita bercakap tentang kematian pula.”

“Siapa yang tidak bercakap tentang mati akan ‘mati’,” balas saya.
“Kenapa pula?”

“Hukama berkata, barangsiapa yang tidak tahu untuk apa dia akan mati, maka dia tidak layak hidup!”

“Untuk apa kita mati?”

“Untuk hidup…” kilas saya lagi, sekadar bermain kata, bersilat bahasa untuk meninggikan makna.

Dia diam. Menung dan alam fikirnya telah terusik barangkali.

“Mati untuk hidup?”

“Ya, mati bukanlah suatu pengakhiran tetapi hanya satu permulaan…”
“Satu permulaan? Maksud kau?”

“Mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi – alam akhirat. Kau masih ingat kata-kata Umar Ibn Aziz yang aku sering ungkapkan dulu?”

“Hampir terlupa. Waktu di kampus dulu?”

“Umar berkata, manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki!”

Terkesima dia. Jari-jarinya mula mengetuk-ngetuk meja. Perlahan. Tetapi saya yakin gerakan mindanya makin laju. Dia biasa begitu.

“Jadi, hidup ini untuk mati dan mati itu untuk hidup?”
Wah, saya pula yang terkejut mendengar liuk lentuk bahasanya. Berputar-putar seputar maknanya.

“Ya. Hidup di sini, di dunia ini, adalah tanaman untuk tuaian pada hidup di sana, di akhirat. Itulah tujuan hidup yang fana ini, demi kelangsungan hidup yang baqa itu. ”

“Jika demikian apa ada pada umur?”

“Umur hanyalah putaran surya, purnama dan buana yang dilakarkan oleh jarum jam, minit dan saat sebuah arlogi,” balas saya. Seronok sekali-sekala, berbual dengan bahasa berbunga di sulam kosa kata yang yang berputik dan berbuah.

“Maksudnya kita abadi?”

“ya, tapi bukan abadi seperti Khalik yang tidak ada permulaan dan tidak ada pengakhiran. Kita tetap makhluk.”

“Jika demikian, umur itu relatif juga kan?”

“Ya, kan Enstein pun fahamnya begitu? Masih ingat Teori Relativiti masa?”
“Panjang dan pendek umur bukan pada kuantiti tapi pada kualiti.”

“Juga bukan pada yang zahir tapi juga yang maknawi.”

Semakin rencam perbincangan kami. Tidak mengapa, sekali-sekala apa salahnya… berfalsafah kekadang lebih indah.

“Imam Nawawi, pendek umurnya tetapi ‘panjang’ ilmu dan abadi jasanya. Imam Safie, Imam Ghazali… tidak sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak perjuangannya melangkaui dekad dan abad,” tambahnya memberi contoh.

“Umar ibn Aziz memerintah hanya kurang lebih 2 tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya,” sambungnya lagi.

“Rupa-rupanya petua nak panjangkan umur ialah dengan panjangkan amal, panjangkan ilmu, panjangkan jasa,” kata saya seakan merumuskan.

“Harta boleh panjangkan umur… sedekah atau wakafkan, jadilah amal jariah. Pahalanya berterusan. Akhlak boleh panjangkan umur… hubungi silahturrahim, panjanglah umur kita. Demikian maksud hadis.”

“Apakah rahsia kejayaan orang-orang yang ‘panjang’ umur itu?”

“Mereka sedar tentang tujuan! Mereka adalah peribadi yang sentiasa sedar akan tujuan segala sesuatu . Mereka tahu tujuan hidup, mereka tahu tujuan mati. Mereka mencari tujuan pada setiap tindakan.”

“Hasilnya?”

“Dunia sentiasa menyediakan jalan kepada orang yang punya tujuan. When there is wiill, the is a way!.”

“Tapi kita bukan mereka?”

“Betul. Tapi itu bukan kelemahan, bahkan satu kekuatan. Setiap kita adalah unik. Tuhan tidak ciptakan manusia bodoh, tetapi Dia mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.”

“Kita lebih bijak daripada mereka?”

”Ya, di sudut-sudut tertentu. Seorang pemandu lebih bijak daripada seorang profesor dari segi pemanduan kereta.”

“Tetapi keintlektualan lebih berharga daripada kebolehan memandu kereta. Profesor lebih berharga daripada seorang ‘driver’. Gaji mereka lebih tinggi”

“Maksudnya, umur seorang profesor lebih ‘panjang’ berbanding seorang driver? Maksud kau begitu?”

“Perbezaan itu bukan perbezaan taraf, tetapi perbezaan jalan. Jalan untuk seorang driver menjadi hamba Allah berbeza dengan jalan seorang profesor. Itu sahaja.”
“Kau tidak mengiktiraf derjat orang berilmu?”

“Tidak begitu. Orang berilmu memang dilebihkan beberapa derjat… tapi dengan syarat, mereka takutkan Allah. Kan itu takrif sebenar seorang ulama?”

“Maksudnya?”

“Seorang driver yang takutkan Allah lebih tinggi derjatnya daripada seorang profesor yang tidak takutkan Allah. Tetapi sekiranya kedua-duanya takutkan Allah, tentu sahaja ‘umur’ profesor itu lebih panjang daripada umur seorang driver lantaran ilmu dan amalanya yang lebih tinggi dan berharga!”

“Ah, surah Al Baqarah menukilkan seorang yang mati di jalan Allah hakikatnya terus hidup… Syuhadak mendapat pahala dan kurnia berterusan daripada Allah. Jadi, satu petua lagi untuk panjang umur ialah mati syahid,” ujar saya mengalih arus perbualan.

“Benarlah kata ahli sejarah, para sahabat Rasulullah itu hidup kerana mereka mencintai mati. Dan generasi hari ini ‘mati’ kerana mencintai hidup.”

“Wah, terlalu panjang perbualan kita petang ini. Apapun aku ingin mengucapkan ‘selamat panjang umur’ sempena hari lahir kau yang ke 40 tahun hari ini,” pintas saya sambil bangun. Jam telah menunjukkan pukul 6 petang. Hari semakin pendek.

“Eh, tadi kau kata ‘selamat pendek umur’, sekarang dah bertukar balik seperti ucapan biasa yang aku dengar… selamat panjang umur?” tanya hairan.

“Eh, kau lupa agaknya. Maksud ‘panjang umur’ ku berbeza dari biasa. Maksudku, selamat menambah ilmu, selamat menambah amal, selamat mengeratkan silahturrahim, srlamat menambahkan sedekah, selamat menambahkan rasa takut kepada Allah. Ya, itulah. Itulah maksudku selamat panjang umur!”

10 Jenis Makanan Anti-Kolesterol

Berikut ini disenaraikan 10 jenis makanan yang boleh mengurangkan kolestrol. Lepas ni, bolehlah perbanyakkan memakan makanan yang seperti ini:

1. SOYA
Kacang soya merupakan makanan popular yg diproses untk mendapatkan Kacang soya mengandungi 48% protein, lesitin, vitamin & zat galian.Ia juga dpt menghidarkan penyakit jantung & kencing manis. Kaya kalsium & Mineral yg membantu memecah lemak. Ia membantu menyusutkan kadar Lemak jahat (LDL) dan meningkatkan kadar lemak baik (HDL)

2. KUACI
Kuaci mempunyai kandunan zat besi. Pola pemakanan yg rendah dgn zat besi boleh menaikkan kadar kolestrol LDL sekali gus menghadkan kolestrol HDL. Mulakan pengambilan kuaci jenis tawar seperti dari jenis labu atau bunga matahari untuk menambah zat besi

3. BUAH KERING
Antar pelbagai jenis buah kering, limau kering adalah yg paling banyak mengandungi flavanoid. Pengambilannya mampu menyingkirkan lebihan lemak LDL sehingga dapat mengurangkan risiko sserangan jantung. Flavanoid juga boleh diperolehi dalam teh, brokoli, tomato, bawang serta delima.

4. EPAL
Memakan sebiji epal @ meminum jusnya setiap hari cukup untuk membekalkan khasiat bagi mengurangkan kandungan kolestrol dalam badan. Kanak-kanak yg memakan makanan segera dankemudian memakan epal @ minum jusnya, sebenarnya menyimbangkan kandungan zat dan mencegah berlaku kemak dlm badan

5. IKAN TUNA
Termasuk sumber asid lemak omega-3 yg popular, selain salmon dan makarel. Omega-3 secara khusus melindungi tubuh daripada peningkatan kadar kolestrol LDL.

6. KACANG TANAH
Kacang tanah yg dipanggang mengandungi lemak sihat dan kaya dengan vitamin E. Ia boleh menghalang radikal bebas agar tidak merosakkan kolesterol LDL dan dapat menghindari tubuh daripada serangan jantung

7. MANGGA
Vitamin C banyak terdapat dalam mangga. Sumber lain : belimbing, kedodong, betik, rambutan, strawberi dan kiwi. Vitamin C berupaya mencegah kolestrol LDL dlm tubuh

8. KISMIS
Mengandungi sebatian yg mampu menurunkan kolestrol. Sesiap yg mengamalkan diet dgn 400 kalori kismis setiap hari boleh menurunkan kadar kolestrol dlm darah sebanyak 8%.

9. OAT
Lebih daripada kajian saintifik yg dijalankan telah menunjukkan bahawa pengambilan oat setiap pagi boleh menurunkan kolestrol dalam darah. Serat mudah larut dalam oat boleh mengurankan risiko penyakit jantung sekiranya dijadikan sebahagian diet rendah lemak & kolestrol anda

10. JAMBU BATU
Ia mampu menurunkan paras kolestrol dalam badan sebanyak 18.8%. Disyorkan mengambilnya setiap hari dalam jumlah mencukupi bagi memastikan khasiatnya bertindak balas kepada tubuh. Jumlah yg disyorkan ialah 400gm sehari, iaitu sebiji setengah selama empat minggu. Bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan tanpa melupakan diet seimbang, jambu batu adalah pilihan yg sesuai.

Jagalah kesihatan anda dengan memilih makanan yang berkhasiat :)

Recent Posts