Khamis, April 02, 2009

Kepentingan pelajar perlu jadi keutamaan pendidik

Pada zaman 1950-an, 1960-an dan 1970-an, guru adalah pemimpin masyarakat di luar bandar dan pedalaman serta dianggap sebagai bijak pandai. Masyarakat sekeliling akan mencari guru untuk mengisi borang mencari kerja, diminta menulis surat permohonan untuk projek kecil luar bandar kepada kerajaan atau wakil rakyat dan sebagai rujukan pelbagai perkara sama ada isu politik, ekonomi dan sosial. Pendeknya, guru begitu dihormati, disanjung dan dipuji.

Malah, kehadiran guru terutama guru besar di kampung akan menyebabkan anak muridnya lari bertempiaran kerana bimbang diambil tindakan disiplin keesokan harinya, jika dilihat melepak pada waktu malam atau menghisap rokok. Nescaya, apabila ada di kalangan pendidik bertanding merebut jawatan tertentu dalam parti politik pada peringkat bahagian atau cawangan, maka mudah bagi mereka untuk menang. Tidak hairanlah apabila ramai perwakilan ke perhimpunan agung Umno terdiri daripada kalangan pendidik.

Bagaimanapun, itu senario dulu dan sejak dekad 1990-an, kelibat guru sudah tiada atau terlalu sedikit sama ada pada Perhimpunan Agung Umno atau mereka yang memegang jawatan pada peringkat bahagian. Senario yang sama juga berlaku di pihak pembangkang meskipun ada guru menyokong dari belakang secara bersembunyi. Keadaan ini ada kaitan dengan larangan kerajaan supaya guru siswazah tidak dibenar bergiat aktif dalam politik. Sebaliknya, guru bukan siswazah dibenar berpolitik dengan syarat mendapat kebenaran daripada pengetua dan guru besar masing-masing.

Sekarang Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mahu membuka semula peluang itu kepada guru untuk aktif berpolitik. Beliau yang juga Naib Presiden Umno yang baru dalam ucapan penggulungannya pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno, Sabtu lalu mencadangkan pendidik, terutama guru dalam Kumpulan A diberi kelonggaran dan kebenaran untuk terbabit dalam aktiviti politik serta memegang jawatan dalam parti.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, menolak cadangan itu kerana dikhuatiri boleh memecahbelahkan warga pendidik di sekolah dan berpendapat sesetengah guru mungkin taksub dengan parti yang disokong sehingga wujud sikap berpuak, sekali gus menjejaskan pelajar. Jika guru dibenarkan berpolitik, pegawai kerajaan dari kumpulan lain juga pasti akan menuntut hak yang sama, kata Ismail.

Perkara ini sebenarnya perlu diperhalusi dengan lebih mendalam. Kini ada 354,933 guru di seluruh negara yang berkhidmat di 9,762 sekolah rendah dan menengah. Daripada jumlah itu, 182,554 guru berada dalam kategori A, yang layak untuk bergiat cergas dalam politik jika cadangan Hishammuddin itu diterima. Tidak semua mereka berminat dalam politik, tetapi tidak mustahil sebahagian mereka teruja dengan cadangan Menteri Pelajaran itu.

Kita berpendapat, suara semua pihak termasuk masyarakat di peringkat akar umbi, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) perlu diambil kira sebelum cadangan itu diterima. Sebarangan keputusan dibuat, kepentingan pelajar hendaklah diutamakan.

- BERITA HARIAN

Perkahwinan bukan semata-mata untuk seks

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

Membina rumah tangga bukan seperti membina istana pasir di tepi pantai, sekali ombak melanda istana roboh berderai. Sebolehnya jadikanlah binaannya kukuh, sekukuh istana konkrit, biar dilanda ombak dan taufan tetap utuh dan teguh.

Namun kekukuhan dalam perkahwinan itu memerlukan ramuan yang padat bukan sahaja dari segi kekuatan fizikal, mental, spiritual malah kemantapan ekonomi dan sosial.

Bagaimanapun, apabila melayari sebuah bahtera perkahwinan ramai yang menyatakan bahawa kebahagiaan dalam rumah tangga sebenarnya hanya bergantung kepada seks semata-mata.

Memang tidak dinafikan bahawa seks amat penting di dalam perkahwinan dan juga membawa kepada beberapa akibat buruk jika tidak dipenuhi, namun itu bukanlah syarat utama dalam kemanisan kehidupan sesebuah perkahwinan.

Pensyarah Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah Abd. Ghani berpendapat, sesebuah perkahwinan yang bahagia harus mempunyai komponen kasih sayang, saling mempercayai dan menghormati, di samping memenuhi zahir dan batin.

Kehidupan suami isteri perlu seimbang dalam pelbagai aspek. Tidak boleh memberi keutamaan kepada satu aspek sahaja, contohnya hubungan seks semata-mata tetapi sebaliknya harus bersifat sederhana.

Bersederhana dalam erti kata cukup dalam memaniskan dan mengekalkan keutuhan rumah tangga itu. Misalnya dalam mencari kemewahan, janganlah sehingga mengabaikan keluarga sehingga keadaan porak peranda.

Begitu juga dalam memenuhi kehendak seksual, suami harus memain peranan dalam memastikan hubungan itu saling memberi kepuasan bagi kedua-dua pihak.

"Ini kerana dari segi psikologi, lelaki dan wanita berbeza kehendak seksualnya. Organ-organ jantinanya berbeza. Lelaki dan wanita perlu sedikit pengetahuan mengenai seksualiti, barulah kepuasannya itu dirasai oleh kedua-dua pihak.

"Selain itu, rata-rata wanita Asia seorang yang pemalu, tidak bersifat terbuka mengenai isu berkaitan dengan seks, lebih memendam rasa dan tidak suka berterus terang dengan suami. Ada juga isteri hanya mahu menanti dan bahkan tidak pernah diberi peluang untuk mencapai kepuasan.

"Jadi, dalam mendapatkan kenikmatan itu, suami-isteri harus bersama-sama bertanggungjawab memberi kepuasan,'' katanya ketika ditemui di USIM, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Menurut Dr. Saedah, seks merupakan salah satu kehendak manusia yang dianugerahkan Allah dengan tujuan murni iaitu meneruskan kesinambungan zuriat anak Adam dan untuk pasangan menikmati hubungan manis dalam satu ikatan yang sah.

Di samping itu, ia juga antara kaedah dala menguruskan tekanan atau stres serta menjalin hubungan mesra dan menyemai kasih sayang serta cinta antara suami isteri.

"Namun jangan jadikan seks segala-galanya dalam perkahwinan, ia hanya bentuk aktiviti yang bertanggungjawab serta halal. Oleh itu, suami tidak harus memberi keutamaan dalam hal ini sedangkan banyak lagi komponen yang penting dalam melayari bahtera tersebut.

"Bahkan, tanggungjawab suami juga cukup besar, tidak semata-mata memberi nafkah batin, tetapi sebagai ketua atau pemimpin dalam sebuah keluarga. Tanggungjawab kepimpinan dalam sebuah rumah tangga ada kaitan dengan pemberian nafkah batin dan zahir, sifat kekuatan jasmaniah, azam, keberanian, kesabaran dan berpandangan jauh dalam sebuah rumah tangga,'' tambahnya.

Katanya yang berpengalaman dalam bidang kaunseling hampir 20 tahun, dalam membina sebuah rumah tangga, pasangan digalakkan untuk sentiasa menjalin hubungan mesra, saling faham memahami, sentiasa berbincang dan bermusyawarah. Sifat ini amat perlu sama ada dalam menghadapi permasalahan kecil atau pun besar.

"Tanggungjawab suami sebagai pemimpin dalam sebuah rumah tangga merupakan satu amanah Allah yang wajib ditunaikan. Ini bermakna menjadi tanggungjawab kepada suami untuk menanggung perbelanjaan keluarga mengikut kemampuannya.

"Kewajipan ini termasuk juga sama ada isteri mempunyai harta atau pendapatan sendiri. Bagaimanapun isteri boleh menyumbang untuk perbelanjaan keluarga dan dikategorikan sebagai satu sedekah.

"Oleh itu, sebagai suami , mestilah sedaya upaya berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab menyediakan perbelanjaan keluarga seperti tempat tinggal, pakaian, makan, minum dan sebagainya. Cuai memberi nafkah zahir adalah merupakan satu dosa,'' tegasnya.

Secara kesimpulan, peranan seks dalam perkahwinan perlulah bersifat sederhana, janganlah ia dijadikan tunjang utama sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain. Suami isteri perlu memahami peranan masing-masing dalam perkahwinan, jika mahu melihat ia terus utuh.

- UTUSAN

Doa agar dijauhi sifat lalai

Allah berfirman yang maksud-Nya: Engkau jugalah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berikan rahmat kepada kami kerana Engkau jugalah sebaik-baik pemberi ampun. Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepada-Mu. (al-A’raf: 155-156)

KETERANGAN AYAT

Ibnu Abi Hatim, Abu al Sheikh meriwayatkan daripada Nauf al Humairi berkata, apabila Nabi Musa memilih 70 orang daripada kaumnya untuk menuju ke tempat yang diperintahkan Allah, maka Allah telah mengatakan kepada Nabi Musa a.s; "Sesungguhnya Dia telah menjadikan bumi tempat yang suci untuk beribadat dan dijadikan ketenangan dalam rumah mereka serta dijadikan Taurat itu boleh dibacakan secara hafaz oleh setiap golongan Bani Israel."

Tiba-tiba golongan Yahudi itu mengatakan: "Kami tidak mahu bersembahyang melainkan di biara sahaja. Kami hanya mahu ketenangan itu ada dalam keranda Nabi Yusuf a.s dan kami hanya mahu membaca Taurat dari tulisan yang tercatat atas buku."

Malah kaum Yahudi juga meminta untuk melihat Allah secara live (langsung) sebagai alasan untuk beriman (Al-Durrul Manthur, tafsir ayat 155-156, surah al-A'raf).

Nabi Musa a.s tidak ada pilihan melainkan mengingatkan umatnya terhadap bahaya mengingkari suruhannya Allah. Baginda lalu memohon kepada-Nya keampunan dan kebaikan dunia dan akhirat.

Khasiat dan kaifiat beramal

Doa ini wajar dipanjatkan ketika melihat keadaan umat yang lalai daripada mengikut petunjuk Allah SWT. Ini tidaklah bermakna kita meninggalkan kerja-kerja dakwah dan hanya berdoa dengan ayat ini semata-mata.

- Petikan buku 101 Doa Para Nabi dan Rasul dalam Al-Quran Khasiat & Kaifiat Beramal terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

Tips Blog - Menjadi Popular

Oleh MOHD SUHAIMY A.K.A. SHUTH

Satu perkara yang saya belajar (menerusi pemerhatian) daripada blogger-blogger popular adalah

Menulis Subjek Yang Unik atau Menulis Sesuatu Dengan Gaya Yang Unik

Sekiranya anda tidak dapat berbuat demikian, terimalah hakikat bahawa anda tidak akan menjadi blogger yang popular.

Baiklah, anda masih mahu menjadi blogger yang popular? Ikuti huraian saya di bawah.

Menulis Subjek Yang Unik

Pemilihan subjek adalah kritikal dan paling penting. Adalah sesuatu yang amat merugikan sekiranya anda menukar haluan blog anda dipertengahan jalan. Anda mungkin kehilangan pelawat sedia ada.

Cuba lihat blog-blog di sekeliling anda. Ada yang berkaitan masakan, ada yang berkaitan IT, ada yang berkaitan gadget terkini, ada yang berkaitan cari duit tambahan di internet, ada yang berkaitan penternakan dan berbagai-bagai lagi topik atau subjek yang dibincangkan.

Pilihlah subjek yang dapat anda tulis sekurang-kurangnya 1 minggu sekali. Jika tidak, anda akan mudah dihinggapi sindrom ‘writer’s block‘ iaitu keadaan di mana penulis tidak dapat menulis atau memulakan penulisan dalam tempoh yang sementara.

Tujuan menulis subjek yang unik adalah bagi memudahkan pemasaran blog anda. Pemasaran di sini adalah dari segi mulut ke mulut. Blog anda akan sentiasa diingati dengan 1 subjek sahaja. Dan pasti menjadi rujukan utama.

Ambil contoh, blog anda membuat ‘review’ setiap kereta buatan Proton. Subjek utama anda adalah ‘Kereta Buatan Proton’. Di dalamnya anda menulis tentang kereta-kereta yang dikeluarkan Proton, malah anda menguji setiap kereta keluaran Proton. Lebih baik lagi, anda melakukan tinjaun terhadap pengguna kereta Proton. Apakah hasilnya? Hasilnya, sesiapa yang mahukan maklumat tentang kereta Proton pasti tidak akan terlepas daripada melayari blog anda.

Menulis Sesuatu Dengan Gaya Yang Unik

Baiklah, jika sekiranya subjek yang anda selesa untuk menulis berupa subjek popular, misalnya Politik di Malaysia, maka gunakan gaya yang unik bagi menjadikan blog anda lebih popular berbanding saingan anda.

Blogger Raja Petra umpamanya, popular kerana hasil tulisan yang dilihat mampu mencabar kredibiliti pemerintah. Husin Lempoyang pula dengan gaya satira politik. Penarik Beca dengan gaya teguran tanpa tapis terhadap pemerintah mahupun pembangkang. Contoh-contoh blogger ini saya sebutkan kerana mereka ini popular melalui gaya mereka.

Anda juga boleh begitu. Antara subjek popular yang lain adalah mengenai selebriti di Malaysia. Tulislah dengan gaya yang unik sama ada anda memilih untuk memuji, menghentam mahupun membuat gossip. Tetapi haruslah diingat, tema yang ke arah positif lebih bertahan lama berbanding tema negatif seperti menghentam, menyindir dan membuat gossip.

Pilihan ditangan anda. Tidak ada yang mustahil untuk menjadi blogger yang popular.

Nota: Saya juga mempunyai blog yang tidak popular di IyasIlias.com. Tetapi tujuannya adalah supaya saya dikenali ramai agar mudah saya berurusan di dalam perniagaan internet. Tidak seperti saya, sekiranya anda mahu menjana wang melalui blog, anda wajib memilih pendekatan popular.

- RAHSIA BLOGGER

Intel, P1 perluas WiMAX

Peneraju revolusi jalur lebar WiMAX di Malaysia, Packet One Networks (M) Sdn Bhd (P1) bersama Intel Malaysia bakal memperluaskan jaringan WiMAX menerusi modem USB P1.

Pakatan itu terhasil apabila Intel bersetuju mencipta cip WiMAX yang bakal diperluaskan oleh P1 sebagai satu alternatif untuk orang ramai menggunakan jaringan Internet tanpa batasan.


Ketua Pegawai Eksekutif P1, Michael Lai, berkata kerjasama Intel untuk mengeluarkan cip WiMAX turut mempengaruhi permintaan pengguna ke atas perkembangan WiMAX kerana ia mampu digunakan ke atas pelbagai peranti selain komputer peribadi seperti kamera dan pemain muzik digital.

"Jika dulu telefon bimbit dianggap mahal, kini ia menjadi keperluan yang mesti ada pada setiap individu.

"Begitu juga dengan jalur lebar yang menjadi keperluan setiap pengguna sebagai capaian ke dunia Internet," katanya.

Menurutnya, perkara penting ialah mengembang penggunaan jalur lebar di seluruh negara bagi meningkatkan peratus perkembangan terbabit sebelum 2010 dengan sasaran kadar penembusan 50 peratus.

Sementara itu, Pengurus Negara Intel Malaysia, Ryaz Patel, berkata perkembangan jalur lebar tidak akan terhenti walaupun dunia berhadapan krisis ekonomi kerana perkembangan maklumat turut sama meledak dengan wujudnya Internet.

Dalam perkembangan yang sama, P1 mengumumkan harga terbaru pakej WiMAX yang ditawarkan untuk pengguna di rumah serendah RM49 sebulan hingga RM199 dan RM159 hingga RM339 (perniagaan).

Kemudahan tambahan turut disediakan kepada pengguna untuk menguruskan data peribadi menerusi sistem layan diri atas talian yang boleh diakses di http://myaccount.p1.com.my

- HARIAN METRO

Dana modal teroka Islam

Oleh DR. SOHAIMI MOHD. SALLEH
Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Haji dan Zakat (Jawhar)
E-mel: drsohaimi@jawhar.jpm.my

Modal teroka (venture capital) atau modal usaha niaga adalah jenis modal ekuiti persendirian yang disediakan untuk syarikat yang belum matang tetapi mempunyai potensi pertumbuhan tinggi. Modal teroka selalunya datang dari pelabur institusi atau individu kaya yang dikumpulkan bersama oleh firma pelaburan.

Pemodal teroka (venture capitalist ) adalah orang atau firma pelaburan yang membuat pelaburan jenis ini dan mereka selalunya membawa bersama kepakaran mereka ketika membuat pelaburan dalam modal teroka.

Industri modal teroka terus berkembang sebagai sumber pembiayaan alternatif. Terutamanya untuk syarikat di peringkat semaian, permulaan dan peringkat awal yang menghadapi kesukaran memperoleh pinjaman bank atau pembiayaan menerusi pasaran hutang atau ekuiti konvensional.

Setakat ini, beberapa inisiatif sudah diperkenal oleh kerajaan untuk menggalakkan industri modal teroka seperti mewujudkan dana modal teroka, menyediakan galakan cukai dan meliberalisasikan pemilikan ekuiti asing.

Kerajaan kekal sebagai sumber utama bagi dana modal teroka, mencakupi 36 peratus daripada jumlah dana keseluruhannya pada akhir 2007.

Menyedari kepentingan modal teroka dalam pembiayaan peringkat awal, peruntukan dana dinaikkan kepada RM1.6 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), berbanding pada RMK-8 peruntukannya adalah RM690 juta.

Berlandaskan latar belakang di atas, adalah dicadangkan agar satu Dana Khas Modal Teroka Islami (DKMTI) di peringkat kebangsaan dapat diwujudkan.

Misi utama DKMTI ini bertujuan menyediakan pembiayaan modal teroka kepada usahawan muslim yang mempunyai idea dalam mana-mana industri berteknologi tinggi yang berpotensi besar bagi dikembang majukan.

Beberapa industri yang baru muncul hari ini seperti industri multimedia dan animasi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bioteknologi dan nanoteknologi merupakan peluang-peluang ekonomi yang masih luas untuk dimanfaatkan oleh usahawan-usahawan muslim.

Pelepasan diri daripada kepompong selesa-fikiran dan hanya bersikap suka menurut dan bukannya merintis perlu digalakkan dalam kalangan usahawan kita.

Bagaimanapun, mempunyai idea dan perancangan sahaja adalah tidak memadai. Antara halangan utama bagi usahawan atau syarikat baru ialah untuk mendapatkan kepercayaan daripada pihak institusi kewangan konvensional.

Kekurangan aset dan rekod prestasi dalam perniagaan menjadi halangan bagi sesebuah syarikat baru untuk mendapat dana modal.

Halangan sebegini merupakan satu kemelut yang perlu diatasi segera bagi memastikan anak bangsa kita juga tidak ketinggalan malah mampu tumbuh dan bersaing di dalam bidang keusahawanan yang berpotensi tinggi ini.

Dalam kata lain, kita bukan lagi hanya menceburi industri-industri yang telah berkembang serta berada di ambang petang tetapi kita juga mampu untuk mengetuai atau menjadi pemuka-pemuka dalam industri berteknologi tinggi yang amat berpotensi.

Oleh yang demikian, bagi merealisasikan cadangan ini adalah digesa agar langkah-langkah berikut dilaksanakan:

i) Kerajaan mewujud dan mengadakan peruntukan satu dana khas bagi tujuan DKMTI;

ii) Satu mekanisme bersepadu perlu dirangka agar dana ini benar-benar sampai kepada sasaran yang telah ditetapkan, dan

iii) Pada permulaannya, entiti yang dicadangkan untuk mengurus tadbir DMKTI ini ialah Yayasan Wakaf Malaysia sehinggalah tiba masanya yang difikirkan perlu untuk menubuhkan satu entiti khusus bagi DMKTI ini.

Adalah diharapkan lontaran idea ini dapat diangkat menjadi satu desakan ummah bagi memastikan kemampuan keusahawan anak bangsa kita dapat diperkasakan dan agenda ummah yang didokong akan tercapai.

- UTUSAN

Rabu, April 01, 2009

Kisah sedih orang Islam di sebalik April Fool

Ikutilah cerita sedih di sebalik April Fool's Day sebagai renungan bersama. Setiap kali menjelang 1hb April, sesetengah orang kita begitu taksub dengan budaya 'pandang ke barat'.

Berbalik kepada perayaan April Fool's Day ini, adalah ia mula dirayakan sewaktu kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol. Setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada, Sepanyol, kerajaan Islam akhirnya runtuh diserang tentera-tentera Kristian. Penduduk-penduduk Islam di Sepanyol (Moors) terpaksa berlindung di dalam rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri.

Tentera-tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha untuk menghapuskan orang-orang Islam dr Sepanyol. Penduduk-penduduk muslim ini, diberitahu bahwa mereka boleh berlayar keluar dari Sepanyol dengan selamat bersama-sama barang-barang keperluan mereka dengan menggunakan kapal-kapal yang berlabuh dipelabuhan. Orang-orang Muslim yang risau sekiranya tawaran tersebut merupakan suatu penipuan, telah pergi ke perlabuhan untuk melihat kapal-kapal yang dimaksudkan. Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak.

Keesokan harinya (1 April), mereka mengambil semua barangan yang telah disiapkan menuju ke perlabuhan.Pada masa inilah pihak Kristian mengambil kesempatan untuk menggeledah dan kemudian membakar rumah penduduk-penduduk Islam ini. Mereka juga tidak sempat untuk menaiki kapal kerana semuanya dibakar.Pihak Kristian kemudiannya menyerang kaum muslim dan membunuh kesemuanya, lelaki, perempuan, serta anak-anak kecil.

Peristiwa berdarah yang menyedihkan ini kemudiannya diraikan oleh tentera Kristian.Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan sahaja di Sepanyol tetapi juga di serata dunia. Yang menyedihkan, orang-orang Islam yang jahil mengenai peristiwa ini turut meraikan April Fool's Day tanpa menyedari mereka sebenarnya merayakan ulang tahun pembunuhan beramai-ramai saudara seIslam mereka sendiri. Semoga Allah sentiasa membuka pintu taubat untuk kita.

Saf Kabinet Najib diperkecil?


Oleh ZAINI HASSAN

Kelazimannya seseorang Perdana Menteri yang baru akan membentuk barisan jemaah menterinya yang baru. Kabinet Malaysia setakat ini mempunyai seramai 32 orang menteri yang berada di 28 kementerian dan jabatan.

Ekoran pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri ke-6 negara, beliau boleh membentuk Kabinetnya mengikut acuan yang dikehendakinya.

Persoalannya, apakan rupa bentuk barisan saf Kabinet Najib?

Lazimnya, rombakan Kabinet seseorang Perdana Menteri yang baru akan dibuat berdasarkan beberapa faktor. Antaranya; saiz Kabinet iaitu jumlah kementerian yang mahu dibentuk; siapa yang akan menganggotainya - termasuk soal komposisi anggota perikatan BN serta kedudukan calon-calon UMNO, dan; sama ada akan berlaku proses lantikan pihak luar berstatus Senator atau tidak.

Namun aspek lain yang cukup penting untuk diambil kira ialah soal strategik dan sosio-politik negara. Misalnya, di masa negara sedang bergelut dengan terhakisnya sokongan golongan muda kepada kerajaan dan parti memerintah - apakah fungsi Kementerian Belia dan Sukan perlu diberi nafas baru? Nampaknya sekarang kementerian itu lebih banyak menumpukan kepada soal sukan daripada belia? Bagaimana caranya fungsi belia perlu dikuatkan. Apakah melalui satu entiti tersendiri?

Apa yang pasti, Najib mahukan satu Kabinet yang praktikal bagi memantapkan sistem pentadbirannya.

Semua pihak sedang memerhati dengan penuh teliti langkah penting yang akan diambil oleh Najib dalam membentuk barisan Kabinetnya. Sudah tentu dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, pentadbiran dan pengurusan Malaysia harus dilaksanakan secara mantap, berkesan serta sistematik.

Peringkat pembentukan saf Kabinet ini merupakan ujian sebenar untuk Najib. Najib perlukan saf yang terbaik; dan diterima rakyat.

Besar, tidak semestinya mantap; dan kecil tidak semestinya tidak berkesan. Mungkin satu formula yang praktikal akan dicari bagi membolehkan barisan itu dibentuk dengan baik.

Apa yang pastinya, Kabinet sekarang yang terdiri daripada 32 orang menteri di bawah 28 kementerian dan jabatan terlalu besar. Ia harus dikecilkan - mungkin kepada separuh daripada saiz itu.

Sebagai perbandingan - negara maju Jepun hanya mempunyai 17 menteri Kabinet; Autralia (20), Singapura (20) dan Britain (24).

Banyak daripada kementerian-kementerian yang ada sekarang boleh dipecahkan dan disatukan antara satu sama lain, sementara yang lain dibubarkan.

Mana-mana kementerian yang dicantumkan perlu ditambah timbalan menteri bagi membantu menteri melaksanakan fungsinya. Mungkin jawatan Setiausaha Parlimen juga boleh diwujudkan semula (setelah dimansuhkan selepas PRU-12) bagi membantu fungsi menteri dan timbalan-timbalannya.

Melalui penambahan jawatan timbalan-timbalan menteri dan setiausaha Parlimen, fungsi menteri akan menjadi lebih fokus dan tersusun. Buat masa ini, tanggungjawab menteri terlalu besar dan sibuk. Pemberian kuasa (empowerment) kepada timbalan-timbalan amat penting bagi memberi kesan kepada sistem pentadbiran.

Yang penting, semua pihak ingin melihat tidak lagi berlaku pertindihan kuasa di antara satu kementerian dengan kementerian lain, sehingga menyebabkan sistem penyampaian tidak dapat berjalan dengan berkesan.

- UTUSAN

Kembara seni penyanyi No. 1 - Siti Nurhaliza


Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

1 April 2009 menandakan genap 14 tahun anak seni yang tiada tandingan ini melayari kehidupan di pentas yang penuh pancaroba.

Tarikh keramat itu juga merupakan permulaan segalanya bagi wanita ini apabila album sulungnya, Siti Nurhaliza yang memuatkan lagu popular Jerat Percintaan dan Jawapan Di Persimpangan dipasarkan.

Sepanjang tempoh itu jugalah, peminat dan pemerhati muzik tempatan serta nusantara menyaksikan transisi figura unggul ini membina dirinya menuju kematangan, baik dalam kerjaya seninya mahupun kehidupan peribadinya.

Tempoh 14 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat untuk wanita bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk membina empayar seninya sehingga mampu digelar penyanyi nombor satu negara.

Katalah dan lemparkanlah apa sahaja kata-kata nista walaupun kedengaran kurang enak kepadanya, langsung tidak akan membuatkan dirinya berganjak dari apa sahaja yang beliau ingin lakukan demi kebahagiaan dan kebaikan dirinya.

Lakaran kehidupan biduanita muda negara ini sememangnya penuh warna-warni. Suka, duka, pahit dan manis.

Lengkap segala rencah dan menyingkap sejarah kariernya, perjalanannya untuk menduduki takhta teratas seperti hari ini tidak berlaku semalaman.

Sebaliknya, panas terik dan hujan badai yang perlu dilaluinya tanpa mengira penat lelah di awal kemunculannya untuk mencipta nama sebagai seorang penyanyi selepas kejayaannya merangkul gelaran juara Bintang HMI 1995.

Bukan itu sahaja, di kala usia yang ketika itu mencecah 16 tahun, Siti mengorbankan usia remajanya dalam menggapai impian dan cita-cita untuk bergelar seorang penyanyi sedangkan rakan-rakan sebayanya bertarung dengan buku serta bersengkang mata siang dan malam untuk memperoleh kejayaan cemerlang di dalam pelajaran.

Itulah dinamakan takdir dan sememangnya sudah tertulis di loh mahfuz bahawa masa depannya sememang cukup cerah dalam bidang seni suara.

Siti cukup bertuah kerana dia hadir dengan pakej yang lengkap yakni suara gemersik bagaikan buluh perindu di samping memiliki wajah jelita dan manis.

Selain kehebatan vokalnya, keperibadiannya yang masih lagi mempertahankan budaya dan adat ketimuran juga menjadi faktor mengapa Siti diminati dan disanjung oleh pemujanya.

Cukup luar biasa

Tidak terhenti setakat itu, siapa yang boleh lupa kejayaan sulungnya dalam bidang nyanyian apabila lagu dendangannya, Jerat Percintaan dinobatkan sebagai Juara Lagu 1996 dengan mengalahkan penyanyi wanita popular ketika itu, Ziana Zain.

Bermula detik itu, Siti tidak lagi menoleh ke belakang dan dia menjadi semakin yakin dengan dirinya yang mampu untuk mencipta nama sebagai seorang penyanyi popular.

Malah, namanya juga semakin meniti di bibir masyarakat serta peminat yang mula menyanjung bakat besar yang dikurniakan Allah s.w.t. kepadanya itu dan dia berjaya mencipta populariti yang cukup luar biasa.

Sudah menjadi adat manusia yang perasaan cemburu dan iri hati akan tetap terbit dalam hati dan setiap kali Siti mencipta kejayaan serta kecemerlangan, ia pasti akan mengundang perasaan ketidakpuasan dan polemik di kalangan peminat dan karyawan seni tanah air sendiri.

Siapalah kita untuk mempersoalkan setiap rezeki yang telah ditentukan oleh Allah.

Siti sendiri mungkin tidak pernah bermimpi mahupun memasang impian untuk menggenggam kejayaan luar biasa seperti yang dikecapinya hari ini.

Ruangan ini juga terlalu terhad untuk menyenaraikan kejayaan dan kegemilangan yang diraih Siti sepanjang 14 tahun bergelar penyanyi dan penghibur tersohor negara dan juga nusantara.

Sehingga kini, dianggarkan lebih daripada 150 anugerah dari dalam dan luar negara yang menjadi milik mutlak penyanyi berdagu lekuk ini sehingga tidak terhitung jumlahnya.

Namakan saja. Anugerah Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Era, Anugerah Planet Muzik dan pelbagai anugerah lagi, semuanya sudah menjadi prasasti seni seorang yang bernama Siti Nurhaliza.

Bukan sekadar kisah kejayaannya yang menjadi perhatian tetap kehidupan peribadinya juga cuba ditelanjangkan.

Tetapi ketegaran Siti mempertahankan privasinya amat disanjung tinggi sehinggalah dia mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya dengan seorang ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006 dalam perkahwinan yang dilabelkan sebagai wedding of the year.

Pun begitu, bahtera perkahwinan mereka berdua yang akan menginjak usia tiga tahun pada Ogos nanti tidak pernah henti diuji. Walaupun pelbagai kata-kata kurang enak menyelubungi ikatan suci mereka, namun, cinta mereka tetap kukuh dan bahagia sehingga ke saat ini meskipun jurang usia mereka sangat besar.

Konsert amal

Berbalik kepada karya seninya, sepanjang 14 tahun ini, evolusi muzik nyanyian Siti dilihat begitu ketara. Mengenali Siti, beliau tidak pernah lelah untuk mencuba sesuatu yang baru dalam memberikan yang terbaik untuk mengukuhkan lagi legasi seninya.

Lagu-lagu hits dan popularnya antaranya seperti Aku Cinta Padamu, Cindai, Purnama Merindu, Hati Kama (duet bersama Noraniza Idris), Kau Kekasihku, Balqis, Percayalah, Nirmala, Dialah Di Hati, Bukan Cinta Biasa, Biarlah Rahsia, Ku Mahu, Melawan Kesepian serta yang terbaru, Di Taman Teman sememangnya cukup diminati

Apa yang pasti, rangkaian lagu-lagunya itulah yang berjaya meletakkan dirinya di puncak tertinggi. Yang amat diimpikan oleh penyanyi bersuara emas ini adalah untuk mendokumentasikan lagu-lagu dendangannya itu dalam satu konsert khas yang akan diadakan sekitar bulan Jun depan.

Semuanya itu adalah untuk meraikan ulang tahunnya ke-14 bersama peminat-peminatnya yang tidak pernah henti menyokongnya serta menjadi tulang belakang kejayaannya selama ini.

Bukan tidak pernah dia membuat persembahan sedemikian rupa kerana pentas agung Royal Albert Hall, London pernah menjadi saksi lagu-lagunya berkumandang di segenap maya dewan penuh keramat itu pada tahun 2005.

Tetapi kata Siti, kali ini konsert yang akan diadakan di pentas bertaraf dunia, Istana Budaya itu akan memberikan satu persembahan dan pendekatan yang cukup berbeza.

Malah dia tidak segan untuk mengakui konsep persembahan yang ada di dalam kotak fikirannya kini adalah berinspirasikan daripada konsert Celine Dion Live In Vegas.

Meskipun begitu, ia bukanlah sembarangan konsert kerana ia adalah konsert amal di mana sebahagian daripada hasil penjualan tiket akan disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa.

"Tapi saya sedar apa sahaja yang saya lakukan semuanya kena ukur di baju sendiri. Saya mahu manfaatkan segala kemudahan yang ada di Istana Budaya demi mempamerkan satu kelainan demi peminat saya.

"Saya tidak mahu bercerita lanjut tentang konsert ini kerana masih terlalu awal dan semuanya masih lagi di peringkat perbincangan. Kertas kerja juga sudah diserahkan kepada pihak Istana Budaya.

"Apa yang saya harapkan kini adalah untuk mendapatkan penajaan daripada pihak-pihak korporat dan swasta bagi merealisasikan konsert amal ini," jelasnya yang kelihatan semakin langsing itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Secretaries' Week Luncheon Special Exclusively With Kris Dayanti and Siti Nurhaliza di Hotel Quality City Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pegawa Operasi Cash Band, Johan Thomas Low dan Penolong Pengurus Eksekutif Hotel Quality City Centre, Hidzir Abdul Hamid.

Kris akan membuat persembahan pada 21 April, manakala Siti pula pada 22 April dan persembahan mereka akan berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade (MECC).

Bercerita lanjut tentang persembahan eksklusif sempena minggu setiausaha tahun ini, Siti melahirkan rasa terujanya kembali berkolaborasi dengan hotel berkenaan untuk kali keenam.

Apatah lagi, sudah dua tahun dia tidak mengadakan persembahan pada minggu setiausaha. Lebih manis lagi, tahun ini juga merupakan persembahan Siti yang pertama selepas bergelar seorang isteri.

Khabarnya juga pihak Hotel Quality telah melamar dan berusaha mendapatkan Siti sejak bulan September tahun lalu untuk persembahan eksklusif ini.

"Tawaran pihak Hotel Quality memang sukar untuk saya tolak kerana kami mudah untuk bekerjasama dan sikap toleransi itu ada. Apa yang pasti, setelah dua tahun berehat, saya akan memberikan persembahan yang berbeza kali ini.

"Saya mahu mereka berasa puas dan gembira agar ia setimpal dengan harga yang mereka laburkan untuk persembahan saya yang akan berlangsung selama 45 minit hingga satu setengah jam itu," kata anak kelima daripada lapan adik-beradik itu lagi.

Mengenai kerjaya seninya yang semakin rancak selepas perkabungan sempena pemergian ayahanda tercinta, Allahyarham Tarudin Ismail pada 15 Februari lalu, ternyata Siti tidak menang tangan memenuhi undangan nyanyian dan rakaman program televisyen.

Berterima kasih

Siti juga akan menjadi salah seorang artis yang akan membuat persembahan pada malam Anugerah Bintang Popular pada 12 April depan dan berkemungkinan besar juga pada anugerah berprestij, Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) nanti.

Malah, penyandang Vokal Wanita Terbaik AIM sebanyak sembilan kali ini juga kembali menyambung promosi bagi album Lentera Timur yang mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

"Alhamdulillah, Lentera Timur dapat diterima dengan baik oleh peminat dan pendengar radio. Selepas ini, lagu Cinta Ini ciptaan Katon Bagaskara akan menyusul sebagai single kedua. Malah, video klip lagu berkenaan juga sudah ditayangkan di televisyen.

"Dalam masa yang sama, lagu Ada Masa Mata karya M. Nasir juga mendapat tempat di corong radio. Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan untuk album ini," ujarnya yang tidak akan mencalonkan lagu-lagu terbarunya dalam Muzik-Muzik 24 tahun ini.

Pada kedua-dua hari itu nanti, pelakon dan pelawak terkenal, Dee akan bertindak sebagai hos, manakala Dasha Logan yang merupakan anak kepada mendiang Loga daripada kumpulan Alleycats akan beraksi untuk persembahan pembukaan.

Bagi setiausaha dan peminat dua diva terulung Nusantara ini, tiket-tiket berharga RM580++ (VVIP), RM480++ (VIP), RM380++ (1st Tier) dan RM280++ (2nd Tier) sudah mula dijual. Sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi talian 03-2693 9233 sambungan 8023/8017

- UTUSAN

Virus serang Internet sempena April Fool

Para pemilik komputer disaran supaya berwaspada berikutan virus Conficker dipercayai akan menyerang Internet hari ini bersempena 'hari penipuan' atau April Fool, lapor sebuah akhbar semalam.

Virus yang sudah menjangkiti lebih 10 buah komputer di seluruh dunia itu dibimbangi boleh melumpuhkan sistem jaringan Internet.

Pakar-pakar memberi amaran virus itu boleh digunakan untuk mencari dan mencuri nombor dan kata laluan kad kredit atau melumpuhkan laman web seperti Google.

"Komputer-komputer yang dijangkiti Conficker akan menjadi rangkaian komputer zombie dan boleh digunakan untuk menghantar e-mel atau menyerang laman web lain," kata seorang pegawai di firma keselamatan Internet Sophos, Graham Cluley.

Pengeluar perisian komputer terbesar di dunia, Microsoft sudah menawarkan perisian percuma untuk memusnahkan virus itu.

- AGENSI

Sementara itu, Pusat keselamatan siber khas negara, CyberSecurity Malaysia memberi amaran serangan cecacing terbaru yang dijangka melanda pengguna komputer Malaysia hari ini dengan kodnya, Conficker.C.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt Kol Husin Jazri, serangan cecacing dari kategori 'malware' itu diprogramkan untuk berhubung dengan alamat 'domain' pengguna yang mampu berjangkit sekiranya komputer tidak diperbaharui dengan anti-virus terkini.

"Situasi masih dalam kawalan dan kami sudah menjalin kerjasama dengan pendaftar domain .my serta rakan kongsi antarabangsa lain bagi menyekat virus Conficker.C ini," kata Husin.

Sementara itu, jurucakap vendor perisian keselamatan, Trend Micro Inc, memaklumkan jangkitan Conficker.C atau dikenali Worm_downad ini mampu merebak ke lebih 15 juta komputer seluruh dunia dengan paten bermula 5.885.00.

Oleh itu, Trend Micro menasihatkan pengguna agar mengikut beberapa langkah keselamatan termasuk menetapkan laman web ke 'Web Reputation Service', memastikan definisi virus diperbaharui dan melaksanakan imbasan sistem secara penuh bagi mengelak jangkitan.

Sekiranya pengguna ingin memaklumkan sebarang virus, anda boleh melayari laman web Cybersecurity Malaysia atau menghantar e-mel ke cyber999@cybersecurity.my