Isnin, Disember 29, 2008

Cari makna baru Hijrah

Sebagai junjungan besar yang sentiasa diagungkan oleh umat Islam, segala detik peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sentiasa dianggap penting dan bermakna oleh masyarakat Islam. Nabi Muhammad, bagi mereka, bukan manusia biasa yang boleh diletakkan beriringan dengan sosok-sosok lain dalam sejarah kemanusiaan.

Baginda merupakan, Rasul Junjungan dan Insan Kamil yang diutus Tuhan bagi menzahirkan kesempurnaan sifat akhlak seseorang insan. Baginda merupakan manusia yang paling tinggi martabat kerohaniannya dan yang paling di sayangi Tuhan.

Walaupun baginda seperti manusia lain, hadir dalam latar lingkungan sejarah dan geografi tertentu, peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan baginda tetap mengungkapkan pengajaran sejagat yang sentiasa abadi dan segar kepada diri setiap Muslim.

Begitu juga dengan peristiwa hijrah yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW. Secara historis, ia merupakan detik perpindahan dakwah Nabi dari peringkat pertama di Mekah yang penuh dengan mihnah pesona serta cabaran yang amat mencengkam ke tahap mengancam nyawa baginda sendiri, ke peringkat yang kedua di Madinah yang lebih meluas ruang dakwahnya serta menjanjikan cahaya kemenangan.

Daripada segi pensyariatan agama, ia merupakan dasawarsa baru dalam pelaksanaan undang-undang agama yang lebih berasaskan muamalah dan kemasyarakatan berbanding peringkat Mekah yang lebih tertumpu kepada pengukuhan akidah dan pandangan alam Islam.

Namun di sebalik dimensi historis yang selalu diulang sama ada dalam pengajian sirah atau siri-siri ceramah Maal Hijrah, peristiwa ini sesungguhnya menyampaikan kita kepada beberapa pengajaran yang lebih mendalam dan amat terkait untuk kehidupan kita sekarang.

Antara hikmah penting di sebalik peristiwa hijrah yang harus diteladani terutama oleh umat Islam zaman ini yang berhadapan dengan pelbagai fitnah dan cabaran ialah gambaran sikap realistik dan kebijaksanaan Nabi apabila berhadapan dengan cabaran dan ancaman semasa.

Di samping hakikat bahawa Nabi Muhammad merupakan insan terpilih dan yang terbaik di kalangan seluruh makhluk Allah, insan yang mustajab doa-doanya dan dikurnia mukjizat dari Tuhan, kehidupan Nabi juga seperti kehidupan manusia yang lain, menuruti sunnatullah yang tidak lari daripada cabaran dan pedih getir kehidupan.

Dengan perkataan lain, kehidupan Nabi juga terikat dengan batasan manusiawi yang terpaksa melalui pelbagai ranjau perjuangan hidup. Inilah yang terjelma antara lain daripada peristiwa hijrah Nabi apabila sunnatullah mengajar bahawa golongan yang lemah walaupun benar amat sukar mengalahkan golongan yang lebih kuat terutama yang mempunyai persediaan.

Sebagai golongan yang baru muncul dan mempunyai jumlah yang kecil dan persiapan yang kurang, tekanan dan ancaman yang ditujukan oleh golongan Musyrikin di Mekah ternyata terlalu kuat untuk dihadapi oleh Nabi dan golongan Muslimin yang ada pada ketika itu.

Justeru perpindahan dari Kota Mekah bagi menyelamatkan golongan Muslimin tidak dapat dielakkan. Nabi perlu mencari ruang dan kekuatan baru ke Madinah untuk memperkukuhkan kedudukan agama Islam.

Apakah noktah pengajaran yang dapat diambil oleh masyarakat Islam sekarang daripada hakikat hijrah Nabi ini? Sekiranya Nabi, insan terpilih yang dikurniakan Allah pelbagai bentuk mukjizat itu sendiri menyedari hakikat bahawa baginda harus bertindak berdasarkan waqi' semasa, berdasarkan kekuatan dan kelemahan manusiawi yang ada, umat Islam dewasa ini sudah pasti harus lebih menyedari mengenai waqi' kehidupan yang melingkungi mereka.

Secara umumnya, masyarakat Islam sememangnya berada dalam keadaan yang lemah baik dari segi kekuatan fizikal, ketenteraan ataupun kekayaan ekonomi. Malah dari segi kesatuan, mereka agak tertinggal berbanding masyarakat lain terutama negara-negara Barat.

Akan tetapi terdapat sekelompok dari masyarakat Islam yang nampaknya yang gagal menyedari hakikat ini lantas bertindak seolah-seolah mereka berada dalam keadaan yang kuat. Mereka mengambil tindakan di luar batasan waqi' semasa yang ada pada masyarakat Islam. Ini merujuk kepada tindakan sekelompok yang melakukan tindakan mengebom dan menculik serta membunuh yang melibat manusia tidak berdosa yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Kita tidak menafikan bahawa sebahagian peristiwa tersebut adalah tindak balas daripada segelintir orang Islam terhadap tindakan politik yang dilakukan oleh kuasa besar ke atas beberapa negara Islam atau merupakan perencanaan oleh pihak-pihak tertentu.

Namun cara bertindak yang dilakukan ternyata tidak menguntungkan masyarakat Islam secara keseluruhannya terutama apabila dilihat dari sudut kekuatan umat Islam dan kesediaan mereka menghadapi tindakan balas sekiranya berlaku.

Mengundang

Kita melihat sebahagian besar daripada tindakan sebegini sekadar mengundang tindakan balas yang lebih keras dan buruk kepada masyarakat Islam sebagaimana yang telah kita lihat berlaku di Afghanistan, Iraq dan negara Islam lain. Yang penting ia juga menggambarkan kerangka pemikiran yang ekstrem hasil daripada kekeliruan tentang ajaran Islam.

Di sinilah pentingnya pengajaran peristiwa hijrah yang merakamkan bahawa Nabi sendiri bertindak berdasarkan kekuatan dan kemampuan yang ada apabila baginda mengambil keputusan untuk melakukan hijrah. Dengan perkataan lain, peristiwa hijrah memberi iktibar bahawa kita harus mengumpul kekuatan dan tidak bertindak menzahirkan kekuatan sebelum masanya, apatah lagi bertindak di luar kebijaksanaan. Sesungguhnya inilah antara makna hijrah yang baru yang harus kita manfaatkan untuk suasana kita dewasa ini.

Dengan menyedari bahawa umat Islam berada dalam keadaan yang lemah, bukan bermakna kita pasrah dengan keadaan yang ada. Di samping ingatan bahawa umat Islam harus terus memperbaiki kelemahan mereka dan mempersiapkan kekuatan fizikal sebagaimana yang disaran al-Quran, seperkara yang juga penting ialah kekuatan Islam sebenarnya masih boleh dijelmakan dalam pelbagai dimensi lain. Misalnya umat Islam masih kuat dan kukuh dari segi kepercayaan agama dan akhlakiyah terutama dalam menolak faham-faham yang bertentangan dengan agama.

Berbanding dengan Islam, sebahagian agama lain misalnya, telah pun berkompromi dan mengorbankan doktrin agama mereka dengan membuka pintu kepada kemasukan aliran-aliran asing seperti sekularisme dan sinkretisme. Disebabkan kelemahan sistem kepercayaan mereka, agama-agama tersebut telah merubah dasar-dasar agama dan kepercayaan mereka bersesuaian dengan ideologi-ideologi tersebut.

Namun agama Islam, berkat kekuatan pendidikan agama dan pertahanan ilmiah yang dilakukan oleh golongan ilmuwan Islam sepanjang zaman, ia masih kukuh bertahan daripada ancaman aliran-aliran pemikiran asing.

Kekuatan yang pada agama Islam ini harus dipertahankan dan diperkukuhkan melalui pendidikan yang betul tanpa semestinya melibatkan penzahiran dari segi kekuatan fizikal dan ketenteraan. Malah, dari segi strategi, sememangnya umat Islam dalam keadaan mereka lemah fizikal, seharusnya menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan aspek keilmuan dan pendidikan ini.

Ia juga merupakan satu jihad yang besar dan harus dilakukan dengan menggunakan usaha yang kuat dan serius. Malah, ia juga satu bentuk peperangan yang melibatkan persediaan kekuatan dari segi intelektual dan keilmuan.

Sekiranya kita prihatin terhadap pembunuhan dan serangan yang berlaku ke atas negara-negara Islam oleh kuasa Barat, kita juga harus lebih prihatin terhadap serangan pemikiran asing yang telah 'mengorbankan' dan mengelirukan jutaan masyarakat Islam.

Peperangan inilah yang nampaknya banyak dilupakan oleh sebahagian masyarakat Islam apabila kerangka berfikir mereka amat tertumpu kepada penyelesaian dari aspek siasah dan ketenteraan. Malah jika ditinjau dari segi sejarah, aspek inilah yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Zat kepada kekuatan Islam, dengan kata lain ialah kekuatan kepercayaan dan keilmuan.

Mungkin ini merupakan salah satu makna dan rahsia hijrah yang harus diingatkan kepada masyarakat Islam. Hijrah bukan sekadar berpindah dari satu suasana kepada suasana yang baru, tetapi juga mengembalikan diri kita kepada suasana yang kita telah pun berada sebelumnya. Jika sebelum ini kekuatan tamadun Islam terletak kepada kekuatan iman dan ilmu, marilah kita berusaha berhijrah dengan mengembalikan kekuatan tersebut kepada umat Islam.

Almarhum Tuanku Ja'afar disenangi rakyat

Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman begitu dekat di hati rakyat dan sudah tentu kemangkatan baginda begitu dirasai oleh segenap lapisan rakyat tanpa mengira kaum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Almarhum begitu disayangi oleh rakyat, malahan ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong dahulu pun rakyat begitu senang dengan kepimpinan baginda.

''Secara peribadi, Almarhum begitu senang didekati rakyat. Penglibatan Almarhum dalam pelbagai kegiatan yang dirancang Kerajaan Persekutuan semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong telah pun mendekatkan baginda dengan rakyat," ujar beliau kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum di Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.

Abdullah yang ditemani isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan menantunya, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin diiringi oleh anakanda Almarhum, Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan serta isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin.

Perdana Menteri kemudiannya menghadap Tuanku Ampuan Najihah untuk menyampaikan rasa sedih kerajaan Malaysia dan rakyat keseluruhan atas kemangkatan baginda.

Menurut Abdullah, beliau tidak dapat melupakan pengalaman bermain golf bersama baginda yang sanggup mengetepikan status demi kecintaan terhadap sukan tersebut.

''Almarhum tidak fikir sangat dengan status sebagai Yang di-Pertuan Agong. Baginda begitu mesra. Tentulah saya merasa lega, maklumlah bukan mudah untuk bermain golf bersama-sama baginda," kata beliau.

Almarhum Tuanku Ja'afar, 86, yang memerintah negeri ini selama 41 tahun mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar semalam selepas mengadu sakit kepala sebelum tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Perdana Menteri dalam hal ini meminta semua pejabat kerajaan dan bangunan serta premis di seluruh negara agar mengibarkan bendera separuh tiang sempena menghormati Istiadat Pemakaman Diraja di Makam Diraja Seri Menanti di sini, esok.

Diminta mengulas kehadiran rakyat dan pemimpin pelbagai kaum, Abdullah berkata, ia membuktikan baginda begitu disenangi dan disayangi rakyat.

''Memanglah semua rakyat Malaysia datang. Tentulah mereka sayang dengan Almarhum. Ini terbukti selepas baginda melaksanakan tugas dengan cemerlang dan disenangi ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong dahulu," kata beliau.

Almarhum Tuanku Ja'afar menjadi Yang di-Pertuan Agong mulai 26 April 1994 hingga 25 April 1999.

Israel terus mengganas di Gaza


Israel melancarkan serangan terbaru ke atas Genting Gaza awal hari ini yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam lagi rakyat Palestin. Beratus-ratus lagi cedera selain memusnahkan harta benda.

Pesawat pejuang Israel melancarkan serangan udara menjelang sambutan tahun baru Hijrah itu ke atas beberapa kedudukan Hamas di Genting Gaza, termasuk sasaran ke atas sebuah trak yang membawa bahan bakar yang sedang bergerak di luar Rafah dekat sempadan Mesir.

Stesen radio Hamas melaporkan enam orang terbunuh dan ramai lagi cedera dalam serangan terbaru Israel di wilayah Hamas di utara Genting Gaza itu.

Serangan itu, merupakan kali kedua dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas rejim zionis melancarkan serangan udara ke atas perkarangan ibu pejabat polis Hamas di Genting Gaza, semalam yang menyebabkan hampir 290 rakyat Palestin maut, manakala 700 lagi cedera.

Kepulan asap tebal kelihatan di bandar ini. Bunyi siren kedengaran sejurus selepas serangan itu memberi amaran kepada penduduk Palestin tentang serangan Israel.

Israel turut melancarkan serangan di kem pelarian Khan Younis dan Rafah di Selatan wilayah ini semalam menyebabkan 23 orang terbunuh dan 30 orang lagi cedera.

Ekoran keganasan terbaru itu Malaysia bersama negara-negara lain telah mengutuk kekejaman rejim Zionis itu sambil menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan sewajarnya berhubung keadaan tegang di Gaza.

Dalam serangan awal hari ini, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Shifa di bandar ini.

Bumi Gaza dihujani lebih 100 tan bom dan peluru berpandu yang dilancarkan oleh pesawat pejuang Israel dalam serangan tersebut.

Jurucakap tentera Israel di Tel Aviv mengesahkan serangan tersebut.

Perdana Menteri Israel Ehud Olmert berkata, serangan kedua tentera Israel itu bertujuan mengekang tindakan Hamas melancarkan roket ke wilayah Israel.

“Serangan ini bagi mengembalikan ketenangan di selatan Israel, yang sering diancam serangan roket-roket pejuang Hamas.

– Agensi

Pengertian hijrah artis

Awal Muharam yang juga dikenali sebagai Maal Hijrah bukanlah sesuatu yang asing di kalangan umat Islam sejagat termasuklah golongan artis.

Mengambil sempena sejarah agung peristiwa perpindahan rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW serta para pengikutnya dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi, peristiwa tersebut masih lagi diraikan sehingga ke hari ini.

Dalam kita bergembira menyambut kedatangan tahun baru Hijrah, pastinya ada sahaja azam yang berlegar benak fikiran dalam memastikan sahsiah diri di masa akan datang lebih baik dari tahun yang sebelumnya.

Ikuti pelbagai pendapat tentang pengertian Awal Muharam yang diterapkan dalam kehidupan beberapa artis terkenal tanah air.

Wan Nor Azlin (Pelakon)

“Bagi saya sendiri, sudah tentu mengharapkan sinar yang terbaik pada tahun baru ini nanti. Apa pun yang berlaku tahun lalu saya tidak boleh lemah, saya anggap ia sebagai ujian dari Tuhan dan saya perlu teruskan juga demi anak-anak.

“Penghijrahan dalam diri saya bukan sekadar menutup aurat dan memakai tudung sahaja. Bagi saya, hijrah perlu perubahan daripada segala aspek termasuklah hati, pemikiran dan kehidupan.

“Bagi saya, tiada gunanya bertudung jika hati kotor dan tidak bersih. Begitulah juga dengan pemikiran dan kehidupan.

“Azam saya pada tahun baru Hijrah ini, saya nak ubah segala-galanya. Bukan sahaja zahir tetapi juga batin.

“Kita bukan sentiasa muda, suatu hari nanti kita akan pergi juga menemui Tuhan. Semakin bertambah usia maka diharap semakin matanglah kehidupan kita.

“Harap-harap tahun hadapan ada lebih banyak lagi peluang untuk saya bergiat aktif dalam lakonan. Apa yang berlaku pada masa lalu saya tidak mahu kenang lagi dan saya betul-betul minta maaf pada semua.

“Terima kasih kepada semua yang sudi menyokong saya baik media massa, keluarga terutama ayah dan adik-beradik, peminat serta rakan-rakan artis yang telah banyak membantu saya”.

Ina Naim (Penyanyi)

“Hijrah mengambil sempena peristiwa perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah dalam usaha menyebarkan ajaran Islam yang begitu mendapat tentangan ketika itu.

“Hijrah juga bermaksud perubahan dalam diri seseorang daripada kurang baik kepada yang lebih baik.

“Begitu juga dengan diri saya sendiri, saya mahu berhijrah daripada segi kerohanian dan peribadi dalam menjaga kerukunan rumah tangga bersama suami dan anak saya dengan baik.

“Insya-Allah, saya mahu tingkatkan juga amalan saya seperti beribadah dan kesempurnaan dalam solat.

“Daripada segi penghayatan, memanglah sekarang kita tengok Awal Muharam kurang mendapat perhatian di kalangan umat Islam terutamanya golongan muda.

“Bagi saya, penghayatan Maal Hijrah itu sendiri perlulah sampai ke jiwa. Malah, mengingati kisah perjuangan Nabi Muhammad SAW serta melakukan pelbagai amalan adalah lebih baik jika ia dihayati dengan penuh keinsafan.”

Isman (Anggota Hijjaz)

“Awal Muharam yang juga dikenali sebagai Maal Hijrah disambut oleh seluruh umat Islam pada setiap 1 Muharam dalam kalender Islam.

“Ia diraikan bagi memperingati peristiwa hijrah oleh Rasullullah SAW dari Mekah ke Madinah di mana ketika itu pelbagai dugaan terpaksa ditempuhi oleh baginda dalam menyebarkan ajaran Islam.

“Penghijrahan bukan sahaja dari segi tempat, malah boleh juga daripada segi perangai atau sikap dan juga kehidupan.

“Dalam konteks kehidupan, ia menterjemahkan perubahan yang perlu dilakukan daripada yang tidak baik kearah yang baik. Dan jika kehidupan sudah baik, maka perubahan perlulah kepada yang lebih baik.

“Sekarang ini kalau kita tengok di negara kita sambutan tahun baru lebih banyak tertumpu kepada tahun baru Masihi. Sedangkan sebagai sebuah negara Islam, penumpuan kepada tahun baru Hijrah perlu diberi keutamaan.

“Harap-harap pada tahun akan datang sambutan untuk tahun baru Hijrah akan diberi keutamaan berbanding sambutan tahun baru Masihi”.

Sempena Maal Hijrah, warga kerja Hijjaz meraikan tahun baru pada 31 Disember ini bermula pukul 8 malam bertempat di Teratak Hijjaz Country Resort, Bukit Dugang Desa Putra, Sg. Merab, Bangi.

Erma Fatima (Pengarah dan pelakon)

“Kalau diikutkan Awal Muharam adalah sambutan tahun baru bagi masyarakat Islam yang disambut setiap 1 Muharam dalam kalender Islam pada setiap tahun. Seperti sambutan tahun baru, kebanyakan umat Islam membuat pelbagai azam dan perancangan.

“Umum tentu sudah tahu bahawa Awal Muharam disambut sempena mengingati peristiwa perpindahan Nabi Muhammad SAW. dari Mekah ke Madinah.

“Untuk itu, kita juga perlu lakukan perkara yang sama. Maksud saya bukanlah perpindahan tetapi dalam konteks memperbaiki diri.

“Seperti saya sendiri, sedari kecil lagi ibu saya sudah ingatkan supaya sentiasa memperbaiki diri. Jadi saya sudah terbiasa dan selalu mencuba tingkatkan amalan saya dalam kehidupan mahupun kerohanian.”

Barisan making inroads into PAS strongholds - MB

Barisan Nasional has its own formula to penetrate PAS strongholds and double its margin of victory in the coming Kuala Terengganu by-election, says Mentri Besar Datuk Ahmad Said.

He said the coalition had successfully infiltrated PAS strongholds in the constituency and it had borne results.

Ahmad, however, declined to divulge the formula. He said constituencies such as Wakaf Mempelam, Ladang and Batu Buruk, which were under PAS, have been penetrated and were being given additional attention,

“We are also not ignoring the only Barisan-held state seat, Bandar, which is under the MCA,” he said after attending Hari Raya Haji celebrations in Losong, near here, on Saturday.

“We are confident that we will increase the majority, based on the support so far,” he said.

In the March 8 general election, Datuk Razali Ismail defeated PAS’ Muhammad Sabu by a razor thin 628-vote majority.

Razali died on Nov 28 when he collapsed while playing badminton.

- The Star

5 Strategi Kejayaan Dan Kekayaan

1.Sikap


Jika hanya ada satu sahaja faktor penentu kejayaan dalam apa juga yang anda lakukan, ialah sikap. Einstein mengatakan bahawa sikap 99% adalah penentu kejayaan atau kegagalan seseorang. Anda mestilah mempunyai sikap yang positif dalam apa juga yang anda mahu lakukan, jika anda mahukan kejayaan. Samada anda berjaga, hendak melelapkan mata, bekerja – apa juga yang anda buat, anda mestilah tanamkan sikap positif. Apabila sesuatu perkara tidak menjadi seperti yang anda harapkan, anda sepatutnya terus bersikap positif. Jika anda bangun lewat, jangan merasa bosan, sebaliknya anda harus berfikiran positif dan berkata kepada diri anda sendiri “ ok, hari ini aku terlewat bangun, sekarang aku perlu lakukan yang terbaik untuk hari ini”.



Saya tidak percaya bahawa mereka yang berjaya pada hari ini boleh mencapai tahap itu tanpa mempunyai sikap yang baik dan positif. Sebenarnya lebih mudah untuk berfikiran negatif, dan untuk pengetahuan anda untuk berfikiran positif memerlukan sedikit usaha. Tampalkan satu nota di atas meja anda, di dalam kereta, cermin dibilik air yang tertulis “SIKAP”. Apabila anda melihat nota itu, berhenti sejenak dan berfikir tentang perkara yang sudah berlaku pada hari itu, dan jika ada masanya anda merasa tidak berfikiran positif, fikirkan semula dan teruskan kerja yang anda lakukan. Jika anda bersikap positif, semua perkara yang anda lakukan akan menjadi lebih mudah. Jika ada perkara yang anda tidak suka lakukan, jangan biarkan sehingga pada saat akhir, bahkan lakukan perkara tersebut dahulu dan fikirkan “Saya mahu menyiapkan kerja ini sampai siap kemudian saya boleh buat kerja yang saya suka !”. Cubalah teknik ini dan anda pasti akan merasa perbezaannya.


2. Ambil tindakan


Ini merupakan satu isu yang besar kepada ramai orang, mereka mempunyai idea bisnes yang baik, mereka memberitahu kepada kawan-kawan tentang bisnes yang hendak dimulakan, kawan-kawan menjadi positif dan menyokong. Kemudian mereka beritahu kepada beberapa orang lain sehinggalah menjadi senyap begitu sahaja. Jika anda mempunyai idea yang bagus tidak menjadi masalah, tetapi anda perlu membuat tindakan. Kemudian apabila anda sudah mula melakukan sesuatu, anda perlu mengambil beberapa lagi langkah seterusnya sehinggalah mencapai



kejayaan. Jika anda mempunyai peluang atau idea pada masa ini, mungkin sesuatu yang



sudah lama anda fikirkan, berhenti bercakap dan berfikir tentangnya – BUAT SAHAJA.



Saya mempunyai ramai sahabat yang datang berjumpa dan bercakap tentang idea-idea bisnes seperti seolah-olah mereka yang menyuruh saya melakukan bisnes tersebut. Saya boleh menolong mereka, beri cadangan tetapi yang menyedihkan ialah 90% daripada mereka tidak pernah membuat tindakan. Jika anda tidak membuat tindakan, anda menafikan hak anda untuk satu kejayaan.


3. Tukar Bagaimana Anda Diprogramkan


Sejak dari bangku persekolahan lagi kita selalu terfikir seperti yang selalu diberitahu oleh orang-orang dewasa bahwa “ belajar pandai-pandai dan dapatkan kerja yang baik”. Harap anda jangan tersalah anggap, saya fikir apabila kita disekolah kita perlu belajar apa yang perlu kemudian buka bisnes anda sendiri! 80% jutawan pada hari ini mencapai impian mereka dengan memulakan bisnes sendiri. Mungkin anda sudah sedia maklum, jika anda benar-benar mahukan kebebasan kewangan, masa depannya ialah dengan memulakan perniagaan sendiri. Sudah tentu bisnes sendiri harus menanggung risiko, dan boleh mengurangkan risiko tersebut dengan memulakannya secara sambilan, dan gunakan teknik yang saya tunjukkkan dengan modal yang kecil, tetapi ganjarannya amat banyak dan menguntungkan.


4. Tuliskan Apa Yang Anda Fikirkan


Saya tidak kisah berapa baik memori yang anda ada, tetapi mengapa perlu dibiarkan sahaja. Mengapa perlu menanggung risiko jika terlupa sesuatu yangpenting? Tuliskan perkara yang ada difikiran anda menolong melegakan otak anda yang sarat dengan maklumat. Apabila anda menulisnya anda tidak perlu takut jika terlupa pada masa yang diperlukan. Jika anda mempunyai idea – tuliskan. Jika anda mempunyai masalah – tuliskan. Apabila anda menulis sesuatu masalah, anda akan dapati bahawa anda boleh berfikir dengan lebih jelas, dan satu masa nanti perkara tersebut dapat diselesaikan. Teknik ini nampak mudah, tapi jika anda mula menggunakannya, anda pasti akan lihat perbezaannya kelak.


5. Tetapkan matlamat dan impian


Jika anda tidak mempunyai sasaran, anda tidak akan dapat apa-apa. Anda mesti mempunyai matlamat, anda perlu tahu kemana destinasi anda, berusaha untuk mencapainya dan sentiasa ingat akan impian anda. Saya berjumpa dengan ramai orang yang mungkin tidak faham tentang konsep ini yang berkata “impian aku ialah untuk menjadi jutawan dalam masa 5 tahun” tetapi apabila anda tanyakan bagaimana untuk mencapainya, mereka hanya diam sahaja. Anda mesti mempunyai matlamat jangka panjang, untuk tempoh 5 tahun akan datang, kemudian anda perlu berusaha untukmencapainya, kemudian tetapkan matlamat jangka pendek yang lebih mudah dicapai contohnya matlamat setahun, sebulan dan seminggu. Saya harap 5 strategi diatas dapat menolong anda berjaya dengan lebih mudah dan cepat.