Memaparkan catatan dengan label zayn rayyan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label zayn rayyan. Papar semua catatan

Isnin, Disember 11, 2023

Petunjuk siasatan seorang terbabit dalam kes Zayn Rayyan


Petunjuk yang diperoleh pihak polis setakat ini menjurus kepada seorang individu yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, pada 6 Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan bagaimanapun berkata, siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut bagi memperoleh fakta dan maklumat yang tepat berhubung kes terbabit.

     "Dengan kesan itu (pada leher dan badan mangsa)..kita percaya seorang individu     (terbabit) kita tengok semua sudut, semua 'database' polis..dan juga 'mass screening'.

"Kita harap kita boleh dapat petunjuk positif sehingga boleh tangkap penjenayah ini, buat masa ini petunjuk yang ada menjurus kepada seorang individu.

"Banyak persoalan yang perlu dijawab, cuma kita perlu fakta yang boleh menjawab soalan itu..jadi kita sama-sama berdoa agar kita boleh tangkap penjenayah itu.

"Kita (polis) tidak mahu bekerja dalam spekulasi, jadi beri ruang untuk polis bekerja dengan fakta," katanya diminta mengulas perkembangan siasatan kematian kanak-kanak itu.

Hussein berkata, proses penelitian video kamera papan pemuka (dashcam) setiap kenderaan penduduk di kawasan berkenaan masih berjalan bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut katanya, siasatan mendapati berkemungkinan mayat kanak-kanak itu dipercayai dibuang pada waktu petang di kawasan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

"Pada pagi hari yang sama, polis ada buat pencarian tetapi tidak jumpa. Jadi (kita buat pencarian lagi) kita jumpa mayat mangsa pada malam hari..jadi kemungkinan (mayat mangsa dibuang) petang sewaktu hujan lebat..kita percaya pada petang itu.

"Kita tidak jumpa lagi barang yang boleh menjurus kepada penjenayah, kita masih berusaha untuk mencarinya," katanya.

Dalam pada itu katanya, siasatan polis juga tertumpu kepada stor yang terletak 50 meter dari kediaman mangsa bagi mengenalpasti individu yang kerap berada di lokasi berkenaan.

"Kita hendak melihat ataupun menyiasat siapa yang selalu berlegar di situ, stor ini untuk penyimpanan barang-barang lusuh dan juga barang-barang kitar semula...jadi adakah kemungkinan penjenayah ada pernah ke situ, kita (mahu) lihat (padanan) cap jari di situ.

"Sebab itu saya kata siasatan ini terbuka dan kita melihat dari pelbagai sudut, sama ada daripada dalam kawasan atau luar kawasan itu. Kita tidak mahu terlepas mana-mana sudut dalam siasatan ini. Stor berkunci dan ada penjaga," katanya.

Sumber : Berita Harian

Khamis, Disember 07, 2023

Zayn Rayyan mati dibunuh


 Kematian seorang kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui semalam di sebuah anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai disahkan dibunuh.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut kerana terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Katanya, hasil bedah menemui kesan kecederaan pada leher dan badan.

“Kita buka kertas 302 Kanun Keseksaan. Kecederaan dikesan pada leher dan badan,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Malam tadi, Kosmo! melaporkan mayat kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya, pada pukul 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dilaporkan berkata kes diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR) sebelum sebarang keputusan diperoleh.

Kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang sejak tengah hari kelmarin dan kali terakhir ditemui adalah ketika memasuki kawasan belukar berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya.

Penemuan tersebut hasil kerjasama 40 anggota polis Petaling Jaya serta 60 wakil penduduk Apartment Idaman melakukan misi pencarian kanak-kanak tersebut di kawasan sekitar kelibat kanak-kanak itu dilihat.

Sumber : KOSMO! 

Recent Posts