Memaparkan catatan dengan label wang syiling. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label wang syiling. Papar semua catatan

Rabu, Oktober 18, 2023

Tukar syiling di Pos Malaysia

 


Orang ramai kini boleh menukar syiling mereka di pejabat pos menerusi pelancaran Perkhidmatan Pertukaran Syiling KOCEK (KOCEK) hasil kerjasama Pertama Digital Berhad (Pertama Digital) dan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia).

Perkhidmatan berkenaan kini tersedia di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, Pejabat Pos Besar Shah Alam, Pejabat Pos Kajang 2020 dan Pejabat Pos Bandar Baru Bangi, sebelum diperluaskan kepada kira-kira 30 cawangan menjelang akhir tahun.

Ia turut ditawarkan di Subang Parade, Berjaya Times Square dan NSK Trade City di Kuchai Lama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, KOCEK memanfaatkan jejak runcit Pos Malaysia yang meluas.

“Pada masa yang sama, kami memanfaatkan KOCEK untuk menyediakan nilai kepada rakyat Malaysia. Setiap bulan kami mempunyai kira-kira 1.5 juta pelanggan yang hadir ke 632 lokasi kami dan ia akan membantu meningkatkan kesedaran tentang KOCEK.

“KOCEK menyediakan akses mudah dan perkhidmatan yang cepat untuk membantu rakyat menukarkan syiling mereka yang tidak digunakan kepada nilai tunai digital, yang seterusnya dipindahkan ke akaun bank mereka.

“Ini seterusnya akan mengurangkan keperluan untuk mencetak dan mengedarkan syiling baharu dan membantu menurunkan kos pengeluaran mata wang bagi bank pusat,” katanya pada pemberita selepas majlis pelancaran KOCEK di sini, semalam, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abd. Rahman Abu Bakar.

Perkhidmatan KOCEK akan berkembang ke negeri-negeri lain secara berperingkat pada 2024, dengan pelan untuk melancarkan perkhidmatannya ke 100 lokasi.

KOCEK, sebelum ini dikenali sebagai MyPay Coin Conversion, dimulakan oleh Pertama Digital untuk merangsang pengedaran semula syiling yang tidak digunakan.

Setiap tahun, sejumlah besar syiling dikeluarkan oleh BNM tidak dikembalikan untuk pengedaran semula dengan anggaran sehingga 30 peratus, atau 240 juta keping syiling yang dikeluarkan setiap tahun berakhir sebagai syiling tidak digunakan yang disimpan di rumah, dalam balang dan laci. 

Sumber : KOSMO! 

Recent Posts