Memaparkan catatan dengan label usahawan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label usahawan. Papar semua catatan

Rabu, Oktober 19, 2022

Ella Furniture jual perabot online


 Dilahirkan dalam keluarga yang mewarisi ‘darah’ bisnes, membuatkan Nur Laila Alway, 39, tidak serik mencuba pelbagai perniagaan termasuk menjalankan perniagaan perabot.

Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu pernah mengusahakan kedai kain, tetapi setelah berkahwin dan berpindah ke Kuala Lumpur, dia memilih untuk membuat dropship produk kecantikan.

Setelah dua tahun melakukan kerja tersebut, Nur Laila mula berjinak-jinak mengusahakan perabot secara online pada tahun 2019 bermodalkan RM500.

“Sebenarnya perusahaan perabot ini berlaku secara kebetulan, yang mana pada ketika itu saya hendak berpindah ke rumah baharu dan mahu menggantikan sofa lama.

“Saya sangat menyukai sofa yang dihasilkan dan dipertemukan dengan tukang yang membuatnya. Sejak itu, kami bekerjasama mengusahakan perniagaan perabot,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Ujar pemegang Ijazah Sarjana Perniagaan dari Universiti Malaysia Terengganu itu, apa yang membuatkan dia bertekad untuk mengusahakan perabot kerana tidak ramai orang menjual sofa chester­field secara online kerana kebanyakannya dibeli dari China.

Nur Laila menggunakan pengalaman sebagai dropship bagi mempromosi sofa di sosial media dan pergi ke rumah pelanggan untuk berbincang material serta rekaan dimahukan.

“Pada peringkat awal, memang sangat susah kerana orang masih belum kenal dan percaya, apatah lagi dijual menggunakan medium online.

“Namun, saya tidak berputus asa pergi ke rumah bakal pelanggan dan menerangkan mengenainya,” katanya.

Setelah perniagaan semakin baik, Nur Laila membeli mesin kayu berharga RM5,000 untuk menambah baik pembuatan sofa itu dan mempercepatkan penghasilannya.

Bengkelnya juga mula bertambah dari satu kepada tiga dan kini dia telah berjaya memiliki empat buah kilang pembuatan sofa dan menembusi pasaran luar negara seperti Singapura dan Brunei.

Nur Laila membuktikan wanita boleh melakukan apa jua perniagaan termasuk mengusahakan perabot, walaupun ia banyak dimonopoli kaum lelaki.

Dia yang turut memegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik itu banyak menggunakan pengetahuan tersebut untuk diaplikasikan dalam pembuatan sofa.

Kejayaannya itu tidak datang bergolek, tetapi memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan mengatur langkah untuk memajukan perniagaan tersebut.

Usahanya itu membolehkannya menerima anugerah Best Bumiputera Brand Award 2022 dan Best Agricommodity Startup Company daripada Malaysia International Agricommodity Expo & Summit.

“Pada peringkat awal, cabaran saya bukan hanya sukar untuk mendapatkan kepercayaan bakal pelanggan, tetapi juga daripada pihak pembekal kerana syarikat ini masih baharu,” tuturnya.

Ceritanya, dia terpaksa menunggu dua jam untuk membeli kain 10 meter kerana tidak ada sudi melayannya.

Masalah tersebut mengganggu operasi pembuatan sofa hingga terpaksa menangguhkan penghantaran kepada pelanggan.

Sumber : Kosmo!

Isnin, Februari 27, 2017

RHB Islamic Salur Dana RM50 Juta Untuk Pembangunan Usahawan Teraju



RHB Islamic Bank Bhd menyasarkan untuk menyalurkan sekurang-kurangnya RM50 juta tahun ini bagi pembiayaan pembangunan usahawan di bawah program Dana Teras oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Pada masa ini, ada sebanyak 1,014 syarikat di bawah program Teras yang dilancarkan pada 2011.
Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusannya, Datuk Adissadikin Ali berkata  lebih RM200 juta daripada dana RM400 juta itu telah disalurkan pada 2016 menerusi kerjasama dengan Teraju yang bermula pada 2012.

"Dana asas program sebanyak RM80 juta itu diuruskan oleh kami (RHB Islamic). Bagaimanapun, kami berjaya meningkatkannya dengan memanfaatkan sumber sehingga mencecah RM400 juta iaitu lima kali lebih banyak daripada saiz dibenarkan pihak Teraju," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Adissadikin berkata demikian kepada pemberita pada majlis pemeteraian kolaboratif bank itu dengan Institut Keusahawan Negara (INSKEN) menerusi Program Latihan dan Pembangunan Keusahawanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

INSKEN merupakan penyelaras program latihan usahawan di negara ini di bawah Teraju yang berperanan sebagai sekretariat Majlis Ekonomi Bumiputera.

Di bawah kerjasama itu, RHB Islamic akan menyediakan khidmat nasihat kewangan berstruktur kepada usahawan PKS, termasuk aspek pengurusan simpan kira serta panduan kepada keperluan perbankan dan kewangan.

Program itu juga bertujuan melibatkan lebih 14,000 usahawan yang berdaftar di bawahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh berharap kerjasama dengan bank itu akan dapat membantu kalangan usahawan mencapai potensi sepenuhnya.

"Ramai usahawan memiliki potensi besar tetapi kekurangan pengetahuan bagi pengurusan risiko seperti aspek aliran tunai syarikat, pegangan saham dan sebagainya.

"Mereka perlu mempelajari, memahami serta mempertingkat (pengetahuan mengenai) keperluan pihak bank bagi membolehkan mereka memantapkan kemahiran pembangunan kapasiti, penerapan teknologi dan akses pasaran," katanya.

Kerjasama itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen bank untuk menyokong agenda kerajaan bagi mempertingkatkan peranan PKS dalam negara, katanya.

Recent Posts