Memaparkan catatan dengan label tenaga buruh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tenaga buruh. Papar semua catatan

Selasa, Disember 12, 2023

Kadar pengangguran kekal 3.4%, bilangan penganggur berkurang pada Oktober 2023

 



Kadar pengangguran kekal 3.4%, bilangan penganggur berkurang pada Oktober

Kadar pengangguran Malaysia kekal pada 3.4 peratus pada Oktober, dengan bilangan penganggur mencatatkan penurunan kepada kira-kira 570,900 orang berbanding kira-kira 573,700 orang pada September 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 80.1 peratus daripada jumlah penganggur pada Oktober.


Kata beliau, kategori tersebut menurun sebanyak 0.4 peratus, merekodkan kira-kira 457,200 orang.

“Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.6 peratus sementara mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah 6.2 peratus.


“Begitu juga, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif berkurang sebanyak 0.9 peratus, mencatatkan kira-kira 113,800 orang,” katanya dalam kenyataan pada 8 Disember.


Menurut Mohd. Uzir, pada Oktober, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah 10.7 peratus, mencatatkan jumlah kira-kira 313,300 orang. 


Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun pula menurun 0.1 mata peratus kepada 6.6 peratus, merekodkan bilangan kira-kira 439,600 orang.


“Bilangan luar tenaga buruh pula menurun sedikit, iaitu sebanyak 0.02 peratus kepada 7.24 juta orang. 


“Komposisi terbesar bagi luar tenaga buruh adalah disebabkan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga (42.6 peratus) dan kategori bersekolah atau latihan (40.9 peratus),” katanya.


Jelas Mohd. Uzir, pasaran buruh pada Oktober terus mengukuh berikutan aktiviti ekonomi semasa yang menggalakkan. Ini dapat dilihat dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran semakin berkurang.


Sehubungan itu, kata beliau, bilangan tenaga buruh berada pada trend meningkat dengan pertambahan 0.1 peratus bulan ke bulan, mencatatkan 16.97 juta orang berbanding 16.95 juta pada September.


“Bilangan penduduk bekerja terus meningkat dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus, mencatatkan 16.40 juta orang,” katanya.


Berkenaan situasi guna tenaga, kategori pekerja merangkumi 75.3 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada Oktober, mencatatkan sedikit peningkatan, iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 12.35 juta orang.


Malah, menurut Mohd. Uzir, kategori penduduk bekerja juga terus meningkat dengan pertambahan 0.4 peratus kepada 2.99 juta orang.


“Mengikut sektor ekonomi, terdapat peningkatan yang konsisten dalam bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan.


“Pada masa sama, sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga mencatatkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja pada Oktober,” jelasnya. 


Sumber : Relevan

Recent Posts