Pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18
tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh,
berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan
situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.
Secara tidak langsung, katanya, situasi sedemikian menjejaskan
perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik
serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai
depan.
"Justeru, pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 dijangka boleh
dilaksanakan selepas 1 September 2022 apabila menilai semula pelbagai
kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan serta persiapan awal SPR.
"SPR komited dengan pelaksanaan kedua-dua perkara itu seperti
diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15
(PRU-15), menjelang 2023 berpandukan Perkara 55(3) Perlembagaan.
"Persiapan ke arah pelaksanaan itu masih berjalan dan dalam tindakan
sewajarnya, termasuk gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan
penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan,
parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan lain
yang berkaitan dengannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, beberapa pemimpin parti dari sayap pemuda termasuk
Pemuda UMNO, MCA, PKR, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan Pemuda
DAP menuntut kerajaan menyatakan pendirian mengenai status undi 18
tahun.
Ia susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais
Yatim yang mendakwa negara belum bersedia melaksanakan dasar undi 18
tahun.
Sementara itu, berdasarkan rekod terkini SPR, Abdul Ghani berkata,
jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas ialah seramai 5.6 juta
orang dan 1.2 juta daripadanya berusia antara 18 hingga 20 tahun.
Katanya, individu berusia 21 tahun dan ke atas yang layak mengundi
tetapi belum membuat pendaftaran sebagai pemilih pula seramai 4.4 juta
orang.
"Oleh itu, SPR menggesa rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas
ini segera mendaftar sebagai pemilih secara dalam talian melalui
mysprdaftar.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri atau
pejabat pos berdekatan.
"SPR akan melancarkan sistem semakan pra-pendaftaran automatik
melalui portal SPR pada Ogos ini, bagi membolehkan 5.6 juta bakal
pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka.
"Kita juga sedang menyediakan satu laporan interim berhubung
pendaftaran pemilih automatik dan undi 18. Ia dijangka dikeluarkan pada
September depan," katanya.