Memaparkan catatan dengan label saman jpj. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label saman jpj. Papar semua catatan

Selasa, September 15, 2020

Tak logik saman kerana tak pakai seluar dalam: Pengarah JPJ Artikel

 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menafikan dakwaan anggotanya mengenakan kompaun terhadap seorang pemandu lori atas kesalahan tidak memakai seluar dalam, susulan tular di media sosial Facebook baru-baru ini.

Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, notis larangan penggunaan kenderaan atau PG1 yang diberi kepada pemandu berkenaan dalam sekatan jalan raya Ops Statik di Kilometer 10 Jalan Seremban-Port Dickson pada Isnin lalu itu sebaliknya telah diubah suai.

Menurutnya, anggotanya telah mengeluarkan notis berkenaan selepas pemeriksaan kenderaan mendapati tayar gandar dua kiri bahagian dalam telah botak atau terkoyak. "Sangat tidak logik kita beri saman atas kesalahan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelas beliau, notis PG1 dikeluarkan bagi kesalahan berkaitan kesalahan teknikal kenderaan sahaja, bukannya berkaitan dengan tata kelakuan pemandu seperti mana yang telah diubah suai pada notis tersebut.

Sehubungan itu, pihaknya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban semalam sebagai penafian sekali gus mengelakkan orang ramai salah faham terhadap jabatan itu.

"Kejadian seumpama ini pertama kali berlaku kepada JPJ Negeri Sembilan dan saya harap orang ramai jangan mudah percaya dan semak dulu dengan kita jika ada penyebaran fitnah sebegitu," katanya.

Sementara itu, pihaknya turut berkongsi maklumat sebenar mengenai perkara itu di Facebook JPJ Negeri Sembilan dan turut mendapat pelbagai reaksi netizen yang meminta jabatan berkenaan mengambil tindakan saman.

Pengguna Facebook, Zuone Zal meninggalkan komen, "Saman baliklah, saman fitnah. Ajar sikit, tau nak 'kondem' orang saja. Dah buat salah, terimalah."

Cermin Kehidupan pula menulis, "Kasi ajar, jangan beri muka pada kaki 'spin' (putar belit) ini. Semua benda nak edit (sunting), buat panas line orang. Nampak benar tipu, deme (mereka) tambah."
 

Ingin info 


Jumaat, September 04, 2020

Diskaun 70 peratus bayaran saman dilanjutkan sebulan



Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanjangkan tempoh pembayaran diskaun 70 peratus yang ditawarkan bagi bayaran saman yang dikeluarkan JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), hingga hujung bulan ini.

Pengarah Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik JPJ, Mohamad Yatim Nawawi, berkata tempoh pembayaran yang berakhir pada 31 Ogos lalu dilanjutkan sebulan atas arahan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bagi membantu rakyat ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, sambutan ke atas tawaran diskaun itu begitu menggalakkan sehingga menyebabkan semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) penuh sesak.

Justeru, katanya, orang ramai disaran mengambil peluang tempoh lanjutan sebulan diberikan itu bagi menyelesaikan pembayaran saman masing-masing.

"Selepas tamat tempoh diskaun ini individu yang mempunyai saman akan membayar saman seperti asal," katanya selepas menghadiri majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Pelancaran Drama Skuad JPJ antara JPJ dan Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd, hari ini.

Mohamad Yatim berkata, diskaun 70 peratus bayaran saman itu adalah sempena sambutan bulan kemerdekaan bagi saman yang dikeluarkan atas kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah di bawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

Selain pejabat JPJ negeri, cawangan dan UTC, orang ramai juga boleh membuat pembayaran di portal mySIKAP JPJ, kiosk JPJ dan JPJ Mobile.

Mohamad Yatim berkata, bagi kesalahan yang disenarai hitam, orang ramai dikehendaki hadir ke pejabat JPJ cawangan atau negeri bagi proses dokumentasi sebelum urusan pembayaran dilakukan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPJ bersetuju dengan cadangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) supaya laluan bagi motosikal dipisahkan dengan kenderaan yang lain.

Katanya, perkara itu memerlukan persetujuan daripada pelbagai agensi atau jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Penggunaan lorong kecemasan sama ada meletakkan kenderaan atau melaluinya menyalahi undang-undang sedia ada mengikut Kaedah 53 Kaedah Lalulintas Jalan Raya 1959.

"Justeru JPJ bersetuju dengan cadangan MIROS supaya mengadakan laluan khas motosikal itu berlainan daripada laluan biasa," katanya.

Sumber : Berita Harian




Recent Posts