Memaparkan catatan dengan label sahur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sahur. Papar semua catatan

Jumaat, Mac 15, 2024

Hukum tidur selepas sahur dan kesannya kepada kesihatan

 


Pasti ramai yang sudah merancang menu untuk sahur nanti. Anda diingatkan untuk ambil makanan yang berkhasiat agar kekal bertenaga sepanjang tempoh berpuasa.


Tetapi, sudah kenyang-kenyang makan sahur nanti jangan tidur pula. Kebiasaannya, tidur selepas bersahur ialah perkara yang paling nikmat sekali, bukan? 

Tidur selepas bersahur ini lebih banyak kesan negatifnya berbanding positif. Makanan yang dimakan pada waktu sahur akan dihadam oleh perut dan mengambil masa kira-kira dua jam sebelum dikeluarkan melalui proses perkumuhan. 


Semasa kita tidur, semua fungsi badan direhatkan kecuali jantung, otak dan paru-paru. Jika kita tidur selepas sahur, perut tidak mencukupi masa yang diperlukan untuk mencerna makanan. Hal ini akan mendatangkan banyak masalah kesihatan.


Adakah pahala puasa berkurangan sekiranya tidur pada waktu sahur?


Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hal ini tidak membatalkan puasa oleh kerana tidur selepas sahur atau sepanjang hari tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Imam al-Nawawi menyebut:

وَلَوْ نَامَ جَمِيعَ النَّهَارِ، صَحَّ صَوْمُهُ عَلَى الصَّحِيحِ الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan jika tidur seseorang itu sepanjang siang hari, maka sah puasanya menurut pendapat yang sahih lagi diketahui.

(Lihat Raudah al-Talibin, 2/366)

Namun, perbuatan tidur sepanjang hari pada bulan Ramadan adalah perbuatan yang boleh mengurangkan fadhilatnya serta berlawanan dengan adab. Selain itu, hilanglah nikmat merasa kepayahan serta kesusahan berpuasa. 


Ini jelas bahawa kesusahan menghadapi bulan Ramadan merupakan salah satu hikmah berpuasa bahawa Allah S.W.T ingin mengingatkan hambanya supaya sentiasa mengawal diri dan nafsu daripada memenuhi keinginan serta sentiasa mengingati tuhan.


Hal ini seperti yang disebut oleh Imam al-Ghazali:

بل من الآداب أن لا يكثر النوم بالنهار حتى يحس بالجوع والعطش ويستشعر ضعف القوي فيصفو عند ذلك قلبه

Maksudnya: Bahkan daripada adab (berpuasa) adalah tidak perbanyakkan tidur pada siang hari, sehingga seseorang itu merasakan kelaparan, haus dan merasakan lemah keupayaannya. Maka dengan itu akan dibersihkan hatinya.

(Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 1/235)

Oleh itu, para ulama menyebut bahawa tidur sepanjang siang hari pada bulan Ramadan adalah termasuk daripada perkara yang dimakruhkan. Imam al-Hattab al-Maliki menyebut di dalam kitabnya, antara perkara makruh ketika berpuasa adalah banyak tidur pada siang hari ketika berpuasa. (Lihat, Mawahib al-Jalil, 2/415).


Masalah kesihatan berpunca daripada tidur selepas bersahur

  1. Berat badan bertambah

Faedah sampingan berpuasa ialah dapat menurunkan berat badan. Tetapi kalau kita tidur selepas bersahur, kemungkinan besar berat badan akan bertambah. 


Jika kita memilih untuk tidur selepas bersahur, kalori tidak dihadam dan bertukar menjadi lemak. Selain itu, ia akan membuatkan kita cepat lapar. Disebabkan cepat rasa lapar, pada waktu berbuka nanti kita cenderung untuk makan berlebihan.


Akibatnya, kita akan menjadi lebih malas dan lemak pula tidak dapat dibakar. Jadi, apa gunanya berpuasa kalau akhirnya berat bertambah?

  1. Meningkatkan asid perut

Tabiat tidur selepas sahur boleh menyebabkan kita mengalami ulser perut kerana makanan tidak dihadam dengan baik. Perut kita secara automatik akan meningkatkan asid perut untuk melancarkan proses penghadaman. 


Selain itu, asid perut akan menghakis dan menyebabkan luka di sekitar kawasan perut. Keadaan ini akan menyebabkan sakit perut, pedih ulu hati dan rasa terbakar dari dada hingga esofagus.

  1. Menyebabkan sembelit

Makanan yang tidak dihadam dengan sempurna akan kekal buat beberapa tempoh yang tidak normal dalam perut. 


Oleh itu, kemungkinan besar keadaan ini akan menyebabkan sembelit. Risiko untuk sembelit akan menjadi lebih tinggi semasa berpuasa kerana badan kita kekurangan air berbanding hari-hari biasa.


Sumber : Relevan

Rabu, Mac 13, 2024

Makanan yang perlu dielakkan ketika bersahur


 Berikut adalah beberapa jenis makanan yang sebaiknya dielakkan semasa sahur.

1. Kopi

Salah satu sebab mengapa kopi sebaiknya dielakkan semasa sahur adalah kerana ia mempunyai sifat pencahar. Anda mungkin menyedari bahawa anda perlu ke tandas lebih kerap selepas minum kopi.

Ini disebabkan oleh bahan dalam kopi yang merangsang pergerakan usus besar, menyebabkan badan anda membuang sisa pencernaan lebih cepat.

Selain itu, sifat asid dalam kopi juga boleh mengganggu perut. Bahan yang dipanggil ‘chlorogenic acid’ boleh merangsang peningkatan asid dalam perut. Kopi juga bersifat diuretik, menyebabkan badan anda mengeluarkan lebih banyak air, meningkatkan risiko dehidrasi semasa berpuasa.

2. Makanan Masin

Contoh makanan yang sebaiknya dielakkan semasa sahur untuk mengurangkan rasa haus termasuk acar, kacang masin, biji labu, dan makanan tin.

Jenis makanan ini mengandungi kandungan garam yang tinggi, yang boleh merangsang rasa haus. Anda juga patut mengurangkan penggunaan garam dan perasa dalam masakan.

3. Karbohidrat Ringkas

Elakkan makanan yang mengandungi karbohidrat ringkas. Jika anda memilih karbohidrat kompleks, tenaga yang diperoleh daripada makanan tersebut akan dilepaskan perlahan-lahan ke dalam tubuh.

Ini memberikan tenaga yang mencukupi untuk tempoh berpuasa. Contoh makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks termasuk beras perang, jelai, gandum, dan oat. Contoh lain juga termasuk gula, susu dan produk tenusu, minuman berkarbonat, gula-gula, dan kuih.

Ini tidak bermakna anda tidak boleh mengambil karbohidrat ringkas, tetapi pastikan untuk menyeimbangkan dengan pengambilan karbohidrat kompleks untuk membantu menjaga kecergasan semasa berpuasa.

4. Makanan Pedas

Seperti makanan masin, makanan pedas juga boleh menyebabkan rasa haus yang berterusan. Mereka yang mengalami masalah keradangan perut disarankan untuk mengelakkan makanan pedas kerana ia boleh merangsang peningkatan asid perut yang mungkin menyebabkan sakit pada bahagian atas perut.

Bagi sesetengah orang, makanan pedas juga boleh menyebabkan masalah perut.

5. Makanan Lemak Tinggi

Pada waktu sahur, elakkan jenis makanan tinggi lemak untuk mengelakkan masalah sembelit atau cirit-birit semasa berpuasa.

Sebagai alternatif, anda boleh memilih jenis makanan yang sama tetapi dengan cara penyediaan yang berbeza. Sebagai contoh, tukarlah dari ayam goreng kepada ayam panggang.

Sumber : Hello Doktor

Recent Posts