Memaparkan catatan dengan label planet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label planet. Papar semua catatan

Selasa, September 20, 2022

Musytari paling dekat dengan Bumi 26 September 2022

 


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyatakan bahawa Planet Musytari akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi pada 26 September ini, lapor laman berita Wion News.

Ini bermaksud orang ramai berpeluang melihat planet terbesar dalam sistem suria itu dalam keadaan paling jelas ketika ia menghampiri Bumi pada jarak paling dekat bagi tempoh 70 tahun.

“Orang ramai berpeluang melihat pemandangan indah Planet Musytari sepanjang malam 26 September ini apabila ia mencapai kedudukan tersebut,” kata NASA dalam satu hantaran blog.

Fenomena ‘pertentangan’ itu berlaku dari sudut pandangan Bumi apabila objek angkasa berada di bahagian timur dan Matahari terbenam di Barat. Ia akan meletakkan Matahari dan objek tersebut pada kedudukan yang benar-benar bertentangan antara satu sama lain.

Pertentangan Musytari berlaku dalam tempoh setiap 13 bulan, namun pada 26 September ini, planet tersebut akan kelihatan lebih terang dan besar berbanding biasa.

“Bukan itu sahaja, Musytari akan berada paling hampir dengan Bumi dalam tempoh 70 tahun,” kata NASA.

Musytari dikatakan akan berada pada jarak 587 juta kilometer dari Bumi ketika ia dalam kedudukan paling hampir dengan planet kita. –

Sumber : Agensi

Selasa, Ogos 17, 2021

Makhluk asing mungkin hidup di dalam tanah di Marikh

 

Satu kajian mendapati Planet Marikh berkemungkinan didiami oleh makhluk asing yang hidup di bawah permukaan tanah, lapor akhbar Daily Star semalam.

Kajian  diterbitkan dalam jurnal Astrobiology itu mendedahkan bahawa  di bawah permukaan tanah di Marikh, hidupan mikrob  boleh berkembang selama berbilion-bilion tahun.

Justeru, saintis-saintis menyelidik mengenai kehidupan yang berpotensi di bawah permukaan planet tersebut dengan mengkaji ketulan batuannya.

Mereka mendapati  bahawa  sejuta mikrob  boleh hidup dalam hanya satu kilogram batu, keadaan sama seperti sampel di Bumi.

Permukaan  tanah di Marikh berkemungkinan agak sukar untuk dihuni memandangkan keadaannya yang telah rosak akibat ribut debu, angin solar dan sinar kosmik.

Menurut ketua penyelidik kajian tersebut yang juga saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Jesse Tarnas, disebabkan itu, peluang terbaik untuk habitat di Marikh hidup  adalah di bawah  tanah.

“Sekiranya planet tersebut mengandungi air, ia bererti terdapat peluang yang baik untuk hidupan berada di situ,” katanya. 

Sumber : Agensi

Isnin, April 12, 2021

Misteri imej pelangi di Planet Marikh rupanya pantulan cahaya

 

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menjelaskan imej ‘pelangi’ yang muncul dalam salah satu gambar yang diambil di planet Marikh sebenarnya pantulan cahaya lensa kamera, lapor akhbar The Sun, baru-baru ini.

Gambar tersebut menjadi tular dengan ramai orang cuba memberi penjelasan terhadap fenomena aneh yang kelihatan dalam gambar itu.

Beberapa pakar berpendapat ia berkemungkinan merupakan ‘habuk api’ yang terhasil daripada zarah-zarah debu di planet tersebut.

Pakar Perhubungan Media Makmal Jet Propulsion NASA, Andrew Good bagaimanapun mengesahkan imej itu sebenarnya adalah pantulan cahaya lensa kamera.

“Kami mempunyai pelindung matahari di Hazcams pada bahagian depan, yang dianggap penting dalam misi kerana diperlukan untuk bergerak ke hadapan.

“Pelindung matahari tidak dianggap penting di bahagian belakang, jadi anda masih dapat melihat biasan cahaya yang tersebar dalam gambarnya,” katanya.

Baru-baru ini, NASA meletakkan kapsyen pada gambar tersebut sebagai ‘Rover Penjelajahan Marikh NASA merakam gambar di kawasan ini menggunakan Kamera Pengelak Bahaya Belakang Kiri’.

Rover penjelajahan itu tiba di planet Marikh pada Februari lepas dan mempunyai enam kamera di atasnya. 

Sumber : Agensi