Memaparkan catatan dengan label pinjaman mikro. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pinjaman mikro. Papar semua catatan

Khamis, Jun 24, 2021

Sejumlah RM12.14 bilion pinjaman mudah PKS diluluskan

 

Sejumlah RM12.14 bilion dana pinjaman mudah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah diluluskan oleh bank tempatan setakat 11 Jun 2021, yang mana akan dimanfaatkan oleh 25,711 PKS.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata jumlah itu termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan untuk Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Pertanian Pemakanan (AF).

Beliau berkata, walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih

tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF.

"PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME di pautan https://imsme.com.my/portal/bm/ yang boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana untuk PKS," katanya dalam Laporan LAKSANA ke-58.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta bagi PKS dan PKS mikro yang masih terkesan dengan penularan COVID-19.

Setakat 11 Jun, beliau berkata, terdapat 669 permohonan bagi pembiayaan itu, dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 331

permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM65.9 juta.

Selain itu, katanya, pembiayaan bernilai RM400 juta telah diperuntukkan bagi golongan petani, peladang dan nelayan, yang mana di bawah skim itu, RM350 juta adalah peruntukan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank.

"Setakat 11 Jun, sebanyak RM161.46 juta telah disalurkan di bawah skim ini bagi memanfaatkan 13,229 PKS Mikro pertanian. Jaminan makanan amatlah dititikberatkan di dalam Pelan Penjana dan juga Belanjawan 2021," katanya.

Laporan LAKSANA itu juga melaporkan setakat 11 Jun, sebanyak RM791.13 juta telah disalurkan berdasarkan 2,211,424 tuntutan daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terbabit secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak COVID-19.

Elaun khas itu juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumber : Berita Harian

 

Rabu, April 07, 2021

MARA perkenal skim bantuan usahawan mikro

 

Kerajaan memperuntukkan RM50 juta melalui Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan sasaran untuk membantu kira-kira 1,000 usahawan di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata S3P adalah kemudahan pembiayaan perniagaan yang disediakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro Bumiputera dalam pelbagai sektor kecuali pertanian dan penternakan.

Katanya, skim itu diperkenalkan melalui fokus kedua bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) iaitu memacu pemulihan ekonomi di bawah inisiatif keenam kemudahan mikro kredit.

"Peruntukan secara sekali beri diperuntukkan kepada MARA untuk melaksanakan kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui S3P.

"Ia bertujuan membantu 1,000 PKS mikro Bumiputera, terutama mereka yang terjejas akibat COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk meneruskan kelangsungan perniagaan," katanya selepas melancarkan S3P, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Azizah turut menyampaikan pembiayaan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kepada 21 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) Bumiputera.

Sebanyak 12 IPTS Bumiputera menerima cek berjumlah RM10.6 juta dan sembilan penerima surat tawaran pembiayaan PENJANA IPTS, berjumlah RM15.7 juta.

Azizah berkata, skop kemudahan pembiayaan meliputi keperluan modal pusingan, pembelian peralatan, promosi dan pemasaran serta belanja mengurus.

Katanya, had pembiayaan maksimum adalah sehingga RM50,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 72 bulan atau enam tahun tanpa cagaran dan penjamin.

"Justeru, saya menggalakkan lebih ramai usahawan mikro di luar sana untuk merebut peluang dengan memohon S3P bagi membangunkan perniagaan mereka.

"Permohonan hanya perlu dilakukan secara dalam talian melalui portal MyUsahawan yang boleh diakses melalui laman web rasmi MARA atau secara terus di aplikasi MyUsahawan," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan usahawan yang mendapat bantuan S3P kekal bertahan, MARA akan memantau perkembangan mereka setiap tiga bulan.

Sementara itu, Azizah berkata, hanya kira-kira RM1 juta peruntukan digunakan untuk Skim Pembiayaan Perniagaan Dananita (DanaNITA) sehingga kini berbanding dana keseluruhan RM25 juta yang ditawarkan MARA.

Beliau berkata, sebanyak 58 permohonan dalam skim DanaNITA diluluskan tahun ini sehingga Mac, khusus untuk membantu usahawan wanita.

Sehubungan itu, katanya, lebih ramai usahawan wanita digalakkan untuk membuat permohonan kerana dana yang diperuntukkan masih banyak.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts