Memaparkan catatan dengan label pasaran kerja. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pasaran kerja. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 17, 2022

Pasaran pekerjaan di Malaysia akan semakin pulih

 



Pasaran pekerjaan di Malaysia dijangka terus mengukuh pada separuh kedua 2022 didorong oleh momentum memberangsangkan ekonomi domestik dan pertumbuhan stabil sektor luaran, demikian menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, kadar pengangguran di negara ini diunjurkan lebih rendah pada 3.8 peratus pada 2022 berbanding 4.5 peratus pada tahun lalu.

"Bagi tinjauan separuh kedua 2022, kami percaya ekonomi Malaysia akan kekal dalam trajektori meningkat disokong oleh permintaan domestik yang mantap, pembukaan semula sempadan antarabangsa, pelaksanaan semula projek-projek pembinaan, pertumbuhan sektor utama di tengah-tengah peningkatan harga komoditi global dan aktiviti perdagangan luar yang stabil.

"Walaupun pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dijangka diadakan pada November ini, kami melihat ia akan mengurangkan ketidaktentuan politik domestik dan kerajaan baharu akan membentangkan dasar fiskal mengembang bagi 2023.

"Kami percaya rangsangan bagi pasaran pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi domestik adalah antara elemen utama pada Bajet 2023 selepas PRU-15," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bilangan penganggur pada Ogos 2022 terus berkurang kepada 612,000 orang berbanding dengan 620,700 orang pada Julai 2022, manakala kadar pengangguran kekal pada 3.7 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, baru-baru ini berkata berdasarkan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Ogos 2022 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, kedudukan pasaran buruh pada bulan Ogos 2022 kekal stabil berikutan prestasi ekonomi yang semakin baik dan memberangsangkan.

"Aktiviti perniagaan serta sosial terus beroperasi seperti biasa telah membolehkan ekonomi pulih semula dengan lebih kukuh dan keperluan tenaga buruh semakin meningkat," katanya.

Mustapa berkata, bilangan tenaga buruh pada Ogos 2022 semakin kukuh dengan peningkatan sebanyak 30,500 orang atau bersamaan dengan peningkatan 0.2 peratus kepada 16.63 juta orang.

Justeru, katanya kadar penyertaan tenaga buruh terus merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 69.7 peratus pada bulan berkenaan.

Sementara itu, MIDF Research berkata, jumlah kekosongan jawatan turun kepada 374,500 pada Julai 2022 berbanding kemuncak 508,000 pada bulan sebelumnya.

Ia berkata, walaupun berada pada paras terendah sejak Februari 2022, purata kekosongan jawatan bulanan bagi 2022 kekal paling tinggi pada 448,700.

"Ini mencerminkan pemulihan kukuh dalam aktiviti ekonomi domestik didorong oleh permintaan domestik yang mantap dan pertumbuhan berterusan dalam sektor luaran," katanya sambil menambah kadar pengambilan yang lebih baik dicatatkan bagi pekerjaan berkemahiran tinggi seperti penggubal undang-undang, profesional dan profesional bersekutu.

Kadar pengangguran di luar negara turut mencatatkan pemulihan dengan Amerika Syarikat (AS) berada di paras paling rendah dalam tempoh 29 bulan iaitu 3.5 peratus Ogos lalu, menunjukkan tahap penggunaan tenaga kerja penuh dalam ekonominya.

Di sebalik krisis tenaga dan tekanan inflasi, kadar pengangguran di zon euro berada pada rekod terendah 6.6 peratus dua bulan berturut-turut.

Di tempat lain, kadar pengangguran di China jatuh ke paras terendah tujuh bulan pada 5.3 peratus, disokong oleh momentum pemulihan ekonomi yang mantap, manakala ekonomi Asia lain seperti Korea Selatan dan Hong Kong turut mencatatkan penurunan serta kadar pengangguran rendah.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts