Memaparkan catatan dengan label pas buruh asing. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pas buruh asing. Papar semua catatan

Rabu, November 08, 2023

Buruh asing boleh diusir jika kahwin warga tempatan

 


Buruh asing dilarang mengahwini rakyat tempatan sepanjang tempoh mereka memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Malaysia.

Kegagalan mematuhi peraturan itu menyebabkan permit pekerjaan mereka terbatal secara automatik dan diusir dari negara ini serta-merta seperti termaktub mengikut Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155).

Keadaan itu menyebabkan rakyat tempatan, terutama wanita berisiko ditinggalkan pasangan masing-masing jika bertegas mahu berkahwin dengan pemegang PLKS kerana perbuatan itu melanggar undang-undang imigresen negara.

PLKS ialah permit kerja untuk warga asing bekerja secara sah di negara ini diberi kepada tujuh sektor bagi tempoh satu hingga 10 tahun yang ditetapkan kerajaan, selain ciri khas dipamerkan pada pasport individu terbabit.

Namun, status perkahwinan pasangan Muslim terbabit adalah sah, jika pernikahan memenuhi syarat sah nikah dan perceraian pula hanya boleh berlaku jika permohonan cerai dikemukakan ke Mahkamah Syariah.

Bagi pasangan bukan Islam pula, mereka turut berdepan risiko sama, tetapi Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa membubarkan pendaftaran perkahwinan terbabit.

Pemegang PLKS yang mahu berkahwin dengan pasangan warga asing yang menetap atau bekerja di Malaysia pula perlu merujuknya kepada kedutaan masing-masing.

Justeru, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata pihaknya mahu mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkuasa agama negeri berhubung syarat perkahwinan rakyat tempatan dan warga asing, terutama pemegang PLKS.

Katanya, terdapat dakwaan berlaku ketidakseragaman, menyebabkan syarat dan peraturan ketat ditetapkan imigresen berhubung urusan perkahwinan rakyat tempatan dan warga asing terutama pemegang PLKS dibolosi.

"Sesi libat urus ini bertujuan mewujudkan garis panduan dan prosedur operasi standard jelas bagi permohonan perkahwinan membabitkan pasangan warga asing dan rakyat tempatan.

"Secara dasarnya, urusan perkahwinan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri dan imigresen hanya boleh menyatakan bantahan bagi sesuatu permohonan perkahwinan jika ia melanggar akta ditetapkan.

"Imigresen juga tidak memiliki kuasa untuk membubarkan perkahwinan, termasuk bagi pasangan rakyat tempatan dan pemegang PLKS.

"Apa yang kita boleh lakukan jika melanggar Akta Imigresen ialah menamatkan permit diberi dengan serta-merta dan mengusir warga asing terbabit pulang ke negara asalnya," katanya kepada BH.

Perguna wanita tempatan

Baru-baru ini, BH melaporkan lelaki warga asing, terutama Pakistan sanggup 'membutakan mata', memilih wanita tempatan sebagai pasangan hidup termasuk yang sudah berusia, semata-mata mahu tinggal di negara ini dan membuka perniagaan menggunakan nama isteri.

Tahun lalu, Pengarah Imigresen Kelantan, Azhar Abdul Hamid, dipetik berkata, 15 permohonan dibuat warga asing dibatalkan kerana mereka hanya menggunakan isteri yang juga penduduk tempatan untuk membuka perniagaan.

BH pada September 2019 mendedahkan, mengahwini wanita tempatan antara taktik diguna lelaki warga Pakistan untuk menjalankan perniagaan dengan lokasi tumpuan di pinggir bandar dan penempatan setinggan yang jarang digempur pihak berkuasa.

Taktik lain, mereka menggunakan nama warga tempatan atau mengambil alih perniagaan sedia ada milik penduduk dengan membayar sewa tertentu, tanpa menukarkan penama pada lesen perniagaan.

Ada juga pasangan lelaki Pakistan dan wanita tempatan berasal dari Sabah, berkahwin di Semenanjung sebelum memohon pas lawatan sosial suami asing kepada warga negara di negeri bawah bayu itu.

Laporan eksklusif BH pada Mei 2017 pula mendedahkan, Jabatan Agama Islam Selangor dan Pahang gagal mematuhi undang-undang imigresen, menyebabkan buruh asing mudah berkahwin dengan rakyat tempatan.

Malah, wanita tempatan mengahwini buruh asing yang tidak mematuhi syarat dan prosedur perkahwinan ditetapkan imigresen, boleh dikenakan tindakan kerana melindungi pendatang tanpa izin (PATI).

Tindakan menyembunyi atau melindungi PATI menyalahi Seksyen 55E(1) Akta 155 (Pindaan 2002) dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun dan enam sebatan.

Ruslin berkata, warga asing yang mahu berkahwin dengan warga tempatan perlu mengisi borang khas dengan lengkap termasuk maklumat majikan dan kaedah ini antara lain dapat mengesan sama ada warga asing terbabit dibenar berbuat demikian.

Beliau berkata, pihak berkuasa agama yang menerima maklumat awal permohonan perkahwinan itu sepatutnya merujuk kepada imigresen jika mendapati wujud pertentangan akta yang tidak membenarkan perkahwinan itu berlaku.

"Sebenarnya kemasukan warga asing ke negara ini secara sah hanya bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mengikut sektor yang ditetapkan dan bukannya untuk berkahwin," katanya.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts