Memaparkan catatan dengan label padu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label padu. Papar semua catatan

Selasa, Januari 02, 2024

Anwar lancar PADU

 



Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU), iaitu sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Majlis yang bermula 8.30 pagi hingga 2 petang, membabitkan pembentangan mengenai PADU oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan forum bertajuk 'Memacu Peralihan Melalui PADU', sebelum Anwar dijadual merasmikan sistem berkenaan pada 12.15 tengah hari.

Kementerian Ekonomi dalam laman Facebook memaklumkan, sistem PADU akan dibuka secara rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia usai majlis pelancaran berkenaan.

Objektif PADU ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan serta penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data, selain membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

Maklumat profil akan diperoleh melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai sumber dan sebahagiannya akan dikemas kini oleh individu.

Pelaksanaan PADU adalah bagi meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.

Ia juga bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan PADU, bagi membolehkan perkhidmatan lebih baik dan cekap disampaikan kepada rakyat.

Selain pemantauan dan penilaian berkesan terhadap pelaksanaan dasar negara, PADU yang merupakan pangkalan data yang berintegrasi dan berpusat mampu menjimatkan sumber secara signifikan.

Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

PADU boleh diakses di : https://www.ekonomi.gov.my/ms/padu


Khamis, Mei 25, 2023

PADU ditubuh bagi selaras data isi rumah rakyat Malaysia

 


Kerajaan akan membangunkan sebuah pangkalan data utama (PADU) bagi mengumpul seberapa banyak maklumat sosio ekonomi isi rumah sekali gus membantu kerajaan mengagihkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PADU itu akan ditubuhkan segera dan menjadi penyelaras data antara agensi-agensi sedia ada termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Beliau berkata, jika mahu bercakap mengenai soal ekonomi digital dan hala tuju negara pada masa depan, maka kerajaan perlu mempunyai data yang lengkap.

“Hari ini kita buat keputusan agak penting iaitu menyedia dan menetapkan pembentukan PADU bagi memudahkan kerajaan mengubal dasar dan menyasarkan subsidi.

“Buat masa ini, ada jabatan-jabatan lain menyelengara data secara berasingan justeru, PADU akan mengambil alih tugas-tugas ini supaya ada satu agensi dapat merumuskan semua data ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Katanya, keperluan sistem data ini harus lebih menyeluruh dan lebih penting subsidi dan bantuan yang diperuntukkan kepada orang miskin tercapai.

Anwar berkata, PADU akan mengumpul maklumat di peringkat isi rumah yang meliputi bilangan isi rumah, rekod pendapatan, tanggungan anak isi rumah mengikut peringkat pendidikan, lokasi isi rumah dan bilangan kenderaan isi rumah.

Menurutnya, ia juga merangkumi rekod bantuan yang telah diterima dari jabatan kerajaan di dalam isi rumah dan maklumat-maklumat lain yang boleh membantu menentukan pendapatan boleh belanja setiap isi rumah. 

– KOSMO! 

Recent Posts