Memaparkan catatan dengan label mrt. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mrt. Papar semua catatan

Jumaat, Mac 04, 2022

Kabinet setuju laksana projek MRT3

 

 

Kabinet hari ini, bersetuju untuk melaksanakan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3), menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) dan projek tebatan banjir, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, keutamaan akan diberikan kepada kontraktor tempatan, terutama golongan Bumiputera bagi menjana peluang perniagaan serta pekerjaan untuk 'Keluarga Malaysia'.

"Ini akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, khususnya objektif kerajaan untuk terus memperkasa sektor perniagaan serta mencipta 600,000 pekerjaan, tahun ini.

"Kerajaan telah mengambil keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia," katanya menerusi kenyataan.

Mengenai projek LPB, Ismail Sabri berkata, Fasa Pertama LPB Sabah sedang giat dilaksanakan, membabitkan sebanyak 15 pakej dengan kemajuan kerja ketika ini sudah mencapai 52 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024.

"Bagi menambah baik lingkaran jalan untuk Keluarga Malaysia di Sabah, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan yang akan meMBABITKAN jajaran sepanjang 367 kilometer (km) dengan tempoh pembinaan selama lima tahun.

"Fasa Pertama LPB Sarawak pula akan membabitkan jajaran 786km dan telah mencapai 78 peratus kemajuan kerja setakat ini.

"Bagi melengkapi LPB Sarawak, kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB)," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan ketika ini menyediakan peruntukan pembangunan bernilai RM1 bilion setahun bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi projek tebatan banjir.

Selain itu, katanya, Kabinet memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion bagi tempoh 2023 sehingga 2030, selepas mengambil kira fenomena banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

"Pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merangkumi pembinaan rel bersepadu dan lebuh raya serta projek tebatan banjir akan memangkin pembangunan ekonomi serta menyumbang kepada daya saing negara serta kesejahteraan rakyat.

"Keputusan melaksanakan projek berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan bagi menyediakan pelbagai peluang bagi Keluarga Malaysia dan mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara," katanya yang juga Ahli Parlimen Bera.

Sumber dari Berita Harian

Jumaat, Disember 16, 2016

Fasa Pertama MRT Dibuka Percuma Sebulan Mulai 16 Dis 2016



Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) aliran Sungai Buloh-Kajang yang akan dilancar pada Jumaat ini dijangka tidak banyak digunakan.

Bagaimanapun apabila perkhidmatan itu beroperasi sepenuhnya ia akan memudahkan seramai 400,000 penumpang.

Pelancaran itu bakal menyaksikan 12 stesen MRT dibuka dan antaranya ialah Sg Buloh, Kampung Selamat, Damansara, Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Datuk Najmuddin Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan pembukaan fasa satu tidak banyak digunakan oleh orang awam.

“Ini kerana, perkhidmatan komuter di Sungai Buloh merupakan satu-satunya penghubung dengan MRT.

“Aliran ini tidak bersambungan dengan perkhidmatan berasaskan rel yang lain dan ia tidak ke pusat bandar,” katanya.

Jajaran sepanjang 23 kilometer itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah membuat lawatan bersama beberapa penulis blog dan aktivis sosial pada Jumaat.

Najmuddin berkata dengan siapnya fasa Kedua – yang mempunyai 19 stesen lain sehingga ke Kajang – MRT bakal berkhidmat kepada seramai kira-kira 1.2 juta penduduk yang tinggal di sepanjang koridor berkenaan.

“Kami menjangkakan kira-kira 400,000 penumpang setiap hari apabila ia beroperasi sepenuhnya,” jelasnya.

Najmuddin berkata, selepas perkhidmatan itu beroperasi sepenuhnya ia akan membantu mereka yang tinggal di kawasan Sungai Buloh, Kota Damansara, Bandar Utama, Cheras dan Kajang untuk keluar bekerja di pusat bandar.

“Kapasiti setiap aliran ialah sebanyak 20,000 penumpang setiap jam. Setiap tren MRT, yang mempunyai empat gerabak boleh membawa 1,200 penumpang.

“Semasa waktu puncak, kekerapan tren adalah 3.5 minit setiap satu,” kata Najmuddin.

Ketika ini, memandu dari Sungai Buloh ke Phileo Damansara di sini semasa waktu puncak boleh mengambil masa sehingga 90 minit.

Rapid Rail Sdn Bhd berkata tambang maksimum sebanyak RM6.40 dikenakan berdasarkan struktur tambang tunai dan RM5.50 berdasarkan tambang tanpa tunai.

120 bas pengantara juga akan ditempatkan di 26 laluan untuk memberi perkhidmatan kepada 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan yang membentuk fasa pertama laluan MRT.

MRT Lembah Klang(KVMRT) melibatkan pembinaan jaringan pengangkutan awam yang berasaskan rel, yang akan berintegrasi dengan sistem-sistem transit aliran ringan atau light rail transit (LRT), monorel, KTM Komuter, KLIA Ekspres dan KLIA Transit. Sistem-sistem pengangkutan rel ini akan menjadi tulang belakang perkhidmatan pengangkutan awam kawasan Greater Kuala Lumpur/Lembang Klang.

Projek ini diluluskan Kerajaan pada Disember 2010. Jajaran pertama yang dilaksanakan adalah jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang dengan jarak 51km. Pembinaan jajaran ini telah dilancarkan secara rasmi pada 8 Julai 2011 oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Pada mulanya, projek MRT ini telah dicadangkan oleh satu konsortium sektor swasta pada awal 2010. Cadangan ini adalah untuk pembinaan sistem MRT dengan tiga jajaran.

Kerajaan telah membuat kajian atas cadangan tersebut dan meluluskan perlaksanaan jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang sebagai jajaran pertama sistem MRT Lembah Kelang. Kerajaan juga memutuskan dua jajaran yang lain akan dilaksanakan setelah kajian dijalankan melalui Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang yang dirangka oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Projek MRT Lembah Klang merupakan satu Projek Penggerak Ekonomi di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, salah satu daripada 12 NKEA yang merangkumi Program Transformasi Ekonomi (ETP). Program ini dilaksanakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri.

Dengan adanya MRT di Lembah Klang, sasaran untuk menjadikan 50% daripada kesemua perjalanan yang dilakukan di kawasan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang dengan menggunakan pengangkutan awam akan dapat dicapai.

Fasa pertama yang dilaksanakan untuk projek MRT Lembah Klang adalah jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang dengan jarak 51km.

Jajaran ini bermula dari Sungai Buloh di barat laut Kuala Lumpur, melalui pusat bandar raya dan berakhir di Kajang, sebuah bandar yang pesat membangun di tenggara Kuala Lumpur.

Sepanjang 9.5km jajaran ini akan dibina bawah tanah. Terdapat 31 stesen di sepanjang stesen ini, di mana tujuh adalah stesen bawah tanah. Fasa pertama jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang dari stesen Sungai Buloh hingga stesen Semantan, akan beroperasi pada akhir 2016. Fasa kedua dari stesen Semantan ke stesen Kajang akan beroperasi pada Julai 2017 dan ini akan membolehkan tren beroperasi di seluruh jajaran.


Recent Posts