Memaparkan catatan dengan label labuan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label labuan. Papar semua catatan

Khamis, Februari 06, 2020

Tapak geologi Tanjung Batu di Labuan berusia lebih 15 juta tahun


Tapak geologi Tanjung Batu, satu daripada enam tapak di Labuan yang berpotensi untuk pembangunan pelancongan, dianggarkan berusia lebih 15 juta tahun, menurut penemuan pihak berkuasa.

Perkara itu didedahkan pegawai Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli ketika lawatan ke tapak itu semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman memberitahu Bernama hari ini bahawa lawatan pegawai terbabit menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha memulihara tapak geologi di negara ini.

“Kami gembira apabila mengetahui bahawa Labuan memiliki tapak geologi yang boleh digunakan bagi aktiviti penyelidikan dan pendidikan, selain pembangunan geopelancongan,” katanya.

Sekurang-kurangnya tujuh tapak geologi bernilai tinggi ditemui di sini, yang melayakkan Labuan diisytihar sebagai geopark kebangsaan.

Daripada jumlah itu, enam telah melalui beberapa langkah sistematik termasuk pengenalpastian, pencirian, pengelasan, pentaksiran dan penilaian.

Fary berkata pelbagai agensi kerajaan yang relevan termasuk penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membantu Perbadanan Labuan untuk membangunkan tapak itu.

Penemuan ketujuh-tujuh tapak itu didedahkan oleh Jawatankuasa Pemandu Geopark Kebangsaan kepada pihak berkuasa tempatan, Perbadanan Labuan, pada tahun lalu.

Tapak itu terletak di Tanjung Batu, laluan pejalan Kaki Muzium Chimney, bekas lombong arang batu Lubok Temiang, Bukit Minyak Gas Ganggarak, Tanjung Layang-Layangan, volkano lumpur di Kampung Layang-Layangan dan Formasi Tanjung Punei Crocker daripada batu pasir di Tanjung Kiamsam.

Kesemua tapak telah dinilai pada Mei 2019 oleh jawatankuasa itu yang diketuai Profesor Datuk Dr Ibrahim Komoo.

Fary berkata sesetengah tapak geologi itu terletak di tanah persendirian dan rundingan perlu dilakukan untuk pemuliharaan lanjut.

“Perbadanan Labuan akan mengadakan seminar dan latihan bagi pemain industri pelancongan mengenai tapak pelancongan geologi,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Sabtu, November 04, 2017

5 Salah Sangka Tentang Labuan



Pulau Labuan yang terletak kira kira 10 kilometer (km) dari pantai barat Sabah kurang mendapat pendedahan di media.

Kebanyakan pelancong dari luar negara yang tidak pernah ke sana menganggap ia sekadar pusat perdagangan luar pesisir dan bandar pelabuhan.

Dari sudut pelancongan, ia tidak sepopular pulau-pulau lain di Malaysia seperti Pulau Pinang, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Pulau Redang atau Pulau Perhentian.

Namun, pulau tersebut sebenarnya menawarkan pelbagai keistimewaan yang pasti menarik untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan anda yang seterusnya.

Mari kita kenali lima salah sangka orang ramai tentang labuan.

1. Tiada apa yang menarik

Sebenarnya, pantai di sepanjang Pantai Batu Manikar hingga ke Pantai Sungai Pagar/Miri yang terletak di Labuan pernah dianugerahkan ‘United Nation COBSEA Clean Beach Award’ pada tahun 2008 dan diisytiharkan sebagai ‘101 The Most Beautiful Beaches In South East Asia’ pada tahun 2015.

Kepulauan Labuan juga terkenal sebagai destinasi aktiviti menyelam ‘scuba’ dan ‘snorkeling’.

Terdapat beberapa buah pusat menyelam bertaraf antarabangsa yang ditadbir oleh Jabatan Taman Laut Labuan.

Selain itu, terdapat tapak selaman kapal karam yang terbaik di Asia seperti ‘Australian Wreck’, ‘American Wreck’, ‘Cement Wreck’ dan ‘Blue Water Wreck’.

Pelancong juga boleh melawat Muzium Marin Labuan yang mempamerkan replika dan rangka hidupan laut selain dari akuarium yang menyimpan pelbagai khazanah hidupan laut.

2. Hanya ada bangunan moden

Sebenarnya, Labuan memiliki pelbagai khazanah lama seperti Muzium ‘Chimney’ yang mempamerkan sejarah zaman perlombongan Labuan di Tanjung Kubong.

Menara ‘Chimney’ yang menjadi identitinya dibina dengan 23,000 biji batu bata merah yang diimport dari England. 

Selain itu, taman peringatan tentang Perang Dunia Kedua boleh dilihat di ‘Surrender Point’ dan Taman Damai atau ‘Peace Park’ berhampiran Pantai Layang-Layangan.

Manakala, ‘War Memorial’ pula terletak di Tanjung Batu di bawah seliaan ‘Commonwealth War Grave Commission’ (CWGC) untuk memperingati  3,908 orang tentera yang telah terkorban.

3. Tiada tarikan flora fauna

Sebenarnya, di Labuan terdapat Taman Burung dengan kubah sangkar gergasi kembar tiga terletak berhampiran Tanjung Kubong.

Taman tersebut menyimpan hampir 580 spesis burung sama ada di dalam kurungan atau bebas berterbangan di dalam sangkar gergasi tersebut.

Selain itu, Taman Botanikal Labuan yang dibina pada 1852 pula pernah dijadikan kediaman rasmi Gabenor Labuan dan menjadi kunjungan kerabat diraja British seperti King Edward VII (Prince of Wales) pada tahun 1922.

4. Orang Labuan bertutur dialek Sabah

Sebenarnya, majoriti penduduk Labuan adalah bangsa Melayu berketurunan Kadayan Brunei.

Mereka beragama Islam dan bertutur Bahasa Melayu dialek Kadayan Brunei.

5. Susah untuk dikunjungi

Sebenarnya, penerbangan ke Lapangan Terbang Labuan adalah sekerap empat kali sehari iaitu dari Kuala Lumpur, Miri dan Kota Kinabalu.

Selain itu, perkhidmatan feri ekspres sebanyak tiga kali sehari disediakan dari Terminal Feri Serasa di Muara, Brunei Darussalam ke Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan atau perkhidmatan bot ekspres dua kali sehari dari Sabah melalui Kota Kinabalu, Lawas, Sipitang dan Limbang di Sarawak serta bot ekspres dari Menumbok, Sabah.

Sumber : mSTAR

Recent Posts