Memaparkan catatan dengan label kwsp withdrawal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kwsp withdrawal. Papar semua catatan

Khamis, April 18, 2024

KWSP bukan lagi pemegang saham besar Affin Bank


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak lagi menjadi pemegang saham besar Affin Bank Bhd selepas menjual tiga juta saham dalam kumpulan perbankan itu.

Pelupusan saham Affin Bank oleh KWSP itu dibuat pada 12 April lalu, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Affin Bank dalam makluman berkenaan tidak menyatakan nilai transaksi, atau baki jumlah saham yang dipegang oleh dana persaraan pekerja swasta itu.

Saham Affin Bank ditutup pada RM2.54 pada 12 April lalu.

Berdasarkan laporan tahunan Affin Bank bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, KWSP memegang sejumlah 121.91 juta saham dalam bank itu, bersamaan dengan 5.195 peratus kepentingan setakat 29 Februari lalu.

KWSP telah mengurangkan kepentingannya dalam Affin Bank dari Januari hingga akhir Februari, menjual sebanyak 16.46 juta saham sepanjang tempoh itu.

Ketika ini, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah pemegang saham terbesar Affin Bank dengan 28.79 peratus kepentingan, manakala anak syarikat milik penuhnya, Boustead Holdings Bhd memegang 20.02 peratus.

Affin Bank adalah bank kedua terkecil dari segi aset dalam kalangan lapan kumpulan perbankan di negara ini.


Ahad, April 17, 2022

Bayaran Pengeluaran khas KWSP dipercepatkan 18 April 2022

 


Pembayaran bagi pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 diawalkan bermula 18 April 2022 (Isnin).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pemohon yang membuat permohonan pengeluaran pada awal April lalu boleh mula menyemak akaun bank mulai tarikh 18 April 2022.

"Semoga bantuan ini dapat membuatkan sambutan Aidilfitri tuan puan lebih bermakna tahun ini. Insya-Allah," katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau malam ini.

KWSP dalam kenyataan semalam memaklumkan, sebanyak 5.3 juta permohonan untuk kemudahan Pengeluaran Khas diterima sejak dibuka pada 1 April hingga Khamis lalu, membabitkan amaun pengeluaran berjumlah RM40.1 bilion.

Jumlah permohonan itu merangkumi 44 peratus daripada 11.95 juta ahli yang layak membuat pengeluaran dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat.

Tarikh tutup bagi kemudahan Pengeluaran Khas adalah pada 30 April 2022 dan ahli boleh memohon melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my

Sumber dari Berita Harian

Jumaat, April 01, 2022

Permohonan pengeluaran khas RM10,000 KWSP melalui portal khas

 


Pencarum yang berhasrat mengeluarkan simpanan RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah kemudahan pengeluaran khas diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Mac lalu, boleh membuat permohonan melalui portal khas.

Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP memaklumkan, pemohon boleh berbuat demikian bermula 1 April ini melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih i-Akaun.

Bagaimanapun, dana persaraan itu menggalakkan pencarum menyemak baki simpanan KWSP mereka melalui i-Akaun, aplikasi mudah alih i-Akaun atau kios KWSP sebelum membuat permohonan pengeluaran berkenaan.

"Dalam pengumuman pada 16 Mac lalu, KWSP memaklumkan permohonan untuk pengeluaran itu akan dibuka kepada ahli bawah usia 55 tahun, bermula 1 April ini dan tempoh permohonan berakhir pada 30 April, manakala pembayaran akan bermula pada 20 April 2022.

"Jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50. Ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka serta perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun.

"Pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa ahli yang perlu memastikan akaun bank mereka aktif dan bawah nama ahli sendiri. Akaun bersama atau yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah tidak dibenarkan," kata KWSP.

Kenyataan itu memaklumkan, pencarum boleh membuat semakan status permohonan bermula 9 April melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.

"Pengeluaran khas ini bertujuan membantu ahli yang masih terkesan dengan pandemik untuk memenuhi keperluan mendesak hari ini. KWSP mengingatkan ahli supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan dan hanya mengeluarkan simpanan sekiranya benar-benar perlu," katanya.

KWSP memaklumkan, pencarum boleh berjumpa dengan pegawai khidmat nasihat ahli di mana-mana cawangan agensi berkenaan di seluruh negara untuk mendapatkan nasihat percuma mengenai simpanan mereka.

Maklumat lanjut mengenai kemudahan pengeluaran khas boleh diperoleh dengan menggunakan kemudahan 'Ask ELYA' dalam laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP atau menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di talian 03-8922 4848, bermula 1 April ini.


Recent Posts