Memaparkan catatan dengan label kpt. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kpt. Papar semua catatan

Jumaat, Mac 17, 2023

KPT pertimbang laluan khas ke IPTA, ILKA untuk lepasan institusi bawah JKM

 


Kerajaan hari ini bersetuju untuk meneruskan Laluan Khas Kemasukan Pelajar ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) melalui UPUOnline.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil 1/2023 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Beliau memaklumkan, Laluan Khas Kemasukan Pelajar itu melibatkan empat kumpulan sasaran, iaitu golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli dan atlet.

"Sejajar dengan hasrat peluasan akses pendidikan tinggi, KPT sedia menimbang cadangan Laluan Khas Kemasukan Pelajar sedia ada kepada calon lepasan Sekolah Tunas Bakti, Asrama Akhlak dan Taman Seri Puteri di bawah JKM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, laluan itu ialah kemasukan melalui kaedah khas dan calon tidak perlu bersaing dengan kumpulan arus perdana untuk melanjutkan pengajian masing-masing.


Khamis, September 22, 2022

KPT rancang tubuh universiti untuk wanita

 


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merancang untuk menubuhkan sebuah universiti khas untuk wanita, yang secara tidak langsung akan meningkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam hab pendidikan tinggi antarabangsa.

Menterinya Datuk Seri Noraini Ahmad berkata ketika ini bilangan mahasiswi di institut pendidikan tinggi awam ialah lebih 350,000 iaitu 61 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar, manakala lebih 530,000 iaitu 53 peratus pelajar wanita memasuki institut pengajian tinggi swasta.

“Malaysia kini mempunyai 131,000 pelajar antarabangsa dan kami menyasarkan 250,000 orang kemasukan pelajar antarabangsa menjelang 2025. Peningkatan ini termasuk penambahan besar badan pelajar yang terdiri daripada wanita.

“KPT menyambut baik sebarang cadangan untuk kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi yang akan memberi faedah bersama,” katanya semasa berucap dalam satu sesi membina jaringan hubungan di Putrajaya hari ini. 

Noraini berkata hanya terdapat satu universiti tempatan yang tersenarai dalam kedudukan 100 teratas QS World University Rankings (WUR) 2023 dan empat daripada lima universiti penyelidikan tempatan tersenarai dalam kedudukan 200 teratas carta tersebut. 

“Secara keseluruhannya, 24 universiti kita telah menunjukkan peningkatan ranking, menjadikan tahun ini antara yang paling berjaya dalam pendidikan tinggi berdasarkan ranking. Jika kita menubuhkan universiti untuk wanita, saya percaya kami boleh membantu universiti itu untuk turut berjaya dalam QS WUR,” katanya. 

Noraini berkata KPT komited dalam memperkukuh kerjasama dan mengurangkan halangan dalam perkhidmatan pendidikan bersama rakan antabangsanya.

“Kami percaya pengantarabangsaan pendidikan tinggi akan meningkatkan persaingan sekali gus menambah baik kualiti dalam kalangan lulusan universiti. 

“Kami juga menyasarkan sistem pendidikan untuk memenuhi permintaan pasaran kerja dan masyarakat,” katanya dan menambah selari dengan objektif itu, institut pendidikan tinggi telah melancarkan pelbagai inisiatif termasuk mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian (MoA).

Beliau berkata tahun ini, beliau berpeluang untuk menyaksikan pemeteraian 12 MoU dan satu MoA di India, Qatar, United Kingdom, Romania, Turkiye, dan Kanada.

“Kerjasama ini diadakan bagi memudahkan kolaborasi penyelidikan dan aktiviti inovasi, program mobiliti pelajar dan kakitangan, penganjuran seminar bersama dan banyak lagi,” katanya.

Noraini berkata usaha lain yang dijalankan kementerian itu ialah penubuhan program luar negeri oleh universiti tempatan seperti Universiti Sains Malaysia yang melaksanakan program itu di Turkiye dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bakal memulakan programnya di Qatar bulan depan.

“UKM akan turut membuka kampus cawangannya di Doha pada 2025, menjadikan ia universiti awam pertama yang mempunyai kampus fizikal di luar negara.

“Selain itu, perbincangan sedang dijalankan mengenai penubuhan Kerusi Pengajian Melayu di Jawaharlal Nehru University di India dan di Pusat Pengajian Orang Timur dan Afrika di University of London," katanya."

Sumber : Bernama

Isnin, Ogos 08, 2016

Semakan Permohonan Kemasukan Ke Universiti Awam Sesi 2016/17 (Lepasan STPM / Marikulasi)



Status permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi (Ijazah Pertama) Sesi Akademik 2016/2017 boleh disemak bermula Isnin.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Asma Ismail dalam kenyataan hari ini berkata pemohon boleh menyemak status permohonan mereka di laman web, http://upu.mohe.gov.my atau di talian 03-8870 6767 atau menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPU RESULT (NOMBOR KAD PENGENALAN) dan hantar ke 15888.

"Sebanyak 58,011 permohonan telah diterima dan 54,618 (94.2 peratus) adalah calon yang layak dan melepasi syarat am universiti serta syarat khas program pengajian," katanya.

Asma berkata daripada jumlah calon yang layak, sebanyak 39,862 (73 peratus) telah ditawarkan tempat serta seramai 3,873 calon cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 berjaya mendapat tawaran di UA.

"Kementerian mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pemohon yang telah berjaya menerima tawaran," katanya.

Jelasnya keputusan yang diumumkan hanya melibatkan 18 buah UA yang diselaraskan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar JPT, tidak termasuk Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) yang membuat pengambilan sendiri.

"Pihak UA akan mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada calon yang berjaya mulai esok (9 Ogos) dan calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan setuju menerima tawaran oleh UA dalam tempoh 10 hari iaitu pada atau sebelum 22 Ogos,"katanya.

Asma berkata kejayaan calon untuk memperoleh tempat bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian di UA yang dipohon.

"Jika merit calon tidak begitu tinggi dan memohon program pengajian kompetitif, berkemungkinan besar calon tidak terpilih untuk ditawarkan program pengajian dalam pilihan mereka.

"Begitu juga jika calon hanya memohon di UA yang popular, calon akan menghadapi persaingan yang tinggi dan akhirnya tidak mendapat apa-apa tawaran daripada UA berkenaan," katanya.

Menurutnya hanya pemohon yang gagal menerima sebarang tawaran ke UA boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline e-Rayuan di http://upu.mohe.gov.my.

"UPUOnline e-Rayuan akan dibuka dalam tempoh lima hari mulai 8 Ogos, 12 tengah hari sehingga 12 Ogos, 11.59 malam," katanya.

Katanya keputusan pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat mengikut program pengajian di UA dan menegaskan bahawa tawaran adalah muktamad.

"Jika tiada sebarang jawapan diterima daripada UA sehingga 13 September 2016, maka rayuan tersebut hendaklah dianggap gagal," katanya.

Asma berkata keputusan permohonan rayuan kemasukan ke UA bagi program ijazah pertama untuk lepasan STPM/Setaraf akan diumumkan sebanyak dua kali iaitu pada 25 Ogos dan 13 Sept.

Katanya tarikh pendaftaran untuk pelajar baharu pada 28 Ogos hingga 4 September mengikut UA masing-masing.

Recent Posts