Memaparkan catatan dengan label kit ujian covid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kit ujian covid. Papar semua catatan

Khamis, November 25, 2021

Kit ujian kendiri kini RM4.90 seunit

 

Kit ujian pantas (RTK) antigen menggunakan sampel air liur kini dijual pada harga lebih rendah, iaitu RM4.90 tanpa menjejaskan aspek kualiti peranti berkenaan.

Penurunan harga sebanyak 87.7 peratus sejak kit berkenaan pertama kali dijual di pasaran bagi kegunaan orang ramai disifatkan selari usaha kerajaan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ketika mengumumkan perkara itu berkata kit ujian kendiri COVID-19 sudah menjadi keperluan seisi rumah, memandangkan kadar penularan pandemik masih tinggi di Malaysia.

Susulan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian, beliau mengakui bahawa keperluan untuk membuat ujian kendiri menjadi lebih mendesak serta perlu dilakukan dengan kerap.

"Kementerian sentiasa mendengar keluhan rakyat yang terkesan akibat penjualan kit ini pada harga tinggi sebelum ini, justeru menerusi usaha bertali arus, kita berjaya menurunkan harga kit ujian kendiri daripada RM39.90 kepada harga siling RM19.90, di peringkat runcit.

"Melalui perbincangan berterusan yang diadakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Kesihatan (KKM), saya bersetuju harga kit ini perlu diturunkan lagi, tanpa berkompromi dengan kualiti kit ujian.

"Semestinya saya mahu kit ini dapat dibeli dengan harga mampu milik supaya semua rakyat dapat melakukan sendiri ujian secara kerap dan antara strategi yang dilaksanakan adalah dengan memberikan kebenaran kepada lebih banyak premis seperti di pasar raya dan kedai rangkaian.

"Setakat ini, KPDNHEP sudah memberikan kebenaran kepada 7,302 premis di seluruh negara untuk menjual kit ujian kendiri ini yang diberikan kebenaran oleh KKM dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Alexander menyumbangkan 2,000 naskah akhbar BH kepada rangkaian pasar raya, 99 Speedmart untuk diedarkan kepada pengunjung dan pelanggan, sempena pembukaan cawangan kedai berkenaan yang ke-2,000 di Puncak Sentul, di sini.

Alexander berkata, keputusan memperluaskan penjualan kit ujian kendiri kepada rangkaian sektor peruncitan di negara ini menyaksikan harga peranti berkenaan berupaya diturunkan sehingga mencecah paras RM6.90 sebelum ini.

"Tetapi hari ini, saya amat gembira melihat inisiatif yang diambil oleh 99 Speedmart yang sudah mula menjual kit ini pada harga RM4.90 seunit.

"Kerjasama dari peniaga seperti ini amat kami hargai, bagi kita sama-sama membantu meringankan beban rakyat, terutama dalam usaha kita mengawal dan menurunkan jumlah kes COVID-19 di Malaysia.

"Saya berharap lebih banyak premis akan mengambil langkah yang sama dalam waktu terdekat," katanya.

- Berita Harian

 

 

Sabtu, Julai 17, 2021

Kit ujian kendiri buatan Malaysia dijual minggu depan

 

Kit ujian kendiri pantas antigen COVID-19 buatan Malaysia yang pertama, 'Kit Ujian Pantas Antigen Salixium COVID-19', akan mula dijual kepada orang awam pada 19 Julai ini, kata MeDKAD Sdn Bhd (MeDKAD).

Pengurus Projek MeDKAD, Syahriah Razak berkata kit Salixium itu dapat mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam air liur manusia dan persampelan melalui hidung.

Kit ujian pantas mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk dilakukan dan hasilnya dinilai oleh jalur yang dapat dilihat dengan jelas, ia akan mengesahkan kewujudan antigen.

"Kewujudan atau ketiadaan antigen SARS-CoV-2 dalam persampelan akan ditunjukkan menerusi jalur berwarna merah jambu/ungu di kit itu. 

"Sekiranya sampel berkenaan tidak mengandungi antigen SARS-CoV-2, tiada jalur warna akan muncul, menunjukkan hasil ujian adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai pengawalan prosedur, jalur warna kit yang kelihatan itu mengesahkan persampelan yang betul tanpa mengira sama ada wujud atau tiada antigen SARS-CoV-2 dalam sampel terbabit, katanya.

Sebanyak 242 sampel air liur atau calitan hidung diuji dengan Salixium dan keputusan menunjukkan bahawa sensitiviti Salixium adalah 91.23 peratus manakala ketepatannya ialah 100 peratus, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob, berkata MeDKAD mempunyai saintis dan pakar perubatannya sendiri yang mempunyai kemampuan untuk bukan sahaja bagi membangunkan kit ujian mereka sendiri tetapi untuk bekerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan luar negara untuk memastikan keberkesanan produk berkenaan.

Selain Malaysia, MeDKAD merancang untuk menembusi pasaran di negara-negara lain di Asia, Eropah dan Asia Barat kerana Salixium juga digunakan secara meluas di Perancis, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terutama di Dubai.

Ditubuhkan pada 2016 dan beribu pejabat di Shah Alam, Selangor, MeDKAD adalah syarikat teknologi kesihatan yang memberi perkhidmatan kepada syarikat untuk menguruskan manfaat perubatan mereka dengan lebih baik.

Sumber : BERNAMA

 

 

Recent Posts