Memaparkan catatan dengan label kebolehpasaran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kebolehpasaran. Papar semua catatan

Rabu, Mei 25, 2022

Malaysia laksanakan 5 inisiatif atasi penurunan kebolehpasaran graduan

 


Malaysia telah melaksanakan lima inisiatif intervensi bagi mengatasi penurunan kebolehpasaran graduan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika berucap pada Forum Pendidikan Sedunia (EWF) di London, Selasa lalu, berkata inisiatif itu meliputi Program Penjana Kemajuan Kerjaya KPT (Penjana KPT-CAP), Program 'Teaching Factory', Transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), pendidikan fleksibel dan kursus 'microcredential' serta program mobiliti.

Noraini berkata, kajian pengesanan graduan atau 'Kajian Tracer' mendapati kebolehpasaran graduan Malaysia menurun kepada 84.4 peratus pada 2020 berbanding 86.2 peratus tahun sebelumnya, akibat penularan COVID-19.

Sebagai tindak balas strategik untuk mengelak kemerosotan selanjutnya, KPT melaksanakan beberapa inisiatif intervensi yang membolehkan kadar kebolehpasaran siswazah meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada 85.5 peratus pada 2021.

Mengenai Penjana KPT-CAP, Noraini berkata, kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi program peningkatan kemahiran serta membentuk kemahiran semula selama empat hingga enam minggu yang membabitkan industri dan telah memanfaatkan 20,000 graduan.

Antara keunikan Penjana KPT-CAP ialah syarikat yang mengambil bahagian menandatangani 'Surat Akujanji' bagi memastikan graduan mendapat pekerjaan sekurang-kurang 12 bulan selepas program selesai.

Selain itu, Noraini berkata, Malaysia turut melaksanakan program 'Teaching Factory' bagi memastikan graduan bersedia memenuhi permintaan semasa serta pasaran kerja.

Ia dilaksanakan empat universiti awam yang mengkhusus dalam program teknikal dan teknologi tinggi berorientasikan praktikal dengan kerjasama pemain industri untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), latihan serta perkhidmatan dalam bidang-bidang berkaitan.

Seterusnya, beliau berkata, Malaysia melaksanakan transformasi TVET bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, dengan penubuhan Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Majlis itu berperanan menasihati kerajaan mengenai bakat diperlukan industri pada masa ini dan akan datang, serta teknologi yang perlu diberikan tumpuan di universiti," menurut kenyataan berkenaan.

Selain itu, program pendidikan fleksibel dan 'microcredential' serta program mobiliti turut membantu dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan ketika pandemik.

EWF merupakan forum antarabangsa peringkat menteri yang dianjurkan secara tahunan di London sejak 2002. Ia bertindak sebagai platform perbincangan serta perkongsian pandangan, pengalaman, dasar, strategi dan hala tuju pembangunan pendidikan, selain isu-isu utama serta terkini dalam bidang pendidikan pada peringkat global.

Sumber : BERNAMA

Recent Posts