Memaparkan catatan dengan label kad debit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kad debit. Papar semua catatan

Rabu, November 16, 2022

Affin Bank lancar kad kredit, debit Alumni UKM Affin

 


Affin Bank Bhd memperkenalkan kad kredit dan debit jenama bersama Alumni UKM Affin yang direka khusus untuk komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkumi alumni dan alumni bersekutunya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kerjasama seperti itu adalah bukti komitmen mereka untuk meluaskan jaringan segmen pelanggan ke arah memudahkan akses kepada perkhidmatan perbankan dan selaras dengan komitmen bank ke arah menyediakan perkhidmatan yang tiada tandingan kepada pelanggan.

"Mereka boleh menikmati keistimewaan yang ditawarkan oleh kad kredit dan debit ini, serta produk lain dan penyelesaian kewangan kami yang akan disediakan pada kadar kompetitif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Prof Madya Dr Mohd Suzeren Md. Jamil berkata sempena majlis konvokesyen UKM ke-50 akan datang, kad itu dibuat khusus untuk memberi penghormatan dan penghargaan kepada alumni.

"Ia diperkenalkan untuk menonjolkan identiti alumni UKM dan mewakili jalinan sepanjang hayat alumni bersama alma mater mereka.

"Melalui kad ini, alumni UKM layak menerima pelbagai faedah yang ditawarkan oleh Affin Bank dan universiti, antaranya ialah pengurangan yuran pendaftaran, penggunaan kemudahan sukan,keahlian perpustakaan, penggunaan makmal penyelidikan dan banyak lagi," katanya.

Bersempena dengan pelancaran kad kredit dan debit jenama bersama Alumni UKM Affin di pasaran hari ini, pemegang kad berkenaan boleh menyertai peraduan istimewa "Win a Vespa" dan berpeluang memenangi salah satu daripada tiga Vespa Primavera 150.

Kempen itu bermula 16 November 2022 sehingga 15 Mei 2023.

Pemegang kad kredit Alumni UKM Affin akan menerima satu penyertaan bagi setiap permohonankad yang diluluskan, manakala pemegang kad debit Alumni UKM Affin pula akan mendapat satupenyertaan menerusi setiap lima transaksi perbelanjaan runcit untuk berpeluang memenangihadiah tersebut.

Sumber : Bernama

Isnin, Disember 19, 2016

Tiada Caj Pembaharuan Kad ATM - BNM



Bank Negara Malaysia (BNM) menyangkal laporan baru-baru ini yang mendakwa pemegang kad ATM dikenakan caj pembaharuan selain tidak boleh menggunakan kad sedia ada untuk pengeluaran tunai jika tidak digantikan dengan kad berasaskan PIN.

Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata orang ramai boleh menukar kad ATM secara percuma.

"Kad ATM di Malaysia yang juga merupakan kad debit, membolehkan pemegang membuat belian di terminal semasa jualan (POS).

"Mereka yang belum menukar kad masing-masing boleh terus menggunakannya untuk pengeluaran tunai di ATM," katanya.

Bagi penggunaan kad ATM sebagai kad debit untuk transaksi belian di terminal POS, bank dikehendaki memberikan notis yang mencukupi dan tempoh masa yang munasabah untuk penukaran kad sebelum menamatkan fungsi kad sedia ada.

BNM berkata bank-bank kini giat menggantikan kad pembayaran berasaskan tandatangan pelanggan kepada kad bersaskan PIN dan menyasarkan proses itu selesai menjelang 1 Januari, 2017.

Bermula 1 Julai, 2017, semua pembayaran transaksi kad menggunakan kad penbayaran keluaran tempatan di terminal POS di Malaysia hanya boleh dilakukan menggunakan PIN, dan pengesahan menggunakan tandatangan tidak lagi digunakan.

"Inisiatif memindahkan kad pembayaran berasaskan PIN bagi transaksi POS bertujuan meningkatkan keselamatan dan melindungi kepentingan pemegang kad.

"Untuk tujuan itu, orang ramai dinasihatkan segera menggantikan kad masing-masing," katanya.

- BERNAMA

Selasa, Ogos 23, 2016

Sistem Kad Bank 'Pin Dan Bayar' Pada 1 Julai 2017



Transaksi pengesahan pembayaran kad kredit dan debit menggunakan tanda tangan akan dihapuskan secara berperingkat untuk digantikan dengan sistem berasaskan nombor pengenalan peribadi (PIN) pada 1 Julai, 2017.

Sehubungan itu, kata Pengarah Dasar Sistem Pembayaran Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Nyat Chuan, para pemegang kad akan diberi tempoh selama enam bulan mulai Januari sehingga Jun 2017 untuk membiasakan diri dengan sistem baharu itu sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

Sistem 'pin dan bayar' itu membolehkan pemegang kad membuat pembayaran dengan memasukkan PIN enam digit tanpa menurunkan sebarang tanda tangan seperti sekarang.

Langkah yang dipertingkat itu juga akan menjadikan sistem pembayaran jauh lebih selamat.

"Sasaran (kami) adalah supaya semua pelaksanaan aspek infrastruktur dan penggantian kad itu dapat disiapkan menjelang 31 Dis, 2016," katanya kepada wartawan selepas menghadiri Pameran Bergerak e-Bayaran Kebangsaan 2016, di Miri, Sarawak.

Program itu dianjurkan bersama oleh BNM, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia serta Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Islam Malaysia.

Mengulas lanjut, Tan berkata selain sistem 'pin dan bayar,' pemegang kad juga dapat membuat bayaran menggunakan sistem 'tap-and-go' bermula 1 Jan, 2018.

Malah, katanya, seramai 44.3 juta pemegang kad dapat menikmati kemudahan itu  sebaik sistem baharu beroperasi kelak.

"Pemegang kad boleh menggunakan kaedah 'tap-and-go' untuk transaksi membabitkan nilai yang rendah," katanya.

Mengulas e-bayaran, Tan berkata bagi tempoh Januari sehingga Jun 2016, penggunaan cek berkurangan sebanyak 10 peratus berikutan peningkatan penggunaan kaedah Interbank Giro (IBG) iaitu sistem pindahan dana antara bank dan Instant Interbank Fund Transfer (IBFT) atau pindahan segera.

"Pertumbuhan transaksi IBG dan IBFT masing-masing meningkat sebanyak 18 peratus dan 94 peratus," katanya.

Recent Posts