Memaparkan catatan dengan label jeli. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jeli. Papar semua catatan

Rabu, April 21, 2021

Batu kecubung bernilai tinggi ditemukan di Jeli

 

Ketulan batu kecubung atau nama saintifiknya amethyst yang bernilai tinggi ditemukan di kawasan perlombongan di Jeli, Kelantan.

Ia ditemui penuntut Fakulti Sains Bumi (FSB) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersama 36 mahasiswa jurusan Geologi dari universiti di Indonesia menerusi Program International Geomapping Jeli (IGJ) 2021.

Ketua Jabatan Geosains FSB, Dr Wani Sofia Udin, berkata peserta turut menemui ketulan batuan kuartza dan penemuan dragfold iaitu kesan geologikal struktur pada batuan yang amat jarang ditemui.

"Turut ditemui ialah batuan jenis pyrite dan batu gunung berapi di mana dengan penemuan berkenaan, pelajar dapat mengkaji morfologi dan mengemas kini peta geologi kawasan Jeli melalui aktiviti pemetaan yang dilakukan.

"Kajian ini memberi hasil yang penting kepada mahasiswa khususnya untuk memberi pendedahan terhadap pemetaan geologi serta mengaplikasikan di dalam kerja lapangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penuntut diberi tugasan yang berkaitan subjek asas pemetaan untuk dipelajari dan hasil daripada ekspedisi kajian mengenai batuan itu mereka berjaya menemui beberapa mineral yang terbaharu dan sukar ditemukan

Katanya, seramai 48 penuntut Geosains UMK dan 36 mahasiswa jurusan Geologi dari universiti di Indonesia mengikuti program IGJ.

"Program anjuran Jabatan Geosains, FSB dengan kerjasama Pusat Antarabangsa UMK ini menerima penyertaan dari Institut Teknologi Bandung, Universitas Jambi, Universitas Tadulako, Universitas Padjadjaran, Universitas Hasanuddin dan Universitas Gadjah Mada.

"Peserta antarabangsa akan mengikuti kajian secara maya di mana penuntut UMK akan membuat panggilan video kepada mereka bagi menerangkan penemuan batuan hasil daripada kajian pemetaan di lapangan.

"Mereka akan ditempatkan di kawasan kajian sekitar Jeli iaitu Bukit Jeli, Bukit Salor, Kampung Lawar, Kampung Sungai Rual, Lata Chenai, Sungai Pergau, Sungai Renyok dan Sungai Tadah," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts