Trend terbaharu jangkitan COVID-19 terhadap kanak-kanak semakin
membimbangkan dengan lebih ramai bayi berusia bawah dua tahun yang
dijangkiti berada dalam keadaan lebih serius berbanding dahulu.
Pakar Pediatrik Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS), Dr Mohd
Zuraizi Jaafar, berkata meskipun mengikut statistik, peratusan jangkitan
terhadap kanak-kanak masih rendah tetapi kadar kemasukan ke Unit
Rawatan Rapi (ICU) semakin tinggi.
Beliau berkata, trend terbaharu jangkitan terhadap kanak-kanak
terutamanya melalui gelombang ketiga dan keempat ini, berkemungkinan
berkait dengan varian COVID-19 baharu yang disifatkan sebagai lebih
ganas dan cepat tersebar.
"Jika anda terdedah kepada jangkitan COVID-19, perhatikan keadaan
anak-anak. Meskipun kadar jangkitan kepada golongan ini masih rendah
tetapi keadaan mereka lebih mudah menjadi teruk dengan pantas.
"Jika anak-anak sudah semakin kurang menyusu atau makan, kurang
aktif, mulai selesema atau batuk, jangan berlengah dan terus bawa mereka
ke hospital pakar seperti hospital negeri.
"Jangan beri tambahan risiko pendedahan kepada perawat perubatan yang
lain. Terus ke pusat saringan di hospital dan maklumkan bahawa ibu bapa
dan penjaga terdedah kepada pesakit COVID-19 yang berada dalam tempoh
kuarantin atau rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zuraizi berkata, secara umumnya pada peringkat awal gelombang
pertama, kadar jangkitan dan keseriusan COVID-19 kepada kanak-kanak
adalah rendah dan ini meredakan kebimbangan ibu bapa dan juga pakar
mengenai jangkitan terhadap golongan itu.
Bagaimanapun, disebabkan trend terbaharu ini, Mohd Zuraizi sebagai
pakar kanak-kanak menyarankan ibu bapa untuk tidak mengambil ringan dan
sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di luar rumah
terutamanya pada waktu bekerja.
Ibu bapa katanya, perlu mematuhi penjarakan satu meter dan memastikan
penggunaan pelitup muka terutamanya apabila berada di antara rakan
sekerja, pelanggan atau jiran tetangga bagi mengurangkan risiko membawa
virus ini balik ke rumah kepada anak-anak.
"Ibu bapa perlu memastikan mereka sentiasa mencuci tangan atau
membersihkan diri sebelum bersentuhan atau ketika memeluk dan mencium
anak-anak.
"Paling tidak, gunakan pembasmi nyahkuman sebelum mengambil anak-anak
di taska atau sebelum berjumpa anak di rumah sebaik pulang dari kerja,"
katanya.
Mohd Zuraizi berkata vaksin COVID-19 terbukti mengurangkan sehingga
50 peratus pembawa di rongga hidung justeru ia dapat mengurangkan risiko
membawa virus balik ke rumah kepada anak-anak sekalipun ibu bapa
mempunyai kontak dengan rakan sekerja yang positif COVID-19.
"Ibu bapa yang sudah berada dalam senarai penerima vaksin COVID-19
tidak sepatutnya berdolak dalik atas kesibukan atau ketakutan disebabkan
maklumat tidak tepat melalui media sosial atau aplikasi WhatsApp yang
bertujuan menakut-nakutkan masyarakat.
"Bagi ibu bapa atau penjaga yang merantau dan berjauhan dari ibu bapa
di kampung, tahanlah kehendak diri untuk pulang ke kampung walaupun
sudah divaksin. Konsep vaksin adalah satu ikhtiar yang perlu difahami
oleh kita semua.
"Jika sudah divaksin dan dijangkiti, anda sendiri mungkin tidak
bergejala kerana tindak balas vaksin sudah berkesan tetapi ibu bapa yang
sudah berusia atau anak-anak yang belum divaksin akan berisiko terdedah
secara tidak langsung," katanya.
Sumber : Berita Harian