Memaparkan catatan dengan label j&t. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label j&t. Papar semua catatan

Sabtu, Februari 13, 2021

Potongan komisyen, beban kerja punca pekerja J&T mogok

 

 

Tidak berpuas hati dengan pemberian bonus berdasarkan prestasi dan perubahan struktur bayaran komisen secara unilateral yang menyebabkan pendapatan pekerja berkurangan menjadi punca berlaku mogok oleh beberapa pekerja syarikat kurier J&T Ekspress (Malaysia) Sdn. Bhd.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan siasatan terhadap beberapa premis perniagaan syarikat di Perak, Melaka, Johor dan Selangor mendapati ia antara lain berpunca akibat bebanan kerja dialami pekerja-pekerja di bahagian gudang berikutan peningkatan mendadak bungkusan yang diterima.

Bagaimanapun, kenyataan itu menjelaskan, pihak majikan memaklumkan isu tersebut sudah selesai dan hanya cetusan salah faham antara majikan dan pekerja yang menyebabkan kejadian itu berlaku.

“J&T telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada para pelanggan dan menjelaskan tentang sistem pemberian bonus kepada kakitangan yang menjadi punca ketidakpuasan hati kakitangan J&T.

“Oleh itu, para majikan digesa supaya sentiasa mengadakan perbincangan dengan pekerja terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan melibatkan kepentingan pekerja,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, tular video berdurasi 15 saat yang menunjukkan beberapa pekerja J&T dilihat melemparkan barangan sambil disambut teriakan oleh pekerja lain. Kejadian itu dilaporkan berlaku di Perak.

Sementara itu, J&T Express Malaysia Perak sudah meminta maaf secara bertulis atas sikap pekerja mereka dalam urusan mengagihkan bungkusan.

Untuk rekod, situasi dihadapi pekerja syarikat J&T hampir sama dengan syarikat penghantar makanan Foodpanda pada 2019 apabila kebanyakan penghantarnya mogok di seluruh negara akibat tidak puas hati dengan skim pembayaran baharu yang dikatakan tidak menjamin kebajikan mereka.
 

Sumber : UTUSAN

Ahad, Februari 07, 2021

J&T mohon maaf isu pekerja mogok

 

Syarikat kurier, J&T Express (J&T) memohon maaf kepada pelanggannya di seluruh negara berhubung kejadian pekerja mogok dan membaling barang yang tular di media sosial. J&T dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, insiden berlaku disebabkan kakitangan kurang jelas mengenai sistem pengagihan bonus sehingga menjadi punca kejadian mogok serta tindakan membaling barangan milik pelanggan oleh kakitangan syarikat itu.

"Sebenarnya J&T sudah memberikan pembayaran pekerja akhir tahun selepas membuat pertimbangan komprehensif, bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang bonus serta undang-undang perburuhan.

"Bonus penuh dibayar kepada pekerja yang bekerja selama tempoh satu tahun dan ia (bonus) dibayar mengikut tempoh masa pekerja yang bekerja kurang dari satu tahun," katanya dalam satu kenyataan.

J&T turut memaklumkan, disebabkan masalah itu ada segelintir kakitangan yang kurang jelas berhubung sistem pengagihan bonus, sekali gus menyebabkan pengagihan bungkusan secara kasar, selain menghasut pekerja melakukan gangguan bersama dan menyebarkan rakaman video di media sosial.

"Bagaimanapun, pihak pengurusan hub di negeri Perak segera menangani dan menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku.

"Pada 5 Februari lalu, pekerja kembali menjalankan tugas seperti biasa untuk menyusun dan memproses bungkusan pelanggan.

"Kami ingin menjelaskan, J&T tidak akan memotong atau berhutang gaji kepada pekerja dan bersedia menerima pengawasan dan pemeriksaan oleh masyarakat, selain institusi yang terbabit," katanya.

Kenyataan itu juga berkata, J&T komited meningkatkan pampasan dan faedah pekerja dari semasa ke semasa serta mempromosikan pembangunan ekonomi sosial dan industri e-dagang Malaysia.

Dalam pada itu, J&T turut memberi maklum balas mengenai aduan pelanggan mengenai pekerja syarikat terbabit yang didakwa mencuri makanan dan minuman daripada bungkusan pelanggan.

"Disebabkan peningkatan pesat jumlah bungkusan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak kami (J&T) mengambil lebih banyak bungkusan daripada masyarakat.

"Dalam tempoh itu, syarikat mengupah lebih ramai pekerja sementara dan hanya memberikan latihan yang asas kepada mereka.

"Ini adalah kesalahan dalam pengurusan dan kami juga sudah merumuskan peraturan dan kaedah pengurusan baharu, khususnya untuk penyelesaian dan pengawasan insiden serupa serta menyelesaikan bungkusan yang hilang dengan cepat," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial video pekerja syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan selepas dipercayai mogok susulan majikan mengurangkan komisen kerja.

Rakaman video berdurasi 15 saat di salah sebuah hub kurier syarikat itu turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran.

Video itu mendapat pelbagai reaksi netizen dan pelanggan yang kesal dengan tindakan pekerja terbabit kerana dikhuatiri akan merosakkan barangan dalam bungkusan.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Recent Posts