Memaparkan catatan dengan label hukuman mati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hukuman mati. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 10, 2022

Hukuman mati mandatori dimansuhkan

 


Kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin.

Wan Junaidi dalam satu kenyataan, hari ini, berkata kerajaan juga secara prinsipnya menerima serta mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian itu.

"Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), serta 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.

"Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain kementerian dan jabatan berkepentingan.

"Tindakan ini amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip 'proportionality' serta keperlembagaan (constitutionality) mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti," katanya.

Selain itu, Wan Junaidi memaklumkan, kerajaan juga akan mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di negara ini.

Antaranya, pewujudan prosedur pra-penghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman, pembangunan Garis Panduan Penghukuman, penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan, dan pelaksanaan hukuman berdasarkan 'restorative justice'.

Beliau menjelaskan, keputusan berkaitan perkara itu menunjukkan keutamaan kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin.

"Ia sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambah baik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik," katanya.

Beliau berkata, kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen diberikan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori, dalam penghasilan laporan kajian itu yang menjadi asas kepada perubahan sistem keadilan jenayah negara yang lebih sistematik dan efektif.

Jawatankuasa itu diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum, dan dianggotai pakar dalam bidang perundangan meliputi bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang dari institusi pengajian awam terkemuka, serta pakar kajian jenayah.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, turut kongsikan kenyataan Wan Junaidi berkenaan menerusi akaun Twitter beliau, hari ini.

"Kabinet bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia. Undang-undang berkaitan akan dipinda," katanya.

Sumber : Berita Harian

Jumaat, Oktober 12, 2018

Hukuman mati akan dihapuskan


Penangguhan hukuman mati mandatori diumumkan kerajaan akan memberi kesan kepada 1,278 banduan yang sebelum ini didapati bersalah oleh mahkamah berikutan pelbagai kesalahan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman, berkata pihaknya akan akur terhadap sebarang percaturan Kabinet, termasuk pertimbangan sebulat suara untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mati mandatori.

Beliau menyifatkan langkah penghapusan bersandarkan prinsip kemanusiaan itu sejajar dasar kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) yang menjanjikan bahawa sudah tiba masanya hukuman berat berkenaan digantikan dengan kaedah lain.

“Itu dasar kita sebagai sebuah kerajaan baharu, justeru kementerian mengalu-alukan ia kerana mengikut prinsip kemanusiaan. Kita akan cari hukuman lebih setimpal tanpa menggunakan tindakan punitif berbentuk mati mandatori.

“Sehubungan itu, mengikut perangkaan kita setakat ini, pengumuman penangguhan hukuman mati mandatori berkenaan akan memberi kesan kepada 1,278 banduan.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) selaku badan pelaksana akan mengikut keputusan Kabinet jika arahan penangguhan (hukuman mati mandatori) dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, semalam dilaporkan berkata pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini.

Susulan pengumuman itu, katanya, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan berkenaan berkuat kuasa.

Berdasarkan perangkaan hingga 1 Oktober lalu, Azis berkata, jumlah banduan yang menghuni penjara adalah seramai 59,245 orang, iaitu 45,388 daripada ialah rakyat negara ini manakala selebihnya, iaitu 13,857 terdiri daripada warga asing.

INFO:

• 1,278 banduan dijatuhi hukuman mati

• 59,245 banduan menghuni penjara, setakat 1 Oktober 2018

• 45,388 banduan ialah warga Malaysia

• 13,857 warga asing

- BERITA HARIAN

Recent Posts