Memaparkan catatan dengan label gelombang haba. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label gelombang haba. Papar semua catatan

Khamis, Mei 02, 2024

Gelombang panas merentasi Asia

 


Beberapa kawasan di Asia sedang mengalami cuaca panas terik berikutan gelombang haba melepasi suhu pecah rekod dari Myanmar hingga Filipina, sekali gus memaksa jutaan kanak-kanak tinggal di rumah dan tidak ke sekolah.

Saintis memberi amaran keadaan itu akan menjadi lebih kerap kerana perubahan iklim.

-ADVERTISEMENT-

Cuaca panas melanda sebahagian besar Asia Selatan dan Asia Tenggara, dengan suhu pecah rekod di Chauk, Myanmar dan ibu negara Filipina, Manila, sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Pihak berkuasa Thailand mengeluarkan amaran mengenai keadaan yang teruk, manakala pihak berkuasa di Kemboja, Myanmar, Vietnam, India dan Bangladesh, meramalkan suhu melebihi 40 darjah Celsius.

Filipina dan Bangladesh kedua-duanya menggantung pembelajaran secara bersemuka, manakala India sedang mengkaji sama ada cuaca panas menjejaskan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya negara.

Kawasan utara di Jepun turut terjejas, dengan suhu di Sapporo pada bulan ini melepasi 25 darjah Celsius.

Musim tengkujuh atau musim hujan di rantau ini adalah panas tetapi suhu tahun ini adalah atas suhu purata di banyak negara.

Menurut pakar, perubahan iklim menyebabkan gelombang haba yang lebih kerap dan lebih lama.

Sementara itu, Pertubuhan Meteorologi Sedunia, sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, Asia mengalami pemanasan lebih cepat daripada purata global.

Ahli meteorologi dan felo penyelidik pelawat di Universiti Teknologi Sydney berkata, fenomena El Nino memainkan peranan terhadap suhu panas pada tahun ini.

Sumber : Reuters

Jumaat, April 21, 2023

Gelombang haba ekstrem melanda Asia


 Gelombang haba teruk yang menyebabkan kematian melanda sebahagian besar rantau Asia dengan sekolah-sekolah di India ditutup, manakala suhu melampau direkodkan di negara jirannya, China, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Ahli klimatologi dan sejarah cuaca, Maximiliano Herrera menyifatkan suhu tinggi luar itu sebagai gelombang haba April paling buruk dalam sejarah Asia.

Di China, media tempatan melaporkan bahawa rekod suhu panas untuk April itu dicatat di kebanyakan lokasi termasuk Chengdu, Zhejiang, Nanjing, Hangzhou dan banyak kawasan lain di rantau Lembangan Sungai Yangtze.

Suhu panas luar biasa juga dilaporkan di rantau Asia Tenggara sejak beberapa minggu lalu termasuk di Luang Prabang yang mencatatkan bacaan 42.7 darjah Celcius minggu ini, dipercayai tertinggi dalam sejarah negara Laos, kata Herrera.

Vientiane pula merekodkan bacaan 41.4 darjah Celsius Sabtu lalu sekali gus hari paling panas yang pernah berlaku di ibu negara Laos tersebut.

Sementara itu, stesen pemantau kerajaan di Tak, barat laut Thailand mencatat suhu 45.4 darjah Celsius Sabtu lalu. Bacaan itu melepasi paras tertinggi sebelum ini di Thailand iaitu 44.6 darjah Celsius di Mae Hong Son pada 28 April 2016.

Di Bangladesh yang berdepan krisis iklim, suhu meningkat melebihi 40 darjah Celsius di ibu negaranya, Dhaka pada Sabtu lepas. Ia merupakan hari paling panas dalam tempoh 58 tahun sehingga menyebabkan permukaan jalan raya mencair.

Seorang pegawai Kementerian Alam Sekitar, Hutan dan Perubahan Iklim Bangladesh berkata, jika cuaca panas tidak reda, darurat suhu akan diisytiharkan di kawasan tertentu.

Dalam pada itu, jirannya, India menjadi sangat terdedah kepada haba melampau sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan pakar-pakar bimbang suhu ekstrem menjadi lebih teruk pada 2023.

Gelombang haba pada bulan ini melanda beberapa negeri di India dengan jabatan meteorologinya mengeluarkan amaran jingga mengenai cuaca panas ekstrem di negeri Bihar, Jharkhand, Odisha, Andhra Pradesh dan Bengal Barat.

Semua negeri itu mempunyai jumlah pekerja dan buruh luar bandar yang ramai. Mereka terpaksa bekerja di luar rumah walaupun ketika suhu serta kelembapan melonjak.

Enam bandar di utara dan timur India merekodkan suhu melebihi 44 darjah Celsius, manakala suhu di ibu kotanya, New Delhi mencatat angka 40.4 darjah Celsius Selasa lalu. Gelombang panas itu dijangka berterusan sehingga sekurang-kurangnya hari ini.

Cuaca panas luar biasa juga mencetuskan amaran kesihatan di Thailand. Jabatan Kesihatan Thailand memberi amaran tentang risiko strok haba terutama bagi mereka yang bersenam atau bekerja berjam-jam di luar bangunan seperti pekerja binaan dan petani.

Terdapat kebimbangan bahawa suhu tinggi akan berterusan di Thailand selama berbulan-bulan sehingga menyebabkan kemarau dan kegagalan tanaman.

“Beratus-ratus stesen cuaca merentasi lebih 12 negara mencatat bacaan suhu panas tertinggi masing-masing,” kata Herrera.

Ia termasuk suhu panas 44 darjah Celsius di Kalewa, barat laut Myanmar dan Son La di barat laut Vietnam yang mencatat bacaan 38 darjah Celsius.

Suhu meningkat melebihi 30 darjah Celsius di Jepun dengan Minamata dalam wilayah Kumamoto merekodkan suhu 30.2 darjah Celsius sekali gus rekod baharu untuk bulan April.

Suhu yang sangat luar biasa pada bulan ini juga direkodkan di Asia Tengah termasuk di Kazakhstan yang mencatat bacaan 33.6 darjah Celsius. 

Sumber : AGENSI

Recent Posts