Memaparkan catatan dengan label falak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label falak. Papar semua catatan

Ahad, April 07, 2024

Anak Bulan Syawal 2024


Bila tarikh Aidilfitri ?

Peta kenampakan anak Bulan ( Hilal ) Syawal 1445 Hijrah pada 9 April 2024 berpandukan kriteria Neo MABIMS, Yallop dan Odeh.

Kebanyakan kawasan berpeluang menyaksikan anak Bulan ketika Matahari terbenam pada hari tersebut ( 9 April 2024 ) sekurang-kurangnya dengan menggunakan alat bantu optik.

Ijtimak Bulan-Matahari atau ketika Bulan memasuki fasa Bulan baru ( New Moon ) berlaku pada jam 02:21 AM, 9 April 2024 ( waktu Malaysia ). Kedudukan Bulan ketika memasuki fasa Bulan baru adalah di atas benua Amerika utara yang akan mengalami gerhana Matahari penuh ketika itu.

1) Negara yang mula berpuasa pada Isnin , 11 Mac 2024 seperti Arab Saudi contohnya, akan melaksanakan cerapan anak Bulan pada 8 April 2024 atau bersamaan 29 Ramadan 1445 H. Berpandukan data hisab atau kiraan keadaan Bulan pada hari tersebut, Bulan akan terbenam terlebih dahulu berbanding Matahari di kebanyakan kawasan.Mustahil anak Bulan akan kelihatan ketika cerapan dilaksanakan. Kebarangkalian tinggi mereka akan menggenapkan Ramadan menjadi 30 hari pada 9 April 2024 dan Aidilfitri jatuh 10 April 2024.

2) Negara yang mula berpuasa pada Selasa, 12 Mac 2024 pula seperti Malaysia contohnya, akan melaksanakan cerapan anak Bulan pada 9 April 2024 atau bersamaan 29 Ramadan 1445 H.
Anak Bulan pada 9 April itu berpotensi kelihatan di kebanyakan kawasan sekurang-kurangnya dengan menggunakan alat bantu optik. Jika anak Bulan kelihatan, Ramadan hanya 29 hari dan Aidilfitri jatuh pada 10 April.

3) Walaubagaimanapun, perlu difahami disini ; Bagi menentukan masuknya awal bulan baru di dalam kalendar hijrah, Malaysia menggunakan kaedah Rukyah (cerapan) dan Hisab (kiraan) berpandukan syarat kriteria Imkanur Rukyah Neo MABIMS seperti berikut :-

Ketika Matahari terbenam, altitud Bulan tidak kurang dari 3 darjah dan jarak lengkung ( elongasi ) antara Bulan-Matahari tidak kurang dari 6.4 darjah.

* Jika anak Bulan kelihatan pada 29 haribulan hijrah ; kita akan memasuki bulan baru hijrah.
* Jika anak Bulan tidak kelihatan tetapi keadaan Bulan telah memenuhi syarat kriteria Imkanur Rukyah yang digunakan ;
Kita akan memasuki bulan baru.
* Jika anak Bulan tidak kelihatan dan keadaan Bulan tidak memenuhi syarat Imkanur Rukyah, sesuatu bulan hijrah itu akan digenapkan menjadi 30 hari.

Jika seseorang mendakwa melihat anak Bulan, ia perlu melaporkan kepada pihak berautoriti bagi menetusahkan sama ada apa yang didakwa itu betul - betul anak Bulan atau sebaliknya melalui bukti bergambar, kesaksian dan sebagainya. Keputusan rasmi akan diumumkan penyimpan mohor besar Raja - Raja melalui sidang media bagi bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.

4) Berpandukan data Bulan ketika cerapan 9 April 2024, jika mengambil kira titik rujukan paling barat Malaysia iaitu di Pulau Perak, Kedah :-

Altitud Bulan sekitar 7 darjah manakala jarak lengkung antara Bulan-Matahari sekitar 9 darjah. Ia telah melepasi syarat kriteria Imkanur Rukyah yang digunakan Malaysia. Maka, kelihatan ataupun tidak anak Bulan pada 9 April 2024 itu, Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada 10 April 2024.

* Tertakluk pengumuman rasmi penyimpan mohor besar Raja - raja pada malam 9 April 2024.

5) Adakah negara atau pihak yang akan menyambut Aidilfitri pada 11 April 2024 ? Ya ada jika ia hanya menggunakan kaedah cerapan semata. Jika 9 April 2024 atau bersamaan 29 Ramadan 1445 H itu anak Bulan tidak kelihatan, mereka akan menggenapkan Ramadan menjadi 30 hari pada 10 April 2024 dan Aidilfitri jatuh pada 11 April 2024.


Dikongsikan oleh Muhammad Shafiq di dalam Group Astronomi & Sains

Selasa, November 08, 2022

Orang ramai saksi keindahan fenomena gerhana bulan

 


Orang ramai di beberapa kawasan di negara ini dapat menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku 5.8 hari sebelum bulan berada pada kedudukan yang paling jauh dengan bumi (apogee) iaitu pada jarak 404,923 kilometer (km).

Berdasarkan perkongsian orang ramai menerusi Live Facebook (FB) Planetarium Negara malam ini, gerhana bulan itu dapat dilihat dengan jelas di beberapa kawasan di Sabah termasuk di Sepitang, Semporna, Kota Kinabalu dan Sandakan.

Turut dikongsikan netizen di media sosial, gerhana bulan itu turut dilihat dengan jelas di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu serta Alor Setar, Gurun, Jitra dan Pulau Langkawi di Kedah.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan kawasan yang dilanda hujan dan cuaca mendung termasuk sekitar Lembah Klang serta di Johor dan Negeri Sembilan, fenomena gerhana bulan itu tidak dilihat dengan jelas.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Plenatarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor, berkata gerhana bulan penuh mula berakhir pada jam 7.41 malam tadi.

"Bulan mula menjadi cerah semula, sedikit demi sedikit dan kita mula melihat gerhana bulan separa mulai 7.41 malam hingga 8.41 malam iaitu selepas gerhana bulan penuh," katanya dalam ulasan menerusi FB Live Planetarium Negara malam ini.

Beliau berkata, berdasarkan cerapan gerhana yang berlaku malam ini, menunjukkan persekitaran atmosfera bumi ketika ini masih baik.

"Kemerahan yang kita dapat lihat pada gerhana bulan itu adalah tanda bahawa atmosfera bumi kita sebenarnya masih baik. Jika gerhana bulan kelihatan gelap, itu menunjukkan atmosfera kita tercemar. Maka, marilah kita bersama menjaga bumi kita," katanya.

Katanya, fenomena dan keindahan gerhana bulan boleh dirakam sendiri oleh orang ramai menggunakan telefon pintar selain menggunakan teleskop untuk mendapat gambar yang lebih jelas dan terang.

Terdahulu, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) hari ini memaklumkan, di Malaysia, fenomena gerhana bulan penuh berlaku mulai jam 4.02 petang dan berakhir pada jam 9.56 malam.

MYSA menjelaskan fenomena ini dapat dilihat secara keseluruhan di Asia, Australia, Amerika Utara dan Selatan serta sebahagian utara dan timur Eropah.

Menurutnya, gerhana bulan penuh ini adalah 'central lunar eclipse', iaitu gerhana bulan yang berlaku apabila cakera bulan melalui paksi bayang umbra bumi yang berada di tengah-tengah bayang umbra bumi.

Menurut MYSA, fenomena gerhana bulan penuh tidak dapat dilihat di Malaysia pada permulaan fasa gerhana penumbra dan separa kerana ia berlaku apabila bulan berada di bawah ufuk.

"Masyarakat di Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena itu apabila bulan mulai terbit di ufuk timur ketika ia mula mengalami fasa gerhana penuh bagi penduduk di Sabah dan Sarawak manakala bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung, fenomena tersebut hanya mula kelihatan ketika fasa gerhana maksimum sehingga fasa gerhana penumbra berakhir pada jam 9.56 malam," katanya.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts