Memaparkan catatan dengan label covid-19. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label covid-19. Papar semua catatan

Sabtu, September 18, 2021

Fasa endemik Covid-19 di Malaysia

 

 

Meskipun kerajaan meletakkan sasaran untuk negara beralih ke fasa endemik Covid-19 menjelang Oktober depan, ia mungkin sukar menjadi kenyataan sekiranya kes jangkitan kembali melonjak.

Kebimbangan ini disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Rabu lalu, beberapa hari selepas Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan WP Putrajaya) beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut beliau, perkumpulan orang ramai serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang rendah dikhuatiri akan mencetuskan semula penularan teruk Covid-19 dan membantutkan usaha kerajaan untuk memulihkan negara.

Untuk rekod, Malaysia masih mencatat kes harian baharu empat angka dan sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 16 September 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 18,815 lagi kes baharu Covid-19.

Ini menjadikan kumulatif kes yang melepasi angka dua juta pada 14 September lepas meningkat kepada 2,049,750 kes kelmarin. Kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan setakat 16 September pula sebanyak 227,120 kes.

Dengan kumulatif kes 2,049,750, Malaysia kini di tangga 21 daripada 223 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia adalah Peru (2,163,312 kes) dan Filipina (2,304,192 kes).

Rekod kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan (11 September hingga 16 September 2021) adalah seperti berikut: 11 September (19,550 kes); 12 September (19,198 kes), 13 September (16,073 kes), 14 September (15,669 kes), 15 September (19,495 kes) dan 16 September (18,815 kes).

Sementara itu, jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh kelmarin adalah seramai 16,939, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 1,800,278 kes (87.8 peratus) daripada keseluruhan kes Covid-19.

Sebanyak 913 kes pesakit Covid-19 dirujuk kepada Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 422 kes daripadanya memerlukan prosedur intubasi/bantuan pernafasan.

Kes kematian akibat Covid-19 dalam negara direkod KKM pada 16 September adalah 346 kes, menjadikan jumlah kematian sebanyak 22,355 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 18,815 kes harian baharu yang dilaporkan kelmarin, sebanyak 222 kes (1.2 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5. Sebanyak 18,593 kes (98.8 peratus) tergolong dalam kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Mengenai Situasi dan Maklumat Terkini Mutasi Spike Protein Covid-19 di Malaysia, Dr Noor Hisham pada 13 Sept lepas melaporkan bahawa kajian berterusan oleh UKM Medical Molecular Biology Institute (Umbi) mengenal pasti sebanyak 23 kes varian baharu virus Sars-CoV-2 dan Institute for Medical Research (IMR) mengenalpasti sebanyak 38 kes yang kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC) iaitu 36 kes varian Delta (B.1.617.2) dan dua kes varian Beta (B.1.351).

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus Sars-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 1,385 kes.

Daripada jumlah yang dikesan itu, sebanyak 1,365 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 1,141 kes varian Delta, 211 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha. Manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat (4) kes varian Kappa, dan tiga (3) kes varian Eta.

Mengenai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt untuk sepanjang rangkuman mingguan ini, ia masih di bawah kadar 1.0 seperti berikut: 11 September (0.99), 12 September (0.98 ), 13 September (0.98), 14 September (0.96), 15 September (0.97) dan 16 September (0.98).

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 16 September adalah Sarawak 1.11.

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Sehingga 16 September, Malaysia mempunyai sebanyak 1,406 kluster masih aktif. Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 5,228 kluster di kesan di negara ini dan 3,822 daripadanya, ditamatkan.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini, berdasarkan laporan KKM, terdapat sebanyak 169 kluster baharu. Kluster terbanyak, kluster tempat kerja, 87 kluster (51.5 peratus) dan kluster komuniti sebanyak 59 kluster (35.0 peratus).

Sumber : Metro

 

 

Jumaat, September 10, 2021

Hanya 0.009 peratus kematian babitkan penerima lengkap vaksin daripada 1 juta individu

 

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan hanya 0.009 peratus daripada sejuta individu yang divaksin meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di negara ini.

Peratusan itu bersamaan dengan 90 kematian dalam setiap sejuta kes yang dilaporkan membabitkan penularan pandemik ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, daripada kes kematian membabitkan golongan divaksin itu, 81 peratus adalah mereka yang berusia lebih 60 tahun dan mempunyai komorbiditi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KKM kini dalam usaha untuk mengurangkan kes brought in dead atau kematian di luar hospital (BID)

Katanya, kini Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga akan mengenal pasti langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kes berkenaan.

"Sebanyak 2,417 kes BID direkodkan sehingga Ogos ini dengan 217 kes adalah di bawah pemantauan KKM dan pengamal perubatan swasta (GP).

"Daripada jumlah keseluruhan itu, 86 peratus pula adalah kematian yang bukan berada dalam pemantauan kementerian dan GP," katanya dalam sidang media di KKM, hari ini.

Khairy berkata, dalam mesyuarat peringkat pengurusan KKM juga sudah memutuskan untuk menghantar pesakit Covid-19 Kategori Tiga dihantar untuk rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Katanya, pesakit berisiko tinggi untuk Kategori Dua juga akan dihantar PKRC agar pemantauan lanjut boleh dilakukan oleh petugas KKM.

Antara lain, Khairy menjelaskan penularan Covid-19 dalam negara ketika ini terkawal dengan merekodkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) 0.97.

Katanya, negeri di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka dan Labuan juga kini sudah menunjukkan situasi yang lebih baik.

Menurutnya, trend mendatar dan kurang stabil pula dikesan di beberapa negeri seperti Perak, Perlis, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor, dan Sabah.

"Beberapa negeri pula didapati menunjukkan peningkatan kes seperti negeri Sarawak dan Terengganu.

"KKM akan memberi perhatian khusus dan menurunkan jangkitan selain memastikan kemudahan kesihatan tidak terbeban, menghantar aset dan peruntukan tambahan," katanya.

Sumber : Harian Metro

 

 

Jumaat, Ogos 06, 2021

Kes melambung angkara kelonggaran PKP

 

Peningkatan kes COVID-19 sehingga mencecah paras 20,000 berpunca daripada kesan terkumpul untuk tempoh sebulan lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong, berkata kesan kumulatif itu antara lain merangkumi keputusan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.

Selain itu, katanya, sambutan perayaan dan pergerakan segelintir masyarakat merentas daerah serta negeri dikenal pasti antara penyumbang kepada peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

"Memang ramai yang bimbang dengan peningkatan kes. Tapi ini daripada kesan kumulatif sebulan lalu, selepas tempoh dua hingga empat minggu daripada kelonggaran ketika PKP 3.0, majlis sambutan perayaan, pembukaan ekonomi dan pergerakan masyarakat.

"Sekarang kita lihat peningkatan kes. Malah, keadaan ini berpunca daripada varian Delta yang lebih dominan di Malaysia," katanya pada sidang media, di Putrajaya, hari ini.

Ekoran kebimbangan peningkatan kes yang berpusat di Selangor dan Kuala Lumpur, Dr Chee Kheong berkata, Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) ditubuhkan, bagi memastikan sistem perkhidmatan kesihatan tidak terus terbeban.

Beliau yang juga Komander Pusat Arahan GKV STF berkata, Lembah Klang pada awalnya dikenal pasti menjadi penyumbang di antara 60 hingga 70 peratus daripada kes yang dicatatkan di seluruh negara.

"Bagaimanapun, sekarang kes di Lembah Klang menyusut sedikit apabila menyumbang sekitar 50 hingga 60 peratus daripada kes di seluruh negara.

"Peningkatan kes sekarang bukan hanya berlaku di Lembah Klang, iaitu Selangor dan Kuala Lumpur, tetapi di seluruh negara," katanya.

Berhubung angka kematian, Dr Chee Kheong berkata, taburan kes 'brought in dead' (BID) atau meninggal ketika tiba di hospital dijangka mencatatkan jumlah terkumpul yang tinggi bagi minggu ini.

Katanya, BID mewakili kira-kira 80 hingga 100 kes seminggu sejak kebelakangan ini daripada 800 hingga 1,000 kes kematian yang dicatatkan pada setiap minggu.

"Kes BID juga dilihat merekodkan peningkatan secara konsisten sejak minggu lalu, dengan 80 peratus daripadanya tiada sejarah diagnosis (pengesahan saringan) mengenai COVID-19.

"Ini mungkin bermaksud sama ada mereka tidak tampil untuk buat saringan, tiada akses berbuat demikian atau mempunyai sebab-sebab tertentu.

"Kementerian juga mendapati 20 peratus daripada mereka yang dijangkiti COVID-19 tetapi lambat mendapat rawatan di kemudahan kesihatan," katanya.

Bagi mengatasi isu sedemikian, Dr Chee Kheong berkata, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) maya ditubuhkan, dengan individu yang disahkan positif tetapi tidak mengalami gejala atau hanya menghidapi gejala ringan diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

Setakat ini, katanya, 60 peratus daripada individu positif tiada gejala, selebihnya iaitu 30 peratus mengalami gejala ringan dan dikehendaki mengisi borang penilaian, selain dipantau secara maya menggunakan interaksi MySejahtera.

"Menerusi borang penilaian dan pemantauan, kira-kira lima hingga 10 peratus daripada mereka yang mengalami gejala ringan diminta hadir ke CAC untuk menjalani pemeriksaan secara bersemuka. Ini tumpuan kita sekarang.

"Sehingga kini, kita dapati separuh atau 50 peratus daripada individu yang dikehendaki menjalani kuarantin di rumah tidak mengisi borang penilaian. Robo call (robot pusat panggilan) akan menghubungi mereka dan pendekatan ini merekodkan pencapaian positif," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Ahad, Julai 25, 2021

Lapor polis jika terima suntikan kosong

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta penerima vaksin yang mengesyaki menerima suntikan kosong vaksin COVID-19 tampil membuat laporan polis di Balai Polis berhampiran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pihaknya akan membuka kertas inkuiri bagi menyiasat aduan berkenaan.

Beliau berkata, sehingga kini, PDRM masih menerima banyak pertanyaan dan aduan berkenaan perasaan gelisah oleh penerima vaksin COVID-19.

"Bagi penerima vaksin yang merasa diperdayakan dengan tidak disuntik vaksin, mereka boleh membuat ujian 'COVID Neutralizing Antibody Test' di makmal perubatan yang berlesen.

"Ujian ini boleh dibuat sebulan (30 hari) selepas menerima suntikan dos kedua iaitu mengesahkan keberadaan antibodi di dalam badannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata orang ramai juga boleh membuat laporan polis bagi kejadian berlakunya penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran dan secara dalam talian (online) atau sebarang usaha penjualan vaksin yang bukan mengikut pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

"Bagi kes ini siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

"Sehingga kini PDRM masih belum lagi mengesan mana-mana sindiket atau individu yang disyaki cuba menjual atau cuba memasarkan vaksin-vaksin kepada orang ramai secara rahsia atau sebaliknya," katanya.

 

 

Sabtu, Julai 17, 2021

Imuniti kelompok, pematuhan SOP jalan keluar pandemik

 

Oleh Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Profesor Madya di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Cabaran pandemik COVID-19 dengan kemunculan pelbagai varian baharu seperti varian Delta, memberikan impak lebih serius kerana merebak lebih cepat, selain berisiko melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan awam dan mampu memperlahankan pemulihan ekonomi global.

Data terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan perkembangan penularan COVID-19 membimbangkan dengan Afrika mencatatkan 16.7 peratus dan Asia Tenggara (8.6 peratus), manakala Eropah merekodkan 33 peratus meskipun mengungguli program vaksinasi global.

Malaysia turut menunjukkan trend sama dengan kes harian dan kematian menunjukkan peningkatan walaupun sekatan pergerakan penuh dijalankan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

WHO menyifatkan peningkatan jangkitan sebagai trend global ketika ini disebabkan peningkatan pergerakan sosial, selain pengedaran vaksin tidak adil. Justeru, program vaksinasi mesti dipercepat bagi mencapai imunisasi kelompok pada kadar segera, selain keberkesanan kandungan vaksin dipertingkatkan bagi mendepani pelbagai varian baharu.

Bagaimanapun, berlaku penurunan mendadak dalam kadar kematian harian di negara yang program vaksinasinya berjaya. Kanada dengan jumlah penduduk hampir sama dengan Malaysia, mencatatkan lebih 26,000 kematian sejak pandemik ini bermula, iaitu empat kali melebihi jumlah kematian di negara ini.

Namun dengan hampir separuh rakyatnya diberi vaksin, jumlah kematian berkurang secara drastik menjadi kurang 10 penduduk sehari. Ini membuktikan imuniti kelompok mampu mengurangkan kadar jangkitan dan kematian akibat pandemik COVID-19.

Justeru Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) menyasarkan kadar vaksinasi kepada lebih 300,000 dos sehari selepas Jun. Ia diikuti pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan fokus ketiga adalah mempercepatkan program vaksinasi kepada sebanyak mungkin populasi di negara ini.

Kerajaan juga mengkaji pemberian vaksin kepada remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun. Semua usaha ini untuk mencapai imuniti kelompok pada kadar segera, sekali gus membawa rakyat kembali menjalani kehidupan seperti sebelum pandemik.

Bekalan vaksin COVID-19 negara bakal menyaksikan lonjakan ketara apabila Malaysia dijadual menerima menerima sekurang-kurangnya 13.8 juta dos vaksin sepanjang Julai ini. Semua jenis vaksin sama ada Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac selamat serta berkesan dalam menghalang kemasukan ke hospital dan kematian, termasuk varian COVID-19 Delta.

Ini menunjukkan COVID-19 boleh dikawal sekiranya kadar vaksinasi terus dipertingkatkan dengan keutamaan diberikan kepada golongan rentan, kawasan berisiko dan beberapa sektor dibenarkan operasi semasa Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam PPN.

Berdasarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, senarai keutamaan adalah melindungi kumpulan paling berisiko, iaitu petugas barisan hadapan sektor keselamatan dan kesihatan. Ia disusuli warga emas serta individu berpenyakit kronik diikuti populasi dewasa lain bagi membentuk imuniti kelompok.

Terkini, hampir semua petugas barisan hadapan menerima suntikan vaksin, malah lebih 50 peratus golongan berusia 60 tahun ke atas menerima dos pertama. Sehingga 11 Julai, kadar vaksinasi harian di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melepasi kadar purata vaksinasi global, memberi gambaran Malaysia berada di landasan tepat mencapai imuniti kelompok.

Dengan penambahbaikan dan peningkatan keupayaan proses suntikan antara 300,000 hingga 400,000 dos sehari, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan 70 hingga 80 peratus populasi Malaysia divaksin sepenuhnya sekitar September atau awal Oktober depan.

Walaupun Selangor masih jauh ketinggalan dari segi peratusan vaksinasi disebabkan jumlah dan kepadatan penduduk tinggi, usaha dipergiatkan bagi meningkatkan peratusan penerimaan. Dengan penerimaan empat juta dos vaksin untuk Selangor pada bulan ini, kadar vaksinasi dapat dipercepat.

Data Our World in Data dikelolakan Oxford Martin School, Universiti Oxford dan GCDL menunjukkan, setakat 9 Julai lalu, Singapura di tangga pertama dengan purata harian vaksinasi 1.3 bagi setiap 100 orang, diikuti Malaysia (0.96); Taiwan (0.65); United Kingdom (0.38); Thailand (0.36); Indonesia (0.31); Korea Selatan (0.2); Amerika Syarikat (0.18) dan Vietnam (0.02).

Malah, Malaysia konsisten di tempat kedua dan mengatasi United Kingdom sejak 23 Jun lalu. Data Our World in Data juga menunjukkan Malaysia merekodkan purata pemberian vaksin harian ketiga tertinggi pada 9 Julai lalu dengan 309.694 dos, selepas Indonesia dan Amerika Syarikat.

Kadar pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara ini turut melepasi purata negara di Asia mengatasi Thailand, Filipina dan Vietnam.

Setakat semalam, negara mencatatkan lebih 12.3 peratus penduduk mendapat vaksinasi penuh dan lebih 26.5 peratus memperoleh sekurang-kurangnya satu dos. Jumlah keseluruhan pemberian vaksin COVID-19 dos pertama ialah 8.6 juta dan dos kedua (4 juta) dengan lima negeri paling terkesan mencatatkan pemberian vaksin tertinggi. Sejumlah 15,366 komuniti Orang Asli juga menerima suntikan vaksin, manakala selebihnya akan menerima berperingkat dalam masa terdekat.

Perkembangan positif ini disifatkan pencapaian baik dan landasan tepat untuk mencapai imunisasi kelompok dalam masa terdekat dan membawa negara keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.

Ini menunjukkan antara jalan keluar terbaik memenangi pertarungan ini adalah dengan mencapai tahap 80 peratus imuniti kelompok dijangka dicapai sebelum akhir tahun ini. Oleh itu, semua pihak sama ada kerajaan, parti politik, penggerak ekonomi seperti industri dan perniagaan serta masyarakat seluruhnya perlu berganding bahu menyokong PICK yang dilihat berada di landasan terbaik.

Kaedah lain adalah melaksanakan kawalan ketat dalam tempoh dua minggu ini bagi membendung penularan virus terutama di Lembah Klang yang mencatatkan kes tertinggi berikutan kepadatan dan pergerakan penduduk tinggi.

Dengan cara ini, kawasan mencatatkan kes tinggi dapat dikenal pasti, saringan dipertingkatkan dan kes kontak rapat dikesan, seterusnya jangkitan dalam komuniti dapat dikurangkan.

Kerajaan turut mempertingkatkan penguatkuasaan menyeluruh ke atas kilang dan premis perniagaan kerana didapati banyak berlaku pelanggaran arahan serta prosedur operasi standard (SOP).

Pelengkapnya adalah masyarakat disaran terus konsisten mematuhi SOP dan mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri sebagai langkah mendepani peningkatan kes sporadik serta kes COVID-19 tidak bergejala khususnya di kawasan sesak dan berisiko tinggi.

Sumber : Berita Harian

 

Jumaat, Jun 18, 2021

Calon SPM, STPM dapat vaksin bulan depan

 

Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bakal menerima suntikan vaksin akhir bulan depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech itu akan diadakan di sekolah.

"Selepas tiga minggu, mereka akan menerima dos kedua," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Semalam, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) berkata akan memberi keutamaan kepada pelajar bakal menduduki peperiksaan diberi suntikan vaksin.

Ia susulan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.

Mengulas jabatan yang menguruskan senarai pengamal media yang akan menerima suntikan vaksin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, ia diuruskan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.

"Jabatan Penerangan sudah memberikan senarai nama dan dihantar kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk penyenaraian kerana ada media yang sudah dapat dan mereka yang belum akan menerimanya dalam masa terdekat," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Khamis, Mei 20, 2021

Rakyat disaran 'self lockdown', KKM kongsi tips

 


Rakyat disaran mengambil langkah proaktif melakukan sekatan pergerakan kendiri atau 'self lockdown' bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, susulan kes harian melebihi 6,000 kes dalam tempoh dua hari berturut-turut.

Hari ini Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi dengan 6,806 kes dilaporkan, meningkat berbanding 6,075 semalam.

Langkah itu juga selaras saranan dan penekanan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang meminta rakyat tinggal di rumah selain mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Kes harian mencecah 6,075 pada Rabu, orang ramai diharap semakin berwaspada melindungi diri serta keluarga daripada jangkitan virus maut berkenaan.

"Amalkan PKP kendiri atau 'self lockdown' bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19," kata Dr Noor Hisham menerusi Twitternya hari ini.

Seiring saranan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam laman Facebook dan Twitter malam tadi, berkongsi tips yang perlu dilakukan untuk orang ramai melakukan sekatan pergerakan kendiri iaitu:

* Ke pasar atau 'grocery' untuk beli barang keperluan seminggu sekali.

* Isi minyak kenderaan tangki penuh.

* Solat berjemaah lima waktu bersama ahli keluarga.

* Optimumkan pembelian secara dalam talian.

* Zero tetamu.

Daripada jumlah kes dilaporkan hari ini, Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 2,277 kes baharu.

Ia diikuti Kuala Lumpur dengan 655 kes, Johor (615) dan Sarawak (608).

Putrajaya menunjukkan peningkatan hampir empat kali ganda iaitu terdapat 35 kes baharu hari ini berbanding semalam hanya sembilan kes.

Semua negeri mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini.'

Sumber : Berita Harian

 

Rabu, April 07, 2021

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 terus meningkat

 

Sejak Sabtu lalu, trend kadar kebolehjangkitan (Rt) harian COVID-19 di Malaysia mencatatkan peningkatan dengan nilainya melonjak kepada 1.03 semalam.

Berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook tengah malam tadi, kadar Rt kebangsaan melebihi nilai 1.0, bermula dengan Rt 1.02 pada Sabtu dan kemudian menurun kepada 1.01 pada Ahad sebelum melonjak kepada 1.02 kelmarin dan 1.03 semalam.

Bagaimanapun di peringkat negeri dan wilayah, kadar Rt melebihi purata Rt kebangsaan semalam memperlihatkan penurunan, membabitkan enam negeri berbanding tujuh yang direkodkan kelmarin.

Putrajaya mencatatkan kadar Rt tertinggi semalam dengan nilai 1.30, diikuti Labuan dengan 1.22, Perak (1.15), Sarawak (1.11), Sabah dan Kelantan (1.10). 

Dalam pada itu, tiga negeri yang mencatatkan kadar Rt terendah semalam adalah Perlis dengan nilai 0.67, Terengganu pada kadar 0.69 dan Selangor (0.88).

Data itu turut memberi amaran, sekiranya nilai Rt semasa terus melonjak kepada 1.2, jumlah kes harian COVID-19 diunjurkan boleh mencecah 3,000 kes sehari. 

Sehubungan itu, rakyat dinasihat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan beberapa peraturan lain membabitkan aktiviti ekonomi dan sosial.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Semalam, sebanyak 1,300 kes baharu COVID-19 dilaporkan dengan tiga negeri mencatatkan pertambahan kes tiga angka iaitu Sarawak dengan 385 kes, diikuti Selangor (242) dan Kelantan, 126 kes.