Memaparkan catatan dengan label belia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label belia. Papar semua catatan

Ahad, Ogos 14, 2022

300,000 kerja kemahiran tinggi untuk belia pada 2025

 


Sebanyak 300,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk golongan belia dijangka dapat diwujudkan pada 2025 yang merentasi sektor berimpak tinggi seperti elektronik dan elektrikal (E&E), automotif, kimia serta bahan termaju dan sains hayat serta teknologi perubatan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pada tahun ini pula dijangka 20,000 peluang pekerjaan sama dapat diadakan melalui program Academy in Factory (AiF).

"Bagi memastikan pelabur asing terus menjadikan Malaysia destinasi pelaburan, kita bertanggungjawab menyediakan bakat berkemahiran tinggi dan berteknologi.

"Ini selari dengan penekanan supaya tenaga kerja negara ini meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula, selari dengan Revolusi Industri ke-4 (IR4.0) yang dijangka akan meningkatkan produktiviti sebanyak 30 peratus dalam semua sektor menjelang 2030," katanya ketika Pelancaran Karnival Belia Produktif.

Program AiF yang dilancarkan pada majlis sama adalah inisiatif Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi menangani cabaran kekurangan pekerja dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi dalam kalangan belia tempatan.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia sedang bergerak ke arah negara maju yang produktif, sehubungan itu tenaga kerja tempatan harus bersedia dengan kemahiran tinggi yang bersesuaian terhadap permintaan industri.

"Peluang pekerjaan baharu berkemahiran tinggi yang diwujudkan adalah untuk semua golongan belia termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar, kampung dan anak Orang Asli, yang akan melatih mereka mendapatkan kemahiran tinggi," katanya.

Beliau berkata, demi meningkatkan daya saing jangka panjang, negara perlu membangunkan modal insan yang mahir, produktif, kreatif dan inovatif.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata pihaknya komited dalam menerajui program peningkatan produktiviti dan daya saing berasaskan pemacu utama pertumbuhan produktiviti.

"Apabila kemahiran meningkat, produktiviti turut meningkat dan boleh membawa kepada keuntungan. Justeru, gaji dapat dinaikkan sejajar peningkatan produktiviti dan keuntungan.

"Dalam jangka panjang, ini akan menyumbang kepada pencapaian sasaran 40 peratus pampasan pekerja, seperti ditetapkan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)," katanya.

Abdul Latif berkata, prestasi produktiviti negara kembali kepada pertumbuhan positif pada kadar 1.8 peratus pada 2021 dan produktiviti buruh bagi setiap pekerja meningkat 2.7 peratus dengan nilai ditambah RM23,129.

Butiran lanjut mengenai program AiF boleh didapati menerusi http://aif.mpc.gov.my

Sumber : BERNAMA

Khamis, September 17, 2020

Pakej khas jalur lebar untuk belia

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan dan syarikat penyedia perkhidmatan sekali lagi bekerjasama bagi mewujudkan pakej khas capaian jalur lebar untuk golongan belia.

Perdana Menteri berkata perincian pakej akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan dalam masa terdekat.

Pakej itu katanya bakal menyediakan perkhidmatan dengan kos yang rendah dan terma yang lebih menarik bagi membantu golongan belia memenuhi keperluan pembelajaran dan perhubungan di era norma baharu.

Kerajaan sedar golongan belia adalah kumpulan pengguna kemudahan jalur lebar yang paling aktif. Belia hari ini dilahirkan sebagai warga negara digital.

"Penggunaan komputer dan telefon pintar menjadi suatu keperluan kepada golongan ini untuk berkomunikasi, belajar dan bekerja. Golongan belia juga menjadi harapan kita untuk mencetuskan inovasi digital yang boleh memacu hasrat negara membangunkan agenda ekonomi digital.

"Oleh itu, golongan ini perlu diberi pengetahuan yang mencukupi dan peluang yang luas untuk mencetuskan inovasi dan idea baharu. Untuk mencapai hasrat ini, kerajaan dan syarikat penyedia perkhidmatan sekali lagi bekerjasama untuk mewujudkan pakej-pakej khas capaian jalur lebar untuk golongan belia," katanya pada Majlis Pelancaran Gerbang Sabah.

Sementara itu, Muhyiddin berkata semua aspirasi ke arah pembangunan masyarakat digital dan ekonomi digital yang mapan untuk rakyat Sabah bermula di Gerbang Sabah.

Katanya, kapasiti sambungan jalur lebar di negeri ini akan disalurkan kepada infrastruktur seperti ibu sawat gentian optik dan menara telekomunikasi di seluruh Sabah.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Telekom Malaysia Berhad yang meneruskan komitmennya untuk mendukung pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) menerusi inisiatif Gerbang Sabah ini.

"Inisiatif penting ini diharapkan dapat meningkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara melalui pembangunan infrastruktur digital yang lebih cepat dan menyeluruh," katanya.

Bagi memastikan kualiti sambungan jalur lebar nasional terus ditingkatkan dan merapatkan jurang digital dalam negara, kapasiti Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM) di Tanjung Aru, di sini, ditingkatkan daripada 4 Terabit sesaat kepada 7.3 Terabit sesaat.

Telekom Malaysia akan menaik taraf dan menggandakan lagi kapasiti SKRM sebanyak tiga kali ganda sehingga sekurang-kurangnya 12.8 Terabit sesaat dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Ia akan membabitkan tambahan peruntukan sebanyak RM100 juta ke atas pelaburan asal RM575.5 juta oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Telekom Malaysia.

"Kapasiti SKRM ini amat penting untuk menampung peningkatan penggunaan internet oleh rakyat di Sabah serta menyokong matlamat pelan tindakan JENDELA yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dan semua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

"Semoga usaha ini akan merapatkan jurang digital antara negeri di Malaysia selain meningkatkan reputasi Sabah di mata dunia.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts