Memaparkan catatan dengan label baju sekolah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label baju sekolah. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 19, 2024

Pakaian sekolah untuk Sesi 2024/2025


Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan murid memakai pakaian seragam sekolah untuk dua hari diikuti pakaian sukan selama dua hari dan sehari untuk pakaian kokurikulum bagi sesi persekolahan 2024/2025 mulai Mac ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kebenaran itu adalah garis panduan baharu berkaitan pemakaian seragam murid yang ditetapkan KPM.

"KPM memutuskan bagi sesi 2024/2025 bermula Mac ini, selepas sesi libat urus dilaksanakan dengan semua pihak berkaitan termasuk pemegang taruh, maka pakaian seragam di sekolah sesi 2024/2025 diteruskan seperti berikut.

"Dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat 2024 KPM di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, perincian mengenai garis panduan itu akan dimaklumkan kepada semua pihak dalam tempoh terdekat.

Ketika ditemui selepas majlis amanat itu, Fadhlina menjelaskan pihak sekolah akan diberi kuasa autonomi untuk menentukan hari pemakaian seperti yang ditetapkan dalam garis panduan berkenaan.

"Ya, itu akan diperincikan dalam surat makluman nanti mengenai autonomi yang akan diberikan kepada pihak sekolah nanti asalkan mereka mengikut dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan sehari pakaian kokurikulum.

"Selain itu, bagi kita ini adalah penegasan keputusan untuk meringankan beban ibu bapa yang berhasrat membuat persiapan lebih awal," katanya.

Pada 3 Mei tahun lalu, KPM memberikan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya untuk memakai pakaian sukan semasa cuaca panas dan kering.

Murid yang memakai pakaian seragam sekolah pula tidak diwajibkan memakai tali leher, memandangkan keadaan cuaca panas boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan.

Sementara itu, Fadhlina berkata, beliau menzahirkan rasa gembira dengan inisiatif membabitkan penambahan guru.

Jelasnya, sehingga Disember 2023, KPM berjaya membuat penempatan seramai 18,792 guru baharu.

"Secara peribadi saya sangat bahagia dengan inisiatif ini iaitu penambahan pengambilan guru baharu yang sangat signifikan.

"Insya-Allah, (penambahan guru baharu ini) akan bertambah lagi sebelum berakhir sesi penggal persekolahan 2023/2024," katanya.

Sumber : Berita Harian

Rabu, Mac 15, 2023

Boleh hadir sekolah tanpa pakaian seragam

 


Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kelonggaran kepada murid dan pelajar yang kurang mampu untuk hadir ke sekolah pada sesi persekolahan baharu, meskipun tidak dapat menyediakan pakaian seragam sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kelonggaran itu diberikan sebagai langkah memudahkan ibu bapa terutama mereka terkesan akibat banjir.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Fakaruddin Ghazali.

Beliau berkata, berhubung rungutan pakaian kokurikulum atau badan beruniform, kementerian juga bersetuju supaya memakai t-shirt yang menggambarkan sekolah mereka jika ibu bapa tidak mampu untuk menyediakan seragam itu.

"Atau pakaian baju sukan yang sesuai untuk hadir ke sekolah dan mengikuti semua program sekolah, jadi timbul soal kita berkeras dalam soal pakaian seragam, tapi kita bagi ruang

"Kita bersikap bertolak ansur dalam perkara ini sesuai dengan keadaan kerana sedar dengan kos penyediaan yang tinggi selain masalah banjir yang sebahagian tempat belum pulih sepenuhnya," katanya.

Mengulas mengenai penempatan guru pada sesi persekolahan akan datang, Fadhlina berkata, KPM sedang memberikan tumpuan terhadap perkara berkenaan dan akan diumumkan dalam tempoh terdekat sebaik mendapat keputusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

"Penempatan guru akan diumumkan secepat mungkin. Harus difahami bahawa pengambilan guru dibuat secara berfasa dan tiada tempoh tertentu di mana setiap kekosongan akan diisi," katanya.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts