Datuk Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bernama "Suatu Akta
bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk
perkhidmatan bagi tahun 2021 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu
untuk perkhidmatan bagi tahun itu dibaca bagi kali kedua sekarang."
MUKADIMAH
1. Bismillahirrahmanirrahim, atas segalanya, kepada Tuhan kita
memohon pertolongan dan petunjuk. Selawat dan salam serta seluruh
puji-pujian buat junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahualaihi
Wassalam. Begitu juga buat Datuk Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang
Berhormat, serta seluruh rakyat Malaysia yang dikasihi.
2. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, saya
diberi peluang untuk membentangkan Belanjawan 2021 padakala negara serta
seluruh isinya amat perlu dibantu.
3. Kepada saudara-saudari yang sedang melihat di kaca tv, yang
mendengar di radio, atau yang menelaah di media baharu, tidak kira walau
di mana anda berada – hari ini ialah hari yang dinanti-nanti, untuk
diperdengarkan segala banyak perkhabaran baik, yang insya-Allah membawa
kelegaan kepada semua.
Datuk Yang di-Pertua,
4. Merujuk kepada titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in
Billah, Baginda telah menzahirkan nasihat buat pedoman kita semua.
Baginda mengingatkan, semua pihak untuk mengenepikan segala perbezaan,
serta bersatu padu dalam usaha membanteras pandemik COVID-19.
Sesungguhnya Kerajaan amat menghargai titah dan sokongan Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahawa Belanjawan 2021 adalah amat
penting, bagi memelihara
kesejahteraan rakyat dan negara.
5. Maka dengan rendah dirinya, saya mengajak rakan-rakan Yang
Berhormat untuk menghayati dan menilai pembentangan Belanjawan ini
dengan semangat perpaduan, hati terbuka dan berjiwa besar.
PRESTASI DAN CABARAN EKONOMI 2020
Datuk Yang di-Pertua,
6. Tahun 2020 bagi Malaysia dipenuhi dengan peristiwa mencabar. Tidak
pernah lagi, dalam sejarah moden manusiawi, sejenis wabak memberi impak
begitu besar sekali. Penularan COVID-19 bukan sahaja meragut nyawa,
malah turut menjerut ekonomi negara-negara sedunia. Tiada garis panduan
mahupun sebarang petunjuk lampau yang boleh dijadikan rujukan, kerana
this is an unprecedented crisis, dengan izin.
7. Krisis ini memberi kejutan permintaan dan penawaran, mengganggu
rantaian bekalan serta menekan ekosistem perniagaan. Kita juga terpaksa
berhadapan dengan ketidaktentuan persekitaran luar, kejatuhan harga
komoditi dan ruang fiskal yang terhad.
8. Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF mengunjurkan, ekonomi global
mencatat pertumbuhan negatif di paras 4.4 peratus pada tahun ini.
Perdagangan dunia juga dijangka merosot pada kadar 10.4 peratus. Krisis
yang berlaku pada masa ini turut menjejaskan ekonomi di lebih 150 buah
negara. Ia merupakan krisis ekonomi terburuk sejak era the Great
Depression pada sekitar tahun 1930-an.
9. Sejak awal lagi, Kerajaan telah meletakkan keutamaan melindungi
rakyat melebihi segala perkara lain. Itulah sebabnya Kerajaan bertindak
melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP, walaupun kita tahu
tindakan selama hampir dua bulan ini memberi kesan mendadak kepada
aktiviti ekonomi dan sosial rakyat. Sewaktu itu, Bank Negara Malaysia
menganggarkan negara mengalami kerugian di antara 2.0 hingga 2.4 bilion
ringgit sehari dengan penutupan ekonomi.
10. Bagi mengimbangi antara kewajiban melindungi rakyat dan menjamin
kelangsungan ekonomi, Kerajaan perlu bertindak pantas. Oleh itu, pelan
pemulihan ekonomi secara berfasa telah diperkenalkan menggunakan
pendekatan 6R iaitu Resolve, Resilience, Restart, Recovery, Revitalize
dan Reform.
11. Semasa peringkat Resolve atau Ketegasan, tumpuan Kerajaan adalah
untuk meratakan lekuk jangkitan COVID-19. Sementara itu, ketika
peringkat Resilience atau Ketahanan, pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS
Tambahan bernilai 260 bilion ringgit telah diperkenalkan bagi menangani
kesan penutupan ekonomi. Bermula Mei 2020, setelah lekuk jangkitan
COVID-19 berjaya diratakan, kita memasuki fasa Restart atau Memulakan
Semula yang menyaksikan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.
Selanjutnya, negara beransur ke peringkat Recovery atau Pemulihan, di
mana Kerajaan menggerakkan pakej rangsangan PENJANA berjumlah 35 bilion
ringgit dan KITA PRIHATIN bernilai 10 bilion ringgit. Keseluruhan pakej
rangsangan yang diumumkan Kerajaan bernilai 305 bilion ringgit atau 20.7
peratus daripada KDNK.
12. Agensi LAKSANA telah ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan pakej
rangsangan dibuat dengan cekap, telus dan berpandukan data. Berdasarkan
kaji selidik LAKSANA tentang keberkesanan pakej PRIHATIN, lebih 80
peratus daripada 11 ribu responden didapati berpuas hati. Saya berterima
kasih kepada LAKSANA dan lebih 53 agensi Kerajaan yang telah berganding
bahu, berkongsi data, dan bekerjasama erat dalam memastikan pelaksanaan
pakej-pakej rangsangan ini.
13. Segala inisiatif yang dilaksanakan merupakan counter-cyclical
measures, bertujuan mengurangkan dampak COVID-19. Alhamdulillah, kita
dapat melihat pertumbuhan KDNK negara telah menunjukkan tanda-tanda
pemulihan daripada negatif 28.6 peratus pada April 2020 kepada negatif
3.2 peratus pada Jun. Anggaran awal KDNK bagi bulan Julai hingga
September turut menunjukkan tren pemulihan yang memberangsangkan.
14. Sehubungan itu, mengambil kira persekitaran semasa, pertumbuhan
ekonomi tahun 2020 telah disemak semula dan dianggar menyusut sebanyak
4.5 peratus. Pada tahun 2021 pula, ekonomi negara dijangka kembali pulih
dan berkembang pada kadar antara 6.5 hingga 7.5 peratus. Ini sejajar
dengan langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan melalui pakej
rangsangan ekonomi, inisiatif Belanjawan 2021 selain disokong oleh
pertumbuhan ekonomi global yang diunjur lebih baik iaitu sebanyak 5.2
peratus.
15. Suatu yang penting untuk disedari, kita telah membuktikan kepada
masyarakat dunia yang Malaysia mampu menguruskan ekonominya dalam
keadaan mencabar apa sekalipun. Baik dalam sukar lebih lagi senang.
Natijah dari pengalaman melalui pelbagai krisis ekonomi sebelum ini kita
tempa menjadi pasak iltizam yang mengikat kita: untuk teguh berikhtiar,
bijak kala bertindak, dan yakin pada gemblengan usaha.
16. Saya cukup tersentuh dengan semangat #KitaJagaKita dalam kalangan
rakyat Malaysia – saya ingat saudara Rosnizam Ishak, berasal dari
Bertam, yang memulakan perniagaan kambing perap menggunakan duit Bantuan
Prihatin Nasional dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk
setempat; ada juga Encik Pajan Singh a/l Kirpal Singh, yang menyediakan
penginapan percuma untuk barisan hadapan yang bertugas di Kuantan dalam
tempoh PKP sehingga PKPP; dan Puan Michelle Kugan, usahawan barangan
kristal dan mutiara, yang memanfaatkan pinjaman mikro di bawah TEKUN
untuk terus mengekalkan perniagaan beliau di Tuaran, Sabah. Atas
semangat dan kudrat inilah Belanjawan 2021 telah dirangka untuk rakyat
Malaysia dan bertemakan, "Teguh Kita, Menang Bersama".
MATLAMAT BELANJAWAN 2021
Datuk Yang di-Pertua,
17. Dalam merangka Belanjawan 2021, buat pertama kalinya, siri
jelajah dan sesi konsultasi ke seluruh negara telah dilaksanakan
merentasi 14 buah negeri, lebih 38 sesi dialog melibatkan lebih 40
bidang perniagaan dan perusahaan. Kementerian Kewangan telah mengadakan
sesi libat urus bersama kepimpinan Kementerian Kerajaan Persekutuan,
kepimpinan Kerajaan Negeri, captains of industry, ahli-ahli akademik,
badan-badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin parti politik dan yang paling
utama pelbagai lapisan rakyat Malaysia dari belia, wanita, ibu bapa
hingga warga emas. Saya ingin merakamkan jutaan perhargaan kepada semua
pihak yang telah meluangkan masa dan mengemukakan idea serta cadangan.
18. Sehubungan itu, Belanjawan 2021 yang merupakan peringkat ke-5
strategi 6R iaitu Revitalize atau memperkasa, dirangka berdasarkan Tiga
Matlamat Induk:
Pertama: Kesejahteraan Rakyat;
Kedua: Kelangsungan Perniagaan; dan
Ketiga: Ketahanan Ekonomi
19. Kesemua matlamat ini merupakan kesinambungan kepada pakej
PRIHATIN, PRIHATIN PKS TAMBAHAN, PENJANA dan KITA PRIHATIN. Selain
daripada pendekatan yang lebih bersasar, Kerajaan juga akan mengimbangi
kemampanan kewangan Kerajaan, keseimbangan pembangunan antara wilayah
dan bandar, serta mengangkat nilai-nilai murni membentuk ekonomi yang
kita idamkan melalui Belanjawan ini.
MATLAMAT PERTAMA: KESEJAHTERAAN RAKYAT
Datuk Yang di-Pertua,
20. Matlamat pertama iaitu Kesejahteraan Rakyat akan dimanifestasikan
secara holistik. Memahami permasalahan dan keresahan rakyat ialah
perkara asas. Kesejahteraan rakyat kekal kepentingan paling utama.
Seikat bak sirih, serumpun bak serai.
Strategi 1: Pandemik COVID-19 dan Kesihatan Awam
21. Strategi pertama ialah perjuangan kita untuk memerangi pandemik
COVID19 dan melindungi kesihatan awam. Dalam bulan Ogos lalu, Ahli-ahli
Yang
Berhormat telah bersatu hati meluluskan dua akta penting bagi menangani
COVID-19.
22. Yang pertama ialah Akta Langkah-langkah Sementara Bagi
Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020. Akta ini
memberi pengecualian atau relief kepada rakyat yang tidak mampu memenuhi
obligasi kontraktual seperti pembayaran sewa akibat penularan wabak
ini. Pusat Mediasi COVID-19 juga ditubuhkan khusus untuk membantu
kumpulan B40 dan M40 serta perusahaan mikro yang bertikai berhubung
obligasi kontraktual.
23. Manakala Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan
(Penyakit Koronavirus 2019) pula membenarkan had statutori hutang
Kerajaan dinaikkan sementara sehingga 60 peratus daripada KDNK
berbanding 55 peratus. Di bawah Akta ini, Parlimen telah meluluskan
siling peruntukan 45 bilion ringgit bagi Kumpulan Wang COVID-19.
24. Ketika Akta tersebut dibentangkan, terdapat panggilan daripada
Ahli-ahli Yang Berhormat untuk meningkatkan siling Kumpulan Wang
COVID-19. Mengambil kira gelombang wabak terkini dan keperluan sehingga
tahun 2022, Kerajaan bercadang mengemukakan pindaan Jadual Akta tersebut
kepada Dewan yang mulia ini untuk menaikkan siling Kumpulan Wang
COVID-19 sebanyak 20 bilion ringgit kepada 65 bilion ringgit. Tujuan
utamanya adalah untuk membiayai pakej KITA PRIHATIN, bantuan tambahan
bagi kesejahteraan rakyat, keperluan barisan hadapan dan perolehan
vaksin kelak. Saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat sama-sama menyokong
cadangan ini.
Datuk Yang di-Pertua,
25. Tahun ini, Kerajaan telah memperuntukkan 1.8 bilion ringgit bagi
pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan perkhidmatan kesihatan
awam berkaitan COVID-19 antaranya untuk membeli Kelengkapan Perlindungan
Diri atau PPE, reagen dan bahan guna habis.
26. Bagi tahun hadapan, sebanyak 1 bilion ringgit lagi akan
diperuntukkan untuk membendung gelombang ketiga COVID-19. Peruntukan ini
antaranya merangkumi:
Pertama: 475 juta ringgit bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan
dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan atau
KKM;
Kedua: 318 juta ringgit bagi penyediaan peralatan PPE dan hand sanitiser kepada petugas barisan hadapan KKM;
Ketiga: 150 juta ringgit kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi COVID-19;
Keempat: 50 juta ringgit bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti; serta
Kelima: Menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian,
perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan
dan termometer di kemudahan kesihatan bagi
memenuhi SOP norma baharu.
27. Kerajaan menghargai pengorbanan dan keringat petugas barisan
hadapan dalam mengendalikan wabak COVID-19 ini. Sejak Mac lalu, Kerajaan
telah memberikan Elaun Khas COVID-19 sebanyak 600 ringgit sebulan
kepada barisan hadapan KKM dan ia akan diteruskan sehingga ancaman
pandemik ini berjaya diatasi. Sebagai tambahan, Kerajaan bersetuju untuk
melaksanakan pemberian one-off sebanyak 500 ringgit bagi menghargai
jasa anggota barisan hadapan KKM yang dijangka memanfaatkan 100 ribu
petugas kesihatan.
Datuk Yang di-Pertua,
28. The war is not over until and unless an affordable and accessible
vaccine is available. Kerajaan komited untuk mendapatkan sumber vaksin
COVID-19 antaranya melalui penyertaan ke dalam program COVID-19 Vaccine
Global Access atau COVAX. Dijangkakan, bekalan vaksin COVID-19
melibatkan kos melebihi 3 bilion ringgit untuk memenuhi keperluan rakyat
Malaysia.
29. Selain itu, bagi menggalakkan rakyat mendapatkan vaksinasi
mencegah penularan penyakit, Kerajaan bersetuju untuk meluaskan skop
pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan meliputi
perbelanjaan vaksinasi seperti pneumokokal, influenza serta COVID-19.
Pelepasan cukai ini diberi ke atas perbelanjaan vaksinasi bagi diri
sendiri, pasangan dan anakanak terhad kepada 1,000 ringgit.
30. Kerajaan juga akan menaikkan had pelepasan cukai ke atas
perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit
serius daripada 6,000 kepada 8,000 ringgit dan had pelepasan cukai bagi
skop perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dinaikkan daripada 500
kepada 1,000 ringgit.
31. Sebagai tambahan, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan bagi
rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa juga dinaikkan
dari 5,000 kepada 8,000 ringgit.
32. Dalam tempoh pandemik ini juga, Kerajaan menerima maklum balas
bahawa masalah mental antara isu serius yang dihadapi masyarakat. Talian
Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan telah menerima lebih 35 ribu
panggilan telefon sejak Mac hingga Oktober 2020 yang antaranya mengenai
masalah tekanan perasaan, kegelisahan dan kemurungan. Maka, peruntukan
24 juta ringgit disediakan bagi menangani isu ini termasuk melalui
pengukuhan Program Kesihatan Mental, Pencegahan Keganasan dan Kecederaan
serta Penyalahgunaan Substans.
Datuk Yang di-Pertua,
33. Setakat 31 Oktober 2020, mySalam telah membayar tuntutan
berkaitan hospitalisasi dan penyakit kritikal sebanyak 64 juta ringgit
kepada 56 ribu pesakit. Di samping itu, 19 ribu individu telah menerima
pampasan berjumlah 11 juta ringgit disebabkan COVID-19. Bagi menambah
baik program ini, Kerajaan akan memperluas perlindungan mySalam ke atas
tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung atau
prostesis.
34. Selain daripada perlindungan kesihatan, Kerajaan juga bercadang
memperluas perlindungan sosial kepada golongan B40 melalui Program
Baucar Perlindungan Tenang. Melaluinya, setiap penerima bantuan B40 akan
diberi baucar 50 ringgit sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk
Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri. Dalam
masa yang sama, Kerajaan juga melanjutkan tempoh pengecualian duti setem
ke atas semua produk Perlindungan Tenang dengan sumbangan tahunan tidak
melebihi 100 ringgit untuk tempoh 5 tahun lagi sehingga tahun taksiran
2025.
Datuk Yang di-Pertua,
35. Segmen kesihatan awam lain juga akan diberi tumpuan. Oleh itu,
Kerajaan akan melaksanakan program imunisasi pneumokokal untuk
kanak-kanak dengan peruntukan 90 juta ringgit yang dijangka memanfaatkan
500 ribu kanak-kanak. Selain itu, sebanyak 6 juta ringgit turut
diperuntukkan untuk perolehan ubat biologik bagi pelbagai jenis penyakit
rheumatologi seperti rheumatoid arthritis.
36. Kerajaan juga memperuntukkan 25 juta ringgit bagi program rawatan
Peritoneal Dialysis di rumah bertujuan meningkatkan kualiti rawatan
pesakit buah pinggang serta mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di
hospital.
Strategi 2: Memelihara Kebajikan Golongan Rentan
Datuk Yang di-Pertua,
37. Strategi kedua adalah untuk memelihara kebajikan golongan rentan.
Berdasarkan survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 oleh
Jabatan Perangkaan Malaysia, Pendapatan Garis Kemiskinan atau PGK
Nasional telah meningkat kepada 2,208 ringgit sebulan bagi setiap isi
rumah. Ini bermakna, lebih 400 ribu isi rumah yang berpendapatan kurang
daripada PGK ini telah tergolong dalam kategori miskin.
Langkah 1: Penambahbaikan Bantuan Kewangan
38. Sehubungan itu, bagi menambah baik kebajikan golongan rentan,
Kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar bantuan kebajikan bulanan
seperti berikut:
Pertama: Kadar Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja dinaikkan daripada 250 kepada 300 ringgit;
Kedua: Kadar Bantuan Warga Emas dan Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit
Kronik Terlantar dinaikkan daripada 350 kepada 500 ringgit;
Ketiga: Kadar Elaun Pekerja OKU dinaikkan daripada 400 kepada 450 ringgit;
Keempat: Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin dinaikkan daripada
100 ringgit seorang anak dengan maksimum 450 ringgit sekeluarga, kepada
150 ringgit seorang anak berumur tujuh tahun hingga 18 tahun atau 200
ringgit seorang anak berumur enam tahun dan ke bawah dengan maksimum
1,000 ringgit sekeluarga. Semoga peningkatan kadar ini membantu dengan
penjagaan anak-anak serta nutrisi makanan.
Contohnya, jika Puan Safiah mempunyai tiga orang anak dengan dua
daripadanya berumur enam tahun dan ke bawah dan suaminya OKU bekerja,
keluarga beliau akan mendapat bantuan 1,000 ringgit sebulan.
39. Kenaikan kadar ini melibatkan peruntukan sebanyak 2.2 bilion
ringgit iaitu tambahan sebanyak 700 juta ringgit dan memanfaatkan lebih
daripada 400 ribu penerima.
Datuk Yang di-Pertua,
40. Bantuan Prihatin Nasional (BPN) telah diperkenalkan untuk
mengurangkan beban aliran tunai bagi rakyat yang terkesan ekoran
COVID-19. Bagi tahun 2020, BPN dan juga Bantuan Sara Hidup atau BSH,
melibatkan penyaluran sebanyak 21 bilion ringgit kepada 10.6 juta
penerima. Pada bulan Januari 2021, bayaran BPN2.0 fasa kedua sebanyak
2.2 bilion ringgit bakal disalurkan.
41. Maka dengan Belanjawan 2021, Kerajaan akan terus melaksana dan
menambah baik bantuan tunai ini secara lebih bersasar. Bagi tahun 2021,
Kerajaan akan menggantikan Bantuan Sara Hidup atau BSH kepada Bantuan
Prihatin Rakyat atau BPR dengan kadar bantuan dan kategori pendapatan
yang lebih baik seperti berikut:
Pertama: Isi rumah berpendapatan bulanan kurang 2,500 ringgit dan
mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak 1,200
ringgit, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih
akan menerima bantuan sebanyak 1,800 ringgit;
Kedua: Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara 2,501 hingga 4,000
ringgit dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak 800
ringgit akan disalurkan, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang
anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak 1,200 ringgit;
Ketiga: Kerajaan turut akan membantu kumpulan isi rumah berpendapatan
bulanan antara 4,001 hingga 5,000 ringgit. Kategori ini akan menerima
500 ringgit bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan 750
ringgit kepada isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih; dan
Keempat: Individu bujang berpendapatan 2,500 ringgit ke bawah pula,
akan menerima bantuan 350 ringgit. Tidak sekadar itu, had umur kelayakan
individu bujang diturunkan kepada 21 tahun, berbanding syarat sebelum
ini, iaitu 40 tahun.
Secara keseluruhan, pemberian BPR ini dijangka akan memanfaatkan 8.1
juta orang dengan peruntukan 6.5 bilion ringgit berbanding dengan 4.3
juta penerima dan peruntukan 5 bilion ringgit sebelum ini di bawah BSH.
42. Sebagai tambahan, Kerajaan turut memperuntukkan 1.5 bilion
ringgit bagi melaksanakan Program Jaringan PRIHATIN bertujuan
mengurangkan beban kewangan golongan B40 mendapatkan kemudahan internet.
Bermula suku pertama 2021, lebih kurang 8 juta penerima dari golongan
B40 akan menerima bantuan 180 ringgit seorang dalam bentuk kredit
telekomunikasi. Bantuan ini boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan
internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.
Pada masa yang sama, syarikat-syarikat telekomunikasi akan menyediakan
manfaat bernilai 1.5 bilion ringgit seperti dalam bentuk data percuma.
Langkah 2: Meringankan Beban Hidup Rakyat
Datuk Yang di-Pertua,
43. Selanjutnya, sukacita Kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif
utama bagi meringankan beban kewangan rakyat semasa tempoh krisis wabak
ini.
44. Inisiatif pertama; penurunan kadar cukai pendapatan. Kerajaan
bersetuju kadar cukai pendapatan untuk individu pemastautin diturunkan
sebanyak 1 mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai 50,001
hingga 70,000 ringgit yang dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar
cukai.
45. Kerajaan prihatin dengan keresahan rakyat terutamanya mereka yang
mempunyai pinjaman dan terkesan COVID-19. Sejak April hingga September
lalu, Malaysia merupakan negara pertama di dunia memberi moratorium
pinjaman secara automatik bagi meringankan beban semua peminjam. Dengan
peralihan ke arah Bantuan Pembayaran Bersasar mulai 1 Oktober yang
lepas, institusi perbankan telah terus menawarkan moratorium lanjutan
dan lain-lain kaedah bantuan pembayaran. Setakat ini, lebih daripada 650
ribu permohonan bantuan pembayaran telah diterima, dengan kadar
kelulusan tinggi iaitu 98 peratus. Bantuan dari segi pemanjangan
moratorium atau fleksibiliti pembayaran balik telah diberikan kepada
mereka yang kehilangan pekerjaan, serta kepada individu dan PKS yang
pendapatannya terus terjejas oleh wabak COVID-19. Pada masa yang sama,
bank telah melaporkan bahawa sekitar 85 peratus peminjam telah
meneruskan semula pembayaran pinjaman mereka tanpa meminta bantuan sejak
moratorium automatik berakhir.
46. Sebagai inisiatif kedua, sukacitanya diumumkan bahawa institusi
perbankan akan menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam
kategori B40 yang merupakan penerima BSH dan bakal penerima BPR dan
kepada perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga
150 ribu ringgit. Peminjam dalam kategori ini akan diberi pilihan:
Opsyen 1: Menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan; atau
Opsyen 2: Pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama 6 bulan.
Peminjam yang layak hanya perlu menghubungi pihak bank untuk membuat pilihan opsyen dan menyempurnakan dokumentasi.
47. Untuk peminjam dari golongan M40, proses permohonan bantuan
bayaran balik pinjaman akan dipermudahkan. Peminjam hanya perlu membuat
pengisytiharan kendiri atau self-declaration pengurangan pendapatan
untuk mendapat bantuan bayaran balik. Fleksibiliti-fleksibiliti ini akan
bermula pada Disember 2020.
48. Sebagai Kerajaan yang prihatin, adalah wajar sebarang keputusan
yang dibuat perlu berhati-hati dalam mengimbangi keperluan rakyat hari
ini dan kebajikan pada masa hadapan.
49. Sehubungan itu, sebagai inisiatif ketiga; kadar caruman minimum
KWSP pekerja dikurangkan daripada 11 kepada 9 peratus mulai Januari
2021untuk tempoh 12 bulan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna atau
takehome pay. Ini akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif
sehingga 9.3 bilion ringgit.
50. KWSP juga telah memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Lestari
pada bulan April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak 500
ringgit sebulan, selama 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga
6,000 ringgit. Skim ini telah memanfaatkan 4.7 juta ahli dengan nilai
11.6 bilion ringgit.
51. Maka, sebagai inisiatif keempat, dan yang saya pasti
dinanti-nantikan, Kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan
KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak 500 ringgit sebulan
dengan jumlah sehingga 6,000 ringgit untuk 12 bulan. Pengeluaran ini
adalah bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka
meringankan beban kewangan kepada 600 ribu ahli yang terjejas. Mengambil
kira kedua-duainisiatif i-Lestari serta kemudahan pengeluaran Akaun 1
ini, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga 12 ribu
ringgit. Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran Akaun 1 akan
melibatkan 4 bilion ringgit. Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari
2021.
52. Inisiatif kelima; Pelanjutan Sistem Insurans Pekerjaan: Pada masa
ini, PERKESO menanggung pekerja yang kehilangan pekerjaan melalui
pemberian Elaun Mencari Pekerjaan. Elaun ini diberi selama enam bulan di
mana bulan pertama layak menuntut 80 peratus gaji dan secara
beransuransur berkurang kepada 30 peratus gaji. Sehubungan itu, bagi
tahun 2021, tempoh Elaun Mencari Kerja akan dilanjutkan selama tiga
bulan dan kadar layak menuntut daripada 80 peratus gaji bagi bulan
pertama, 50 peratus bagi bulan kedua hingga keenam dan seterusnya 30
peratus bagi tiga bulan terakhir. Untuk tujuan ini, peruntukan sebanyak
150 juta ringgit akan disediakan dan dijangka memanfaatkan sehingga 130
ribu orang pencari kerja.
53. Akhir sekali, bagi membantu mereka yang telah hilang pekerjaan
akibat keadaan ekonomi yang terjejas susulan COVID-19, bagi tempoh 2
tahun taksiran, had pengecualian cukai pendapatan bagi bayaran pampasan
atas kehilangan pekerjaan akan dinaikkan daripada 10 ribu kepada 20 ribu
ringgit setiap tahun genap perkhidmatan.
Datuk Yang di-Pertua,
54. Bagi tahun 2021, Kerajaan menyediakan hampir 28 bilion ringgit
khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif. Antaranya ialah bantuan
pengangkutan dan kebajikan serta subsidi bagi mengawal kenaikan harga
barangan dan perkhidmatan.
55. Kerajaan juga akan menaikkan peruntukan daripada 150 juta kepada
200 juta ringgit untuk melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG
dan Community Drumming termasuk meluaskan pelaksanaannya ke 34 kawasan
baharu antaranya di Pulau Sakar di Sabah dan Ulu Mujok di Sarawak.
Melalui inisiatif ini barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak
masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel dapat dinikmati oleh lebih 1.1
juta rakyat pada harga yang dikawal.
Langkah 3: Bantuan kepada Petani, Peladang dan Nelayan
56. Bagi membantu pekebun kecil getah dalam keadaan harga pasaran
rendah, peruntukan bagi Insentif Pengeluaran Getah akan ditingkatkan
sekali ganda daripada 150 juta ringgit kepada 300 juta ringgit. Dengan
kenaikan ini, pendapatan 150 ribu pekebun kecil getah persendirian dapat
distabilkan.
57. Selain itu, 1.7 bilion ringgit disediakan dalam bentuk subsidi,
bantuan dan insentif kepada petani dan nelayan. Antaranya subsidi harga
padi sebanyak
570 juta ringgit, subsidi dan insentif tanaman padi berjumlah 960
juta ringgit termasuk subsidi baja padi bukit yang diperkenalkan semula
sebanyak 40 juta ringgit. Kesemua bantuan ini dijangka memanfaatkan
lebih 300 ribu pesawah di seluruh negara termasuk penanam padi bukit di
Nabawan, Sabah dan Kanowit, Sarawak.
58. Selaras dengan pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,
elaun sara hidup nelayan akan dinaikkan daripada 250 ringgit kepada 300
ringgit sebulan bermula tahun 2021. Lebih 40 ribu nelayan akan menikmati
bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak 151 juta ringgit.
59. Bagi membantu peneroka FELDA, Kerajaan memperuntukkan 400 juta
ringgit untuk menghapus faedah hutang kebun peneroka dan menyediakan
program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu.
Strategi 3: Menjana dan Mengekalkan Pekerjaan
Datuk Yang di-Pertua,
60. Strategi ketiga adalah untuk menjana dan mengekalkan pekerjaan.
Kadar purata pengangguran sejak 10 tahun lalu merekodkan 3.2 peratus
atau sekitar 500 ribu penganggur. Berikutan pandemik COVID-19, ia telah
meningkat kepada 5.3 peratus atau 820 ribu penganggur pada Mei 2020
iaitu tertinggi sejak 1989. Melalui pembukaan semula ekonomi dan
pelaksanaan inisiatif PRIHATIN dan PENJANA, kadar pengangguran telah
turun kepada 4.7 peratus pada Ogos 2020.
61. Bagi tahun hadapan, Kerajaan akan melaksanakan Skim Jaminan
Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang melibatkan penyediaan 500 ribu
peluang pekerjaan baharu termasuk pelbagai program peningkatan kemahiran
dan latihan semula melalui perbelanjaan Kerajaan sebanyak 3.7 bilion
ringgit.
Langkah 1: Insentif PenjanaKerjaya
62. Kerajaan juga akan meneruskan inisiatif pengambilan pekerja di
bawah PERKESO yang kini dikenali sebagai PenjanaKerjaya dengan beberapa
penambahbaikan:
Pertama: Insentif untuk pekerja bergaji 1,500 ringgit ke atas akan
dinaikkan daripada kadar rata 800 ringgit sebulan, kepada 40 peratus
daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum 4,000 ringgit
sebulan;
Kedua: Bagi menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU,
penganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan, majikan akan
diberi insentif tambahan sebanyak 20 peratus, menjadikan keseluruhan
insentif majikan berjumlah 60 peratus; dan
Ketiga: Bagi sektor dengan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing
seperti pembinaan dan perladangan, insentif khas sebanyak 60 peratus
daripada gaji bulanan disediakan dengan 40 peratus disalurkan terus
kepada majikan dan 20 peratus kepada pekerja tempatan yang menggantikan
pekerja asing.
Ketiga-tiga perkara ini, insentif diberikan untuk tempoh enam bulan; dan
Keempat: Bagi mereka yang telah diambil bekerja di bawah
PenjanaKerjaya, kos maksimum program latihan yang layak dituntut majikan
dinaikkan daripada 4,000 kepada 7,000 ringgit bagi menjalani program
kemahiran tinggi atau sijil profesional.
63. Bagi menjayakan keempat-empat inisiatif PenjanaKerjaya ini,
sejumlah 2 bilion ringgit diperuntukkan dan dijangka dapat menyediakan
peluang pekerjaan kepada 250 ribu pencari kerja.
64. Sukacita saya mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan
pembentukan Majlis Pekerjaan Negara yang akan dipengerusikan oleh Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri. Majlis ini akan menyelaras pelbagai
inisiatif merentas Kementerian dan agensi dalam mencipta peluang
pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan pekerja. Agensi LAKSANA
akan bertanggungjawab untuk memantau keberkesanan segala inisiatif bagi
memastikan rakyat Malaysia terus mendapat peluang pekerjaan.
Langkah 2: Reskilling and Upskilling
Datuk Yang di-Pertua,
65. Selanjutnya, program peningkatan kemahiran dan latihan semula
atau reskilling and upskilling akan dilaksanakan dengan tumpuan kepada
kebolehpasaran pekerja dan padanan pekerjaan. Bagi tahun 2021, sejumlah 1
bilion ringgit diperuntukkan untuk 200 ribu pelatih antaranya
merangkumi program berikut:
Pertama: 150 juta ringgit diperuntukkan bagi program Kementerian
Pengajian Tinggi persijilan profesional (KPT-PACE) iaitu graduan baharu
ditawarkan baucar bernilai 3,000 ringgit seorang untuk mengambil kursus
sijil profesional di universiti awam dan swasta. Dijangka 50,000 graduan
akan memperoleh manfaat daripada program ini.
Kedua: 100 juta ringgit kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad atau
HRDF bagi melaksanakan program latihan dan kerja secara usahasama
dengan majikan sektor swasta;
Ketiga: 100 juta ringgit kepada MDEC untuk memudahkan peralihan bakat
tenaga kerja sedia ada bagi mengisi keperluan dalam industri ICT yang
kian mengembang;
Keempat: 100 juta ringgit kepada pihak berkuasa pembangunan wilayah
terutamanya IRDA dan SEDIA untuk melengkapkan kemahiran baharu kepada
tenaga kerja yang terjejas teruk akibat penutupan sempadan bagi
pelancong asing agar memudahkan mereka mendapat peluang kerja atau
sumber pendapatan baharu; dan
Kelima: 30 juta ringgit kepada PERHEBAT untuk program latihan
kemahiran dan keusahawanan yang dijangka memanfaatkan 12 ribu veteran
Angkatan Tentera Malaysia.
66. Bagi menggalakkan rakyat meningkatkan kemahiran serta menceburi
bidang baharu, skop pelepasan cukai yuran pengajian akan diperluas
meliputi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran oleh
badanbadan bertauliah, terhad kepada 1,000 ringgit bagi setiap tahun
taksiran.
Langkah 3: MySTEP
Datuk Yang di-Pertua,
67. Seterusnya, Kerajaan akan memperkenalkan inisiatif MySTEP atau
Short-term Employment Programme dengan peruntukan lebih 700 juta
ringgit. Inisiatif ini akan menawarkan 50 ribu peluang pekerjaan secara
kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC
bermula Januari 2021.
68. Di bawah inisiatif ini, 35 ribu peluang pekerjaan akan ditawarkan
di dalam sektor awam dengan keutamaan mengisi perjawatan seperti
jururawat, medical attendant, pegawai kebajikan masyarakat, serta guru
sementara. Manakala syarikat GLC pula akan menyediakan 15 ribu peluang
pekerjaan yang mengutamakan bidang teknikal dan kewangan serta turut
dipanjangkan kepada graduan untuk menjalani program perantisan.
Langkah 4: Program Subsidi Upah Bersasar
69. Menerusi pakej-pakej rangsangan, subsidi upah disediakan sehingga
sembilan bulan dengan peruntukan melebihi 15 bilion ringgit. Sehingga
31 Oktober 2020, Kerajaan telah menyalurkan 12.5 bilion ringgit bagi
membiayai Program Subsidi Upah, PERKESO yang membantu 2.7 juta pekerja
dan lebih daripada 330 ribu majikan.
70. Walau bagaimanapun, masih ramai pekerja terkesan, terutamanya
dalam sektor pelancongan. Dengan ini, Kerajaan akan melanjutkan
pelaksanaan
Program Subsidi Upah selama tiga bulan lagi dengan lebih bersasar,
khususnya bagi sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan dengan
kadar 600 ringgit sebulan bagi pekerja bergaji 4,000 ringgit dan ke
bawah. Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan
ditingkatkan kepada 500 pekerja. Sebanyak 1.5 bilion ringgit
diperuntukkan dan dijangka akan membantu kira-kira 70 ribu majikan dan
900 ribu pekerja.
Langkah 5: Perlindungan Sosial
Datuk Yang di-Pertua,
71. Kadar penembusan insurans yang rendah di Malaysia adalah antara
faktor yang menggugat keselamatan kewangan individu dan isi rumah.
Dengan itu, KWSP akan membenarkan ahli membuat pengeluaran daripada
Akaun 2 KWSP untuk membeli produk perlindungan insurans dan takaful
hayat dan penyakit kritikal bagi diri dan keluarga yang diluluskan oleh
KWSP.
72. Bagi menggalakkan simpanan hari tua, pelepasan cukai pendapatan
individu sehingga 3,000 ringgit ke atas caruman Skim Persaraan Swasta
atau PRS dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025.
73. Seterusnya, Kerajaan menyediakan 24 juta ringgit bagi caruman
penuh di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO untuk manfaat 100 ribu
pekerja daripada kumpulan berikut:
Pertama: Anggota Pasukan Sukarelawan Angkatan Tentera, Sukarelawan
Simpanan Polis, Sukarelawan Pertahanan Awam Malaysia dan Sukarelawan
Maritim Malaysia;
Kedua: Guru takmir, imam, bilal, siak, noja, dan merbut;
Ketiga: Pekerja sektor awam berstatus Contract For Service; dan
Keempat: Bagi menghargai sumbangan delivery riders yang menjadi
barisan sokongan semasa tempoh PKP, inisiatif ini turut dipanjangkan
kepada 40 ribu orang delivery riders.
Strategi 4: Mengutama Agenda Keterangkuman
Datuk Yang di-Pertua,
74. Strategi keempat adalah untuk mengutama agenda keterangkuman.
Selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, agenda keterangkuman
menjadi keutamaan ke arah pembangunan yang holistik. Langkah 1:
Pemerkasaan Bumiputera
75. Kerajaan akan meneruskan usaha untuk menyokong pembangunan
Bumiputera bagi mengurangkan ketidaksamarataan antara kaum. Bagi tahun
2021, sejumlah 11.1 bilion ringgit disediakan, iaitu tambahan 3.1 bilion
ringgit berbanding tahun sebelum ini.
76. Antaranya, sejumlah 6.5 bilion ringgit diperuntukkan untuk
menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada institusi Bumiputera
seperti MARA dan UiTM bagi menjalankan program khusus termasuklah
pendigitalan pembelajaran TVET dan menaik taraf program peringkat sijil
ke diploma.
77. Manakala, bagi melonjak dan memperkasa usahawan Bumiputera, sejumlah 4.6 bilion ringgit disediakan untuk tujuan berikut:
Pertama: 510 juta ringgit bagi tujuan pembiayaan kepada PKS dan PKS mikro Bumiputera melalui TEKUN dan PUNB;
Kedua: 800 juta ringgit melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank;
Ketiga: 2 bilion ringgit diperuntukkan bagi membantu pembiayaan PKS
Bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan atau SJPP; dan
Keempat: 1.3 bilion ringgit lagi untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana
Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera.
78. Pelaburan Hartanah Berhad atau PHB telah berjaya membangunkan
hospital swasta bernilai 300 juta ringgit di atas tanah rizab Melayu di
Sungai Penchala. Maka, Kerajaan berhasrat untuk terus mengoptimumkan
nilai tanah rizab Melayu di kawasan-kawasan strategik. Bagi tujuan ini,
sejumlah 750 juta ringgit akan disediakan kepada PHB di bawah Rancangan
Malaysia Ke-12 bagi meningkatkan nilai pegangan Bumiputera dalam sektor
hartanah terutama bagi pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu.
Langkah 2: Memartabatkan Syiar Islam
Datuk Yang di-Pertua,
79. Pembangunan Islam akan terus diperkukuh. Belanjawan 2021
memperuntukkan 1.4 bilion ringgit bagi pengurusan dan pembangunan hal
ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.
80. Kerajaan akan memperkasa pengurusan wakaf melalui kerjasama
antara Yayasan Waqaf Malaysia dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan,
GLC
dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC). Pelan Induk Wakaf
Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih
cekap dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf masa hadapan.
81. Selain itu, PNB melalui Amanah Saham Nasional Berhad atau ASNB
akan memperkenalkan perkhidmatan wakaf kepada semua pemegang unit amanah
ASNB. Di bawah perkhidmatan ini, pemegang unit boleh mewakafkan
sebahagian unit mereka ke dalam tabung wakaf ASNB dan mereka layak
mendapat potongan cukai pendapatan. Pulangan berterusan dari tabung
wakaf tersebut akan disalurkan kepada projek wakaf berkepentingan
nasional yang akan dikenal pasti PNB.
82. Bagi menghargai jasa 4,000 Guru Takmir sebagai antara penggerak
komuniti di peringkat kariah, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun
Guru Takmir daripada 800 kepada 900 ringgit sebulan.
83. Sebagai tambahan, sukacita saya mengumumkan pemberian Bayaran
Khas One-off sebanyak 500 ringgit kepada para Imam, Bilal, Siak, Noja,
Merbut, Guru Takmir, dan Guru KAFA. Pemberian bantuan khas ini dijangka
memberi manfaat kepada hampir 70,000 orang.
Langkah 3: Memperkasa Golongan Wanita
Datuk Yang di-Pertua,
84. Kerajaan sangat menghargai sumbangan wanita kepada negara. Bagi
memperkasa usahawan wanita, sejumlah 95 juta ringgit pembiayaan mikro
kredit khas disediakan melalui TEKUN, MARA dan AgroBank. Selain itu,
sebanyak 50 juta ringgit juga disediakan di bawah Yayasan Pembangunan
Ekonomi Islam Malaysia, YaPEIM bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam
melalui Ar-Rahnu BizNita.
85. Program bimbingan terutama dalam aspek pembungkusan dan
pelabelan, strategi pemasaran serta bimbingan teknikal perniagaan juga
akan diberikan kepada lebih 2,000 usahawan wanita melalui Program
Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro atau BizMe. Kerajaan juga akan
menyediakan program khusus untuk kontraktor wanita Bumiputera bagi
meningkatkan penglibatan mereka dalam kontrak Kerajaan.
86. Kerajaan menyedari akan pentingnya menangani isu keganasan rumah
tangga. Oleh itu, Kerajaan akan menyediakan Pusat Sokongan Sosial
Setempat dengan peruntukan 21 juta ringgit. Pusat ini dengan kerjasama
NGO akan menyediakan perlindungan sosial dan sokongan moral kepada
golongan wanita terutamanya dalam mendepani masalah keganasan rumah
tangga, perceraian dan penderaan.
87. Saya difahamkan petugas barisan hadapan menghadapi kekangan
mendapatkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak. Sehubungan itu, bagi
menambah baik sistem sokongan sedia ada buat petugas barisan hadapan dan
golongan ibu berkerjaya, 30 juta ringgit disediakan untuk menyediakan
taska di bangunan-bangunan Kerajaan, terutamanya di hospital.
Manakala, bagi sektor swasta, geran padanan sehingga 20 juta ringgit
akan disediakan untuk menggalakkan sektor swasta menyediakan pusat
penjagaan kanak-kanak di premis mereka.
88. Selain itu, 10 juta ringgit diperuntukkan bagi program saringan
kanser serviks dan insentif subsidi ujian mamogram kepada wanita
berisiko tinggi mendapat kanser payudara.
Langkah 4: Tumpuan Mengikut Komuniti
Datuk Yang di-Pertua,
89. Program-program pembangunan komuniti merangkumi semua peringkat
masyarakat turut menjadi tumpuan Kerajaan. Bagi kaum Cina, sejumlah 177
juta ringgit disediakan untuk program pembaikan fasiliti pendidikan,
rumah dan kemajuan kampung baru termasuk 100 juta ringgit pembiayaan
perniagaan komuniti Cina melalui BSN. Bagi kaum India, sebanyak 100 juta
ringgit diperuntukkan kepada Unit Transformasi Masyarakat India, MITRA
bagi memperkasa kedudukan sosioekonomi komuniti India.
90. Selain itu, TEKUN akan menyediakan 20 juta ringgit khusus untuk
program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India, SPUMI dan 5 juta
ringgit untuk pembangunan usahawan bagi komuniti lain.
91. Bagi menggalakkan budaya sukarela di peringkat komuniti pula,
Kerajaan akan menaikkan nilai geran bagi setiap Kawasan Rukun Tetangga
atau KRT daripada 4,800 kepada 6,000 ringgit dengan peruntukan hampir 50
juta ringgit. Geran ini akan memanfaatkan lebih 8,000 KRT.
92. Kerajaan juga menyediakan 50 juta ringgit bagi projek-projek
pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah-rumah ibadat di
kawasan
Pihak Berkuasa Tempatan. Peruntukan ini turut merangkumi pelaksanaan
program perpaduan dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat dan komuniti
setempat.
Datuk Yang di-Pertua,
93. Bagi tahun hadapan, Jabatan Penjara Malaysia akan diperuntukkan
20 juta ringgit bagi melaksanakan Program Pembangunan Insan antaranya
untuk memberikan kemahiran vokasional kepada banduan. Melalui program
ini, banduan penjara telah menghasilkan pelbagai jenis produk di bawah
MyPRIDE dan Tenun Pahang Diraja. Kain Samping yang saya kenakan pada
hari ini juga merupakan tenunan Pahang Diraja yang dihasilkan penghuni
Penjara Penor, Pahang.
94. Bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada
bekas banduan dan bekas penagih dadah serta mengintegrasikan golongan
ini ke dalam masyarakat, potongan cukai tambahan yang diberikan kepada
majikan yang menggaji golongan ini akan dilanjutkan sehingga tahun
taksiran 2025.
Datuk Yang di-Pertua,
95. Kerajaan Malaysia juga mendengar keluhan penggiat seni termasuk
tenaga kerja produksi belakang tabir. Sehubungan itu, sebanyak 15 juta
ringgit akan diperuntukkan kepada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya
atau CENDANA untuk melaksanakan pelbagai program kesenian dan
kebudayaan yang bakal memanfaatkan lebih 5,000 penggiat seni dan petugas
produksi belakang tabir.
96. Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan
komuniti Orang Asli. Peruntukan sejumlah 158 juta ringgit akan
disediakan. Peruntukan ini antaranya meliputi pelaksanaan program
bantuan sosial dan Program Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang
Asli. Kerajaan juga akan menaik taraf dan membina 14 buah tabika baharu
antaranya seperti di Pos Slim Sungai Kinta, Perak dan Pos Sungai Kelai
Jempol, Negeri Sembilan.
97. Kerajaan amat prihatin terhadap isu menanda sempadan dan
mewartakan tanah yang sekian lama disuarakan oleh komuniti Orang Asli.
Sukacita Kerajaan menyediakan sebanyak 5 juta ringgit bagi menjalankan
kerja-kerja ukur tanah untuk menanda sempadan di 21 perkampungan Orang
Asli. Selain itu, sebanyak 41 juta ringgit diperuntukkan bagi program
Native Customary Rights di Sabah dan Sarawak.
Datuk Yang di-Pertua,
98. Kerajaan akan terus menjaga kebajikan golongan warga emas dan OKU
melalui Program Khidmat Bantu di Rumah. Sehubungan itu, nilai saguhati
kepada sukarelawan di bawah program ini akan dinaikkan daripada 150
kepada maksimum 400 ringgit. Manakala, nilai saguhati kepada klien
program turut dinaikkan daripada 30 kepada 80 ringgit. Kenaikan ini
dijangka memanfaatkan lebih 2,000 sukarelawan dan lebih 8,000 warga emas
dan OKU.
99. Selanjutnya, bagi membantu mereka yang mempunyai pasangan OKU,
sukacita Kerajaan mengumumkan had pelepasan cukai bagi pasangan OKU akan
dinaikkan daripada 3,500 kepada 5,000 ringgit.
100. Pada masa ini, kadar bayaran bulanan yang diterima oleh penyelia
dan petugas di bawah Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti atau PDK tidak
pernah dikaji sejak tahun 2008. Maka, atas keprihatinan Kerajaan, bagi
tahun hadapan, kadar petugas PDK akan dinaikkan daripada 800 kepada
1,200 ringgit sebulan, manakala kadar penyelia dinaikkan daripada 1,200
kepada 1,500 ringgit sebulan. Kenaikan ini akan memanfaatkan 3,500
petugas dan penyelia PDK seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan
100 juta ringgit.
101. Tidak sekadar itu, Kerajaan juga akan menaikkan bantuan kewangan
tahunan bagi pengendalian Pusat Aktiviti Warga Emas yang dikendalikan
oleh NGO daripada 33 ribu kepada 50 ribu ringgit. Kenaikan ini diharap
dapat memberi manfaat kepada 285 buah pusat aktiviti warga emas di
seluruh negara.
102. Bagi menggalakkan peluang pekerjaan kepada warga emas, potongan
cukai tambahan akan diberikan kepada majikan yang menggaji warga emas.
Potongan ini akan dilanjutkan sehingga tahun 2025.
103. Kerajaan juga memperuntukkan 170 juta ringgit bagi program
pendidikan awal kanak-kanak oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat atau KEMAS.
Peruntukan ini antaranya untuk membiayai Bantuan Makanan Tambahan,
Bantuan Per Kapita, penyelenggaraan dan pembaikan Tabika dan Taman
Asuhan Kanak-Kanak, TASKA.
104. Untuk meringankan kos sara hidup kumpulan B40 bandar khususnya
bagi ibu bapa yang bekerja, Kerajaan akan menyediakan Pusat Komuniti
sebagai
tempat jagaan kepada anak-anak selepas tamat sesi persekolahan.
Dengan peruntukan 20 juta ringgit, Pusat Komuniti dengan kerjasama NGO
ini turut dilengkapi kemudahan penjagaan diri, kelas tuisyen,
perpustakaan mini dan program bimbingan mentor.
Langkah 5: Penambahbaikan Infrastruktur Luar Bandar
Datuk Yang di-Pertua,
105. Kerajaan akan meneruskan usaha mengurangkan jurang pembangunan
bandar dan luar bandar. Untuk tujuan ini, 2.7 bilion ringgit disalurkan
bagi melaksanakan pelbagai program dan projek penambahbaikan
infrastruktur luar bandar seperti berikut:
Pertama: 1.3 bilion ringgit bagi melaksanakan projek jalan luar
bandar dan jalan perhubungan desa sepanjang 920 kilometer yang memberi
manfaat kepada lebih 290 ribu penduduk;
Kedua: 632 juta ringgit diperuntukkan bagi bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif dengan sasaran 4,800 buah rumah;
Ketiga: 250 juta ringgit disediakan untuk bekalan elektrik luar bandar dengan sasaran lebih 1,100 buah rumah;
Keempat: 355 juta ringgit bagi Program Bantuan Rumah kepada golongan
miskin iaitu membina rumah baharu dan membaik pulih rumah dengan sasaran
15 ribu buah rumah; dan
Kelima: 121 juta ringgit bagi memasang 27 ribu unit lampu serta
menanggung kos operasi dan penyelenggaraan 500 ribu unitLampu Jalan
Kampung.
106. Selain itu, Kerajaan akan memperluas perkhidmatan bank bergerak
di negeri Sabah dan Sarawak seperti yang telah dilaksanakan oleh
Kerajaan Negeri Sarawak. Langkah ini dapat membantu masyarakat yang
sukar mendapat akses perbankan asas seperti pemindahan wang, pembayaran
bil dan kemudahan mengeluarkan wang bantuan Kerajaan seperti BPR.
107. Kerajaan komited bagi memastikan kemudahan jalan raya di semua
negeri diselenggara secara optimum. Sehubungan itu, had kelayakan
penggunaan dana di bawah Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia
atau MARRIS dibenarkan dinaikkan sehingga 20 peratus atau 50 juta
ringgit, yang mana lebih rendah bagi membiayai kerja penyelenggaraan
jalan di luar skop
biasa MARRIS.
Langkah 6: Pembangunan Belia dan Sukan
Datuk Yang di-Pertua,
108. Belia ialah pemangkin masa hadapan negara. Bagi menyediakan
pendedahan alam pekerjaan kepada belia, Kerajaan akan menyediakan
insentif kepada majikan swasta sebanyak 1,000 ringgit sebulan sehingga
tiga bulan bagi setiap graduan baharu yang menyertai program perantisan.
Sebagai
tambahan, majikan juga boleh menuntut geran sehingga 4,000 ringgit
untuk program latihan bagi perantis tersebut. Program ini dijangka
memanfaatkan sehingga 50 ribu graduan baharu dengan peruntukan 250 juta
ringgit.
109. Golongan belia memain peranan penting sebagai antara pelopor dan
pengguna dalam mengadaptasi teknologi terkini. Ke arah membudayakan
transaksi kewangan tanpa tunai, Kerajaan melalui Program eBelia akan
mengkreditkan 50 ringgit secara one-off ke dalam akaun e-wallet bagi
mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun. Dengan peruntukan 75 juta
ringgit, inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan lebih 1.5 juta belia.
110. Kerajaan akan memperuntukkan 19 juta ringgit bagi melaksanakan
Agenda Nasional Malaysia Sihat bertujuan memantapkan amalan gaya hidup
sihat demi mengurangkan risiko menghidapi penyakit diabetes, hipertensi
dan obesiti. Sebanyak 28 juta ringgit juga disediakan bagi melaksanakan
program MyFit, Hari Sukan Negara dan Program Inspire bagi komuniti OKU.
111. Kerajaan juga akan menyediakan 103 juta ringgit untuk membina,
menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan seluruh negara. Bagi
pembangunan sukan berprestasi tinggi, Kerajaan akan menyediakan 55 juta
ringgit untuk program pembangunan sukan hoki, ragbi, badminton,
berbasikal, pembangunan atlet wanita termasuk 15 juta ringgit kepada
pembangunan eSports.
112. Bagi membantu pengusaha industri sukan, 20 juta ringgit
disediakan sebagai pinjaman mudah di bawah skim TEKUN Sukan untuk
memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan.
113. Selain itu, had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup
dinaikkan daripada 2,500 kepada 3,000 ringgit iaitu tambahan 500 ringgit
yang dikhususkan bagi perbelanjaan berkaitan sukan termasuk bayaran
penyertaan pertandingan sukan. Skop pelepasan ini juga diluaskan untuk
meliputi langganan surat khabar elektronik.
Strategi 5: Menjamin Kesejahteraan Hidup Rakyat
Datuk Yang di-Pertua,
114. Strategi kelima adalah untuk menjamin kesejahteraan hidup
rakyat. Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia yang mengukur perkembangan
kesejahteraan rakyat menunjukkan komponen sosial telah meningkat dengan
lebih perlahan berbanding dimensi ekonomi. Dalam dimensi sosial,
terdapat banyak ruang penambahbaikan terutamanya di bawah komponen
kesihatan, keluarga dan alam sekitar. Kerajaan akan memastikan
pembangunan yang lebih berimbang dan kehidupan yang lebih sejahtera
melalui peningkatan pelbagai kemudahan sosial.
Langkah 1: Kesalinghubungan Digital
115. Jaringan telekomunikasi kini boleh dianggap sebagai utiliti
ketiga. Dalam suasana norma baharu, perkhidmatan secara maya sudah
menjadi kelaziman. Pembangunan infrastruktur dan penaiktarafan rangkaian
asas telekomunikasi adalah perlu bagi menampung keperluan gaya hidup
digital.
116. Maka, Kerajaan akan memperuntukkan 500 juta ringgit bagi tahun
2021 untuk melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara, JENDELA
bertujuan memastikan kesalinghubungan sejumlah 430 buah sekolah di
seluruh Malaysia meliputi semua negeri. Pada masa sama, Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan memperuntukkan 7.4 bilion
ringgit untuk tahun 2021 dan 2022 bagi memperluas perkhidmatan jalur
lebar.
117. Dalam norma baharu ini, pembelajaran secara dalam talian telah
menjadi satu amalan. Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan bahawa GLC
dan GLIC akan menyumbang sebanyak 150 juta ringgit ke dalam Tabung
CERDIK bagi pemberian komputer riba kepada 150 ribu murid di 500 buah
sekolah sebagai projek rintis. Projek ini akan diselia oleh Yayasan
Hasanah.
Langkah 2: Akses kepada Pendidikan Berkualiti
Datuk Yang di-Pertua,
118. Pendidikan ialah pelaburan yang paling penting dalam memastikan
kualiti kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang. Oleh itu,
Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus menerima peruntukan terbesar
iaitu sejumlah 50.4 bilion ringgit atau 15.6 peratus daripada
keseluruhan
perbelanjaan Kerajaan.
119. Bagi memastikan murid-murid daripada keluarga berpendapatan
rendah mendapatkan kandungan khasiat harian demi pertumbuhan fizikal dan
mental yang menyeluruh, Kerajaan akan menambah baik Rancangan Makanan
Tambahan dengan penyediaan bekalan susu daripada dua kali seminggu
sahaja kepada setiap hari persekolahan. Peruntukan sebanyak 420 juta
ringgit akan disediakan dan sebahagian perolehan akan dikhaskan kepada
pengeluar susu tempatan.
120. Bagi memastikan suasana pembelajaran kondusif, sebanyak 800 juta
ringgit disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan
Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan. Peruntukan ini juga
termasuk kerjakerja menaik taraf dan membina dewan terbuka atau struktur
berbumbung bagi menyediakan tempat berhimpun yang selesa dan selamat di
sekolah-sekolah Kerajaan.
121. Selain itu, kos tambahan sebanyak 725 juta ringgit akan
diperuntukkan bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 50 buah
sekolah-sekolah daif. Bagi sekolah di luar bandar Sabah dan Sarawak,
Kerajaan akan melaksanakan 184 projek pembinaan dan pemasangan bekalan
air telaga tiub baharu dengan kos keseluruhan projek berjumlah 120 juta
ringgit.
122. Selain itu, kebajikan murid berkeperluan khas di sekolah turut
diberi perhatian oleh Kerajaan. Maka bagi memperkasa pendidikan khas, 45
juta ringgit akan disediakan untuk tujuan ini.
123. Bagi peringkat pengajian tinggi pula, sebanyak 14.4 bilion
ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Ini termasuk,
50 juta ringgit disediakan bagi projek membaik pulih infrastruktur dan
peralatan usang di universiti-universiti awam.
124. Bagi memastikan kesalinghubungan internet di institut pengajian
tinggi, Kerajaan memperuntukkan 50 juta ringgit untuk menaik taraf
talian akses Malaysian Research & Education Network atau MYREN
kepada 500Mbps hingga 10Gbps.
125. Selanjutnya, untuk memastikan pelajar IPT yang mendapat pinjaman
PTPTN dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian, Kerajaan
bekerjasama dengan BSN akan menyediakan 100 juta ringgit bagi pembiayaan
Skim BSN MyRinggit-i COMSIS iaitu skim pinjaman komputer riba.
126. Bagi terus menggalakkan ibu bapa menyimpan untuk membiayai kos
pendidikan tinggi anak-anak mereka, pelepasan cukai sehingga 8,000
ringgit bagi simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional
dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022.
Datuk Yang di-Pertua,
127. Kerajaan juga akan terus memperkasa bidang TVET. Bagi tahun
2021, peruntukan untuk tujuan TVET adalah sebanyak 6 bilion ringgit.
mukasurat 35 dari 67
128. Bagi menyediakan pinjaman kepada 24 ribu peserta program TVET di
institusi latihan kemahiran awam dan swasta, 300 juta ringgit
disediakan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK
iaitu peningkatan 100 juta ringgit.
129. Bagi menggalakkan lebih banyak penglibatan industri melaksanakan
program berteraskan TVET, Kerajaan memperkenalkan Sistem Latihan Dual
Nasional Plus dengan elaun bulanan dinaikkan daripada 625 kepada 1,000
ringgit. Inisiatif ini melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah 60
juta ringgit dan memberi manfaat kepada 10 ribu peserta.
130. Sebanyak 29 juta ringgit juga diperuntukkan bagi melaksanakan
programprogram TVET di bawah KPT antaranya inisiatif pendidikan Islam
dan
pembelajaran sepanjang hayat kepada 15 ribu pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok.
Langkah 3: Meningkatkan Pemilikan Rumah
Datuk Yang di-Pertua,
131. Bagi terus menggalakkan pemilikan rumah, inisiatif berikut akan dilaksanakan:
Pertama: Pengecualian duti setem sepenuhnya diberikan ke atas surat
cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman
pertama bernilai sehingga 500 ribu ringgit. Pengecualian ini adalah
untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021
sehingga 31 Disember 2025; dan
Kedua: Pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat
cara pindah milik diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli
asal rumah terbengkalai dilanjutkan bagi tempoh lima tahun lagi.
Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan
mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025 bagi projek perumahan
terbengkalai yang disahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan.
132. Pada masa yang sama, Kerajaan akan terus menyediakan perumahan
yang selesa dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah.
Sejumlah 1.2 bilion ringgit disediakan bagi tujuan berikut:
Pertama: 500 juta ringgit untuk membina sehingga 14 ribu unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat;
Kedua: 315 juta ringgit untuk pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat oleh SPNB;
Ketiga: 125 juta ringgit bagi penyelenggaraan perumahan berstrata kos
rendah dan sederhana rendah serta bantuan membaik pulih rumah usang dan
yang mengalami kerosakan akibat bencana alam; dan
Keempat: 310 juta ringgit untuk Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia.
133. Selain itu, Kerajaan juga akan bekerjasama dengan institusi
kewangan terpilih untuk menyediakan Skim Rent-to-Own. Program ini akan
dilaksanakan sehingga tahun 2022 melibatkan 5,000 buah rumah PR1MA
dengan nilai keseluruhan lebih 1 bilion ringgit dan dikhaskan untuk
pembeli rumah pertama.
Langkah 4: Kemudahan Pengangkutan
Datuk Yang di-Pertua,
134. Pelaksanaan inisiatif pas perjalanan tanpa had My30 akan
diteruskan dan diperluaskan ke Pulau Pinang dan bandar Kuantan dengan
peruntukan keseluruhan 300 juta ringgit. Inisiatif ini membolehkan
pengguna menikmati perkhidmatan bas dan rel kendalian Kumpulan Prasarana
dengan harga 30 ringgit sebulan.
135. Selain itu, pas perjalanan bulanan tanpa had dengan harga 5
ringgit akan diperkenalkan untuk pelajar sekolah tahun 1 hingga
tingkatan 6 serta golongan OKU. Mereka boleh menggunakan pas ini bagi
perkhidmatan tren komuter Lembah Klang, komuter utara, tren antara
bandar Kuala Lipis dan Tumpat dan tren Sabah di jajaran Beaufort-Tenom.
Jika tambang sekarang secara puratanya ialah 5 ringgit sehari, maka
bermula tahun hadapan, tambangnya hanyalah 5 ringgit sebulan.
136. Pada masa ini, Program Transformasi Perkhidmatan Bas
Berhenti-henti telah dilaksanakan di Kangar, Seremban, Ipoh dan Kuala
Terengganu. Program ini akan diperluas secara berfasa ke Johor Bahru,
Kuching, Kota Kinabalu dan Kuantan dengan peruntukan 150 juta ringgit.
137. Kerajaan juga komited untuk mengurangkan beban pengusaha bas.
Pengecualian cukai jualan bagi pembelian bas siap dalam negara akan
dilanjutkan bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021
hingga 31 Disember 2022.
Langkah 5: Pertahanan Negara dan Ketenteraman Awam
Datuk Yang di-Pertua,
138. Kerajaan amat mengambil berat berkaitan isu kedaulatan negara.
Kerajaan telah melaksanakan Ops Benteng bagi memastikan kawasan sempadan
negara sentiasa dikawal dan tidak dibolosi. Operasi bersepadu ini
diselaraskan di bawah MKN melibatkan pelbagai agensi seperti ATM, PDRM,
APMM, Jabatan Imigresen dan beberapa yang lain.
139. Bagi tahun hadapan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam
Negeri masing-masing diperuntukkan 16 bilion ringgit dan 17 bilion
ringgit.
140. Bagi memastikan kesiapsiagaan aset-aset utama ATM, Kerajaan akan
menaikkan peruntukan penyelenggaraan kepada 2.3 bilion ringgit bagi
tahun 2021 berbanding 2 bilion ringgit sebelum ini.
141. Selain itu, dalam menangani jenayah siber yang kian meningkat,
Kerajaan memperuntukkan 27 juta ringgit kepada CyberSecurity Malaysia
untuk meningkatkan kawalan keselamatan siber negara.
142. Kerajaan sentiasa memastikan kebajikan anggota tentera tidak
terabai. Selain terus menyelenggara kemudahan Rumah Keluarga Angkatan
Tentera sedia ada, Kerajaan turut meluluskan pembinaan sebanyak hampir
1,000 buah unit baharu dengan kos keseluruhan berjumlah hampir 500 juta
ringgit.
143. Kerajaan turut menghargai peranan Jabatan Sukarelawan Malaysia,
RELA yang turut sama membantu dalam memutuskan rantaian jangkitan
COVID-19. Sebanyak 153 juta ringgit akan disediakan termasuk menaik
taraf kemudahan di pusat latihan bagi mengukuh peranan RELA.
MATLAMAT KEDUA: KELANGSUNGAN PERNIAGAAN
Datuk Yang di-Pertua,
144. Persekitaran perniagaan kini telah berubah. Maka, di bawah
matlamat kedua iaitu kelangsungan perniagaan, fokus Kerajaan adalah
untuk memacu pelaburan, memperkukuh sektor-sektor tumpuan dan memudah
akses perniagaan.
Strategi 1: Memacu Pelaburan
145. Strategi pertama adalah untuk memacu pelaburan. Bagi membantu
syarikat-syarikat tempatan mendepani cabaran masa hadapan, Kerajaan akan
bertindak sebagai pemudah cara dalam menyediakan akses kepada dana
pelaburan termasuk menambah baik persekitaran perniagaan.
146. Bagi setiap cabaran yang dihadapi, akan berbangkitnya peluang.
Dalam konteks COVID-19, walaupun perniagaan terkesan, namun ada sektor
industri yang masih tumbuh pesat seperti peralatan perubatan, e-commerce
dan penghantaran serta teknologi pendidikan. Senario ini, di samping
pergelutan perdagangan dunia, mewujudkan peluang bagi Malaysia untuk
mengambil kesempatan menarik syarikat, pelaburan, serta peluang ekonomi
baharu. Ini adalah antara tumpuan Kerajaan di bawah matlamat dua ini.
Langkah 1: Pelaburan Dalam Sektor Utama
147. Untuk itu, 1 bilion ringgit disediakan sebagai pakej galakan
pelaburan berteknologi dan nilai tambah tinggi. Dana ini antaranya
bertujuan menyokong pelaburan R&D dalam bidang aeroangkasa serta
kluster elektronik di kawasan perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang dan
Kulim, Kedah.
148. Sebagai tambahan, Dana Teknologi Tinggi bernilai 500 juta
ringgit akan disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyokong
syarikat sektor teknologi tinggi dan berinovasi. Penyediaan dana ini
akan membolehkan Malaysia kekal kompetitif dalam rantaian nilai global
serta memelihara ekosistem rantaian bekalan dan melindungi pekerjaan
kemahiran tinggi.
149. Kerajaan komited menjadikan Malaysia sebagai destinasi aktiviti
perkhidmatan bernilai tinggi. Sehubungan itu, inisiatif berikut akan
dilaksanakan:
Pertama: Melonggarkan syarat galakan cukai untuk Hab Prinsipal dan melanjutkannya sehingga 31 Disember 2022;
Kedua: Pengenaan kadar cukai bagi penubuhan Global Trading Centre
pada kadar konsesi 10 peratus bagi tempoh 5 tahun dan boleh diperbaharui
bagi tempoh 5 tahun lagi;
Ketiga: Menaikkan had nilai jualan bagi aktiviti tambah nilai dan
aktiviti tambahan yang dijalankan di Zon Perindustrian Bebas dan Gudang
Pengilangan Berlesen daripada 10 peratus kepada 40 peratus daripada
nilai jualan tahunan; dan
Keempat: Melanjutkan layanan kadar cukai pendapatan istimewa pada
kadar rata 15 peratus untuk tempoh 5 tahun kepada individu bukan
warganegara yang memegang jawatan utama bagi pelaburan baharu strategik
oleh syarikat yang memindahkan operasi ke Malaysia.
150. Melalui PENJANA, Kerajaan telah menawarkan kadar cukai istimewa
kepada syarikat pengilang terpilih yang memindahkan lokasi perniagaan ke
Malaysia dan membuat pelaburan baharu. Sukacita dimaklumkan permohonan
untuk insentif tersebut akan dilanjutkan selama satu tahun lagi sehingga
31 Disember 2022. Skop galakan cukai turut diperluas kepada syarikat
dalam sektor perkhidmatan terpilih yang memberi kesan pengganda
signifikan dengan pemberian kadar cukai pendapatan 0 hingga 10 peratus
untuk tempoh 10 tahun.
151. Satu kajian menyeluruh ke atas struktur galakan cukai sedia ada
sedang dilaksanakan bagi menyediakan rangka kerja galakan percukaian
yang kompetitif, telus dan lebih menarik. Bagi memberi ruang kepada
kajian tersebut, galakan cukai sedia ada yang akan tamat pada tahun ini
akan dilanjutkan sehingga 2022. Lanjutan tempoh ini merangkumi galakan
cukai untuk aktiviti MRO bagi aeroangkasa, pembinaan dan pembaikan
kapal, status Bionexus dan galakan cukai bagi koridor pembangunan
ekonomi.
Datuk Yang di-Pertua,
152. Skim Pembangunan Nasional bernilai 1.4 bilion ringgit oleh Bank
Pembangunan Malaysia akan diperkenalkan bagi menyokong pelaksanaan
pembangunan rantaian bekalan domestik dan meningkatkan penghasilan
produk tempatan seperti peralatan perubatan.
153. Selain itu, Skim Pembangunan Maritim dan Logistik, Skim
Pembiayaan Pembangunan Mampan, Skim Infrastruktur Pelancongan dan Dana
Pengangkutan Awam akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023 dengan
ketersediaan dana sebanyak 3.7 bilion ringgit.
154. Daripada keseluruhan dana skim-skim tersebut, 500 juta ringgit
dikhususkan kepada usahawan Bumiputera bagi meningkatkan penglibatan
dalam sektor utama.
155. Selanjutnya, untuk terus membantu PKS terkesan, kemudahan
Bantuan dan Pemulihan Bersasar bernilai 2 bilion ringgit di bawah BNM
akan diperkenalkan melalui pinjaman daripada institusi perbankan.
Langkah 2: Penambahbaikan Persekitaran Perniagaan
Datuk Yang di-Pertua,
156. Semasa sesi Jelajah Belanjawan ke kawasan perindustrian di
seluruh Malaysia, isu utama yang dibangkitkan ialah keperluan menambah
baik infrastruktur. Bagi meningkatkan daya saing industri, sukacita saya
mengumumkan inisiatif seperti berikut:
Pertama: 100 juta ringgit bagi penyelenggaraan infrastruktur kawasan perindustrian;
Kedua: 42 juta ringgit di bawah program JENDELA bagi menambah baik kesalinghubungan internet di 25 kawasan perindustrian;
Ketiga: Pembangunan sebuah loji rawatan air di daerah Kubang Pasu
bagi menyokong keperluan pelaburan projek Zon Ekonomi Sempadan Khas Kota
Perdana di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan penduduk di kawasan tersebut;
dan
Keempat: 45 juta ringgit diperuntukkan bagi memenuhi keperluan
pembekalan air bagi sektor petrokimia yang tertumpu di zon perindustrian
Gebeng.
157. Kerajaan akan melaksanakan kemudahan Authorised Economic
Operator atau AEO di peringkat nasional bertujuan mempermudah proses
akreditasi AEO dan diperluas kepada pembekal perkhidmatan logistik dan
operator gudang yang diluluskan.
158. Selain itu, bagi menambah baik kecekapan perniagaan rentas
sempadan dan meningkatkan produktiviti sektor logistik, Jabatan Kastam
Diraja Malaysia akan mengintegrasikan 43 agensi pengeluar permit dan
lesen dagangan dalam platform AEO.
Langkah 3: Inisiatif Sains, Teknologi dan Inovasi
Datuk Yang di-Pertua,
159. Dalam usaha menyokong perkembangan sains dan teknologi, Kerajaan
memperuntukkan 400 juta ringgit khusus untuk tujuan R&D yang
melibatkan beberapa kementerian dan agensi.
160. Bagi mewujudkan ekosistem R&D yang lebih kompetitif, galakan
cukai bagi aktiviti pengkomersialan hasil R&D berasaskan bukan
sumber akan diperkenalkan semula dan galakan cukai bagi aktiviti
pengkomersialan hasil R&D oleh institusi penyelidikan awam akan
diperluaskan kepada institusi pengajian tinggi swasta.
161. Selanjutnya, 20 juta ringgit akan disediakan bagi program
Malaysia Techlympics dan Science Space bertujuan mewujudkan kepakaran
dalam bidang kecerdasan buatan atau AI dan robotik dalam kalangan belia.
Datuk Yang di-Pertua,
162. Kerajaan akan memperuntukkan 100 juta ringgit daripada langganan
Sukuk PRIHATIN untuk menjalankan penyelidikan berkaitan penyakit
berjangkit merangkumi pembangunan vaksin, serta kajian rawatan dan
diagnostik.
163. Selanjutnya, sukacita saya maklumkan bahawa empat syarikat
sarung tangan utama iaitu Top Glove, Hartalega, Supermax dan Kossan
telah menyatakan komitmen untuk menyumbang 400 juta ringgit untuk
memerangi COVID-19 termasuk menampung sebahagian kos vaksin COVID-19 dan
kos perbelanjaan peralatan kesihatan. Kerajaan amat menghargai komitmen
sektor swasta, NGO dan individu yang sama-sama menyumbang dalam usaha
ini.
Langkah 4: Barangan Buatan Tempatan
Datuk Yang di-Pertua,
164. Bagi menggalakkan penghasilan dan pembelian produk buatan tempatan, beberapa inisiatif akan dilaksanakan seperti berikut:
Pertama: 25 juta ringgit bagi program Pembangunan Francais Mikro
dan Francais Mampu Milik serta program Beli Barangan Buatan Malaysia;
Kedua: 150 juta ringgit bagi program latihan dan bantuan penjualan
serta peralatan digital kepada 100 ribu usahawan tempatan untuk beralih
kepada khidmat digital di bawah Kempen eDagang PKS dan PKS Mikro;
Ketiga: 150 juta ringgit bagi inisiatif Shop Malaysia Online melalui
usahasama dengan platform e-commerce utama untuk menggalakkan
perbelanjaan secara dalam talian yang akan turut memanfaatkan 500 ribu
usahawan tempatan termasuk pengusaha produk halal dan kraf tangan; dan
Keempat: 35 juta ringgit bagi mempromosi barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia di bawah Misi Perdagangan dan Pelaburan.
165. Selain itu, bagi memastikan Malaysia menjadi tumpuan pelaburan
terutamanya dalam pengeluaran vaksin, ubat dan peranti perubatan dalam
negara, Kerajaan akan memperkasa Program Perjanjian Off-Take Kementerian
Kesihatan untuk menarik pelaburan ke negara ini dan potensi pengeluaran
ubat dan vaksin pada masa hadapan.
166. Sebagai tambahan, bagi menggalakkan syarikat pengeluar produk
farmaseutikal termasuk vaksin khususnya vaksin COVID-19 untuk melabur di
Malaysia, pemberian galakan kadar cukai pendapatan antaranya 0 hingga
10 peratus untuk 10 tahun pertama.
Strategi 2: Memperkukuh Sektor-sektor Tumpuan
Datuk Yang di-Pertua,
167. Strategi kedua adalah untuk memperkukuh sektor-sektor tumpuan.
Langkah 1: Pemerkasaan Sektor Pertanian
168. Pada tahun 2019, sektor pertanian menyumbang 7.1 peratus
daripada KDNK. Tatkala sektor-sektor lain mencatatkan penguncupan ekoran
pandemik COVID-19, sektor pertanian diunjurkan terus berkembang pada
4.7 peratus daripada KDNK tahun hadapan.
169. Sehubungan itu, bagi tahun 2021, beberapa inisiatif utama bagi
sektor pertanian dan industri makanan akan dilaksanakan antaranya
seperti berikut:
Pertama: Peluasan Program Kebun Komuniti kepada komuniti separa
bandar dan luar bandar dengan peruntukan berjumlah 30 juta ringgit.
Program ini menyediakan peralatan seperti kit fertigasi dan media
tanaman bernilai sehingga 500 ringgit setiap individu atau 50 ribu
ringgit setiap komuniti yang bakal memanfaatkan 60 ribu peserta;
Kedua: Pelaksanaan Projek Pertanian Organik di peringkat komuniti
dengan peruntukan 50 juta ringgit dan dijangka memanfaatkan 1,000
komuniti;
Ketiga: Pelaksanaan Program Ladang e-Satelit dengan peruntukan 10
juta ringgit secara geran padanan sehingga 30 ribu ringgit kepada setiap
Pertubuhan Peladang Kawasan, PPK bagi tujuan pembelian peralatan
pertanian berasaskan Internet of Things termasuk dron. Program ini
dijangka memanfaatkan lebih 300 PPK dengan keahlian hampir 1 juta petani
dan peladang;
Keempat: Pembiayaan di bawah Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi
Tangkapan sehingga 5 juta ringgit pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10
tahun kepada nelayan zon A dan B untuk menaik taraf peralatan, pukat dan
bot. Bagi tujuan ini, sebanyak 150 juta ringgit disediakan melalui
Agrobank;
Kelima: Pembiayaan di bawah Program Modenisasi Rantaian Nilai
Agromakanan sehingga 1 juta ringgit pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh
10 tahun kepada pengusaha pertanian untuk perolehan peralatan dan
teknologi berteraskan IR4.0. Bagi tujuan ini sebanyak 60 juta ringgit
disediakan Agrobank;
Keenam: Pelaksanaan Program Pengembangan Akuakultur dengan peruntukan
10 juta ringgit secara geran padanan sehingga 20 ribu ringgit kepada
pengusaha mikro untuk membeli peralatan bagi mengembangkan ternakan
akuakultur bernilai tinggi seperti udang kara dan ikan kerapu; dan
Ketujuh: Pelaksanaan projek pertanian dan penternakan berimpak dan
bernilai tinggi dengan peruntukan 100 juta ringgit melalui kerjasama
dengan kerajaan Negeri seperti projek tanaman nanas di Johor dan
ternakan udang galah di Negeri Sembilan.
Langkah 2: Pembangunan Sektor Komoditi
Datuk Yang di-Pertua,
170. Sektor komoditi merupakan sektor utama yang menyediakan input
kepada pelbagai produk hiliran bernilai tambah tinggi dan menjana
pendapatan eksport negara. Sebagai usaha memperkukuh kelangsungan
pelbagai sektor komoditi, bagi tahun hadapan, langkah-langkah berikut
akan dijalankan:
Pertama: Meneruskan program pemilikan sijil Minyak Sawit Mampan
dengan peruntukan 20 juta ringgit bagi merancakkan pertumbuhan dan
meningkatkan daya saing industri sawit negara. Geran padanan sebanyak 30
juta ringgit untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi
akan diperkenalkan;
Kedua: Menyediakan insentif pengeluaran lateks sebanyak 16 juta
ringgit secara padanan bagi menggalakkan pengeluaran lateks yang
memerlukan waktu kerja lebih panjang berbanding pengeluaran cuplump yang
bakal dimulakan di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan; dan
Ketiga: Membuka kawasan perindustrian perabot di Pagoh bagi merancakkan industri perkayuan dan menambah peluang pekerjaan.
171. Selain itu, dalam RMKe-12, Kerajaan juga akan menyediakan dana
pusingan berjumlah 500 juta ringgit bagi program Pinjaman Pembangunan
Ladang Hutan. Dana pinjaman ini khusus untuk pembangunan ladang hutan
yang berkeluasan 4 hektar dan ke atas.
Langkah 3: Kelangsungan Industri Pelancongan
Datuk Yang di-Pertua,
172. Kerajaan sedar bahawa sektor pelancongan terutamanya syarikat
penerbangan merupakan antara sektor yang paling terkesan. Sehubungan
itu, Kerajaan akan menyediakan program latihan dan penempatan semula
bagi 8,000 kakitangan dari syarikat penerbangan di Malaysia dengan
peruntukan sebanyak 50 juta ringgit.
173. Kerajaan juga akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 500
orang daripada komuniti setempat dan Orang Asli sebagai jurupandu
pelancong di semua taman negara bagi merancakkan segmen ekopelancongan.
174. Seterusnya, bagi memastikan ketersediaan tempat tumpuan
pelancong, sebanyak 50 juta ringgit disediakan bagi kerja-kerja
penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara.
Sejumlah 20 juta ringgit juga diperuntukkan bagi menambah baik
infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-Kampung Budaya di negeri
Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.
175. Selain itu, 10 juta ringgit diperuntukkan bagi memastikan
bangunan warisan kebangsaan seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, dan
Carcosa Seri Negara juga akan terus kekal terpelihara dan menjadi ikon
pelancongan.
176. Industri pelancongan kesihatan berpotensi sebagai pelaburan
baharu negara. Untuk itu, Kerajaan memperuntukkan 35 juta ringgit kepada
Malaysia Healthcare Travel Council bagi meningkatkan daya saing
industri pelancongan kesihatan tempatan. Kerajaan juga akan melanjutkan
pengecualian cukai pendapatan bagi eksport perkhidmatan jagaan kesihatan
swasta sehingga tahun 2022.
177. Kerajaan mendengar keluhan para peniaga dan penjaja di Sabah
yang terjejas teruk ekoran kekurangan kehadiran pelancong. Sehubungan
itu, sukacita Kerajaan mengumumkan Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak
1,000 ringgit akan diberikan kepada peniaga dan penjaja di Sabah. Geran
khas ini juga akan diberikan kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta
sewa dan pemandu pelancong di Sabah.
178. Bagi membantu mengurangkan beban aliran tunai syarikat yang
masih terjejas, pengecualian levi tabung HRDF akan diberikan selama enam
bulan berkuat kuasa 1 Januari 2021. Pengecualian tersebut akan meliputi
sektor pelancongan dan syarikat yang terjejas COVID-19.
Strategi 3: Mengutama Automasi dan Pendigitalan
Datuk Yang di-Pertua,
179. Strategi ketiga adalah untuk mengutama automasi dan
pendigitalan. Bergerak ke hadapan, Kerajaan akan menumpukan kepada
produktiviti jangka panjang melalui penggunaan teknologi baharu bagi
mempercepat transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
180. Kerajaan melalui BPMB akan melaksanakan Skim Transformasi
Pendigitalan Industri bernilai 1 bilion ringgit bertujuan untuk
merancakkan aktiviti pendigitalan dengan ketersediaan dana sehingga 31
Disember 2023.
181. Selain itu, bagi menyokong aktiviti automasi dan modenisasi,
dana tambahan berjumlah 150 juta ringgit disediakan di bawah Skim Geran
Pendigitalan SME dan Geran Automasi. Syarat kelayakan geran ini turut
dilonggarkan kepada PKS mikro dan syarikat pemula yang telah beroperasi
selama enam bulan.
Strategi 4: Memudah Akses Pembiayaan
Datuk Yang di-Pertua,
182. Strategi keempat adalah untuk memudah akses pembiayaan. Melalui
pakej PRIHATIN dan PENJANA, 1.9 bilion ringgit dana pinjaman mudah telah
disediakan bagi membantu usahawan PKS dan PKS mikro yang sukar
mendapatkan akses pembiayaan.
Langkah 1: Pembiayaan Kredit Mikro
183. Bagi menggalakkan perniagaan berstatus mikro dan kecil dalam
kalangan Bumiputera beranjak ke kategori yang lebih tinggi, SME Bank
akan menyediakan kemudahan pembiayaan Skim Lestari Bumi dengan dana
berjumlah 300 juta ringgit.
184. Untuk membantu kewangan PKS yang berurusan dalam pembekalan
kepada Kerajaan atau GLC, Kerajaan akan memperkenalkan platform
pembayaran digital rantaian bekalan nasional ataupun National Supply
Chain Finance Platform. Platform yang diberi nama "JanaNiaga" ini akan
memanfaatkan PKS yang mengalami masalah aliran tunai disebabkan tempoh
pembayaran invois yang lama dan membantu PKS untuk mendapat pinjaman
daripada institusi kewangan. Platform JanaNiaga akan diterajui oleh EXIM
Bank dengan penglibatan beberapa institusi kewangan. 300 juta ringgit
disediakan oleh EXIM Bank untuk menggerakkan JanaNiaga. Buat masa ini,
JanaNiaga akan dilaksanakan bersama Petronas dan Telekom Malaysia. Ia
akan diperluas kepada GLC lain, Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan
pada masa depan.
185. Pembiayaan secara peer-to-peer atau P2P di bawah seliaan
Suruhanjaya Sekuriti merupakan antara inovasi kewangan alternatif yang
telah menjana pembiayaan melebihi 900 juta ringgit kepada PKS. Bagi
menyokong platform P2P terutamanya yang berasaskan pembiayaan invois, 50
juta ringgit akan diperuntukkan secara pelaburan padanan.
186. Seterusnya, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir 1.2 bilion
ringgit disediakan melalui TEKUN, PUNB, Agrobank, BSN dan institusi
kewangan lain. Ini termasuk tambahan sebanyak 110 juta ringgit kepada
Micro Enterprises Facility di bawah BNM bagi menggalakkan aktiviti
keusahawanan dalam kalangan pekerja gig dan yang bekerja sendiri serta
menyokong pelaksanaan program iTEKAD.
187. Program iTEKAD yang telah dilancarkan pada Mei 2020 dengan
menggabungkan pembiayaan sosial dan pembiayaan mikro akan memperkasa
usahawan mikro dari segmen B40 untuk menjana pendapatan lestari. Program
iTEKAD akan diperluas dengan penyertaan institusi kewangan tambahan dan
kerjasama dengan lebih banyak pihak berkuasa agama negeri dan rakan
pelaksanaan pada tahun 2021.
188. Menerusi PUNB pula, 230 juta ringgit disediakan sebagai
pembiayaan kepada PKS bagi perbelanjaan modal kerja, peningkatan sistem
automasi dan peralatan serta perbelanjaan berkaitan pelaksanaan
pematuhan SOP COVID19.
Langkah 2: Jaminan Pinjaman
Datuk Yang di-Pertua,
189. Setakat ini, sebanyak 25 bilion ringgit jaminan telah diberikan
di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan. Sukacita, Kerajaan akan
meningkatkan jaminan sehingga 10 bilion ringgit lagi, dengan 2 bilion
ringgit diperuntukkan khusus kepada usahawan Bumiputera.
190. Untuk syarikat korporat yang terlibat dalam industri
berkemahiran tinggi seperti minyak & gas, dan aeroangkasa, jaminan
bernilai 3 bilion ringgit dikhususkan di bawah Skim Jaminan Prihatin
Danajamin. Skim ini akan dilanjutkan sehingga tahun 2021 dengan terma
dan syarat yang ditambah baik.
191. Bagi menggalakkan aktiviti pemberian kredit yang teratur dan
meningkatkan perlindungan pengguna, Akta Kredit Pengguna akan digubal.
Akta ini menyediakan kerangka kawal selia aktiviti berkaitan pemberian
kredit pengguna dan memperkukuh penyeliaan ke atas penyedia kredit bukan
bank yang pada masa ini tidak diselia. Bank Negara Malaysia dan
Suruhanjaya Sekuriti akan menerajui usaha menggubal kawal selia penyedia
kredit pengguna.
Langkah 3: Pembiayaan Alternatif
Datuk Yang di-Pertua,
192. Equity Crowd Funding atau ECF merupakan antara kaedah pembiayaan
alternatif, terutamanya untuk syarikat start-up berteknologi. Bagi
menggalakkan lebih ramai pelabur individu menyertai pembiayaan menerusi
platform ECF, pengecualian cukai pendapatan 50 peratus daripada amaun
pelaburan atau terhad kepada 50 ribu ringgit akan diberikan. 30 juta
ringgit juga diperuntukkan secara geran padanan untuk dilabur ke dalam
platform ECF di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti.
MATLAMAT KETIGA: KETAHANAN EKONOMI
Datuk Yang di-Pertua,
193. Matlamat ketiga ialah ketahanan ekonomi. Belanjawan ini akan
dijajarkan kepada keutamaan dasar Rancangan Malaysia Ke-12 dan Wawasan
Kemakmuran Bersama 2030. Ini bagi memastikan pembangunan sosioekonomi
yang inklusif dan bermakna ke arah sebuah masyarakat yang lebih makmur
dan bermaruah menjelang 2030.
Strategi 1: Belanjawan Pengembangan
194. Susulan penularan COVID-19, prestasi kutipan hasil Kerajaan
telah terjejas. Lantaran itu, hasil Kerajaan tahun 2020 telah disemak
semula kepada 227.3 bilion ringgit, iaitu pengurangan hampir 18 bilion
ringgit daripada unjuran asal sebanyak 244.5 bilion ringgit dalam
Belanjawan 2020 yang diumumkan sebelum ini.
195. Walaupun dalam keadaan hasil yang kurang, Kerajaan tidak akan
kompromi bagi melindungi nyawa dan kehidupan, atau lives and
livelihoods, dalam memerangi COVID-19. Maka, jumlah perbelanjaan
keseluruhan tahun 2020 dianggar sebanyak 314.7 bilion ringgit iaitu
meningkat 17.7 bilion ringgit berbanding unjuran asal. Peningkatan
perbelanjaan ini bertujuan untuk membiayai pakej rangsangan dan
pemulihan ekonomi. Sehubungan itu, defisit fiskal bagi tahun 2020
dianggar meningkat kepada 6 peratus daripada KDNK berbanding sasaran
asal 3.2 peratus.
196. Kesan wabak COVID-19 akan terus dirasai pada tahun hadapan. Oleh
itu, kutipan hasil Kerajaan bagi tahun 2021 dijangka meningkat kepada
236.9 bilion ringgit. Namun demikian, Kerajaan memutuskan supaya
Belanjawan 2021 merupakan belanjawan yang mengembang atau expansionary.
197. Sehubungan itu, jumlah perbelanjaan bagi tahun 2021 merupakan
perbelanjaan terbesar dalam sejarah dengan nilai sebanyak 322.5 bilion
ringgit. Kerajaan bercadang untuk memperuntukkan 236.5 bilion ringgit
bagi perbelanjaan mengurus, 69 bilion ringgit bagi perbelanjaan
pembangunan dan 17 bilion ringgit di bawah Kumpulan Wang COVID-19.
Manakala sebanyak 2 bilion ringgit diperuntukkan bagi simpanan luar
jangka. Mengambil kira anggaran tersebut, defisit fiskal 2021 diunjur
pada kadar 5.4 peratus berbanding KDNK.
Langkah 1: Perbelanjaan dengan Pengganda Tinggi
Datuk Yang di-Pertua,
198. Bagi memastikan perbelanjaan Kerajaan mempunyai pengganda tinggi
kepada ekonomi, sebanyak 2.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada
kontraktor kelas G1 hingga G4 bagi menjalankan projek kecil dan
sederhana di seluruh negara. Ini termasuk 200 juta ringgit tambahan bagi
projek penyelenggaraan Jalan Persekutuan dan 50 juta ringgit bagi
projek penyelenggaraan rumah PPR. Selanjutnya, Kerajaan turut
melanjutkan tempoh kelonggaran prosedur perolehan sehingga 31 Disember
2021 untuk mempercepat pelaksanaan projek pembangunan.
199. Kerajaan melalui MARA juga akan menyediakan 50 juta ringgit
sebagai akses pembiayaan kepada kontraktor pembinaan di bawah Skim
Pembiayaan Kontrak Ekspres, SPiKE. Skim ini ditawarkan kepada kontraktor
Bumiputera yang berurusan dengan Kerajaan bagi memudahkan aliran tunai
dalam melaksanakan projek.
Langkah 2: Kemampanan Hasil Kerajaan
Datuk Yang di-Pertua,
200. Pada masa ini, hasil Kerajaan adalah sekitar 15 peratus daripada
KDNK termasuk hasil berkaitan petroleum sekitar tiga peratus. Kerajaan
perlu memastikan sumber hasil adalah mampan dan mampu membiayai
perbelanjaan terutamanya perbelanjaan mengurus.
201. Strategi kutipan hasil akan ditambah baik termasuk membasmi
aktiviti penyeludupan terutama barangan berduti tinggi. Dengan izin,
Multi-Agency Task Force akan diperkasa dengan penyertaan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan
Nasional.
202. Selain itu, mulai 1 Januari 2021, Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah berikut:
Pertama: Membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu;
Kedua: Memperketat pembaharuan lesen import rokok melalui semakan semula syarat lesen termasuk mengenakan kuota import;
Ketiga: Mengehadkan aktiviti transhipment rokok kepada pelabuhan tertentu sahaja;
Keempat: Mengenakan cukai dengan kemudahan pulang balik atau drawback
ke atas semua rokok import bagi tujuan transhipment dan eksport semula;
Kelima: Tidak membenarkan aktiviti transhipment dan eksport semula rokok menggunakan bot kumpit; dan
Keenam: Mengenakan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua Pulau Bebas Cukai.
203. Kerajaan juga akan mengenakan duti eksais pada kadar ad valorem
10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan
elektronik termasuk vape berkuat kuasa 1 Januari 2021. Manakala cecair
rokok elektronik akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per
mililiter.
Strategi 2: Agenda Pembangunan di bawah RMK-12
Datuk Yang di-Pertua,
204. Strategi kedua berkaitan dengan agenda pembangunan lima tahun
negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. Ini merupakan peringkat 6R
terakhir iaitu Reform atau Menyusun Semula. Kerajaan akan memberi
tumpuan kepada perbelanjaan pembangunan yang memberi manfaat besar
kepada rakyat dan menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.
Langkah 1: Pembangunan Infrastruktur Pengangkutan
205. Kerajaan komited untuk melaksanakan projek infrastruktur
pengangkutan bagi meningkatkan kemudahsampaian rakyat. Pada tahun 2021,
sebanyak 15 bilion ringgit disediakan bagi membiayai antaranya projek
Lebuhraya Pan Borneo, Landasan Berkembar Elektrik Gemas - Johor Bahru
dan Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Pertama. Selain itu, beberapa
projek lain juga akan diteruskan seperti Sistem Transit Rapid dari Johor
Bahru ke Woodland, Singapura dan MRT3 di Lembah Klang.
206. Pada dasarnya, Kerajaan berhasrat untuk meneruskan projek High
Speed Rail atau HSR kerana projek ini dijangka dapat menjana kesan
pengganda yang positif terhadap ekonomi negara. Namun begitu ia
tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan Singapura.
207. Beberapa projek baharu berjumlah hampir 3.8 bilion ringgit akan dilaksanakan seperti berikut:
Pertama: Projek Fasa 2 bagi pembinaan Jambatan Klang Ke-3 di Selangor;
Kedua: Meneruskan Projek Central Spine Road di jajaran baharu di negeri Kelantan dan Pahang;
Ketiga: Menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, Terengganu;
Kempat: Menaik taraf Jalan Persekutuan menghubungkan Gerik, Perak ke Kulim, Kedah;
Kelima: Meneruskan projek Fasa 3 bagi membina dan menaik taraf lingkaran Pulau Indah, Klang, Selangor;
Keenam: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi pakej dari Serusop ke Pituru; dan
Ketujuh: Projek Jalan Pintasan Cameron Highlands, Pahang dengan penekanan langkah pemuliharaan alam sekitar.
Langkah 2: Keseimbangan Pembangunan Antara Wilayah
208. Bagi lima koridor wilayah pembangunan ekonomi, projek-projek
pembangunan akan diteruskan dengan peruntukan bagi tahun 2021 sebanyak
780 juta ringgit merangkumi:
Pertama: Sistem Pengangkutan Bas Rapid Transit di 3 Laluan
Berkapasiti Tinggi dan Pembinaan "Busway" di kawasan pembangunan IRDA;
Kedua: Pembinaan Jambatan Palekbang ke Kota Bharu, Kelantan di bawah ECER;
Ketiga: Pembinaan infrastruktur dan komponen projek Zon Pembangunan Khas di Yan dan Baling, Kedah di bawah NCER;
Kempat: Projek Infrastruktur di Kawasan Perindustrian Samalaju, Sarawak di bawah SCORE; dan
Kelima: Penyambungan Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay, Sabah di bawah SDC.
209. Selain itu, galakan cukai sedia ada bagi Koridor Pembangunan
Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Iskandar Malaysia dan Koridor Pembangunan
Sabah dilanjutkan sehingga 2022.
210. Peruntukan sebanyak 150 juta ringgit juga disediakan bagi Projek
Penyaluran Air Mentah dari Sungai Kesang dan Tasik Biru ke Empangan
Jus, Melaka.
211. Selanjutnya, KWSP akan meneruskan pembangunan Kwasa Damansara
dengan nilai pembangunan kasar sebanyak 50 bilion ringgit. Ia merangkumi
pembangunan kawasan komersial, kediaman, infrastruktur sosial, hab
inovasi dan perubatan. Lebih 100 ribu peluang pekerjaan bakal dijana,
manakala lebih
250 ribu unit rumah termasuk 10 ribu unit rumah mampu milik akan dibina.
212. Akhir sekali, bagi tahun 2021, Sabah dan Sarawak akan menerima
peruntukan perbelanjaan pembangunan masing-masing sebanyak 5.1 bilion
ringgit dan 4.5 bilion ringgit. Peruntukan ini antaranya untuk membina
dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik, dan jalan raya, kemudahan
kesihatan dan pendidikan.
Strategi 3: Memperkasa Peranan GLC dan Masyarakat Sivil
Datuk Yang di-Pertua,
213. Strategi ketiga adalah untuk memperkasa peranan GLC dan
masyarakat sivil. Tindakan proaktif GLC dalam melaksanakan tanggungjawab
sosial korporat harus dijadikan contoh kepada syarikat atau industri
lain, lebih-lebih lagi ketika rakyat menghadapi tempoh mencabar ini.
Lebih banyak program akan dilaksanakan melalui GLC, masyarakat sivil dan
NGO, bermula dengan bidang sosial dan pemuliharaan alam sekitar, dalam
melengkapi sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.
Langkah 1: Penyampaian Perkhidmatan Alternatif
214. Kerajaan berhasrat bekerjasama dengan NGO dan perusahaan sosial
atau social enterprise dalam agenda pembangunan negara. Sebagai contoh,
melalui konsep geran padanan, Kerajaan bersama-sama dengan Yayasan
Hasanah telah membiayai inisiatif seperti penjanaan pendapatan
terutamanya bagi golongan terjejas semasa COVID-19 ini. Antara inisiatif
yang dibiayai adalah menjahit pelitup muka oleh masyarakat asal Sarawak
di bawah Tanoti, projek pemerkasaan Orang Asli di Hulu Selangor oleh
EPIC Society dan inisiatif keusahawanan OKU oleh Komuniti Belia Selangor
(SAY).
215. Kementerian Kewangan telah membuka portal Belanjawan 2021 pada
28 September yang lalu, untuk mendapat cadangan dan undian rakyat
berhubung isu masyarakat dan alam sekitar. Selain daripada lebih 6,000
cadangan yang disampaikan, lebih 40 ribu undian juga diterima.
Berdasarkan maklum balas ini, Kementerian Kewangan akan mengagihkan dana
untuk NGO seperti berikut:
Pertama: 50 juta ringgit bagi inisiatif penjanaan pendapatan dan peningkatan pekerjaan bagi golongan rentan;
Kedua: 30 juta ringgit bagi inisiatif menangani isu sosial; dan
Ketiga: 20 juta ringgit bagi inisiatif pemeliharaan alam sekitar.
Geran sebanyak 100 juta ringgit ini akan dipadankan dengan sumbangan
daripada yayasan milik GLC.
216. Seterusnya, Kerajaan akan menjalankan program pembangunan
perusahaan sosial dengan peruntukan 20 juta ringgit kepada Malaysian
Global Innovation and Creativity Centre atau MaGIC dan agensi terpilih.
Di samping itu, projek rintis pendaftaran e-Perolehan kepada perusahaan
sosial yang mempunyai Sijil Program e-Perolehan Impak Kerajaan daripada
MaGIC dan agensi terpilih yang lain untuk menjadi pembekal kepada
Kerajaan. Dengan inisiatif ini, perusahaan sosial boleh membekal
barangan dan perkhidmatan dengan jumlah keseluruhan sehingga 20 juta
ringgit setahun.
Strategi 4: Menjamin Kelestarian Sumber
Datuk Yang di-Pertua,
217. Strategi keempat ialah menjamin kelestarian sumber. Asas ekonomi
kita ialah alam sekitar dan aset semula jadi. Oleh itu, sebagai
Kerajaan yang bertanggungjawab, adalah penting untuk kita menentukan
keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar supaya
kualiti hidup kita terjaga dan legasi generasi akan datang dipelihara.
Kerajaan yakin kelestarian sumber boleh memacu pertumbuhan ekonomi
baharu di samping mewujudkan peluang pekerjaan.
218. Pada 2015 bersama negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) yang lain, Malaysia telah bersetuju untuk menerima Agenda
2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development
Goals (SDG). Kini, buat pertama kalinya, Belanjawan negara diselaraskan
dengan SDG supaya rakyat kita melangkah ke masa depan yang lebih makmur,
lebih lestari dan inklusif.
Langkah 1: Agenda Matlamat Pembangunan Lestari
219. Kerajaan dengan kerjasama strategik PBB di Malaysia akan
menubuhkan Dana Amanah Malaysia-SDG atau MySDG Trust Fund dengan
peruntukan permulaan berjumlah 20 juta ringgit. Dana ini akan
menyediakan platform menyelaras pembiayaan dari sumber awam dan swasta
dengan lebih sistematik. Dengan itu, pelbagai pihak dapat sama
menyumbang dan terlibat dalam melengkapkan dan menentukan SDG tercapai
menjelang 2030.
220. Tambahan lagi, Kerajaan juga memperuntukkan 5 juta ringgit untuk
menyokong program-program SDG yang dilaksanakan oleh Kumpulan Rentas
Parti Parlimen Malaysia.
Langkah 2: Kewangan Lestari
Datuk Yang di-Pertua,
221. Kerajaan sedang meneruskan usaha jangka panjang bagi mewujudkan
Hab Kewangan Lestari dan meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk
gaya hidup lestari. Pada bulan Ogos lalu, Kerajaan telah menerbitkan
sukuk digital pertama iaitu Sukuk Prihatin dengan langganan melebihi
sasaran iaitu 666 juta ringgit. Kini, Kerajaan akan menerbitkan pula Bon
Kelestarian pertama di Malaysia untuk tujuan alam sekitar dan sosial
pada 2021.
222. Sebagai tambahan, bagi terus menggalakkan terbitan produk
Sustainable and Responsible Investment (SRI) dan bon yang mencapai
standard hijau, sosial dan mampan di Malaysia, pengecualian cukai
pendapatan sedia ada bagi geran Sukuk Hijau SRI diperluas kepada semua
jenis sukuk dan bon serta pengecualian ini akan dilanjutkan sehingga
tahun 2025.
223. Selanjutnya, Kerajaan juga akan meneruskan Green Technology
Financing Scheme 3.0 atau GTFS 3.0 dengan saiz dana 2 bilion ringgit
selama dua tahun sehingga 2022 yang akan dijamin oleh Danajamin bagi
menggalakkan terbitan sukuk SRI.
Langkah 3: Pemuliharaan Alam Sekitar
Datuk Yang di-Pertua,
224. Bagi terus memelihara khazanah alam, beberapa inisiatif berikut akan dilaksanakan:
Pertama: 50 juta ringgit untuk menangani isu sampah dan sisa pepejal yang terperangkap di sungai;
Kedua: 40 juta ringgit dalam tempoh lima tahun bagi mengukuhkan
aktiviti penguatkuasaan pemantauan kualiti alam sekitar antaranya untuk
mewujudkan 30 stesen pemantauan di seluruh negara;
Ketiga: 10 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan projek
Integrated Island Waste Management di sekitar pulau di Johor dan
Terengganu untuk mengurangkan kesan kemusnahan terumbu karang dan
hidupan marin. Program ini melibatkan kolaborasi pihak UNDP, Kerajaan
Negeri dan sektor swasta;
Keempat: Meningkatkan peruntukan di bawah Pemberian TAHAP kepada
semua Kerajaan Negeri daripada 350 juta kepada 400 juta ringgit.
Daripada jumlah tersebut, Sejumlah 70 juta ringgit juga diperuntukkan
bagi tujuan aktiviti Ecological Fiscal Transfer sebagai insentif
tambahan kepada Kerajaan Negeri untuk menjamin kelestarian biodiversiti
negara; dan
Kelima: Melaksanakan program penanaman pokok bakau bagi memelihara
kawasan paya bakau serta spesies pokok lain di pesisiran pantai
antaranya di Tanjung Piai, Johor dan Kuala Sepetang, Perak.
225. Selanjutnya, program SAVE 2.0 diperkenalkan iaitu pemberian
e-Rebate 200 ringgit kepada isi rumah yang membeli alat penyaman udara
atau peti sejuk cekap tenaga buatan tempatan. Sejumlah 30 juta ringgit
disediakan untuk program ini yang dijangka memanfaatkan 140 ribu isi
rumah.
226. Sebagai sebahagian daripada langkah melestarikan teknologi hijau
yang cekap tenaga dan mesra alam, Kerajaan menyokong inisiatif yang
telah diambil Kerajaan Negeri Sarawak untuk menggunakan bas awam yang
menggunakan hydrogen fuel cells.
227. Di samping itu, bagi mengawal biodiversiti kawasan hutan dan
pemburuan haram, Kerajaan akan memperkasa Program Perlindungan dan
Rondaan Biodiversiti dengan pengambilan lebih 500 bekas tentera dan
polis serta Orang Asli untuk menjalankan aktiviti rondaan. Bagi tujuan
ini, sebanyak 20 juta ringgit diperuntukkan.
Strategi 5: Perkhidmatan Awam
Datuk Yang di-Pertua,
228. Sebagai tunjang negara, langkah untuk meningkatkan kecekapan jentera pentadbiran Kerajaan turut menjadi keutamaan.
Langkah 1: Pemerkasaan Penyampaian Perkhidmatan Awam
229. Memandangkan kita kini hidup dalam norma yang baharu, penggunaan
ruang digital perlu dimaksimumkan dalam menjalani sebarang urusan
seharian.
230. Contohnya, ucapan Belanjawan pada tahun ini diedarkan tanpa
kertas atau paperless, sebaliknya secara softcopy melalui aplikasi QR
Code. Saya sendiri menggunakan tablet bagi membentangkan Belanjawan
petang ini. Saya menyeru lebih banyak Kementerian dan Agensi menyahut
pendekatan paperless yang lebih mesra alam dan menjimatkan kos.
231. Pada masa ini, terdapat 23 buah UTC di seluruh negara dan yang
terbaharu ialah UTC Pulau Pinang yang telah dibuka pada bulan Ogos lalu.
Mengambil kira kepadatan penduduk di Lembah Klang dan di kawasan
sekitar Petaling Jaya, Kerajaan berhasrat untuk membina UTC di Lembah
Pantai dengan kerjasama pihak swasta.
232. Selain itu, dalam era norma baharu ini, Kerajaan akan memperluas
penggunaan kiosk sebagai saluran alternatif sistem penyampaian. Jabatan
Pengangkutan Jalan akan menambah bilangan kiosk untuk beberapa
perkhidmatan utama seperti pembaharuan lesen kenderaan bermotor. Kiosk
akan diletakkan di 50 lokasi strategik di seluruh negara bagi memudahkan
orang ramai mendapatkan perkhidmatan walaupun di luar waktu bekerja.
233. Kerajaan juga memperuntukkan 14 juta ringgit untuk menaik taraf
infrastruktur serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi di
Kementerian Luar Negeri serta pendigitalan perkhidmatan konsular
Malaysia di luar negara.
Langkah 2: Pengukuhan Tadbir Urus dan Integriti di Malaysia
Datuk Yang di-Pertua,
234. Kerajaan akan meneruskan agenda pembangunan negara berteraskan
tadbir urus yang baik serta menjunjung prinsip integriti. Kerajaan akan
memastikan Pelan Antirasuah Nasional, NACP, dan pengambilan 100 orang
pegawai SPRM diteruskan serta menerapkan pendidikan antirasuah di semua
peringkat.
235. Atas keprihatinan Kerajaan, peruntukan khas disediakan sebagai
ganjaran kepada mana-mana yang dapat menyalurkan maklumat tentang
sebarang salah laku dan pelanggaran undang-undang. Contohnya isu
pencemaran sungai yang semakin tidak terkawal sehingga mengakibatkan
terputusnya bekalan air di Lembah Klang.
Langkah 3: Kebajikan Penjawat Awam
Datuk Yang di-Pertua,
236. Kerajaan prihatin aspek kebajikan dan kesejahteraan penjawat
awam lebihlebih dalam keadaan negara dilanda pandemik COVID-19. Anggota
barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis, tentera, anggota
bomba, RELA, petugas JKM dan ramai lagi yang telah membanting tulang
empat kerat, berkorban juang memerah keringat, dengan sepenuh kudrat,
demi menjamin kesejahteraan kita semua, Warga Malaysia!
237. Kini, ramai antara mereka diamanahkan untuk melaksanakan tugas
di Sabah. Marilah kita mendoakan rakyat di Sabah dan seluruh anggota
barisan hadapan supaya dapat mengharungi situasi sukar ini dan diberikan
perlindungan olehNya.
238. Bagi menambah baik kemudahan anggota perkhidmatan awam, inisiatif berikut akan dilaksanakan:
Pertama: Menaikkan kadar elaun 6 ringgit kepada 8 ringgit sejam untuk lebih 1,900 Pegawai Bomba Bantuan mulai 2021; dan
Kedua: Memperkenalkan Skim Perlindungan Kemalangan Diri percuma
sehingga 100 ribu ringgit kepada peminjam baharu Lembaga Pembiayaan
Perumahan Sektor Awam bagi tahun 2021 dan 2022.
239. Selanjutnya, bagi menghargai keringat kepahlawanan dan bakti
pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara, Kerajaan
bersetuju untuk melaksanakan pemberian one-off sebanyak 500 ringgit
kepada 40 ribu
penerima.
Datuk Yang di-Pertua,
240. Sejak dilantik sebagai menteri hampir lapan bulan yang lalu, dan
datangnya saya daripada sektor korporat, mata saya terbuka kepada
betapa komitednya dan teguh setianya penjawat awam dalam menjalankan
amanah yang diberi.
Tanpa mengenal penat lelah, mereka telah berkhidmat melangkaui
ekspektasi, and rose beyond the call of duty untuk melindungi rakyat,
menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.
241. Sebagai menghargai jasa dan bakti anggota perkhidmatan awam,
sukacita Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan 600 ringgit untuk
kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah. Bagi pesara Kerajaan dan veteren
tidak berpencen, Bantuan Khas Kewangan 300 ringgit akan diberikan.
Keduadua Bantuan ini akan dibayar pada awal 2021.
PENUTUP
Datuk Yang di-Pertua,
242. Sebelum berakhir, saya ingin menekankan bahawa Belanjawan ini
sememangnya mengutamakan kesejahteraan rakyat. Pelbagai inisiatif telah
diumumkan dan izinkan saya berkongsi beberapa contoh bagaimana
Belanjawan ini mampu memanfaatkan rakyat.
Pertama: Puan Aisyah yang bekerja dengan pendapatan tidak tetap
sekitar 1,000 ringgit sebulan perlu menyara empat orang anak telah
termasuk dalam kategori miskin. Puan Aisyah layak menerima antaranya
bantuan kebajikan, Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Pembayaran Bersasar
dan Program Jaringan Prihatin. Jumlah manfaat yang bakal diterima di
bawah Belanjawan 2021 bernilai 13 ribu ringgit;
Kedua: Encik Kevin yang mempunyai dua orang anak baru sahaja
kehilangan pekerjaan dan sebelum ini berpendapatan isi rumah 3,500
ringgit sebulan termasuk dalam kategori B40. Beliau layak menerima
Bantuan Prihatin Rakyat, pengeluaran caruman KWSP, Bantuan Pembayaran
Bersasar, lanjutan skim insurans pekerjaan dan Program Jaringan
Prihatin. Manfaat yang diterima Encik Kevin kira-kira 15,600 ringgit;
dan
Datuk Yang di-Pertua,
243. Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama dunia dilanda wabak.
Manusia sudah berulang kali jatuh dan bangkit semula membina tamadun.
COVID-19 sememangnya musibah yang membuat dunia akur bermuhasabah,
mencari solusi, dan saling meneladani.
244. Kita perlu bersyukur, kita masih kuat menggagahi semua ini.
Kuatnya negara ini adalah kerana rakyatnya tabah berkorban membenteng
negara. Maka sebab itu, bagi Kerajaan, nurani rakyat mesti didakap
erat, kerana kepercayaan rakyat mahal ... maharnya.
245. Saya punya sebuah kepercayaan. Betapa bangsa Malaysia ialah
bangsa yang berani, bangsa yang kuat, yang bila sepakat kita mampu
melakukan yang luar biasa. Atas hakikat itulah Belanjawan 2021 ini
mengangkat sebagai tema "Teguh Kita, Menang Bersama".
246. Kita boleh berbalah dan berbeza pandangan atas perkara cabang,
namun bermuafakatlah kita atas perkara dasar. Jika sebelum ini kita
pernah bersama sebulat suara bersetuju dengan penubuhan Kumpulan Wang
COVID-19, adalah harapan ramai di dalam Dewan yang mulia ini mahupun
rakyat di luar sana—Belanjawan ini dijulang menjadi kanun saksi
perpaduan kita demi rakyat.
Yang Kurik itu Kundi, yang Merah itu Saga
Yang Baik itu Budi, Yang Indah itu Bahasa
Yang Berdamai Kan Permai
Yang Sehaluan Kan Keberkatan
Yang Satu Suara Kan Mara
Yang Teguh Biarlah Kita
Teguhkan Kita…
Teguhkan Kita…
"TEGUH KITA, MENANG BERSAMA" .................
247. Akhir kalam, kepada-Mu ya Allah kami memohon doa, diberi hidayah
memudah usaha, mengecap nikmat seluas angkasa dan kita semua dijauhi
bala' bencana COVID-19. Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
248. Datuk Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan.