Memaparkan catatan dengan label baiki kereta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label baiki kereta. Papar semua catatan

Selasa, Disember 28, 2021

Pengeluar kenderaan tawar diskaun baik pulih kereta terjejas banjir

 

Pengeluar kenderaan jenama tempatan mahupun asing turut mengambil inisiatif untuk menawarkan sokongan bantuan banjir kepada mangsa banjir yang mana kereta mereka terjejas akibat bencana yang disifatkan paling buruk di Lembah Klang dan beberapa negeri di seluruh negara.

Paling awal tampil adalah Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) yang menawarkan bantuan, termasuk rebat perkhidmatan tunda kenderaan, diskaun ke atas alat ganti terpilih dan pemeriksaan percuma kenderaan kepada semua pemilik kenderaan Perodua yang terjejas akibat banjir.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata walaupun beberapa pusat servis Perodua turut terjejas akibat banjir, pelanggan amat dialu-alukan untuk merujuk mana-mana cawangan perkhidmatan yang lain di seluruh Malaysia untuk mendapatkan bantuan.

"Pelanggan Perodua boleh membuat tuntutan untuk perkhidmatan menunda kenderaan maksimum sehingga RM100 di pusat servis Perodua berhampiran mengikut kepada terma dan syarat.

"Selain itu, Perodua juga turut menawarkan potongan 20 peratus untuk alat ganti terpilih kepada pemilik yang kenderaan mereka rosak akibat banjir," katanya.

Bagi Proton Holdings Bhd (PROTON), jenama kereta nasional itu membuka tawaran sokongan diskaun sebanyak 20 peratus bagi alat ganti tertentu dan caj buruh kepada semua pemilik Proton terjejas dan telah membuat laporan polis berhubung kerosakan kenderaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata selain itu caj tunda sebanyak RM200 dan caj pembersihan bahagian luar dan ruang enjin sebanyak RM100 akan dibayar oleh syarikat.

Honda Malaysia turut mengumumkan Program Bantuan Banjir kepada pelanggannya di mana diskaun 25 peratus ditawarkan bagi pembelian alat ganti tulen.

"Program sokongan ini menyokong perkhidmatan pembaikan bagi pelanggan Honda yang terjejas di kawasan yang dilanda banjir dan program ini berlangsung sehingga 31 Januari 2022. Pelanggan terjejas dinasihatkan untuk mengunjungi mana-mana pengedar sah Honda untuk proses penilaian dan perkhidmatan pemeriksaan," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo.

UMW Toyota Motor juga menawarkan program Sokongan Banjir Toyota bagi membantu pelanggan yang terjejas akibat bencana itu.

Pengeluar itu menawarkan diskaun 25 peratus kepada jumlah bil keseluruhan termasuk caj komponen dan buruh, selain menawarkan khidmat tunda percuma, penilaian dan sebut harga pada kos pembaikan.

Selain itu, UMW Toyota Motor juga menawarkan kadar faedah sifar menerusi Pelan Pembayaran Muda kepada pelanggan yang layak.

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) bersama Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn Bhd (TCEAS), turut mengumumkan program Sokongan Bantuan Banjir khas dengan menawarkan diskuan 20 peratus ke atas komponen dan caj buruh.

Lebih menarik, pengeluar itu turut menawarkan pemulihan upholsteri istimewa pada RM1,655 untuk kenderaan sedan dan RM1,988 untuk kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV), trak pikap dan van.

Bagi pengeluar kereta premium, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan program sokongan banjir bagi membantu semua pelanggannya yang terjejas akibat banjir baru-baru ini di seluruh negara.

Sah sehingga 31 Januari 2022, pengeluar kereta premium itu menawarkan diskaun sehingga 30 peratus bagi pembaikan semua bahagian, tunda kenderaan percuma oleh pengedar sah dan penilaian percuma bagi semua kos pembaikan yang diperlukan dengan pelan pembayaran mudah tanpa faedah sifar peratus.

BMW Group Malaysia pula mengumumkan penurunan kos sebanyak 20 peratus bagi pembaikan komponen jentera pemilik BMW, MINI dan BMW Motorrad yang terkesan dengan bencana banjir yang terjadi baru-baru ini.

Pusat pengedaran bertauliah juga akan menawarkan rebat bernilai RM300 bagi kos tunda buat pemilik yang terjejas.

Turut tampil menawarkan sokongan kepada pelanggan terjejas adalah Mitsubishi Motors Malaysia, Daihatsu Malaysia, Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd (HMSM) dan TC Subaru Sdn Bhd.

Sementara PROTON akan membantu semua pemilik model keluarannya yang mengalami kerosakan akibat banjir baru-baru ini dengan menawarkan diskaun 20 peratus bagi alat ganti tertentu serta diskaun 20 peratus untuk caj buruh kepada pelanggan yang membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Selain itu, syarikat pengeluar kereta itu juga akan menanggung caj tunda sehingga RM200 dan caj pembersihan bahagian luar serta ruang enjin sebanyak RM100.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata fenomena banjir baru-baru ini telah menjejaskan ribuan penduduk terutama di Selangor dan Shah Alam.

"Ramai pelanggan kami mengalami kerosakan tempat tinggal serta perniagaan termasuk kereta mereka. Oleh itu, kami ingin menghulurkan bantuan untuk memastikan kenderaan mereka boleh diperbaiki dan memberi jaminan bahawa pelanggan kami adalah keutamaan syarikat.

"Keadaan yang luar biasa memerlukan tindak balas yang luar biasa juga. Proton akan berusaha untuk memastikan kenderaan pelanggan diperbaiki secepat mungkin dan menasihati mereka untuk terus ke pusat perkhidmatan kami supaya dapat menikmati faedah ini," katanya.

Untuk keterangan lanjut boleh hubungi talian pelanggan Proton di 1-800-88-8398.

 

Sumber : Berita Harian

 

Selasa, September 20, 2016

Pemilik Kereta Perlu Tahu Kos Baiki Kereta



Pemilik kereta disaran agar mendapatkan sebut harga daripada pengusaha bengkel terlebih dahulu sebelum kenderaan mereka dibaiki.

Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Wan Rufaidah Wan Omar berkata ia adalah bagi mengelak berlaku penipuan harga.

Bengkel kereta perlu diminta menyediakan sebut harga yang lengkap berkaitan pembaikan yang hendak dilakukan, anggaran kos termasuk kos tenaga manusia serta anggaran masa yang perlu diambil untuk melakukan kerja-kerja pembaikan.

Adalah juga menjadi hak pengguna untuk meminta maklumat daripada pengusaha bengkel tentang kerosakan yang dikenal pasti sebelum bersetuju membenarkan kereta mereka dibaiki, katanya dalam program Dalam Radar terbitan Radio Bernama.

Beliau berkata pemilik juga sepatutnya mendapat penjelasan terperinci berkaitan komponen yang telah ditukar sama ada ia adalah tulen, baharu, terpakai atau dikitar semula.

Wan Rufaidah menjelaskan sebanyak 85 tuntutan berkaitan kes penipuan pihak bengkel difailkan di TTPM setakat 31 Julai lalu yang nilai tuntutannya berjumlah kira-kira RM446,000.

Beliau berkata pihaknya akan memfailkan kes yang nilai tuntutan barangan atau perkhidmatan tidak melebihi daripada RM25 ribu dan kesnya tidak melebihi tiga tahun dari tarikh kejadian kes. 

-  BERNAMA

Recent Posts