Memaparkan catatan dengan label awie. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label awie. Papar semua catatan

Rabu, Februari 28, 2024

Awie kini bebas kanser buah pinggang

 


Penyanyi rock legenda, Datuk Awie mendedahkan disahkan menghidap kanser buah pinggang empat tahun lalu, namun bersyukur penyakitnya berjaya dikesan awal.

Pendedahan itu dibuat vokalis kumpulan Wings itu menerusi segmen Pagi On Point di stesen radio Kool 101 bersama Haiza dan Muaz.

Awie berkata, hanya keluarga dan rakan terdekat mengetahui penyakit dihadapi kerana tidak gemar berkongsi soal peribadi dengan khalayak.

"Buah pinggang saya bermasalah apabila doktor mendapati ada tumor dan mengesahkan ia adalah kanser.

"Tapi, Alhamdulillah dikesan awal dan doktor berjaya buang tumor berkenaan. Masa nak beritahu saya, doktor macam tergagap-gagap dan sangat mencurigakan.

"Ketika itu, saya rasa seperti darah naik ke muka dan mungkin masa saya sudah nak habis," kongsi Awie menerusi temubual berdurasi lebih 30 minit itu.

Awie atau Ahmad Azhar Othman, 56, berkata, doktor menyarankan agar membuang buah pinggangnya, tetapi dia menolak kerana ingin meminta pandangan kedua.

"Saya termenung lama dan minta doktor beri saya peluang untuk fikirkan ikhtiar lain. Doktor mengesyorkan saya bertemu seorang doktor pakar di sebuah hospital.

"Selepas berjumpa doktor berkenaan, ujian imbasan menunjukkan memang 95 peratus kanser. Akhirnya, saya setuju buat pembedahan buang tumor bila puas dipujuk isteri, itu pun selepas empat bulan dapat rawatan.

"Doktor terpaksa tebuk tiga lubang dan masukkan kamera kerana tumor ini susah nak nampak sebab pada bahagian dalam. Akhirnya tumor bersaiz 2.7 sentimeter berjaya dikeluarkan," katanya.

Menurut Awie lagi, dia hanya dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta selama tiga hari berikutan kes COVID-19 sedang serius ketika itu.

Katanya, kos membuang tumor sangat tinggi, tetapi dia sedia jalani pembedahan demi keselamatan.

Ketika proses pemulihan, penyanyi lagu Tragedi Oktober itu berkata, dia sekali lagi diuji apabila dirinya bersama isteri dan anak kecil dijangkiti COVID-19.

"Saya tak boleh ambil ubat sebarangan kerana masalah buah pinggang, jadi doktor terpaksa berikan saya steroid.

"Akibatnya muka jadi bengkak dan saya bersama isteri dan anak terpaksa berkurung dalam bilik selama sembilan hari.

"Saya mengalami kesukaran bernafas di mana nafas jadi pendek. Doktor turut menemukan tompok putih yang penuh di tekak di mana ia boleh menjadi kanser," katanya yang kesihatannya kini semakin baik selepas melakukan pelbagai cara perubatan moden dan alternatif.

Sumber : Berita Harian


Recent Posts