Memaparkan catatan dengan label aswara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label aswara. Papar semua catatan

Khamis, November 26, 2015

Aswara kini dikenali Universiti P. Ramlee


Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee diangkat sebagai Tokoh Wa­risan Negara manakala Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) akan dinaik taraf sebagai Universiti P. Ramlee.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

“Saya menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, P.Ramlee memang ahli seni yang terkenal, bukan sahaja negara kita malah juga serantau.

“Seiring itu, kementerian akan menaik taraf Aswara sebagai Universiti P. Ramlee bagi mengiktirafnya sebagai seniman unggul, juga mengangkat beliau sebagai Tokoh Warisan Negara,” kata Mohamed Nazri disambut tepukan semua anggota dewan.

P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh semasa hayatnya telah menghasilkan 66 buah filem dan 401 lagu selain pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Ke-4, Tokyo, Jepun.

Aswara yang terletak di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pula yang ditubuhkan pada 1994 di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia ketika itu asalnya dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan.

Ia merupakan satu-satunya universiti awam dalam bidang persembahan yang didokongi sepenuhnya oleh kerajaan.

- Kosmo!

Khamis, Jun 18, 2015

Aswara bakal dikenali Universiti P. Ramlee


Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) akan dikenali sebagai Universiti P. Ramlee menjelang 2016 selaras de­ngan perjuangannya dalam memartabatkan bangsa melalui seni dan budaya.

Rektornya, Prof. Dr. Hatta Azad Khan berkata, pihaknya berbangga apabila Aswara yang bertaraf akademi akan dinaik taraf dan dikenali sebagai Universiti P. Ramlee selewat-lewatnya pada pertengahan tahun hadapan.

“Kita telah melantik sebuah badan bebas sebagai perunding untuk membuat kajian dan seterusnya menyediakan kertas dasar yang komprehensif tentang hala tuju, matlamat dan keberkesanan universiti ini diwujudkan dan akan terus kekal di bawah naungan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

“Selain itu, kajian yang mengambil masa tempoh tiga bulan ini dilakukan secara menyeluruh dan perbandingan perlu dibuat khususnya dalam memban­dingkan universiti seni yang wujud di negara jiran supaya hala tujunya tidak terpesong,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menaik taraf As­wara sebagai sebuah universiti merupakan salah satu perancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) baru-baru ini yang mahukan industri kreatif terus digalakkan sehingga mampu menghasilkan penggiat seni dan budayawan yang berkaliber.

Dalam pada itu, Hatta berkata, walaupun Aswara menawarkan pengajian di peringkat sijil sehingga Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang seni dan budaya, pihaknya masih dalam proses untuk mengubah persepsi ibu bapa dalam membenarkan anak-anak mempelajari bidang yang mereka minati.

“Kebanyakan ibu bapa di luar beranggapan ‘akademi’ bertaraf rendah berbanding dengan universiti, sedangkan mereka seharusnya melihat daripada aspek pengajian.

“Kita tidak menyalahkan ibu bapa dan sebab itu kita sedang ber­usaha untuk melenyapkan persepsi tersebut. Malah, mereka harus sedar bahawa bidang seni bukan hanya memfokuskan kepada lakonan ke­rana kita juga memberi pendedahan mengenai undang-undang supaya hak mereka terbela,” katanya.

Mengulas mengenai permintaan lulusan Aswara dalam industri seni negara, Hatta menjelaskan, kebolehan pasaran tidak menjadi masalah malah mereka kini ada dalam pelbagai bidang seni sama ada skrin, tea­ter, animasi, tarian mahupun muzik.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu lulusan Aswara dilihat sebagai individu bersifat bersepadu yang bukan hanya memfokuskan kepada satu bidang sahaja.

“Contohnya dalam bidang muzik, lulusan kita tidak dididik hanya untuk melihat satu skop seperti nyanyi­an, sebaliknya menggunakan muzik di dalam filem dan teater muzikal.

“Setakat ini, kita bukan sahaja mengambil pelajar cemerlang dalam akademik tetapi mereka yang berbakat dan diletakkan di Pusat Seni Pentas Tradisional (Putra) supaya kebolehan dapat digilap dan dikembangkan,” katanya.

Sumber : Utusan

 

Recent Posts