Memaparkan catatan dengan label astro. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label astro. Papar semua catatan

Khamis, Jun 24, 2021

Astro tawar Netflix di platformnya

 

Astro Malaysia Holdings Bhd dan Netflix telah memeterai penjanjian strategik yang akan membawa perkhidmatan penstriman terkenal Netflix ke platform Astro.

Astro berkata pelanggannya bakal menikmati akses untuk menonton Netflix menerusi kotak Ultra, sejurus selepas kerjasama itu dilancarkan dan menerusi Kotak Ulti dalam tempoh masa beberapa bulan akan datang.

"Menerusi kerjasama ini, pelanggan Astro dan Netflix di Malaysia kini boleh menguruskan akses pembayaran yuran langganan Astro dan Netflix mereka dengan lebih mudah dalam satu bil yang sama, dengan nilai tambah yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Henry Tan berkata, kerjasama yang termeterai dengan Netflix mengukuhkan lagi kedudukan Astro sebagai destinasi hiburan nombor satu bagi rakyat Malaysia dengan menawarkan perkhidmatan penstriman terbaik di samping pelbagai kandungan hebat seperti naskhah 'originals', program 'signatures', tayangan acara sukan secara langsung dan filem blockbuster tempatan untuk dinikmati.

Sumber : Harian Metro

 

 

Rabu, Jun 23, 2021

Monopoli penyiaran EPL stesen berbayar mungkin berakhir

 

Hak penyiaran bagi isi kandungan sukan premium khususnya Liga Perdana Inggeris (EPL) di Malaysia berkemungkinan tidak lagi dimonopoli stesen televisyen berbayar selepas musim 2021/22.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank Khairul Azizi Kairudin berkata, gergasi media sosial dunia antaranya memenangi hak menyiarkan liga yang mendapat tontonan tertinggi dunia itu dari 2019 hingga 2022 di negara jiran seperti Kemboja, Laos, Thailand dan Vietnam.

“Dalam jangka masa panjang, kami tidak menolak kemungkinan perjanjian sama akan berlaku di Malaysia.

“Beralih kepada platform digital seperti Facebook akan membantu pengendali liga itu, Premier League memaksimumkan tontonan kerana pengguna semakin meninggalkan televisyen berbayar.

“Malah, menurut laporan The Times, liga itu juga mengadakan rundingan bersama YouTube dan Netflix berhubung hak penyiaran,” katanya.

Astro Malaysia Holdings Bhd, penyedia perkhidmatan televisyen berbayar terbesar tempatan menjadi satu-satunya penyiar liga utama Inggeris itu di Malaysia sejak 1997.

EPL juga menjadi kandungan sukan terpenting Astro. Sekurang-kurangnya separuh daripada pengguna Astro melanggan pakej sukan.

September lalu, Astro berjaya memperoleh hak untuk menyiarkan EPL untuk tiga lagi musim daripada 2019/20 hingga 2021/22.

Kos hak penyiaran itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Di bawah perjanjian penyiaran berkenaan, Astro diberikan hak menayangkan semua 380 perlawanan secara langsung di Astro TV dan Astro GO.

Walaupun beberapa penganalisis merasakan Astro mula berdepan bahang daripada kemasukan penyedia perkhidmatan penstriman Internet seperti Netflix dan iflix, kelebihan utama Astro adalah ia mempunyai hak menyiarkan beberapa acara sukan utama dunia.

Di Malaysia, beberapa penyedia perkhidmatan penstriman mula menjadikan acara sukan sebagai antara pakej tumpuan bagi menarik pelanggan.

Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi tajaannya kepada Liga Malaysia mendapatkan hak untuk menayangkan perlawanan liga bola sepak tempatan menerusi unifi TV sejak musim lalu.

iflix, menerusi perjanjian sama juga mendapat hak penyiaran sama, sekali gus menjadikan tayangan Liga Malaysia paling menyeluruh dalam sejarah.

Sumber : Harian Metro

 

Isnin, Jun 21, 2021

Saluran Astro terjejas, dalam proses baik pulih

 

Penyedia satelit Astro Malaysia Holdings Bhd, MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd mengalami gangguan perkhidmatan sejak tengah hari Isnin 21 Jun 2021, dan Astro sedang berusaha untuk menangani masalah berkenaan.

Astro dalam kenyataan ringkas hari ini berkata penyedia kandungan pelbagai platform itu telah memulihkan sebahagian besar saluran yang terjejas, dan ia kini dalam proses memulihkan baki saluran secepat mungkin.

"Pelanggan yang tidak dapat menemukan saluran mereka, boleh terus menonton menerusi 'strim' di Astro GO. Astro memohon maaf terhadap kesulitan yang timbul," menurut kenyataan itu.

Beberapa saluran perkhidmatan televisyen satelit itu telah mengalami gangguan siaran sejak tengah hari tadi.

Astro adalah syarikat penyedia kandungan dan hiburan ternama di Malaysia, yang membekalkan perkhidmatan kepada 5.7 juta kediaman, atau 74 peratus daripada isi rumah televisyen Malaysia.

Sumber : Harian Metro

 

Jumaat, Mac 26, 2021

Astro perkenal Dekoder Ulti Box

 

Selepas 4K UHD Ultra Box Astro mendapat sambutan hangat dengan lebih 200,000 unit diedarkan, Astro kini memperkenalkan pula Ulti Box, tambahan terbaharu dalam siri kotak berhubungnya.

Ulti Box akan melengkapkan dan memperkukuhkan lagi visi Astro dalam memberikan pengalaman perkhidmatan kotak berhubung yang lancar kepada semua segmen pelanggan.
 
Dalam satu kenyataan, Astro berkata Ulti Box merupakan set-top box kompak yang dilengkapi dengan siaran HD, hubungan Wi-Fi dan alat kawalan jauh baharu yang memudahkan navigasi dengan sifat intuitifnya.
 
“Dengan Ulti Box, pelanggan akan disajikan dengan kemudahan inovatif sedia ada di Ultra Box ketika dihubungkan dengan Wi-Fi, seperti menonton program yang dilanggan secara on demand untuk mengurangkan isu gangguan siaran ketika hujan.
 
“Ia juga memastikan pelanggan tidak terlepas peluang menonton program kegemaran masing-masing dengan cloud recording, memainkan semula program dari titik mula, serta menikmati kandungan dalam versi HD,” menurut kenyataan tersebut.
 
Perbezaan utama antara dua set-top box terkini Astro adalah Ultra Box menawarkan pengalaman 4K UHD untuk pelanggan yang mempunyai televisyen 4K UHD sahaja manakala Ulti Box boleh digunakan mereka yang mempunyai televisyen versi HD.
 
“Buat pelanggan sedia ada, naik taraf pengalaman menonton Astro di rumah dengan tawaran swap atau menukarkan perkhidmatan pelanggan yang tidak memiliki Ultra Box terus kepada Ulti Box.
 
“Caj pemasangannya lebih rendah dengan hanya RM49 berbanding RM99 untuk pelanggan baharu,” katanya.
 
Menurut kenyataan itu lagi, pelanggan juga dapat menikmati penjimatan yang lebih banyak bersama bundle Astro & Broadband yang digabungkan ke dalam satu bil sahaja.
 
“Semua pelanggan Astro boleh mendapatkan Astro & Broadband dari serendah RM6/hari untuk 100Mbps dan hingga 102 saluran,” ujarnya.
 
Selepas mendapat sambungan ke internet, pelanggan boleh strim program kegemaran terkenal seperti siaran langsung perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara, drama Korea dan pelbagai filem menarik dan eksklusif.
 

Peralihan pengguna ke platform lain jejaskan Astro

 

Peralihan pengguna kepada platform yang lebih murah seperti NJOI memberi kesan kepada pendapatan Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) pada suku keempat tahun kewangan 2021.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, pandemik COVID-19 dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun ini turut memberi impak kepada Astro.

Firma penyelidikan itu berkata, ketika PKP, pengguna lebih memilih untuk mengekalkan aliran tunai atau menggunakan platform alternatif yang lebih murah sebagai langkah berhati-hati dalam menguruskan kewangan.

Katanya, ia menyaksikan pendapatan prabayar NJOI meningkat sebanyak 36 peratus suku ke suku disebabkan oleh pengembangan pek kandungan dan pengedaran, dengan menyasarkan segmen pelanggan yang mementingkan anggaran.

Sebaliknya, MIDF Research berkata, pendapatan purata setiap pengguna (ARPU) bagi TV berbayar pula merosot 3.2 peratus kepada RM96.90 pada tahun kewangan 2021 berbanding RM100 pada tempoh sama tahun sebelumnya.

"Pendapatan suku keempat tahun kewangan 2021 Astro turun 9.5 peratus tahun ke tahun kepada RM1.11 bilion. 

"Pendapatan daripada segmen langganan dan pengiklananannya juga mencatatkan penurunan masing-masing pada RM797.5 juta (-10 peratus tahun ke tahun) dan RM83.9 juta (-12 peratus tahun ke tahun).

"Namun, seperti penyedia perkhidmatan TV yang lain, Astro berjaya mengimbangi jurang ini melalui pendapatan yang lebih tinggi dalam segmen membeli-belah di rumah," katanya.

MIDF Research berkata, segmen membeli belah di rumah Astro, Go Shop, dijangka akan terus memberi sokongan kepada prestasi kewangan kumpulan.

Katanya, ini berdasarkan kepada pertumbuhan sebanyak 10 peratus tahun ke tahun kepada RM110.5 juta pada suku keempat tahun kewangan 2021.

"Segmen membeli belah di rumah diunjurkan terus mencatatkan lonjakan positif pada suku yang akan datang disebabkan ketibaan Ramadan dan Hari Raya," katanya.

 Sumber : Berita Harian

 

 

Khamis, Februari 11, 2021

Filem percuma untuk pelanggan Astro dari 11 - 21 Februari 2021

 

Sebagai menghargai kemenangan Astro baru-baru ini di Putra Brand Awards 2020, Astro berbesar hati melanjutkan preview percuma saluran filem terpilih di TV dan Astro Go untuk semua pelanggan bermula 11 hingga 21 Februari 2021. 

Pelanggan Astro akan dapat menikmati hiburan tanpa henti dari filem blockbuster terbesar di HBO (CH411 HD / CH431), FOX Movies (CH413 HD / CH433), FOX Action Movies HD (CH415), FOX Family Movies HD (CH414), CINEMAX ( CH412 HD / CH432) dan Filem tvN HD (CH416).
 
Ini termasuk blockbuster Hollywood yang popular seperti "Birds of Prey and the Fantabulous Emancipation of One Harley Quinn", "Spider-Man: Far From Home" di HBO, "Bad Boys for Life" dan "Little Women" di Fox Movies.
 
Kanak-kanak boleh menonton animasi popular "Despicable Me 2" dan filem aksi-komedi "Sonic The Hedgehog" di saluran HBO.
 
Peminat filem Korea pula akan dapat melihat bintang-bintang sensasi di tvN Movies termasuk "Train to Busan" sequel "Peninsula", "Okay! Madam" dan "Tazza: The High Rollers and Love + Sling".
Digelar sebagai People’s Choice Award, Putra Brand Awards mengiktiraf pembinaan jenama sebagai pelaburan perniagaan dan diukur berdasarkan pilihan pengguna.
 
Di samping itu, pelanggan Astro juga dapat menikmati tontonan percuma dari semua saluran Pek Kanak-kanak dan Berita (kecuali SKY News) hingga 18 Februari dan HITS Movies HD (CH401) yang memaparkan blockbuster dari tahun 60-an hingga 90-an seperti "Jaws 3-D", "Edward Scissorhands" dan "Back to the Future" di TV dan Astro GO hingga 21 Februari 2021.
 

Ahad, September 06, 2020

Astro saji tontonan EPL ala VIP



Peminat bola sepak kini boleh menikmati tayangan terunggul apabila penyiar rasmi Liga Perdana Inggeris (EPL) secara eksklusif di Malaysia, Astro bakal menyajikan 380 perlawanan berprestij itu secara langsung menerusi televisyen dan aplikasi Astro Go, minggu depan.

Bukan setakat EPL, Astro juga berbesar hati menyajikan pelanggannya dengan saingan bola sepak global seperti La Liga, Ligue 1 dan Serie A serta acara lain termasuk Formula Satu, MotoGP, UFC, NBA serta banyak lagi.

Pelanggan Astro kini boleh menikmati nilai tontonan lebih tinggi dan fleksibel dengan adanya peluang memilih untuk menambah Pek Sukan dari mana-mana Pek Starter (permulaan) yang membolehkan peminat menonton acara sukan global di 11 saluran berdefinisi tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif TV dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, pihaknya akan berusaha mencari kaedah baharu agar dapat kekal berhubung dengan pelanggan dan peminat sukan secara maya.

“Menerusi kemunculan semula siaran secara langsung, Astro amat teruja untuk menyajikannya kepada peminat tanah air dengan acara sukan terbesar di dunia dan tiada liga lebih menarik daripada EPL.

“Selain memberikan liputan paling komprehensif, Astro juga membawa tontonan bola sepak ke tahap lebih tinggi dengan Ultra Box dan Jalur Lebar yang menawarkan siaran perlawanan secara langsung dalam 4K UHD yang tiada tandingan.

“Kini, pelanggan tidak akan lagi ketinggalan untuk menonton siaran langsung dengan aplikasi Astro GO dan menonton program EPL secara eksklusif menerusi ‘on demand’ pada bila-bila masa, di mana sahaja mereka berada.

“Kami lihat, terdapat ruang dalam segmen pembangunan sukan, justeru kami berusaha memacu pendapatan dan nilai di ruangan digital dengan memperhebatkan inisiatif,” katanya pada perasmian musim baharu EPL yang akan bermula 12 September ini di Sunway Pyramid baru-baru ini.

Pelanggan Astro juga kini dapat menikmati pengalaman menonton dengan Astro Ultra Box untuk menyaksikan perlawanan terpilih secara langsung dalam 4K UHD, yang menawarkan kejelasan empat kali lebih tinggi daripada HD.

Gabungkan Ultra Box dengan Jalur Lebar Astro juga untuk membolehkan pelanggan Astro berinteraktif dan berupaya untuk menyaksikan kandungan menerusi ‘on demand’.

Pengalaman baharu itu juga merangkumi Rakaman Awan (Cloud Recording), antara muka pengguna baharu yang lebih lancar di semua skrin peranti.

Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay berkata, pihaknya sentiasa mencari kaedah baharu untuk menyokong penonton bersukan serta terlibat secara langsung bersama tokoh sukan kegemaran mereka.

“Dengan menggunakan platform digital, kami menawarkan pengalaman yang tidak dapat dibeli dengan wang seperti

‘Meet & Greet’ secara maya bersama pemain bola sepak dan penganalisis EPL.

“Ikuti juga perkembangan EPL dan acara sukan dengan 500 jam program sokongan seperti Fanzone, The Kelly & Wrighty Show, Premier League Daily, program praperlawanan, analisis dan sorotan perlawanan,” ujarnya.

EPL dengan kerjasama Astro akan turut melancarkan kempen anti-cetak rompak yang pertama, ‘Boot Out Piracy’ minggu depan.

Sumber : Utusan

Sabtu, November 04, 2017

Astro beri Saluran Percuma Menang Putra Brand Awards 8 tahun berturut-turut



Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) akan memberikan semua saluran percuma, selain  saluran sukan premium dan Pay per View di Astro dan Astro Go, kepada pelanggannya bermula 3-19 November ini.

Ia susulan kemenangan Astro dalam kategori Media dan Rangkaian pada Anugerah Putra Brand 2017 yang berlangsung malam ini.

Ini adalah kali ke lapan Astro memenangi anugerah jenama terbaik untuk kategori yang sama.

Menurut Ketua Pegawai Digital dan Pemasaran Astro, Ridhuan Sidek anugerah itu akan meningkatkan lagi komitmen Astro untuk memberikan kandungan terbaik kepada pelanggannya.

Tambahnya, Astro akan meneruskan transformasi yang dilakukan dan menjadikan kepuasan pelanggan sebagai sasaran utamanya bergerak ke hadapan.

Anugerah tersebut disampaikan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, dan turut dihadiri tokoh perniagaan, pemasaran dan pengiklanan dari jenama terbaik Malaysia.

Anugerah Putra Brand 2017 merupakan anugerah yang mengiktiraf jenama terkemuka di Malaysia dan dianjurkan oleh Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As).

Ia mengukur jenama menerusi faktor termasuk keinginan pengguna untuk membeli produk dan perkhidmatan serta rekomendasi kepada rakan dan keluarga.

Pemenang dipilih berdasarkan tinjauan yang dilakukan ke atas 6,000 pengguna di Malaysia.

Recent Posts