Memaparkan catatan dengan label asnb. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label asnb. Papar semua catatan

Ahad, Oktober 03, 2021

Satu nombor telefon untuk satu akaun PNB sahaja

 

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pelaksanaan polisi nombor telefon mudah alih tunggal ke atas semua pemegang akaun ASNB dalam inisiatif terkini untuk memberi perlindungan data peribadi dan privasi yang lebih baik.

Polisi ini mula dilaksanakan pada 25 September 2021 sebagai usaha daripada penambahbaikan utama ke atas portal pelaburan dalam talian dan aplikasi mudah alih myASNB.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin, berkata penambahbaikan ini adalah peningkatan utama antara muka dan pengalaman pengguna.

"Sebelum ini, ASNB membenarkan perkongsian nombor telefon untuk akaun yang berbeza bagi memudahkan pemegang unit mengurus akaun milik ahli keluarga, khususnya ibu bapa yang berusia dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun. 

"Ketika itu, telefon mudah alih digunakan terutamanya bagi tujuan komunikasi dan bukan untuk mengesahkan sebarang transaksi.

"Bagaimanapun, dengan tersedianya pelbagai kemudahan transaksi dalam talian di portal dan aplikasi myASNB, nombor telefon mudah alih kini digunakan untuk tujuan pengenalan dan juga pengesahan. 

"Polisi nombor tunggal ini akan meningkatkan lagi keselamatan untuk semua pengguna," katanya dalam kenyataan.

Mohammad berkata, pihaknya sedia maklum bahawa polisi ini akan menimbulkan sedikit kesulitan kepada pemegang unit berbanding pendekatan yang lebih fleksibel sebelum ini.

Bagaimanapun ASNB yakin pemegang unit sedar bahawa ancaman terhadap data peribadi dan privasi semakin meningkat sejak kebelakangan ini, dan penting pengurus pelaburan itu mengambil langkah pencegahan yang bersesuaian untuk melindungi pelaburan mereka.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, pemegang unit ASNB yang mempunyai rekod nombor telefon berganda dalam pelbagai akaun telah dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel untuk mengunjungi cawangan dan ejen ASNB terdekat bagi tujuan pengesahan nombor telefon.

Seterusnya, ASNB akan mengaktifkan peraturan satu nombor satu akaun dan membatalkan penggunaan nombor telefon yang sama ke atas akaun ASNB yang lain.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, pemegang unit boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899 (8 pagi hingga 8 malam setiap hari) atau e-mel kepada asnbcare@pnb.com.my