Memaparkan catatan dengan label aplikasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label aplikasi. Papar semua catatan

Khamis, Oktober 13, 2022

PKR lancar ADIL 2.0

 


Aplikasi ADIL yang diperkenal PKR ketika pemilihan parti itu baru-baru ini, dinaik taraf dengan pelancaran ADIL 2.0.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ADIL 2.0 menampilkan lebih banyak fungsi yang berupaya membantu mengurangkan kesenjangan teknologi di antara masyarakat bandar dan luar bandar.

"Dua tahun lalu saya cuba menerangkan mengenai hal ini. Itu percubaan kita untuk menjelaskan kekuatan teknologi baharu yang harus dikuasai rakyat.

"Jika tidak dilakukan, akan ada kesenjangan di antara orang atasan bandar dan rakyat biasa. Digitalisasi ini kalau tidak berwaspada, akan menyebabkan kesenjangan melebar di antara golongan kaya dengan golongan miskin," katanya pada sidang media.

Anwar berkata, menerusi aplikasi yang dinaik taraf itu, pengguna boleh membangkitkan masalah dihadapi mereka.

Katanya, ini termasuk mengemuka aduan, memberi cadangan serta penambahbaikan bukan sahaja kepada parti, malah persekitaran.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata ADIL 2.0 memboleh orang ramai mengetahui aktiviti parti, termasuk pimpinannya.

"Beza ADIL 1.0 dan ADIL 2.0 dari segi penambahbaikan pengalaman pengguna serta sistem 'chatbot'.

"Aplikasi ini membolehkan mereka mendapatkan status keahlian parti dan selain memaparkan aktiviti parti, berita, ceramah mega, jelajah dan sebagainya.

"Dalam sistem chatbot pula, pengguna boleh memberi maklum balas sama ada pandangan, cadangan dan aduan," katanya.

Beliau berkata, aplikasi berkenaan turut menawarkan ciri pengumpulan dana pilihan raya PKR dan memiliki sistem e-wallet.

Sumber : Berita Harian

Isnin, April 19, 2021

Aplikasi Tulus mudahkan transaksi amal jariah

 

Tulus Digital Sdn. Bhd. (Tulus Digital) menjangkakan aplikasi Tulus akan dapat memberi peluang kepada masyarakat Islam membuat pembayaran bagi pelbagai urusan berkaitan amal jariah dengan mudah dan telus.

Pengerusi Eksekutif Tulus Digital, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, kaedah pembayaran secara digital yang hanya dilaksanakan melalui hujung jari itu memberikan kemudahan kepada pengguna untuk membuat pembayaran tanpa mengira masa dan lokasi mereka.

Menurut beliau, platform tersebut juga telah  menggabungkan semua organisasi Islamik yang merangkumi perkhidmatan pembayaran zakat, wakaf, infaq dan sedekah.

“Istimewanya di bulan Ramadan kali ini, aplikasi Tulus turut menyediakan saluran pembayaran zakat fitrah bagi sembilan negeri di Malaysia yang merangkumi Wilayah Persekutuan dan WP Labuan, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan serta Perlis.” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Mohd. Daud menjelaskan, Tulus Digital juga telah menjalin kerjasama strategik dengan Touch & n Go eWallet dan Ikhlas.com bagi pembayaran zakat di bulan Ramadan ini. 

“Kami menyediakan pembayaran bagi imbasan kod QR melalui aplikasi SnapNPay yang boleh digunakan untuk pembayaran zakat fitrah untuk kesemua negeri-negeri yang tersenarai di atas termasuk negeri Perak.

“Aplikasi mudah alih Tulus dan SnapNPay boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple iOS Store. 

“Selain itu, bayaran zakat ke setiap negeri juga boleh dibuat secara online di laman sesawang syarikat,” jelasnya. 

Mohd. Daud menerangkan, syarikat juga optimis untuk membantu 800,000 sehingga 1,000,000 pembayar zakat dalam menunaikan kewajipan mereka pada Ramadan tahun ini.

“Bagi perancangan masa hadapan, kami berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan yang terdapat di aplikasi melibatkan pembayaran bagi pelbagai urusan amal jariah yang lain termasuk ibadah korban, aqiqah, khairat, takaful dan seumpamanya,” katanya.

Aplikasi Tulus dibangunkan oleh Tulus Digital (dahulu dikenali sebagai SnapNPay Digital Sdn Bhd).

Ia merupakan syarikat Islamik fintech berteraskan pembangunan kewangan sosial yang menyediakan fasiliti pembayaran beretika melalui dua aplikasi mudah alih Tulus dan SnapNPay bagi memperkasa ekonomi dan kesejahteraan ummah merangkumi gaya hidup digital kepada rakyat Malaysia.

 

 

 

Recent Posts