Memaparkan catatan dengan label ancaman covid-19. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ancaman covid-19. Papar semua catatan

Khamis, Disember 21, 2023

Ancaman Covid-19 kembali

 


Pakar Klinikal Penyakit Berjangkit Pusat Perubatan Universiti Malaya(PPUM), Dr Bushra Megat Johari ketika dihubungi berkata, ramai dalam kalangan pesakit Covid-19 yang menyangka pada mulanya hanya mengalami demam biasa.

Katanya, situasi ini berlaku berikutan simptom demam biasa dan jangkitan Covid-19 hampir sama termasuk sakit kepala, sakit tekak dan selesema.

"Lebih membimbangkan, dalam tempoh itu (demam) mereka menjalani kehidupan seperti biasa dan menyebarkan jangkitan kepada orang lain tanpa mereka sedari.

"Mereka hanya membuat pemeriksaan apabila masih tidak sembuh sepenuhnya dalam tempoh yang lama," katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mengalami demam untuk terus membuat pemeriksaan kendiri untuk mencegah jangkitan tersebar kepada orang lain.

"Pemeriksaan boleh dibuat pada hari pertama anda diserang demam kerana ketika itu, antigen masih banyak dan jangkitan dapat dikesan dengan lebih cepat.

"Malah pemeriksaan awal ini penting supaya kita dapat mengambil langkah awal untuk menjalani kuarantin kendiri sekurang-kurangnya lima hari di kediaman," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan situasi semasa, jangkitan Covid-19 masih lagi terkawal di negara ini.

"Daripada segi statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini sememangnya berlaku peningkatan pada November dan Disember, namun ia masih terkawal," katanya.

Biarpun begitu, Dr Bushra berkata, perkara itu tidak boleh diambil mudah kerana jangkitan Covid-19 boleh menjadi lebih serius kepada mereka yang mempunyai sejarah komorbid seperti menghidap tekanan darah tinggi dan kencing manis.

"Peningkatan kes ini berkemungkinan berlaku disebabkan masyarakat yang mula mengambil mudah terhadap langkah pencegahan.

"Saya berharap dengan peningkatan kes ini, orang ramai lebih sedar dengan keperluan mengambil langkah pencegahan termasuk kembali memakai pelitup muka, sentiasa membasuh tangan (air, sabun atau pencuci tangan berasaskan alkohol) dan elakkan berada di lokasi tumpuan orang ramai

"Pada masa sama, bagi sesiapa yang belum mengambil vaksin atau dos penggalak, saya nasihatkan anda berbuat demikian untuk elakkan terkena jangkitan Covid-19 yang lebih serius," katanya.

Terdahulu KKM dalam satu kenyataan mengesahkan kes Covid-19 dalam negara meningkat kepada 6,796 kes pada Minggu Epidemiologi ke-48 (ME48/2023) iaitu dari 26 November hingga 2 Disember lalu berbanding 3,626 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilaporkan berkata kadar kemasukan pesakit Covid-19 termasuk pesakit yang disyaki Covid-19 ke fasiliti kesihatan adalah 3.5 bagi setiap 100,000 penduduk dan 1.0 bagi setiap 100,000 penduduk adalah bergejala ringan.

Dr Muhammad Radzi berkata, hingga ME48/2023, 72.9 peratus daripada varian membimbangkan (VOC) yang dikesan adalah varian Omicron diikuti dengan 26.2 peratus varian Delta dan selebihnya varian Beta dan Alpha.

"Hingga kini, tiada varian baharu dikesan di Malaysia dan tiada petunjuk varian yang beredar secara tempatan lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit lebih teruk," katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata, walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19, secara keseluruhan keadaan di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

Sumber : Harian Metro

Recent Posts