Memaparkan catatan dengan label akad perlis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label akad perlis. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 17, 2023

TATACARA PERKAHWINAN UMAT ISLAM DI NEGERI PERLIS

 


TATACARA PERKAHWINAN UMAT ISLAM DI NEGERI PERLIS
(SEBELUM, SEMASA DAN SELEPAS AKAD NIKAH)
Telah Diluluskan Dan Diperakui Dalam
Mesyuarat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bil. 5 / 2018

 

 

1. Pengenalan

Pengurusan perkahwinan, perceraian dan ruju’ bagi orang Islam di negeri Perlis hendaklah dilakukan mengikut Hukum Syarak. Enakmen Undang –Undang Keluarga Islam 2006 negeri Perlis (UUKI 2006) telah menetapkan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi bagi memastikan pengurusan perkahwinan, perceraian dan ruju’ orang Islam adalah teratur dan mengikut Hukum Syarak. Oleh itu garis panduan yang disediakan untuk memberi maklumat kepada Penolong Pendaftar berkaitan tatacara pengurusan perkahwinan, perceraian dan ruju’ orang Islam di negeri Perlis. Walaubagaimanapun dalam menjayakan sesuatu perkahwinan Penolong Pendaftar adalah terikat dengan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2006 Negeri Perlis (UUKI 2006) dalam menguruskan perkahwinan orang Islam di negeri ini.


2. Seksyen 2. Tafsiran

2.1 “Bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu atau yang telah disahkan oleh Hakim Syarie sedemikian;UUKI 2006)

2.2 Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis bersetuju sebulat suara bahawa maksud perkataan “bermastautin” di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2006 Negeri Perlis (UUKI 2006) adalah seseorang itu berada di dalam negeri Perlis melebihi lima (5) hari.

2.3 Ertinya, jika seseorang dapat membuktikan dia berada di dalam negeri Perlis melebihi tempoh tersebut, maka dia dianggap “bermastautin”.


3. Kebenaran Berkahwin

3.1 Pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan di negeri Perlis perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Hal Ehwal Islam Perlis (JAIPs) melalui Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Islam Perlis (PUS) JAIPs. Permmohonan kebenaran boleh diperolehi melalui sistem dalam talian (online) di laman web www.sppim.gov.my. (LAMPIRAN A)

3.2 Keperluan bagi melengkapkan borang kebenaran berkahwin tersebut ialah :

a) status perkahwinan individu ingin berkahwin,
b) pengesahan mastautin ( Imam karyah / pihak berkuasa agama negeri ),
c) Pengesahan Wali dan Sijil Kursus Perkahwinan (JAIPs)
d) Ujian HIV di pejabat kesihatan yang dikendalikan oleh pihak kerajaan. (LAMPIRAN B)

3.3 Bagi pasangan yang menghadapi masalah wali enggan, wali ghaib, perkahwinan Saudara Baru, poligami dan perkahwinan di bawah umur, permohonan perlulah melalui Mahkamah Syariah negeri Perlis. (LAMPIRAN C)

3.4 Borang yang telah lengkap diisi perlu dihantar ke Bahagian PUS JAIPs dan kelulusan boleh diberi dalam masa 3 hari bekerja. (LAMPIRAN D)


4. Wali

Sebelum akad dijalankan, penolong pendaftar bertanya terlebih dahulu kepada wali sama ada wali sendiri akan menjalankan akad nikah tersebut atau mewakilkan kepada penolong pendaftar. Sekiranya wali tidak dapat hadir semasa akad, wali perlu membuat wakalah sebelum akad nikah dijalankan. Wakalah wali boleh dengan cara :

4.1 Bersemuka terus dengan Penolong Pendaftar sebelum akad nikah dijalankan dengan mengisi borang wakalah yang disediakan, atau
4.2 Bertulis / mengirim borang wakalah bagi yang tidak dapat bersemuka terus, atau
4.3 Melalui panggilan telefon. Walau bagaimanapun, kaedah ini perlu diberi penelitian / kepastian supaya tidak terdapat unsur penipuan. (LAMPIRAN E)


5. Mahar

5.1 Tiada penetapan jumlah tertentu untuk mahar. Bergantung kepada persetujuan bersama.
5.2 Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Syariah (PUS) tidak menggalakkan mahar yang tidak dapat diletakkan harga secara jelas seperti mengajar surah al-Fatihah atau surah al-Ikhlas oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Pasangan perlu juga menetapkan sesuatu jumlah yang boleh dinilai bagi memudahkan urusan pentadbiran perkahwinan pada masa hadapan.


6. Lafaz Ijab dan Qabul

6.1 Jarak masa antara ijab dan qabul tidak ditentukan, cukup sekadar difahami bahawa lafaz qabul yang dibuat adalah dalam satu majlis yang sama.
6.2 Tidak disyaratkan qabul perlu dilafaz dalam satu nafas.
6.3 Tidak disyaratkan berjabat tangan semasa akad nikah dilakukan, begitu juga menggoyangkan tangan ketika berjabat. Namun, jika ada yang memilih untuk berjabat tangan kerana menunjukkan persetujuan dan baiah dibolehkan.
6.4 Saksi akad nikah hendaklah dari kalangan mereka yang faham tentang akad nikah dan faham syarat ijab dan qabul.
6.5 Tidak disuruh untuk mengulangi akad melainkan jelas berlaku kesalahan atau kesilapan.
6.6 Penolong Pendaftar haruslah memudahkan urusan akad nikah dan hendaklah menjaga maruah pengantin. Majlis akad nikah bukanlah medan untuk menguji atau menemuduga pengantin dengan memberi soalan berkaitan hukum-hakam agama.
6.7 Penolong Pendaftar tidak perlu meminta agar pengantin beristighfar dan mengucap dua kalimah syahadah dikhalayak ramai. Malah, wajib meyakini bahawa jika pengantin itu seorang muslim, maka dia adalah sebagai seorang muslim. Tidak perlu meragui akidahnya. Juga tidak disuruh dia memohon ampun untuk ditunjukkan kepada orang ramai.
6.8 Sighah Lafaz Ijab boleh dilakukan seperti berikut :

6.8.1 Wali Sendiri
(Nama pengantin lelaki), aku/saya nikahkan dikau/kamu dengan (nyatakan hubungan dengan pengantin perempuan dan nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin RM............... tunai/hutang.
6.8.2 Wakil Wali 
(Nama pengantin lelaki), aku/saya nikahkan dikai/kamu dengan ...... (nama pengantin perempuan) yang telah berwakil walinya kepadaku dengan mas kahwin RM ........ tunai/hutang.
6.8.3 Wali Hakim
Aku/saya nikahkan dikau ........ (nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin RM ........ tunai/hutang.

6.9 Sighah Lafaz Qabul boleh dilakukan salah satu daripada berikut :

6.9.1 Aku/saya terima nikah ..... (nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin RM ..... tunai/hutang.
6.9.2 Aku/saya terima nikah ..... (nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin yang tersebut.
6.9.3 Aku/saya terima nikahnya seperti yang disebutkan / dinyatakan.


7. Khutbah Nikah

7.1 Khutbah nikah yang digunakan oleh Penolong Pendaftar ialah khutbah nikah yang dibekalkan oleh Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Syariah (PUS) JAIPs terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Mufti Negeri Perlis.
7.2 Panduan teks khutbah tersebut mempunya tiga (3) teks khutbah yang khusus bagi Perkahwinan Umum, Perkahwinan Saudara Baru dan Perkahwinan
Poligami. Teks khutbah nikah juga disediakan di dalam bahasa inggeris. Buku khutbah nikah keluaran JAKIM ini juga menyediakan doa selepas akad nikah. (LAMPIRAN F,G,H & I)



8. Ta’liq

8.1 Amalan ta’liq tidak diamalkan di negeri Perlis.
8.2 Namun, bagi isteri yang ingin membuat permohonan ta’liq hendaklah mendapatkan persetujuan daripada pasangannya / suaminya dan mengisi borang yang ditentukan oleh Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Syariah (PUS) JAIPs. Kedua-dua pasangan hendaklah faham dan setuju dengan implikasi ta’liq yang akan dibuat. ( BORANG ... )


9. Bayaran Perkhidmatan

9.1 Borang Permohonan Berkahwin – Percuma
9.2 Kursus Pra Perkahwinan Modul Perkahwinan Bersepadu Keluarga Islam (MBPKI) – RM 90.00
9.3 Ujian HIV – RM 1.00 (Awam) Percuma (Kakitangan Kerajaan)
9.4 Kebenaran Berkahwin – RM 5.00
9.5 Bayaran Penolong Pendaftar Perkahwinan – RM 85.00
9.6 Bayaran Saksi (2 Orang) – RM 50.00
9.7 Bayaran Daftar Perkahwinan – RM 15.00
9.8 Bayaran Kad Nikah – RM 50.00


Recent Posts