Memaparkan catatan dengan label ajl34. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ajl34. Papar semua catatan

Khamis, Februari 13, 2020

Keputusan Anugerah Juara Lagu AJL34



Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 yang mengangkat lagu Sumpah ciptaan dan nyanyian Naim Daniel sebagai juara, disaksikan enam juta penonton mengikut sumber Nielsen Malaysia.

Bagi segmen tontonan dari platform digital, acara anugerah berprestij yang disiarkan dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad lalu, itu mencatat 442,000 tontonan melalui strim langsung HD tonton dan Xtra.

Selain itu, AJL34 yang bertemakan ‘Warna-Warna Suara’ merekodkan 1.5 Juta tontonan di YouTube TV3 Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, rekod enam juta penonton membuktikan AJL34 masih menjadi pilihan ramai.

“AJL34 memperoleh 55 peratus syer tontonan pada waktu siaran, menandingi program-program hebat lain.

“Saya percaya AJL34 berjaya kerana barisan finalis membawa warna-warni ke majlis berprestij itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada acara gilang-gemilang Ahad lalu, Naim, 22, yang kali pertama bersaing di pentas AJL, memukau penonton dengan lagu ciptaannya bersama Omar K, Sumpah.

AJL34 turut mengiktiraf naib juara, lagu Bangun ciptaan Navigator dan penyanyinya, Aman Ra. Tempat ketiga dimenangi lagu Anta Permana ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.

Selain Ajai yang bertindak sebagai ketua juri, finalis AJL34 dinilai barisan komposer hebat iaitu Azmeer, Edrie Hashim, Datuk Wah Idris, Altimet, Helen Yap, Datuk Mokhzani, Sharon Paul, Aznul Haidi dan Cat Farish.

Johan berkata, Ajai turut bersetuju kepelbagaian genre, suara, konsep dan gimik persembahan menghidupkan tema ‘Warna-Warna Suara’.

“Kini carta Muzik Muzik 35 (MM35) sudah dibuka untuk kitaran pengundian baharu dalam menentukan calon separuh akhir pula,” katanya.

Johan berkata, TV3 berterima kasih dan bersyukur atas sokongan rakyat Malaysia yang sentiasa mengundi karya kegemaran mereka di www.xtra.com.my/muzikmuzik.

AJL34 mendapat sokongan McDonald's sebagai penaja utama manakala rakan penaja adalah Aplikasi Setel dan Celcom Xpax. Radio rasmi acara anugerah ini adalah Hot FM serta rakan digital iaitu Xtra, Oh Bulan! dan Senang Terhibur.

Bagi mereka yang belum dapat melupakan kehangatan AJL34, layari www.tonton.com.my untuk menonton kandungan menarik.

KEPUTUSAN AJL34

Juara Lagu

Tajuk Lagu: Sumpah

Penyanyi: Naim Daniel

Komposer: Naim Daniel dan Omar K

Penulis Lirik: Naim Daniel

Naib Juara

Tajuk Lagu: Bangun

Penyanyi: Aman Ra

Komposer: Navigator

Penulis Lirik: Aman Ra

Tempat Ketiga

Tajuk Lagu: Anta Permana

Penyanyi: Bob Yusof

Komposer: Hael Husaini dan Ezra Kong

Penulis Lirik: Hael Husaini dan Ezra Kong

Vokal Terbaik & Persembahan Terbaik

Tajuk Lagu: Kisah Cinta Kita

Penyanyi: Hafiz Suip

Komposer: Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali

Penulis Lirik: Datuk A Aida

 

Isnin, Februari 10, 2020

Sumpah Naim Daniel juara AJL34



Lagu Sumpah nyanyian dan ciptaan Naim Daniel diumumkan juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil.

Naim memenangi trofi dan wang tunai RM50,000.

Naib juara AJL34 menjadi milik lagu Bangun ciptaan Navigator dan Aman Ra. Lagu dendangan Aman Ra menyaksikan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM35,000.

Menduduki tempat ketiga adalah Anta Permana hasil ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong. Lagu disampaikan Bob Yusof dan penampilan khas Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Kemenangan itu melayakkan mereka menggondol hadiah trofi dan wang tunai RM20,000.

Vokal luar biasa Hafiz Suip ketika mendendangkan lagu Kisah Cinta Kita membawa tuah buatnya apabila diumumkan pemenang trofi Vokal Terbaik dengan hadiah trofi dan wang tunai RM12,000.

Hafiz juga mengungguli kategori persembahan terbaik yang menawarkan ganjaran trofi dan wang tunai RM10,000.

Lagu lain yang turut bertanding adalah Drama (Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir, Nik Adib / Drama Band); Ku Bersuara (Syamel, Omar K, Blaine Bakri, John Jeevasingham / Ernie Zakri) dan Kisah Cinta Kita (Ikhwan Fatanna, Ayden Ali / Datuk A Aida / Hafiz).

Turut bersaing Ragaman (Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo / Faizal Tahir, Jaare, Karim Karam, Mike Chan / Fairuz Misran); Rampas (Hang Nadim, Laq / Bunga Cantik / Akim & The Majistret); Dinda (Ali Sariah / Kugiran Masdo); Peneman (Tam / Hazama) dan Lembah Kesepian (Haqiem Rusli / Haqiem Rusli, Ibnu & Gouffran / Haqiem Rusli) dan Sumpah (Aina Abdul)

Persembahan 12 finalis AJL34 diadili 10 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Azmeer, Edrie Hashim, Datuk Wah Idris, Altimet, Helen Yap, Datuk Mokhzani, Sharon Paul, Aznul Haidi dan Cat Farish. Ajai bertindak sebagai ketua juri.

Penghakiman dilakukan berdasarkan markah 80 peratus yang diadili terlebih awal manakala baki 20 peratus melalui persembahan pada malam kemuncak.

Lebih tiga dekad sejak penganjurannya, Anugerah Juara Lagu (AJL) bertujuan memartabatkan industri muzik tanah air terutamanya memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik.

Diangkat sebagai acara muzik tahunan berprestij tempatan, AJL34 mengetengahkan Warna-Warna Suara sebagai konsep dan tema persembahan pada tahun ini.

Pada acara itu juga lagu Lembah Kesepian nyanyian Haqiem Rusli memenangi Anugerah Pilihan Peminat Setel yang dipilih melalui undian dalam aplikasi Setel, bermula 30 Januari lalu.

AJL34 yang disiarkan secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam itu menyaksikan gandingan trio Awal Ashaari, Sherry Al Hadad dan juga Haziq Husni sebagai pengacara.

Malam kemuncak AJL34 turut diserikan dengan persembahan pembuka tirai oleh pemenang Vokal Terbaik terdahulu iaitu Liza Hanim, Misha Omar, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Lah Ahmad, Black dan Hazami.

Manakala segmen interlude pula mengetengahkan karya hebat komposer dan penyanyi terkenal, Datuk M Nasir serta disampaikan oleh penyanyi seperti Ameng Spring, Fredo, Datuk Hattan, Datuk David Arumugam dan Nasir sendiri.

Sumber : BHarian

Recent Posts